Kegemaran memancing yang sudah tertanam di jiwanya sejak berusia 10 tahun itu membolehkan Yusof mendapat gelaran Raja Sembilang kerana beliau memang penganyir dan pakar memancing ikan bermisai dan bersengat ini.
Tanpa mahu merahsiakan kepakaran luar biasa itu, Yusof secara spontan berkata, apa bidang sekalipun seseorang itu mestilah berilmu selain daripada kemahiran semula jadi.
“Saya mengaku, mempelajari segala petua dan cara-cara memancing sembilang ini daripada seorang tua di kampung saya, tetapi sekadar kegunaan sendiri saja…” Senyumnya menampakkan keikhlasan.
Ads
Bagaimanapun beliau terpaksa berpegang kepada segala janjinya iaitu tidak boleh makan ikan berkenaan (sembilang) tetapi sekadar memancingnya saja dan jika hasil tangkapan itu lumayan hendaklah dibahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukannya.
Jika beliau melanggar pantang larang ini, ia akan menyebabkan hasil tangkapan spesies berkenaan tidaklah sebanyak mana kebiasaan yang diperolehi tetapi sekadar untuk sekeluarga saja. Yusof tidak menyimpan rahsia cara mengenali lubuk sembilang.
“Pemancing perlu memerhatikan buih-buih yang mungkin dapat dilihat pada permukaan air ketika air besar.
Ads
Jika buih-buih kelihatan sudah pasti kawasan itu mengandungi banyak sembilang dan tidak akan menghampakan selain ikan ini mudah dipancing ketika air mula pasang dan pada waktu surut.”
“Pemancng juga mudah memancing ikan jika air teres iaitu ketika air surut mirip kepada lopak-lopak air kawasan menghampiri persisiran pantai.”
Ads
Yusof juga mempamerkan jari dan sebahagian daripada lengannya sambil tersenyum berkata, “Lihat tangan dan jari ini sudah lali dan kebas kerana bisa ikan sembilang.”
Pemancing tentu lebih maklum, sengat sembilang bisanya bukan kepalang menjalar hingga ke jantung dan jika rawatan segera tidak diberi pemancing pasti pengsan malah lebam seluruh badan.
“Tangan saya ni… tebal kulitnya, bahagian jari ni sudah kematu terkena sengat. Saya kurang pasti ada yang mengatakan bisa ikan ini akan susut selepas tujuh kali air pasang dan surut.
Tetapi bagi saya cara menghilangkan biasanya mudah aja iaitu gigit saja ekor ikan ini sekuat-kuatnya, hingga bisa beransur susut.”
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kumpau merupakan musuh utama memancing. Tidak kira jenis pancingan apa, ia tidak lepas lari dari bayangan kumpau. Untuk kali ini, kami kupas punca yang boleh menyebabkan kumpau dalam teknik pancingan mengilat atau casting.
Set pancing yang betul
Peralatan pancing yang tepat adalah penting untuk memastikan ikan sasaran lebih mudah dinaikkan. jika mengilat di kawasan yang mempunyai banyak reba, set pancing yang lebih kuat diperlukan.
Jika mengilat ikan yang kurang kuat tetapi cepat culas seperti PB, set pancing yang lebih halus diperlukan untuk memastikan ikan tidak mudah kenal umpan tiruan yang digunakan.
Peralatan sesuai juga bermaksud ia sesuai dengan gewang yang digunakan. Gewang yang lebih berat tidak sesuai dipadankan dengan set yang kecil dan begitu juga sebaliknya.
Ketepatan dan jarak lontaran juga dipengaruhi oleh set mengilat yang digunakan, jadi perlulah menggunakan peralatan yang sesuai.
Kenal pasti lubuk
Spot mengilat juga dikenali sebagai lubuk di satu-satu tempat. Jika di empangan, kawasan anak sungai yang keluar ke arah empangan, teluk-teluk yang mempunyai anak air serta di kawasan bereba adalah lubuk yang perlu diambil perhatian.
Casting tanpa arah tujuan di empangan yang luas, memang agak sukar untuk mendapatkan sambaran dan ia memenatkan. Lubuk perlulah dikenalpasti sebelum mengilat di satu-satu tempat.
Adalah lebih baik menggunakan guide pancing yang berpengalaman dengan tempat tersebut untuk memudahkan lagi pencarian ikan buruan.
Masa yang tepat
Mengilat tidak bermakna anda boleh memancing sepanjang hari. Awal pagi dan lewat petang biasanya adalah waktu sesuai untuk mengilat sebarau dan waktu matahari sudah mula naik pula adalah masa toman menimbul ketika di tasik.
Jika di muara perhatikan juga air pasang surut. Apabila keadaan sungai berarus ikan lebih aktif dan mudah untuk memujuknya berbanding ketika air surut atau tidak bergerak langsung.
Musim hujan atau kemarau juga memberikan keputusan berbeza begantung kepada jenis ikan yang disasarkan. Sebarau lebih mudah didapati ketika musim hujan dan air tasik sedikit keruh, manakala jika mengilat tembaring atau blackbass di delta sungai, musim kemarau pula adalah waktu terbaik.
Cuaca ketika memancing juga perlu diperhatikan. Biasanya ketika hari mahu hujan iaitu tekanan barometer menjadi rendah, ikan kurang aktif dan jarang berkeliaran mencari makanan. Waktu selepas hujan adalah waktu terbaik untuk memancing di kebanyakan tempat.
Pemilihan gewang
Perkara paling utama untuk memikat ikan dengan gewang ialah gewang yang mampu menipu ikan tersebut. Gewang yang mampu meniru aksi atau renangan ikan yang menjadi buruan ikan sasaran adalah paling sesuai digunakan. Ia bergantung juga bergantung kepada warna serta saiz gewang yang paling sepadan.
Untuk memilih gewang yang sesuai, pemancing perlulah mengambil kira jenis ikan yang disasarkan dan juga lokasi pancingan. Gewang yang berbeza kedalaman memainkan peranan ketika mengilat kerana ikan berada di paras yang berbeza mengikut lokasi.
Ikan yang menimbul di tengah tasik lazimnya lebih gemarkan gewang yang mampu menyelam lebih dalam.
Ketepatan balingan
Ketika mengilat, lontaran gewang adalah kunci utama gewang mendapat perhatian ikan. Lontaran perlulah tepat dan sampai ke kawasan serangan ikan.
Lontaran yang tersasar dan tidak sampai akan menyebabkan ikan tidak sempat membuat sambaran ataupun tidak menyedari kehadiran gewang.
Ini lebih penting jika memancing dari tebing yang luas. Ikan ada kalanya duduk jauh sedikit dari tebing dan memaksa pemancing melontar dengan jauh untuk sampai ke kawsan ia bermain.
Banyak ikan sama ada ikan air masin atau air yang belum pernah kita tengok. Apatah lagi ikan yang berstatus hampir pupus sepenuhnya. Malah jika disebut nama ikannya pun ramai yang menganggapnya seperti tidak pernah wujud.
Pari Sungai
Tidak ramai yang tahu pari juga ada mendiami kawasan air tawar iaitu kawasan sungai hingga di bahagian hulu. Ia dikenali sebagai White edge Freshwater Whip Ray atau Himantura Signifer.
Ikan ini hidup di dasar sungai dan memiliki garisan putih pada sekeliling badannya. Mempunyai sonak yang berbisa dan membesar melebihi 60 cm dan berat maksimum sehingga 80 kg.
Ikan Pari Sungai ini dulu banyak terdapat di Sungai Perak dan Pahang tapi kini kian pupus. Di Malaysia @ semenanjung pari sungai bersaiz besar belasan kilogram boleh dianggap telah pupus. Selain di Malaysia, pari sungai juga didapati di Sungai Kapuas, Kalimantan Barat, Sungai Indragiri , Sumatera, Indonesia dan Sungai Chao Phraya, Thailand.
Ringau
Dikenali sebagai Four Banded Tigerfish atau Datnioides Polota. Ikan ini hidup di kawasan air payau di muara sungai, kawasan teluk dan sungai yang mempunyai kesan pasang surut. Membesar melebihi 30 cm dan berat sehingga 2 kg dulu banyak terdapat di sungai-sungai di Perak, Melaka, dan Sarawak tapi kini kian pupus. Ikan ini juga boleh di temui di India, Bangladesh, Thailand dan Indonesia.
Toman Bunga
Ikan ini memiliki banyak nama mengikut lokasi di negara ini. Ada yang menggelarnya sebagai kerandang, jelai, jaloi atau ‘Emperor Snakehead’. Nama saintifik Channa Marulioides.
Ia merupakan ikan pemangsa jenis ikan kepala ular (snakehead). Spesies yang memiliki corak cantik ini mendiami sungai, tasik dan kawasan berpaya berair gambut serta mendiami kawasan-kawasan berpaya yang kandungan Ph airnya rendah, sama seperti saudaranya, haruan palas dan bujuk.
Ia boleh membesar sehingga 68cm dan mencapai berat badan 3.5 kg. Ikan ini dulu banyak terdapat di seluruh Malaysia tapi kini amat berkurangan. Ikan ini juga boleh di dapati di Selatan Thailand, Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.
Yu Gergaji
Juga dikenali sebagai yu beroi, yu parang, pari gergaji seragam, largetooth sawfish atau Pristis Microdon. Ikan ini hidup di kawasan muara sungai dan ada juga yang bergerak ke sungai air tawar.
Membesar melebihi 7 m dan berat sehingga 600 kg. Gergaji digunakan untuk melibas ikan dan untuk mempertahankan diri. Selalu terdapat di kawasan dasar yang berlumpur dan aktif pada waktu malam.
Ikan yu gergaji ini dulu banyak terdapat di Sungai Kedah, Perak, Kelantan ,Terengganu dan Pahang tapi kini pupus. Ikan ini juga boleh didapati di Kawasan Indo-Pasifik Barat.
Ikan Temoleh
Ikan dari keluarga kap juga ini juga dikenali sebagai Temelian, Tamalian atau Probarbus Jullieni. Ia merupakan salah satu ikan air tawar terbesar di Malaysia dan mampu membesar hingga 25 kg bersama ukuran panjangnya hingga 150 cm.
Sekitar tahun 1990-an, temoleh seberat 33 kg pernah dilaporkan di tangkap di Kuala Tahan, Pahang. Mankala temoleh terberat yang pernah direkodkan setakat ini adalah 70 kg di Thailand.
Dahulu, ia banyak terdapat di sungai-sungai di Pahang dan Perak tapi kini kian pupus. Selain Malaysia, temoleh boleh ditemui di Laos, Lembangan Chao Phraya, Thailand dan Mekong, Vietnam.
Ikan Kelisa
Nama saintifiknya Scleropages Formosus atau turut digelar ‘Asian Bonytongue’, merupakan ikan yang paling popular sekali kini di antara ikan akuarium dan disebabkan ini ia kini pupus terutamanya ikan yang asli dari sungai atau tasik.
Mendiami kawasan sungai, tasik dan kawasan berpaya berair gambut. Boleh membesar sehingga 90cm dan berat badan 7 kg. Ikan jantan menyimpan telur dan anak di dalam mulutnya sehingga menetas.
Terdapat beberapa jenis di ikan kelisa di Malaysia iaitu dari jenis kelisa hijau, biru dan emas dan taburannya berbeza mengikut lokasi. Ikan ini dulu banyak terdapat di seluruh Malaysia tapi kini amat berkurangan.
Ikan dari spesies ini juga boleh didapati di Thailand, Kalimantan dan Sumatera, Indonesia, Vietnam, dan Kampuchea.
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Adnan. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di setup tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Adnan untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Adnan bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Adnan mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan Maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan Isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh.
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Adnan yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?”
Pak cik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Adnan hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Adnan hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Nan!” Tetapi tidak diendahkan oleh Adnan sebaliknya Adnan terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Adnan, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Adnan sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...