Memancing dan kebersihan, isu lapuk yang sudah banyak kali dibangkitkan, banyak kali dititikberatkan dan banyak kali juga diingatkan kepada semua kaki pancing. Namun, ia seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan buat sesetengah daripada kita.  Apa tidaknya, biarpun sudah berbuih mulut memberi peringatan tetapi masih ramai lagi yang memandang enteng isu kebersihan ketika memancing ini.

 

Buang sampah di sungai dan laut, merosakkan tumbuh-tumbuhan, dan vandalisme di kawasan memancing adalah antara isu yang semakin hangat diperkatakan baik di media cetak mahupun media sosial.

 

Pelik juga, tidak timbulkah sedikit kesedaran untuk kita bersama menjaga kelestarian alam ini? Tidak risaukah kita jika kita menjadi antara penyebab kepada ketidakstabilan ekosistem yang membawa kepada kepupusan ikan? Sanggupkah kita membayangkan apa yang sahaja yang akan tinggal pada masa hadapan untuk cucu cicit kita? Renung-renungkanlah.

 

Pertalian Pemancing & Kebersihan

 

Jauh di sudut hati penulis bukanlah hendak menuding jari kepada pemancing sahaja berkaitan isu kebersihan ini. Tapi sedikit sebanyak perkara ini memang ada sangkut-pautnya dengan komuniti memancing kerana kita antara yang paling banyak berhubungan dengan alam sekitar sewaktu memancing. Walau bagaimanapun, setiap perubahan mestilah bermula daripada diri kita sendiri.

 

Penulis menggesa mulai saat dan ketika ini agar lebih ramai pemancing mengamalkan sikap “eco-friendly” dan mula menerapkan kebersihan sebagai salah satu cara hidup ketika memancing. Semoga dengan cara ini, ia dapat dijadikan contoh kepada generasi muda sekarang untuk terus menghargai alam ciptaan tuhan ini.

 

Pertalian Pemancing & Kebersihan

 

Ads

Diharap sekurang-kurangnya, dengan sedikit usaha yang cuba kita lakukan sekarang maka ianya dapatlah juga membantu di dalam proses menyeimbangkan kembali ekosistem yang semakin terjejas ini.

 

Itu sedikit sebanyak luahan dan keluhan yang dapat penulis kongsikan. Bagaimana pula dengan kaki pancing lain? Mari kita dapatkan keluhan, pandangan dan cadangan daripada kaki pancing mengenai isu memancing dan kebersihan ini.

 

RADZI HAMID (KLUANG, JOHOR)

Bab kebersihan ni susah juga nak komen. Sebab, bukan semua perkara yang membabitkan pencemaran ni datangnya dari kaki pancing. ada banyak lagi faktor lain yang menyebabkan pencemaran sungai dan laut ni. Tapi, saya setuju jika mulai sekarang komuniti kaki pancing mula terapkan nilai kebersihan di tempat memancing. Jadi, lepas ni takdelah orang nak tuding jari kat kita je.

 

Pertalian Pemancing & Kebersihan

 

Ads

BASIL SAFWAN (BATU GAJAH, PERAK)

Ya, kita sebagai kaki pancing harus menjadi contoh kepada semua tentang kesedaran di dalam aspek kebersihan ni. Bukannya apa, sekurang-kurangnya dengan nilai yang kita pamerkan ni dapatlah dijadikan ikutan buat yang lain pada masa hadapan. Diharapkan dengan usaha yang kita lakukan ini dapatlah membaik pulih keadaan sungai dan laut kita.

 

MUHAMMAD FAIZ (SG. BULOH, SELANGOR)

Nak kata sebab kebersihan ni ikan kurang, mungkin ye, mungkin juga tidak. Yelah, kalau kawasan memancing kita kotor kaw-kaw punya manalah ikan nak membiak? Yang banyak nanti mungkin biawak je. Takkan lepas ni kita nak pancing biawak pulak?

 

Pertalian Pemancing & Kebersihan

 

HAFIZ KHALID (MELAKA)

Ads

Ya, aspek kebersihan memang harus dititikberatkan oleh semua pemancing. Apa salahnya setiap kali memancing kita bawa sekali plastik sampah untuk semua sampah yang ditinggalkan di kawasan memancing biarpun tu bukan sampah kita. Sekurang-kurangnya dapat juga kita pahala. Jadi, ada baiknya kita sebagai pemancing tak berkira sangat perihal kebersihan ni.

 

SANI MOHD (JOHOR)

Tak patut juga kalau nak salah kan pemancing dalam bab pencemaran ni. Ye, mungkin ada segelintir yang jenis degil dan suka buang sampah sesuka hati. Tapi bukan semua macam tu. Lagipun apalah sangat sebab sampah ni dengan pencemaran jika nak dibandingkan dengan pencemaran sisa toksik dari kilang-kilang yang ada kat negara kita. Pencemaran sisa toksik tu lah yang lebih jadi punca kepada kepupusan hidupan akuatik.

 

ANBU ASHURUN (S.ALAM, SELANGOR)

Saya menyokong penuh usaha untuk menjaga kebersihan kawasan memancing ini. Dan saya juga berharap lebih ramai kaki pancing mula tanamkan kesedaran agar kita dapat bersama-sama membantu di dalam proses baik pulih ekosistem kita yang semakin tercemar ini. Contoh paling mudah, sampah plastik makanan yang dibawa ke laut, perlu dibawa balik ke darat, jangan sesekali di buang ke laut.

 

Pertalian Pemancing & Kebersihan

 

JADILAH PEMANCING BERETIKA:

 

Tidak membuang sampah merata-rata terutama ke kawasan sumber air (sungai, tasik, kolam, laut) seperti plastik air, botol minuman, bekas polisterine, puntung & kotak rokok. Langkah terbaik, bawa pulang sampah (jika berada jauh dari lokasi tong sampah) dan buang ke tempat yang sepatutnya. Membakar dan tanam, adalah langkah seterusnya jika berada jauh dari tong sampah. Tidak menebang pokok sesuka hati ketika berkhemah.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI