Vertical jigging digunakan untuk mengumpan ikan yang mendiami dasar dengan cara melepaskan jig secara menegak atau ke depan sehingga ia tenggelam ke dasar laut. Kemudian karauan secara laju atau perlahan dibuat untuk mengayakan jig besi di dalam air.
Jig cast pula digunakan untuk mengumpan ikan predator yang bermain di pertengahan atau di permukaan air. Teknik ini sering kali digunakan untuk menjerat ikan tenggiri. Caranya, Jig dibaling sejauh mungkin dan karauan laju dibuat dan membuatkan jig seolah-olah ikan yang sedang berenang.
Joran jigging mestilah halus, ringan dan tahan lasak. Kebiasaan panjang rod jigging antara 4.5 hingga 6 kaki. Bagi menjimatkan kos jigging, anda boleh membuat sendiri ikatan mata kail jig.
Ads
Saiz kekili yang berbeza juga perlu dipadankan dengan berat jig yang anda gunakan. Misalnya, kekili saiz 4000-6000 sesuai untuk jig seberat 40 gram – 100 gram, saiz 8000-10000 untuk jig seberat 100 gram – 400 gram dan untuk jig seberat 400 gram ke atas, kekili bersaiz 10000 ke atas sesuai digunakan.
Saiz jig mestilah disesuaikan dengan arus pada masa itu. Sekiranya arus agak laju, saiz jig yang sesuai perlu digunakan untuk memastikan jig jatuh betul-betul di kawasan yang sudah dikenal pasti kawasan ikan bermain sekali gus mengelakkan tersasar akibat dibawa arus.
Warna jig juga memainkan peranan besar. Apabila jigging pada waktu malam, jig jenis luminous adalah pilihan utama. Spesies seperti cupak dan tenggiri amat mudah diperdayakan.
Ads
Tali sulam atau braided line menjadi pilihan utama untuk teknik jigging. Tali sulam bukan sahaja dapat memotong air dengan lebih cepat, kurang daya regang, sensitif tetapi yang paling penting diameternya yang kecil akan membolehkan lebih banyak tali di sisi dalam gelendong kekili anda.
Penggunaan shock leader atau juga amat penting untuk teknik jigging. Ini kerana dengan leader ini ia mampu menampung main line apabila mendapat asakan secara tiba-tiba. Tali jenis fluorocarbon adalah lebih disarankan kerana ia lebih lasak menahan geseran dan kurang kelihatan di dalam air.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Sedikit tips untuk dikongsi bagi peminat-peminat surfcasting khususnya bagi persediaan dan ketika sedang berada dalam pertandingan.
Kenal Pasti Lokasi Pertandingan
Setiap lokasi pertandingan surfcasting mempunyai kepelbagaian spesies target sebagai contohnya di pantai timur seperti Terengganu atau Pahang terkenal dengan ikan pari manakala Pantai Barat terkenal dengan spesies belukang dan sebagainya.
Maka, dengan itu kita boleh kecilkan target pencarian. Pendek kata ia mempermudahkan teknik ataupun umpan target untuk pemburuan strike.
Teknik perambut Ikan pari – buat panjang perambut dari suku depa hingga setengah depa boleh dipelbagaikan variasi mengikut kawasan. Manakala panjang perambut untuk batu dalam anggaran anggaran sejengkal panjang.
Teknik perambut ikan daun baru – perambut berantai (2-3 mata kail) seumpama perambut apolo.
Teknik perambut ikan sembilang – buat perambut setengah depa dan batu sejengkal (perambut Y)
Setiap umpan boleh dikatakan mempunyai timing tersendiri (tempoh tahan guna). Itu yang saya perhati dan belajar dari orang-orang lama. Sebagai contoh, udang kebiasaannya mengambil masa 10 ke 20 minit untuk habis.
Manakala jika menggunakan umpan ikan mengambil masa 20 hingga 40 minit untuk habis. Apa pun bergantung pada lokasi pertandingan tersebut. Konsep saya mudah saja iaitu tetapkan waktu menukar umpan melalui balingan pertama dan kedua. Dari situ kita boleh andaikan umpan boleh bertahan berapa lama.
Manfaatkan tempoh masa pertandingan dengan sebaik mungkin. Jangan banyak membuang masa dengan tempoh bertenang. Sentiasa fokus dan fokus kerana tempoh waktu bertandingan mungkin panjang tetapi tempoh waktu ikan aktif makan umpan sangat pendek.
Sediakan peralatan untuk memasuki pertandingan lebih awal sebagai contoh perambut, batu ladung untuk memudahkan proses pertukaran jika berlaku situasi rabut, putus, hilang dan sebagainya lagi.
Pastikan ada spare reel & spare spool untuk kebarangkalian kerosakan ataupun braided putus dalam kuantiti yang banyak.
Nombor satu keselamatan, nombor dua keselamatan, nombor tiga barulah strike! Ingat tu, keselamatan adalah aspek paling penting apabila melakukan aktiviti memancing di bawah jambatan. Beberapa perkara yang disenaraikan ini perlu anda hadam demi keseronokan memancing.
Jaga Keselamatan fizikal
Pakai pakaian yang sepadan dengan aktiviti dan geografi lokasi. Pastikan badan tidak terdedah dengan cuaca yang terlalu sejuk atau panas. Begitu juga dengan alas kaki. Sebaiknya pakailah alas kaki yang lebih selamat berbanding berselipar sahaja. Lebih-lebih lagi jika kita tidak pasti tahap kelicinan pelantar benda-benda tajam yang mungkin tersembunyi di permukaannya.
Pakai Jaket Keselamatan
Jangan berasa segan jika ingin memakai jaket keselamatan. Terutamanya jika anda ada masalah gayat dan langsung tidak tahu berenang. Jika ingin memakai jaket keselamatan pilihlah jaket keselamatan dari jenis foam kerana selain daripada berfungsi di dalam air, ia juga boleh digunakan sebagai jaket pemanas badan pada waktu malam.
Bekalan Air Bersih
Selain membawa bekalan makanan yang mencukupi, apa yang lebih penting sebenarnya adalah bekalan air bersih untuk diminum dan tujuan lainnya. Tak mengapa kalau kelaparan tak cukup makanan tetapi kalau kehabisan air untuk diminum, ia tak boleh diganti dengan air laut.
Pancing Berteman
Sama ada ingin memancing untuk tempoh yang lama atau beberapa jam sahaja, sebaik-baiknya biarlah berteman. Jangan sesekali memancing secara bersendirian. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku. Kadang-kadang kemalangan yang kecil sahaja boleh menyebabkan nyawa terancam.
Keselamatan Barangan Peribadi
Simpan segala barang-barang yang penting seperti handphone dan kunci kenderaan di tempat yang selamat. Khususnya selamat dari diterbangkan angin dan terkena tempias air masin. Kalau boleh biar diikat terus pada tiang jambatan. Setidak-tidak kalau tersepak pun tidaklah terus melayang ke air.
Sentiasa Peka
Jangan berada dalam keadaan terlalu selesa. Maksudnya, bila dah rasa selesa sangat kita akan lupa di mana sebenarnya kita berada. Kita jadi terlupa yang kita berada kawasan yang dikelilingi oleh air berarus deras. Bukannya berada di daratan sebenar.
Fenomena Air Pasang Besar
Ia jarang berlaku tetapi pernah terjadi ada pemancing yang terperangkap di atas pelantar dan hampir dihanyutkan arus apabila dilanda peristiwa air pasang besar. Jadi, anda harus pantau jadual air pasang surut dan cubalah elak daripada memancing di bawah jambatan apabila berlakunya peristiwa air pasang besar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...