Tepat sebagaimana yang diucapkan oleh Guvnor atau Tengku Izzudin selaku presiden Malaysian Coarse Fishing Association (MCFA), setiap kali beliau mengadakan kelas coarse fishing, walaupun ia dijalankan secara percuma, sambutan yang diterima tidak pernah mencapai 50 orang peserta.
Malah, ketika kelas pengenalan feeder fishing iaitu salah satu teknik dalam terma coarse fishing yang beliau langsungkan di Fish Valley, Semenyih hanya dihadiri kurang dari 10 peserta.
Walau bagaimana pun ia sama sekali tidak mematahkan semangat beliau untuk terus memperkenalkan terma memancing pancingan air tawar yang cukup gah dan mahsyur di Eropah itu.
Sebagai tanda sokongan, saya turut hadir dalam sesi ini. Bahkan saya turut membawa seorang rakan yang cukup sinonim dengan pancingan kolam komersial air tawar.
Ads
Sebagaimana yang telah saya duga, soal kos peralatan dan kesukaran untuk mendapatkan kelengkapan coarse fishing akan menjadi tembok penghalang kepada sesiapa saja pemancing yang ingin berjinak-jinak dengan gaya pancingan orang Eropah ini.
Namun saya tekankan pada rakan saya (kepada pemancing lain yang ingin mencuba terma coarse fishing), jangan ditengok pada peralatan terutamanya aksesori yang digunakan.
Sebaliknya tumpu pada teknik dan ilmu yang ada dalam coarse fishing. Sekiranya tidak berminat untuk terlibat secara langsung dengan coarse fishing tetapi teknik dan ilmu yang diperolehi itu boleh diterapkan dalam teknik pancingan kolam air tawar.
Ads
Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya teknik pancingan air tawar adalah adaptasi dari coarse fishing juga.
Pada pendapat saya, soal kos atau perbelanjaan yang perlu dilabur oleh bakal pemancing coarse fishing ini bukanlah penghalang utama.
Semua pemancing sedar hobi memancing itu sendiri adalah hobi yang mahal namun bukan kecil jumlah pemancing di negara kita.
Begitu juga dengan istilah-istilah Inggeris yang sedikit mengelirukan dalam dunia coarse fishing. Ia bukan tembok penghalang yang besar kerana pemancing-pemancing kita adalah pemancing moden yang berpendidikan.
Pada pendapat saya saya, untuk menarik minat lebih ramai pemancing berkecimpung dalam arena coarse fishing ini, ia memerlukan satu pendekatan yang lebih agresif dan trending.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sedili Besar terletak kira-kira 400 kilometer dari Shah Alam, dan memakan masa perjalanan sekitar 5 jam. Perkampungan nelayan yang terletak dalam daerah Kota Tinggi, Johor ini sememangnya tercatat dalam kalendar sebagai port popular sukan pemancing.
Gugusan karang perairan Sedili seperti Karang Ngah, Karang Yu, Karang Kemaman, Batu Mereng dan lain-lain sering dikunjungi kaki pancing khususnya untuk memburu pelbagai spesies di sini.
Apabila dipelawa oleh Kamal, seorang rakan untuk menyertai trip mencari tenggiri, penulis mengambil sedikit masa untuk memberikan persetujuan.
Pertama sekali, bajet pun nak kena ambil kira jugak. Begitu juga dengan set peralatan. Penulis minta pandangan member-member yang pernah memancing tenggiri di perairan Sedili terlebih dahulu.
Rata-rata memberikan pendapat yang hampir sama, kos memancing di perairan Sedili agak tinggi ekoran kemasukan ramai pemancing dari Singapura dan tenggiri di Sedili agak culas memakan umpan dan kelengkapan yang tepat saja mampu menewaskannya.
Setelah bersetuju untuk menyertai trip tersebut, penulis temui lagi Kamal untuk mengetahui teknik dan kelengkapan yang diperlukan. Selain joran dan kekili yang sepadan, kelengkapan penting yang perlu digunakan adalah tangsi Crystal clear 20lb sebagai tali utama, fluorocarbon halimunan 25lb sepanjang 3 depa sebagai perambut dan juga kabel 20lb untuk mengikat mata kail bersaiz 2/0.
Ekoran bot mengalami sedikit masalah teknikal, trip asal selama 3 hari 2 malam dipendekkan menjadi 2 hari 1 malam saja. Satu kelegaan juga kerana kos trip dapat dijimatkan sedikit. Sekitar jam 9.30 malam, kami berempat bertolak dari Kajang menuju terus ke Kota Tinggi.
Penulis yang sememangnya sukar untuk melelapkan mata dalam kenderaan, terasa iri juga melihat rakan yang lain mudah saja untuk tidur.
Tepat jam 3.00 pagi, kami tiba di jeti Sedili Besar. Sementara menanti ketibaan tekong Pak Deris dan awak-awaknya, sempatlah juga kami membungkus nasi dagang dan nasi lemak untuk sarapan nanti. Tepat jam 4.00 pagi, bot pun bergerak keluar dari jeti.
Sejurus keluar dari muka kuala, barulah kehadiran angin dapat dirasakan. Sekaligus membuatkan permukaan laut agak berkucah. Sementara tiba di unjam untuk mencari umpan hidup, penulis mengambil kesempatan untuk melelapkan mata. Bot yang membuai membuatkan penulis benar-benar dialun mimpi.
Bila celik mata, hari sudah pun cerah dan rakan-rakan yang lain sudah pun memulakan pemburuan tenggiri dengan kaedah drift atau menghanyutkan umpan ikan tamban hidup. Langsung tidak sedar saat dan ketika bot berlabuh untuk mendapatkan umpan hidup.
Penulis bangkit dengan perasaan yang kurang enak. Sama ada kurang atau bot yang sedikit membuai menyebabkan kepala terasa pening. Pening tak pening, misi mesti dilaksanakan. Penulis mengambil tempat dan segera menghulurkan umpan tamban hidup di belakang bot dan membiarkannya hanyut ke arah pelampung penanda unjam.
Tak sampai 5 minit kemudian, kekili Penn 320GT2 milik Kamal direntap kuat dan alarmnya berdesing nyaring. Sekitar dua tiga minit melayan tangkapan sulungnya, seekor aya kurik atau tongkol berskala 3kg berjaya digancu oleh tekong Pak Deris.
Setengah jam kemudian, giliran Bob pula membuktikan kehandalannya menjerat tenggiri. Dengan tenang beliau melayan kerenah pemangsa membedal umpan hidupnya. Dengan set kekili Tica Taurus 6000 dan joran Shimano Beast Master Bob tiada masalah untuk mendaratkan tenggiri berskala 10 kg.
Sehingga tengah hari, dan berapa kali bertukar lubuk, tiada lagi tenggiri yang dinaikkan. Hanya Kamal sekali lagi berjaya menaikkan ikan tongkol. Sementara Fikri pula yang rajin melayan apollo, tidak menang tangan menanggalkan cencaru dari mata kailnya.
Menjelang petang, keadaan laut tidak kelihatan akan kembali tenang sebaliknya kian bergelora. Laut kian berombak dan berkucah keluar masuk ke dalam bot. Malah untuk berdiri sekali pun harus berpaut satu tangan pada badan bot. Tahap ketahanan penulis sampai ke penghujungnya.
Kepala yang pening semakin menyucuk memaksa penulis berehat panjang di kabin. Fikri yang rancak melayan apollo turut sama tumbang. Hanya Kamal dan Bob yang sudah biasa dengan alunan perairan Sedili saja meneruskan misi memburu tenggiri dengan teknik bottom.
Dari petang hinggalah ke malam, penulis hanya mampu mendengar dan melihat aksi-aksi di atas bot namun tak terdaya untuk bangkit. Untuk merakam aksi pertarungan pun tak terdaya, apatah lagi dengan keadaan bot yang teroleng-oleng sedemikian rupa.
Tersedar dari tidur buat sekian kalinya, barulah penulis terasa segar dan segala pening hilang. Laut juga juga terasa tenang dan nyaman. Namun, apabila diperhatikan sekeliling… rupanya bot sampai di jeti!
Ekoran angin tenggara yang menyebabkan laut berkucah dan bergelora, Kamal dan Bob bersepakat dengan tekong Pak Deris untuk memendekkan trip 2 hari 1 malam kepada 1 hari 1 malam saja.
Dalam pada berasa lega, penulis terasa ralat juga kerana gagal menyumbang sesuatu dalam trip ini. Namun penulis dapat pengajaran berguna dalam trip ini, selain menumpukan perhatian pada persediaan kelengkapan yang tepat, penulis abaikan soal perkara yang maha penting iaitu rehat atau tidur yang cukup sebelum memulakan trip. Tanpa tidur yang cukup dan tanpa ubat mabuk laut, peluang untuk menyentap ikan akhirnya bertukar menjadi trip menyentap tali perut!
Tugas sebagai suri rumah memang tidak pernah habis. Mengurus makan pakai anak-anak dan suami, membasuh, memasak, menyapu, mop sana…mop sini, jadi sekali-skala turun memancing dapatlah release tension kata orang.
Bila pelampung bergedik-gedik, tenggelam timbul, tenggelam timbul dan tenggelam terus maka tunggu apa lagi, teruslah sentap. Nak kau…bapak puyu menggelupur di hujung kail.
Bila ia mengembangkan sirip dan insangnya yang tajam, tak kuasa nak memegangnya. Tak fasal-fasal luka pula kang. Suami yang jadi mangsa. Dialah yang melepaskan mata kial dan memasukkan ikan ke dalam karung.
Seekor lagi cengkerik dicangkuk pada mata kail. Yang ini hitam pekat warnanya. Bila umpan sudah tenggelam, mata tertumpu ke arah pelampung selipar jepun yang dipotong dadu.
Tiba-tiba pelampung hilang daripada pandangan. Tali tangsi tegang habis. Terus joran teleskopik 8 kaki dirembat ke atas. Melengkung habis kali ni. Mama keli pula yang mengambil giliran untuk berhimpit dengan beberapa ekor puyu di dalam karung plastik beras.
Umpan dah habis. Tang tinggal Cuma seekor sahaja. Itu pun cengkerik yang sudah penyek.
“Boleh… boleh guna lagi tu,” kata suami. Beberapa saat sahaja cengkerik itu berada di dalam air, seekor ikan selat atau potok (kaum kerabat belida agaknya) berjaya didaratkan dan menggelepar di atas tanah.
Memancing memang seronok. Boleh jadi ketagih dibuatnya. Sebab itu, ada suami yang ‘tak makan dek saman’. Hujan ke, panas ke, ribut pasir mereka semua tak peduli. Janji dapat tengok air paya, kolam, sungai pun sudah memadai.
“Dapat ikan ke tidak, itu nombor dua,” kata suami saya.
Bila terjebak di dalam dunia memancing ini, rupa-rupanya betullah. Bila ikan dah di hujung jari, terlupa dapur sekejap. Tarik jangan tak tarik!
Sejak beberapa tahun kebelakang menyaksikan kejadian misteri dan kematian hidupan akuatik secara besar-besaran. Banyak teori dan spekulasi dicetuskan bagi mengaitkan kejadian ini termasuk isu pencemaran, pemanasan global dan macam-macam lagi. Namun 5 kejadian misteri ini terus berlalu tanpa sebarang jawapan.
Kejadian Di New Zealand
Pada Januari 2011, ratusan ikan telah ditemui mati di sepanjang pantai di Semenanjung Coromandel, New Zealand. Kematian ikan yang kebanyakannya jenis snapper itu membingungkan pelbagai pihak. Nelayan yang turun ke laut pada waktu itu mengatakan bahawa lautan seakan karpet yang dipenuhi ikan mati.
Apa yang lebih membingungkan ialah, kesemua ikan yang mati ini dalam keadaan tiada mata. Walaupun terdapat andaian punca kematian, masih tiada yang memberikan punca yang sahih dan masih menjadi misteri sehingga kini.
Kejadian Di California
Di Pantai California, ribuan sotong jumbo muncul dan mati di kawasan pantai di sana sekitar Januari 2005. Tidak banyak maklumat berkaitan sotong ini direkodkan kerana sotong ini hidup di dasar laut berkedalaman 700 meter.
Hal ini menyukarkan saintis mengenal pasti punca kematian ribuan sotong ini. Keracunan toksik menjadi salah satu teori punca kematian sotong ini, namun hal ini disanggah kerana tiada ikan atau pemangsa lain yang mati. Kejadian hampir sama turut berlaku di San Diego sekitar 2002.
Kejadian Di Australia
Ratusan paus (pilot whale) ditemui mati di perairan Tasmania, Australia pada tahun 2009. Menurut rekod, lebih 400 paus mati di lautan dan lebih daripada 200 ekor paus terdampar di Pantai King Island bersama ikan lumba-lumba.
Saintis dan pasukan penyelamat berkejar ke sana, namun hampir 140 ekor yang terdampar telah disahkan mati ketika mereka tiba di tempat kejadian. Hanya sekitar 60 ekor paus dan 7 ekor ikan lumba-lumba berjaya diselamatkan.
Selang beberapa bulan kemudian, 150 ekor paus ditemui mati di perairan Tasmania. Perubahan ekologi habitat merupakan teori punca kematian yang paling logik, namun tetap tidak menjawab semua persoalan tentang punca kematian.
Kejadian Di Kanada
Sekitar tahun 2012, Tasik Erie di Ontario, Kanada diselubungi misteri kematian hampir 10,000 ikan dan burung camar yang terdampar. Laporan pertama mengatakan tiada sebarang kaitan pencemaran yang menjadi punca kematian tersebut.
Teori lain tentang punca kematian ini ialah akibat penyongsangan kualiti air di mana fenomena biasa yang mengakibatkan air yang kurang oksigen dan lebih sejuk naik ke permukaan. Begitu pun, para penyelidik menolak teori ini sebagai punca utama kematian misteri kerana fenomena itu tidak berkait dengan kematian burung camar.
Kejadian Di Chile
Sekitar Mac 2013, penduduk di kawasan bandar Coronel, Chile terkejut setelah melihat pantai di kawasan mereka menjadi merah akibat jutaan udang yang mati terdampar. Walaupun tiada penjelasan saintifik punca kematian, penduduk di sana yakin punca kematian ini disebabkan oleh 2 kilang arang batu berhampiran yang menyebabkan suhu air meningkat. Begitu pun, penjelasan secara saintifik masih belum ada dan kekal menjadi misteri.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...