Pacat dan lintah merupakan dua spesies penghisap darah yang tidak disukai oleh para pemancing jungle trekking dan juga kaki panjat gunung. Jangan batalkan trip korang disebabkan pacat. Guna petua berikut untuk menangani sang pacat.
Guna leech sock
Leech sock atau stokin pacat merupakan aksesori utama bagi kaki gunung. Namun kaki pancing kurang berminat dengan stokin ini harga lebih mahal dari kasut adidas kampung.
Stokin Panjang
Pakai stokin yang tebal jenis cotton atau stokin bola. Pakai seluar panjang dan masukkan bahagian seluar di bawah ke dalam stokin sepenuhnya. Agar pacat tidak dapat hinggap di kulit kita.
Guna tembakau
Rendam stokin ke dalam air tembakau dan jemur hingga kering. Kemudian pakai stokin tersebut waktu trekking ke lubuk. Atau boleh juga sapu tembakau pada kulit dan juga stokin.
Sapu minyak kayu putih
Kalau ada minyak kayu putih, bawa dan sapu pada kaki serta stokin. Minyak kayu putih amat tidak disukai oleh pacat. Elakkan dari sapu terlalu banyak kerana minyak kayu putih bersifat panas.
Spray baygon
Spray kasut dengan Baygon atau lumurkan kaki dengan mosquito repellant atau minyak angin. Pacat dikatakan tidak suka pada bau ini. Jadi kuranglah keinginannya untuk naik ke kaki. Tapi elakkan spray pada kulit kerana boleh terdedah pada alahan.
Lumur sabun
Cari sabun antiseptik dan sapu pada stokin dan juga kasut. Sabun jenama 999 merupakan pilihan ramai kaki trekking dan geng panjat gunung. Mungkin bau sabun ini yang menusuk hidung pacat untuk mendekati kaki kita.
Jalan depan sekali
Berjalan di laluan atau trek yang ada. Elakkan dari memijak bahagian daun atau semak sekiranya boleh dielakkan kerana disitu terdapat banyak pacat . Lagi teruk kalau terpijak sarang pacat. Paling selamat jalan depan sekali… hahaha.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Semua terletak kepada apa yang anda minat. Tapi, ada juga yang merungut, “ Alah, pergi sorang-sorang, siapa nak ambil gambar?”. Ikuti tip kali ni, pasti tiada masalah lagi.
GEAR WAJIB ADA:
1. Tripod
2. Kamera (DSLR atau Auto)
3. Ikan
4. Orang dalam gambar
5. Casing Kalis Air
6. Marker pen merah
7. Rod Pancing, segala yang sewaktu dengannya
LANGKAH 1
Pergi lubuk yang anda biasa pergi, jarang pergi atau tak pernah masuk.
LANGKAH 2
Cari tempat yang sesuai, maksudnya jika di tepi parit, lubuk, pantai, kolam, pacakkan kayu selaras dengan anggaran ketinggian yang bersesuaian. Jika boleh, aras mata (eye-level).
LANGKAH 3
Berlutut dalam posisi anggaran sendiri di hadapan kayu tadi. Jika boleh, sangkut sehelai t-shirt @ tuala, topi sebagai penanda aras jika ikan akan dipegang di kawasan tersebut. Tandakan spot ikan t-shirt tersebut. (Nampak susah, tapi sebenarnya senang).
LANGKAH 4
Set kamera dan tripod. Menggunakan viewfinder, guna t-shirt tadi sebagai anggaran jarak untuk crop gambar nanti. Berhati-hati supaya anggaran jarak tidak terlalu dekat atau terlalu jauh.
NOTE: Jika and tidak menggunakan kamera DSLR, sila langkau Langkah 5.
LANGKAH 5
Set fokus kamera pada t-shirt. Jika guna kamera DSLR , biasanya bila kita set self-timer, ia akan secara autonya akan auto-fokus di bahagian latar belakang.
Kalau ada semak, kamera akan auto-fokus pada semak. Gambar anda bersama hasil habuan jadi blur. Bagi mengelakkannya, bila anda sudah fokus pada t-shirt, terus tukar kepada fungsi manual.
LANGKAH 6
Set masa untuk 10 saat menggunakan self-timer, ambil ikan yang ditangkap tadi, alihkan t-shirt dan terus berdiri di hadapan kayu tadi. Ulang sebanyak tiga kali sehingga anda puas hati, gambar jadi tidak blur. Agak kelakar juga, tapi janji hati puas!
TIPS
Beli remote control yang kalau boleh kalis air, atau yang biasa. Ia lebih memudahkan anda menekan shutter release bila and bersedia. Memang pelik tapi anda akan membiasakannya.
Kalau kaki pancing, kita tahu aktiviti seperti karen ikan, menuba, bom ikan dan beberapa lagi aktiviti yang memberikan kesan buruk kepada sumber perikanan kita. Jadi, apa pandangan anda terhadap mereka yang menjalankan aktiviti tidak beretika seperti ini?
“Orang yang buat ni hanya ambil jalan mudah untuk dapatkan ikan tanpa memandang kesan pada ekosistem hidupan di sungai tu pada masa akan datang”
– Mohd Rohaizal
“Orang ni kita kasi karen dia pulak dah berapa banyak tempat memancing dah habis dikerjakan dia orang!”
– Rosli Mat Salleh
“Rosak benih-benih ikan macam ni. Induk-induk yang terlepas selepas kena karen pakat mandul habis…! Takkkan ada generasi baru lagi mcm ni. Contoh ikan sturgeon kat empangan hidro luar negara… mana ada generasi baru. Semua generasi lama sebab hidup dalam kawasan berelektrik.”
– Awang Spanar
“Biasanya mereka yang buat benda ni bukan dalam kategori angler… mereka ni lebih kepada mencari keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan buruk akibat perbuatan tersebut.”
– Muhaidi Dee
“Orang sepatutnya kena diambil tindakan undang-undang. Kalau jaring or jala kira ok lagi tapi kalau tahap karen or bom ikan itu dah melampau. Kesannya habis anak-anak ikan mati… macam mana tak pupus ikan… macam mana pulak untuk generasi akan datang…”
– Ahmad Yusry
“Karan… ikan yang tak boleh kat depa… yang kecik mati. Yang besar… terencat! Kepala besar badan kecil. Bom… kecik besar semua mati. Lubuk-lubuk baik punya habis. Tuba… sepanjang sungai… ikan habis mati!”
– Rosdi GTPB
“Bagus dapat orang-orang yang buat job ni kita shotkan balik kalau dia shot ikan, kalau dia tuba ikan kita bagi dia minum tuba tu pulak. Kalau kaki bom ikan kita bagi dia kunyah bom ikan tu pulak. Buat susah pada orang yang nak cari rezeki.”
– Nashima Nan
“Pada pandangan saya golongan ini adalah golongan yang sangat tidak bertanggungjawab. Hanya memikirkan jalan mudah tanpa memikirkan apa kesannya pada masa akan datang. Golongan ini juga yang akan menyebabkan anak cucu kita hanya mengenali spesies akuatik yang berharga hanya dalam buku ataupun artikel. Kasihanilah anak cucu kita.”
– Farid Rosman
“Orang yang suka menuba ni biasanya otak letak kat kepala lutut sebab nak senang dapat ikan cepat tapi tak fikir untuk masa depan bila mana ikan di sungai tersebut boleh pupus.”
– Mohd Nor Hasan
“Selfish! Biasa terdiri dari orang yang cetek pengetahuan dan bodoh sombong. Tindakan undang-undang yang lebih ketat perlu dilaksanakan.”
– Mohd Nor Fadzuan
“Isu mengkaren dan bom ikan ni perlu dibincangkn selalu supaya orang yang terlibat / lakukan perkara ni tau betapa kesan negatif pada alam sekitar terutama pada spesies ikan… sekaligus mengundang kepupusan ikan dikawasan itu. Kesimpulannya masih ada tiada kesedaran dan sikap tamak pentingkan diri masih berlaku.”
– Shamsul Adha
“Kerajaan mesti bertindak tegas dengan gejala menuba ikan atau mengaren ikan ini… akibat dengan cara ini tak mustahil anak-anak ikan tempatan akan musnah dan generasi baru tak lagi mengenali ikan-ikan tempatan selepas ini.”
– Harul GMK
“Saya penah ikut kawan karen ikan guna bateri di Batu Kurau dulu… pada pendapat saya karen ikan ni tak la mengancam nyawa ikan sangat berbanding dengan menuba atau meracun ikan sebab karen ikan ni hanya pada jarak renjatan berhampiran dengan ikan berbanding dengan menuba… apa pun saya kurang bersetuju dengan cara karen, menuba atau menjaring ikan.”
– Syamsul KM
“Pandangan bang chik… kelompok yang bersikap penting diri sendiri… tamak bila mana nafsu serakah menguasai diri. Tidak memikirkan apa yang akan terjadi untuk generasi mendatang… natijahnya akan berlakulah hobi memancing menjadi sepi.”
“Percayakah kamu sekiranya saya menyatakan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menaikkan seekor temoleh seberat 40 kg ke dalam sampan kecil berseorangan?”
Dalam fikiran aku, tentu saja sedang kita membongkok cuba menaikkan ikan liar yang terperangkap dalam jala panjang 10 kaki itu ke dalam sampan, sampan akan terumbang-ambing dan terus senget.
“Sudah tentu air akan mencurah-curah masuk. Kamu boleh bayangkan nasib penjala tersebut!” ucap Cek Mat kepadaku ketika aku sedang menghirup kopi pekat di anjung rumah pusaka datuknya. Cek Mat terus menceritakan lagi kisahnya…..
Aku sendiri pun pada mulanya tidak yakin, tapi setelah melihat sendiri Pak Jangit mendayung sampan dengan membawa seekor temoleh besar dalam perut sampannya yang sedang merapat ke tebing memang sungguh mengejutkan.
“Ada orang tolong Pak Jangit tadi ke?” kata aku sambil memerhati sampan Pak Jangit mula merapati tebing.
“Kamukan nampak aku seorang je ni,” ujar Pak Jangit sambil tersenyum.
Aku terdiam. Dalam fikiranku mungkin ada seseorang yang sedang mudik ke hulu bertembung dan membantunya menaikkan ikan tersebut ke dalam sampan. Mana mungkin seseorang menaikkan ikan tersebut bersendirian, fikirku lagi.
Aku segera membantu Pak Jangit memikul ikan temoleh menuju ke rumahnya yang berjarak suku batu. Suasana agak suram bila memasuki lorong kebun getah yang menuju ke rumahnya yang jauh dari rumah jiran-jiran.
Terasa pelik dan kagum apabila melihat Pak Jangit masih gagah memikul tanpa mengeluh ikan tersebut naik ke dapurnya. Pak Jangit mengeluarkan golok dan menyuruh aku memotong mana-mana bahagian yang aku sukai.
Melihat aku masih ragu-ragu, Pak Jangit lantas memotong bahagian kepala dan memasukkan ke dalam buntil tepung dan menyerahkan padaku untuk dibawa pulang.
Esoknya, selepas pulang dari bekerja di Kilang Getah Kati Estate, aku mencapai batang-batang joran lantas mencapai basikal. Hajatku untuk pergi memancing. Di simpang jalan aku singgah di Kedai Runcit Pak Alang Him untuk membeli rokok dan sedikit roti manis buat bekalan.
Bunyi riang-riang rimba yang tingkah meningkah menyambut kedatanganku di pinggir sungai. Dua batang pancing segera kusiapkan dan siap kutambatkan pada anak pokok pinang. Aku pun bersandar pada perdu pokok sambil mengeluarkan bekalan roti yang dibawa.
Tiba-tiba aku teringat pelawaan Pak Jangit mengajak aku menjala ikan bersamanya. Seingat aku Pak Jangit Tamih pernah memberitahu dia berasal dari suku Kerinci dari daerah Jambi, Indonesia. Telah setahun Pak Jangit mengambil upah menoreh getah di kebun ketua kampung. Pak Jangit pernah berkahwin tapi bercerai tanpa meninggalkan zuriat.
Aneh, orangnya. Rela tinggal bersendirian di hujung kampung dan menghuni rumah kecil peninggalan Bidan Mak Limah.
Sekiranya tidak menoreh kerana hujan, dia akan membuat jala. Kadang-kadang ada juga orang kampung turut menempah jala darinya. Cuma dia agak kurang bergaul. Satu-satunya yang menentang keras akan kehadirannya adalah Pak Malim, seorang guru silat di kampung kami.
Pernah tiga bulan yang lalu, Pak Jangit menggemparkan penduduk Kampung Beluru dengan tangkapan ikan temoleh seberat 40kg di Sungai Jawang. Berita kejayaannya telah menjemput kaki-kaki pancing dan pemukat dari kampung-kampung berhampiran.
Namun ramai yang hampa. Cuma Pak Ngah Tago agak bernasib baik dapat menaikkan temoleh 17 kg, itu pun dibantu oleh anak bujangnya yang ikut bersama.
Aku menyalakan sebatang rokok. Nyamuk yang berlegar di sekeliling badanku mulai berkurangan. Ada juga desas-desus menyatakan Pak Jangit mengamalkan ilmu hitam. Ada juga menyatakan Pak Jangit ada pendamping.
Terasa seram menyelubungi diri sewaktu aku berpaling ke kiri. Berderau darahku. Berdiri di bawah pokok salak kelihatan Pak Malim yang sedang melangkah ke arahku. Kami pemuda-pemuda Kampung Beluru dan kampung-kampung sekitarnya sangat menghormatinya kerana ilmu persilatannya yang tinggi.
“Aku mencari kerbau aku yang terlepas!” ujar Pak Malim sewaktu aku bertanya akan kehadirannya. Aku dengar kau nak ikut Pak Jangit menjala? Berhati-hati jangan cepat percaya dengan orang luar.”
Aku mula merasa tidak selesa. Bagaimana Pak Malim boleh tahu rancanganku? bisik hatiku. “Mat, kau ada rasa kelainan tak semasa berada di halaman rumahnya?”. Aku mengangguk perlahan.
Memang aku akui. Ada ketikanya suasana tiba-tiba rasa sejuk yang melampau, bau kemenyan yang nipis menusuk ke hidung sewaktu berada di halaman rumahnya. Lebih-lebih lagi waktu rembang petang.
“Kebaikan kau akan dipergunakannya, berkemungkinan dia akan melepaskan sakanya pada kamu.” Aku merenung jauh memikirkan kata-kata Pak Malim. “Kehebatannya menaikkan ikan-ikan besar seorang diri ke dalam sampan hanyalah dibantu oleh pendampingnya. Tapi ingat itu hanyalah ilmu dunia yang sementara!”
Aku mula merenung muka Pak Malim. Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta api barang melintasi jambatan besi Victoria. Petang yang cerah tiba-tiba bertukar kelam. Langit hitam beserta angin kencang membawa gerimis. Sebaik bunyi guruh berdentum kuat, tiba-tiba kami dikejutkan kelibat Pak Jangit di bawah pokok kabong, sambil merenung tajam ke arah kami.
Daripada pandangan mata wajahnya, perlahan-lahan seakan berubah menjadi harimau. Suaranya kedengaran garau dan bersedia dalam kedudukan untuk menerkam kami.
Pak Malim lantas mengeluarkan kain hitam berjalur merah. Dari mulutnya meluncur ayat-ayat suci. “Mat kamu jangan gentar, teruskan membaca ayat Qursi.” Aku akur sambil cuba melangkah pantas ke belakang Pak Malim.
Belum sempat aku berada di belakang Pak Malim, satu tamparan singgah di dada kiriku. Sepantas kilat Pak Malim merentap daunan dan menepuk sambil mulutnya kumat kamit menghembuskan ke dadaku dan tangan kiriku menekup daunan seperti diarahkan. Aneh!
Dalam beberapa saat dada terasa seperti terbakar mula reda seperti di sirami air dingin. Jelmaan Pak Jangit yang telah bertukar wajah kepada harimau jadian mengaum sekuat tenaganya.
Terkamannya yang agak tersasar memberi peluang Pak Malim melibas muka harimau jadian dengan kain hitam dengan sekuat hati. Lantas ghaib dari pandangan mata kami dan meninggalkan bau kemenyan yang tajam. Perlahan-lahan Pak Malim memapahku pulang….
“Peristiwa ini telah 20 tahun berlalu. Pak Malim pun telah lama meninggal dunia. Pak Jangit telah lama menghilangkan diri tanpa berita. Lihatlah ini bekas cakarannya masih meninggalkan parut di dadaku sebagai kenangan,” Ucap Cek Mat sambil tertawa kecil.
Matanya merenung jauh ke puncak Bukit Karai. Sesekali mataku merenungi bunga-bunga teratai di permukaan kolam yang berada di pinggir rumah pusaka Cek Mat.
“Setiap kejadian ada hikmahnya. Cuma kita harus selalu berwaspada. Ingatlah pada yang Esa!” ucap Cek Mat perlahan kepada ku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...