Berikutan dangau lama sudah usang dan menunggu masa untuk rebah ke bumi. Ia tidak boleh dijadikan tempat berteduh lagi, maka dangau terapung milik penduduk setempat
yang kami panggil Abang Atan menjadi kediaman kami dalam trip percutian sambil memancing selama tiga hari dua malam kali ini.
Dangau Abang Atan sebenarnya adalah pondok kecil di sangkar ikan atau lebih tepat lagi rumah rakit yang baru dibina oleh Abang Atan.
Kunjungan saya dahulu dangau itu masih lagi dalam proses pembinaan. Sementera pulau (tanah tinggi yang tidak ditenggelami air tasik) yang dihubungkan ke dangau dengan
batang balak merupakan kebun getah dan buah-buahan yang diusahakan oleh Abang Atan sendiri.
Oleh kerana kami sampai ke dangau itu sudah lewat petang, maka kami keluar mengilat di kawasan tasik empangan terbuka berdekatan dengan dangau.
Keesokan hari barulah kami akan masuk ke suak simpanan yang sudah setahun lebih tidak diusik. Mengilat toman di kawasan tasik empangan terbuka itu sahaja sudah menyeronokkan.
Ads
Kehadiran ikan seluang yang agak banyak memudahkan kami untuk mengesan toman. Hanya kehadiran ikan loma yang timbul bermain air sedikit sebanyak mengganggu tumpuan untuk mengesan toman timbul meneguk udara.
Keesokan petang harinya barulah kami memasuki suak yang sekian lama tidak terusik itu. Kami masuk dengan menggunakan dua buah sampan sahaja.
Enjin-enjin sampan disimpan di dangau usang di muka pintu suak yang sudah hampir roboh sepenuhnya.
Sementara keadaan di dalam suak semakin berselirat dengan pokok-pokok tumbang menyulitkan sampan untuk bergerak walaupun tanpa menggunakan enjin.
Ads
Sementara aktiviti yang diperlihatkan oleh penghuni-penghuni suak ternyata meningkatkan adrenalin kami. Tanpa perlu berdayung lebih jauh ke dalam suak, sekadar membaling gewang ke reba-reba berdekatan sudah pun menerima sambaran dari toman.
Sama ada gewang permukaan, katak tiruan, atau umpan tiruan plastik, semuanya menerima sambaran dari pemangsa yang majoritinya adalah toman.
Disebabkan banyak pokok tumbang di dalam air, maka banyak jugalah toman-toman bujang menyambar gewang berjaya meloloskan diri dan meninggalkan gewang kami melekat pada reba di dalam air.
Ads
Boleh dikatakan sesiapa yang saja masuk dan memancing di dalam suak itu walaupun pertama kali belajar mengilat akan memperoleh banyak strike.
Sepetang di suak itu sahaja kami memperoleh sekurang-kurangnya 50 strike namun hanya beberapa belas ekor toman bujang sahaja yang berjaya didaratkan dan dilepaskan kembali ke habitat asalnya.
Keesokan paginya sebelum bergerak keluar dari tasik empangan itu kami kembali lagi ke suak tersebut.
Biarpun keputusan pagi itu tidak serancak hari sebelumnya, namun kami berjaya juga mendaratkan mama toman yang agak culas untuk membaham gewang.
Malah kami turut berjaya memujuk beberapa ekor sebarau remaja. Yang pasti suak persendirian itu masih lagi dihuni oleh banyak pemangsa dan sedang membesar dengan semulajadi.
Dan pasti juga kami akan kembali lagi ke suak ini untuk berpesta dengan toman-toman yang setahun dari sekarang akan bertambah saiznya dan lebih ganas menyerang gewang-gewang yang kami gunakan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Petikan video dan gambar ditunjukkan teman seperjuangan yang pernah ke sana mempengaruhi minat saya namun hanya tinggal hasrat sahaja kerana perancangan ke lokasi ini paling tidak mengambil masa 6 bulan.
Memandangkan ia memerlukan belanja yang tinggi untuk seorang pemancing, maka teman saya dari awal-awal lagi merancang tabung agar tidak begitu terasa bebanan kos pada saat akhir. Malah anggota ekspedisi sudah mencukupi ketika tempahan bot dilakukan sudah mula mengatur persiapan secukupnya kerana trip begini tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
Dari semasa ke semasa saya hanya mengikuti perancangan mereka dari kejauhan. Sehari sebelum trip bermula saya menerima mesej `esok malam jom ke Sungai Sepia’. Biar betul notis hanya 24 jam untuk membuat persiapan. Ajakan diterima berikutan seorang dari anggota asal tidak dapat sertai kerana masalah keluarga yang perlu diselesaikan segera.
Untuk menggenapkan 3 orang pemancing bagi setiap bot, pemancing gantian diperlukan bagi mengurangkan sedikit bebanan kos. Maknanya esok banyak benda yang harus diselesaikan pada sebelah siang sebelum malam berangkat ke Kuala Tahan.
TEROKAI PERJALANAN JERAM
Awal pagi ekspedisi ke Sungai Sepia yang diketuai oleh Yusri Boatman memberi sedikit penerangan ringkas mengenai program memancing kelah selama 3 malam tersebut. Setelah urusan permit dan mendapat pelepasan daripada renjer bertugas seramai 9 orang pemancing bersama 3 orang jurumudi dan 3 pemandu bot meninggalkan jeti Kuala Tahan menuju ke Kampung Bantal.
Kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk tiba di Kampung Bantal pada tengah hari walaupun dalam keadaan air semakin surut. Penat dan kepanasan di sepanjang jalan mengharungi laluan sungai hilang sebaik sahaja kami berhenti menikmati makan tengah hari di tengah beting pasir di kuala pintu masuk Sungai Sepia.
Sementara itu kipas bot ditukar sesuai untuk kegunaan kawasan cetek dan berbatu di dasar. Di sinilah baru bermula perjalanan sebenar mengharungi cabaran untuk ke hulu sungai. Antara cabaran yang paling membebankan ialah Jeram Perahu dan Jeram Ular. Banyak masa dihabiskan untuk mengangkat 3 buah perahu merentasi jeram.
Pengalaman dan kudrat yang dimiliki jurupandu dan jurumudi bot boleh dipuji. Kerja berpasukan begitu utuh di kalangan mereka. Selepas dua jeram ini kami lebih banyak menghabiskan masa menolak perahu jalur di kawasan jeram cetek. Air gunung semakin terasa sejuk menjelang petang.
Setelah berbincang dengan jurumudi dan jurupandu, kami bersetuju dengan saranan untuk terus bergerak sehingga ke kem utama untuk bermalam tanpa mengira jam berapa akan sampai. Hampir 10 jam mengharungi perjalanan perahu masih lagi belum tiba ke destinasi.
Badan semakin menggigil, bukan kerana tak sabar untuk memancing kelah tapi menggigil kesejukan disamar malam. Akhirnya kami tiba di kem utama selepas jam 8.30 malam iaitu kira-kira 11 jam lebih perjalanan sungai berbatu diharungi. Tiada aktiviti memancing pada malam tersebut kerana masing-masing sudah berdengkur di lantai berpasir dalam keletihan.
CELIK MATA PANDANG LUBUK
Seawal pagi tekong aka jurumudi menyediakan sarapan berat kerana masing-masing akan memilih lubuk tersendiri seharian nanti. Ada juga yang memilih untuk memancing berhampiran kawasan kem sahaja. Dekat dengan tapak khemah dan mudah untuk melakukan pengawasan.
Banyak lubuk cantik di hilir dan hulu tapak khemah yang kami dirikan. Masing-masing mula berpecah untuk menduga nasib bagi memperbaharui lesen untuk sang raja sungai ini. Kawasan dan lubuk yang banyak pun susah hendak diputuskan mana satu yang hendak dituju.
Lubuk banyak, pilih je mana yang berkenan sebab waktu itu hanya grup kami sahaja yang berada di situ. Tempat tidak perlu berebut. Boatman yang dipilih kali ini adalah di antara yang terbaik dan tersohor di kalangan peminat kelah di Kuala Tahan. Yusri, Ajak dan Jefry bukan nama asing lagi bagi kaki pancing yang sering ke Keniam.
Mereka menjadi pilihan kerana pengetahuan dan kebolehan dalam aspek pemburuan kelah. Rajin dan peramah menjadi satu lagi faktor yang disukai pemancing. Awal pagi masing-masing sibuk memilih boatman untuk bergerak ke hulu sungai.
Perancangan kami memancing di bahagian hulu terlebih dahulu sebelum turun ke bawah pada hari berikutnya. Dengan persiapan yang secukupnya masing-masing bergerak ke hulu dengan bot untuk satu tujuan, lesen kelah terlebih dahulu.
POTONG TRIP
Walaupun perancangan asal mengikut tarikh yang diputuskan, kumpulan kami sepatutnya adalah yang paling awal masuk ke sini sebaik bermulanya musim memancing. Namun tahun ini awan membawa hujan berhenti lebih awal daripada jangkaan.
Cuaca kering bermula sebaik sahaja habis angin dingin yang melanda negara tempo hari. Bila cuaca kering maka sungai dan lubuk cepat surut, kaki pancing yang arif mengenai kelah pasti membuat perancangan jangka pendek. Trip mengejut. Sebab itu seminggu sebelum kami bertandang sudah ada satu lagi grup memotong tarikh seminggu lebih awal daripada kami.
Malah terdapat juga kesan-kesan orang kampung turut menjejaki kawasan ini sebelum berpusu-pusu kaki pancing bertandang. Kelah-kelah yang kami nampak sepanjang perjalanan di lubuk-lubuk popular menjadi takut, hanya kelibat beberapa detik ditunjukkan sebelum lesap berenang dalam kejernihan air gunung.
Bila ditanya pada boatman yang membawa kumpulan tersebut berapa banyak kelah mereka tawan?. Jawapannya pasti tidak mengejutkan kerana kumpulan ini kena pada waktu air sedikit keruh dan membuka selera kelah dengan sawit peram. Sungai ini tidak menjanjikan kelah yang besar dan gadang sebagaimana Sungai Keniam tetapi ia memiliki jumlah dan lubuk yang lebih dari Keniam.
Peluang memperolehi kelah di sini adalah lebih tinggi dan jumlah kaki pancing yang sanggup bertandang ke mari adalah sedikit kerana kos 3 kali lebih daripada kos memancing kelah di Sungai Keniam.
APA LAGI
Sekiranya anda seorang kaki pancing yang tidak begitu pentingkan saiz dan hasil, Sungai Sepia mampu menyediakan satu pengalaman seumur hidup menjejaki kelah dengan kudrat dan semangat tinggi menggunung. Ia turut menawarkan panorama, suasana nyaman, udara bebas dari pencemaran, tiada gangguan deringan telefon bimbit, bunyi ekzos kenderaan mahupun rempitan motor kapcai dan paling utama ketenangan ketika memancing.
Tidur bertilamkan jutaan pepasir sungai, beratapkan ribuan bintang di langit sambil diulit unggas dan desiran air nyaman sepanjang waktu. Malah penulis turut terkejut apabila disapa teman “nyenyaknya tidur sambil memancing sampai ular yang melintas di hadapan pun tidak perasan”.
Kalau perasan tentu penulis terlebih dahulu terjun sungai dari sang ular tersebut. Di sini kami bebas memilih untuk memancing di mana sahaja lubuk cetek mahu pun dalam. Petang bila masing-masing balik ke khemah sesi bergambar dengan hasil tangkapan seharian. Malam menikmati lauk kelah masak tempoyak dengan sepuasnya.
Penulis tak perlu huraikan secara menyeluruh aktiviti memancing di sini kerana gambar yang dipaparkan telah menceritakan segalanya.
Umpan tidak perlu dirisaukan kerana satu guni setiap bot disediakan untuk pemancing. Sediakan keperluan peribadi, bekalan ubat sekiranya perlu, dan peralatan memancing kelah dengan secukupnya.
Joran dengan kekuatan 8-17lb, tali tangsi maksima 20lb, ladung saiz 5 dan 6 serta mata kail tajam serta tidak terkangkang apabila disentap kelah. Raja sungai ikan sembat umpan tanpa ada signal.
Makan dan tempat tidur diuruskan oleh boatman dan jurupandu, anda hanya perlu memancing dan nikmati keindahan alam suasana sekeliling yang nyaman.
Teknik memancing, lubuk terbaik dan pemasangan umpan boleh dirujuk kepada boatman mahupun jurumudi kerana mereka ini adalah segelintir kelompok manusia yang sentiasa bergelumang dengan ikan pergunungan.
Banyak pengalaman yang mereka boleh kongsi dengan pemancing yang menggunakan khidmat mereka ini. Nikmati sepenuhnya pengembaraan selama 3 malam kerana selepas keluar dari hutan Taman Negara ini, masing-masing pasti sibuk melayan mesej, Facebook ataupun e-mel daripada majikan apabila keluar ke peradaban moden.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan terutamanya mabuk laut pada tahun sebelumnya, Kelab Pemancing Wanita Malaysia atau Women Anglers Club (WAC) ternyata tidak serik untuk menjayakan trip mencandat sotong di perairan Terengganu.
Kali ini, sekitar bulan Mei lalu WAC yang diterajui oleh Normala Abd Rahman selaku presiden kelab telah merancang dan menjayakan trip candat sotong 2018 dengan jumlah ahli penyertaan yang lebih ramai.
Perancangan untuk membawa 40 orang ahli dari Lembah Kelang dengan menyewa sebuah bas persiaran menepati sasaran apabila hanya seorang ahli terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir.
Sebelum turun mencandat sotong yang pada asalnya di jeti Pelabuhan Chendering, mereka (ahli-ahli WAC) berehat dan menjadikan chalet di Noor Arfa Craft Complex yang juga terletak di Kuala Terengganu sebagai lokasi kediaman.
Keghairahan 39 ahli WAC untuk turun mencandat jelas terpancar sejurus turun dari bas menuju ke bot masing-masing. Bagi trip ini mereka menyewa 3 buat bot nelayan kelas C. Dengan jumlah pemancing seramai 13 orang bagi bot kelas C ternyata begitu selesa.
Namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, salah sebuah bot kelas C telah menarik diri dan diganti dengan bot kelas B. Namun ia sama sekali tidak menimbulkan sebarang masalah kepada mereka malah keghairahan untuk menyandat sotong tetap meluap-luap.
Sekitar jam 6 petang barulah tiga buah bot membawa 39 pemancing wanita ini keluar dari kuala Sungai Terengganu menuju ke destinasi candat masing-masing. Namun cuaca pada petang itu agak kurang memberangsangkan.
Kaki langit berwarna merah gelap dan tiupan angin yang menderu sedikit sebanyak merencatkan keghairahan mereka. Malah dalam perjalanan bot ke lubuk lebih dari satu jam itu sudah ada ahli yang tidak mampu menahan alunan ombak yang tiada hentinya.
Sekitar jam 8 malam barulah sesi menyandat sotong dapat dimulakan. Itu pun di kebanyakan bot tidak semua ahli yang berjaya memulakannya. Ditambah dengan hasil candat yang begitu perlahan, seorang demi seorang ahli terpaksa mengakui kekuatan kuasa alam.
Ribut dan hujan lebat yang turun sekitar jam 12 malam hampir menjadi penutup trip candat. Malah diberitakan ada ahli di salah sebuah bot yang menangis ketakutan dan merengek untuk pulang ke darat.
Setelah ribut dan hujan teduh hampir jam 2 pagi, suasana di laut ternyata berbeza. Laut kembali menjadi damai dan mesra. Dan keghairahan mereka untuk mencandat kembali meluap-luap apabila ribuan sotong cumit timbul di permukaan air.
Walaupun kehadiran sotong-sotong itu tidak lama, sekejap muncul sekejap hilang namun ia sudah cukup menggembirakan mereka. Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dengan mencandat dan juga menyauk.
Kalau sekali sauk boleh dapat tiga hingga lima ekor sotong sudah tentu sesiapa saja akan berbuat demikian berbanding menyandatnya.
Tepat jam 7 pagi, ketiga-tiga bot yang membawa ahli WAC ini kembali ke jeti di Pelabuhan Chendering. Keceriaan jelas terpancar di wajah masing-masing kecuali salah sebuah bot yang ternyata hasil kurang memberangsangkan.
Bak kata orang kalau dah gila memancing, jauh mana sekalipun tetap nak pergi! Itulah permulaan kepada trip menjejak sang sebarau monster atau badong bagi misi kali ini.
Awal-awal lagi perbincangan rapi telah terutama pemilihan gewang dan sesudu sebelum menjejaki ke lubuk ini.
Bukan itu sahaja, tali utama dan leader juga ditukar bagi menghilangkan kegusaran putus ketika bertarung dengan spesies yang belum dapat dijangka saiznya.
Seawal jam 4 pagi dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, kami bergerak dari Klang melalui Lebuh raya Karak dan terus ke lokasi.
Setibanya ke lokasi yang dituju, kelihatan air berwarna seperti air tebu yang sangat sesuai untuk trip kali ini.
Pada awal pagi, langsung tiada yang sudi menjamah sesudu yang kami lontarkan. Hanya beberapa kali kes rabut berlaku di sebelah atas menuju hulu sungai.
Mungkin sebarau saiz kecil yang terpikat dengan sesudu berwarna krom, merah dan emas yang digunakan.
LUBUK PERTAMA
Ketika tiba di sebuah lubuk yang mempunyai jeram, kami terlihat anak-anak ikan melompat di permukaan air serta bertempiaran lari seolah-olah dikejar sesuatu.
Masing-masing mendiamkan diri sambil segera memperkemaskan gewang untuk di lontar ke kawasan anak ikan tadi.
Apabila gewang sesudu Altima 10 gram yang digunakan Ayoi jatuh melayang hampir ke dasar, tali utamanya terus tegang dan joran melentur disentak penghuni.
Belum pun sempat Ayoi mengetatkan lagi sistem regangan Shimano Calcutta Conquest nya, spesies yang tidak diketahui itu telah membawa talinya terus ke sudut lubuk yang mempunyai reba akar pokok.
Akhirnya, dia berputih mata kerana sesudu yang dianggap ‘killer’ pada spesies sebarau ini menjadi tukun buat selama-lamanya di dasar sungai berkenaan.
Selepas itu kami berpecah kepada dua kumpulan. Ayoi dan Azrul terus menuju ke hulu manakala saya dan Amin masih setia di kawasan lubuk pertama yang menjadi tempat kejadian rabut di dalam reba-reba kayu.
Amin menghantar Siam Spoon ke arah tebing seberang sungai berkali-kali namun tiada spesies yang sudi menjamah gewangnya.
Sambil berbual, Amin sempat berseloroh agaknya ikan-ikan di sini ‘lambat bangun pagi’.
AIR BERUBAH WARNA
Saya dan Amin turun ke hilir secara beransur-ansur sambil membuat balingan ke celahan reba yang diyakini boleh mencetuskan satu sambaran.
Di satu kawasan cetek, saya membuat balingan di permukaan air tanpa membiarkan ia jatuh ke dasar dan terus mengarau.
Tiga kali sambaran dari sang sebarau bersaiz 3 jari jelas kelihatan cuba menghentam gewang Bakau berwarna kuning, tetapi miss call.Balingan kedua ke lokasi sama tidak lagi bersambut.
Dengan semua yang masih belum menyentuh ikan sejak pagi kami meneruskan aktiviti mengilat di kawasan pulau yang terbentuk di tengah sungai.
Amin mencuba beberapa kali melontarkan sesudu ke arah rumput di tepian pulau di tengah sungai, tiba-tiba mendapat satu sambaran padu.
Joran Ganko specialized custom berkekuatan 10 lb diasak kuat ke bawah. Dengan tali 14 lb dan sambungan perambut kejutan 30 lb membuatkan Amin sedikit risau dengan tentangan hebat ikan.
Dalam beberapa saat, spesies yang belum kelihatan menukar haluan menentang arus dan cuba mudik ke hulu dengan pantas.
Melihatkan tebing yang agak tinggi dalam 7 kaki adalah agak mustahil untuk mendaratkan ke atas.
Amin terus turun kesatu bahagian tebing yang boleh di jadikan tangga untuk turun lebih dekat dengan gigi air.
Tanpa lip grip dan tangguk, saya terus turun ke air membantu mendaratkan ikan ke tebing.
Hasilnya boleh dikatakan badong seberat 3.3 kg menjadi lesen kepada joran yang pertama kali.
MISS CALL
Pada sebelah petang kami mencuba nasib di sebelah bawah sungai. Ayoi yang beberapa kali rabut berasa amat kecewa walaupun berbagai sesudu ditukar setiap 10 kali balingan.
Saya yang menggunakan gewang Surecatch mendapat sambaran di masa tali dalam gelendong kusut.
Tanpa menghiraukan kekusutan yang berlaku saya mengarau terus tanpa memberi peluang kepada ikan untuk melarikan gewang ke dalam reba pokok tumbang yang berselirat.
Seekor baung bersaiz sederhana berjaya didaratkan dan ia juga merupakan lesen pertama saya menewaskan spesies ini menggunakan gewang.
Azrul juga dalam diam telah berjaya mendarat beberapa ekor sebarau yang boleh di kategorikan sebagai curut dan di lepaskan semula ke habitat asal.
Meskipun hanya seekor sebarau yang berjaya dinaikkan, ia tetap memberikan kepuasan kerana sebarau yang berjaya ditewaskan adalah bertaraf badong.
Kami juga pasti akan kembali lagi ke sini dalam masa terdekat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...