Alatan pancing

Lakukanlah persiapan sebaik mungkin. Jika perlu membeli sebarang peralatan baru, lakukanlah lebih awal. Buat tabungan untuk perbelanjaan anda setiap bulan.

Sebelum turun memancing periksa set peralatan telah siap. Ingat jangan sesekali mengharapkan kawan anda ada menyediakan perambut, mata kail untuk anda melainkan

rakan anda menawarkan barangan mereka sekiranya anda betul-betul tiada atau tertinggal.

 

Bekalan makanan dan minuman

Perut tidak berisi ibarat mesin yang tidak bermaya. Sebelum turun memancing, senaraikan keperluan makanan dan minuman, dapur, bekas memasak untuk tempoh berapa lama anda turun memancing.

Jika berkumpulan, muafakatlah apa yang masing-masing perlu dibawa. Bawalah sedikit makanan di dalam tin seperti sardin sebagai insurans jika tidak berhasil mendapat tangkapan.

 

Jaket keselamatan

Jika menyewa bot, pastikan bot yang anda bayar itu ada memiliki jaket keselamatan. Jika tidak membebankan dan ingin lebih selesa, boleh bawa jaket keselamatan sendiri. Malang tidak berbau, mana tahu jaket keselamatan yang disediakan sudah uzur atau tidak cukup.

 

Pakaian, khemah

Jika berhasrat memancing lebih 3H 2M, rancanglah bawa pakaian yang sesuai. Bawa pakaian yang ringan, mudah kering dan tidak membebankan beg anda.

Bawalah baju lengan panjang, stokin untuk melindungi dari panas, sejuk di waktu malam dan mengelakkan dari gigitan nyamuk dan agas.

 

Kasut, selipar jepun

Jika memancing di sungai, gunalah kasut yang sesuai, selesa, selamat dan tidak berat. Jangan lupa selitlah juga selipar jepun di dalam beg.

IKLAN

 

Topi

Item wajib yang perlu ada. Bukan sahaja melindungi kepala dari panas terik matahari. Jika memancing pada musim panas, anda perlulah kerap minum banyak air.

 

Ubat-ubatan

Jangan sesekali mengabaikan ia. Setidak-tidaknya bawalah kit kecemasan mini ketika memancing. Periksa dulu kit kecemasan sebelum turun.

Lengkap atau tidak ‘isinya’ seperti plaster luka, paracetamol, minyak angin, minyak gamat, kapas luka dan sebagainya. Jika berlaku kecemasan, sakit di dalam hutan atau di tengah laut mana nak cari klinik?

 

Baju hujan

Cuaca sukar diramal, kecuali musim panas terik. Bawalah set baju hujan ketika memancing.

Ada yang mengatakan leceh, tetapi ketika memancing hujan turun lebat, basah kuyup dan angin pula bertiup jangan pula timbul perkataan ‘kenapalah aku tak bawa tadi’.

 

IKLAN

Tali

Tali sekurang-kurangnya 10 meter wajib dibawa. Ia mampu memberi kemudahan yang tidak dijangka, sama ada kegunaan berkhemah atau kecemasan.

 

Wisel

Walaupun kecil dan boleh dianggap tidak perlu, ia patut ada dalam trip memancing anda. Masa bila ia berguna? Sekiranya bot anda rosak, tersesat, tiuplah ia untuk menarik perhatian orang lain.

 

Plastik sampah besar

Selain berhasrat membawa pulang sampah ke luar selepas memancing di dalam hutan, ia berfungsi menyimpan pakaian, beg dan peralatan penting sekiranya hujan turun lebat dengan tiba-tiba.

 

Parang

Ia wajib tersisip di pinggang, terutama kepada mereka yang gemar memancing di sungai di dalam hutan. 1001 kegunaan ada padanya. Setidak-tidaknya seorang ahli grup wajib membawanya.

IKLAN

 

Lampu

Waktu malam, ia memang berguna. Bawalah apa yang anda rasakan sesuai untuk menerangi kegelapan, sama ada lampu suluh, headlamp, lampu ayam, lampu karbaid.

 

Bekas ikan/Ais batu

Jika memancing di laut kedua-duanya item yang diperlukan. Manakala jika memancing di sungai pergunungan, jika berhasrat membawa pulang ikan, bolehlah fikirkan bekas yang sesuai untuk membawa pulang ikan yang disalai atau yang telah digaramkan.

 

Rokok, pemetik api

Benda yang memudaratkan, tetapi ia dianggap wajib oleh sebilangan besar kaki pancing. Biarpun ia menjadi teman setia sementara menanti umpan diragut ikan, ingat berpada-padalah dengannya.

Lagipun harganya sendiri mahu ingat. Jangan asyik bersambung berasap sehingga terpaksa ‘pau’ member sebelah.

Pemetik api, biarlah bawa lebih. Sebabnya pemetik api asyik kena pinjam dengan member, basah, ‘hilang’ perkara biasa ketika memancing.

 

Kenderaan dalam keadaan tiptop

Jika berkereta, sila pastikan kereta dalam keadaan sentiasa sudah di servis, pastikan lain-lain perkara seperti cukup perkakasan spanar, tayar simpanan, tayar simpanan ada angin.

Jika menaiki motor meredah ke kawasan sungai dan hutan, pastikan bawa tiub, spanar, plug dan minyak petrol tambahan.

 

Pakaian beribadah

Solat tiang agama. Bawalah pakaian bersih dan kelengkapan untuk bersolat dan jangan lupa berdoa untuk keselamatan dan dikurniakan rezeki yang baik untuk diri dan keluarga.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI