
Ikan sepat boleh dipancing. Mereka yang tidak tahu cara saja yang mengatakan ia boleh ditangkap dengan cara menjala, menahan lukah atau bubu, memasang pukat atau menimba air di lopak yang mana ikan ini berada dan mengutipnya dan bukannya dengan cara memancing.
Bagaimana mahu memancingnya? Perkara berikut di bawah amat mustahak disediakan terlebih dahulu jika anda ingin memancing ikan ini.
Joran
Untuk memancing sepat, joran teleskopik atau joran pole rod bersaiz 9-15 kaki diperlukan. Lebih panjang joran lebih bagus. Ini kerana ada kalanya kumpulan ikan sepat akan timbul jauh daripada kedudukan yang anda boleh capai.
Mata kail
Untuk keberkesanan memancing sepat, tidak semua mata kail bersaiz kecil sesuai untuk digunakan. Mata kail udang galah juga bukanlah mata kail terbaik untuk memancing sepat yang bermulut kecil. Sebaiknya pilihlah mata kail berteras halus, kecil, ringan tetapi tajam dan kukuh.
Tali utama
Tali utama boleh gunakan tali sulam 2-6 lb atau boleh juga tali tangsi 4-6 lb yang berdiameter kecil. Namun penggunaan tali sulam adalah lebih bagus kerana lebih sensitif dan cepat tenggelam.
Umpan
Terdapat beberapa jenis umpan yang boleh digunakan seperti cacing merah atau cacing pokok pisang (halus) dan lumut. Boleh juga menggunakan dedak yang dibancuh liat dan digentel pada mata kail.
Umpan Rasuah
Dedak ayam bertujuan untuk menarik kawanan ikan sepat agak berkumpul di suatu tempat untuk dipancing. Caranya taburkan sebelum memancing, taburkan dahulu dedak di kawasan ikan sepat berkumpul.
Memancing Dengan Penunggu Lubuk!!

Dengan bantuan lampu suluh, mereka berdua terus berjalan menuju ke Lubuk Batu yang terletak tidak berapa jauh dari pondok perjumpaan mereka. Dalam 15 minit sahaja berjalan kaki sudah sampai ke tempat yang agak popular di kalangan pemancing tempatan.
Lubuk ini bukan sahaja terkenal kerana penghuninya yang bersaiz mega tapi terkenal juga dengan pelbagai kisah misterinya. Tambahan pula di sebelah lubuk ini adalah kawasan perkuburan lama. Ini menambahkan lagi keseraman kawasan ini. Tapi, memancing punya pasal semua perkara itu ditolak ke tepi.
Sebaik sahaja sampai, tanpa berlengah lagi umpan dipasang untuk menduga penghuni lubuk itu. Umpan buah ara yang dipotong dadu diharapkan dapat memikat ikan patin atau apa sahaja ikan yang ada di sini. Tidak sampai 5 minit, joran Rahimi melengkung dengan kuat tanda umpannya sudah mengena. Sepantas kilat Rahimi terus mengepam talinya.
“Baru baling terus kena!!” teriaknya sambil melayan tarikan ikan dengan berhati-hati agar tidak terlucut. Hasil pertamanya ialah ikan patin seberat 2 kilo. Dengan semangat berkobar, segera dicangkukkan lagi umpan buah ara untuk mendapatkan hasil yang kedua.
“ Aku dapat lesen dah ni. Kamu bila lagi?” gurau Rahimi kepada Aboy yang dari tadi senyap tidak bersuara.
Sejam sudah berlalu, tapi Rahimi masih tidak putus-putus menerima sentapan dan tarikan ikan. Memang banyak rezeki dia malam tu. Tong yang dibawanya hampir penuh dengan ikan.
Dalam melayan sentapan ikan hatinya berasa tidak sedap hati kerana rakannya langsung tidak bersuara. Hanya duduk membatu memandang ke sungai sambil memeluk kedua kakinya. Dia baru perasan cahaya bulan malam tu seolah-olah menembusi tubuh temannya. Rahimi mula rasa gelisah.
Tiba-tiba temannya berpaling memandangnya. Dengan mata yang dan wajahnya yang menakutkan mengejutkan Rahimi. Barulah disedarinya bahawa itu bukan Aboy temannya. Dalam situasi yang tidak disangka itu ia teringat pesanan orang tua iaitu jika terjumpa dengan benda misteri buat seolah-olah tidak nampak sahaja.
Makhluk itu menghampirinya. Jantung Rahimi seperti hendak gugur berdegup kencang tetapi digagahinya juga seolah-olah dia tidak nampak makhluk itu yang sudah duduk di sisinya. Dalam kesunyian malam itu tiba-tiba makhluk itu berbisik ke telinga Rahimi.
“Pura-pura tidak nampak iye.…..”
Tidak tahu betapa lajunya Rahimi berlari ketakutan meninggalkan lubuk itu. Segala peralatan memancingnya ditinggalkan.
Inilah pertama kalinya dia mengalami pengalaman sebegini. Seluruh tubuhnya dibasahi peluh walaupun cuaca malam itu dingin sekali.
“Rahimi!! Rahimi!” teriakan suara memanggil namanya mengejutkannya.
Kelihatan Aboy sedang berdiri di hadapan pintu rumahnya.
“Aku minta maaf sebab tak dapat ikut kamu memancing semalam. Mak aku tiba-tiba kena lelah. Aku kena hantar dia ke hospital semalam. Aku tak sempat nak beritahu kamu malam tadi,” tutur Aboy.
Rahimi terpinga-pinga. Dia kelihatan keliru dan wajahnya sekali lagi bertukar menjadi pucat. Dia teringat tentang ‘Aboy’ yang bersamanya memancing malam tadi tanpa suara. Patutlah selama ini, pesan orang-orang tua di kampungnya selalu berkata kena beringat ketika memancing dan hendaklah berteman, lebih-lebih lagi di waktu malam, terutama di Lubuk Batu.
Dia yang selama ini, tidak pedulikan langsung teguran dan nasihat, akhirnya akur perlu sentiasa berhati-hati ketika keluar memancing. Selepas menceritakan apa yang berlaku Aboy, ternyata Rahimi begitu fobia untuk keluar memancing, lebih-lebih lagi pada waktu malam.
8 Ikan Pembunuh Manusia!!

DALAM DIVERSITI SPESIES IKAN YANG MELUAS, TERDAPAT PELBAGAI JENIS DAN RUPA BENTUK YANG UNIK DAN MENARIK. BIASANYA SPESIES YANG SANGAT AGRESIF DAN GANAS MEMPUNYAI SIFAT LUARAN YANG LEBIH MENAKUTKAN, NAMUN TERDAPAT JUGA SEBALIKNYA. SPEKULASI DAN MITOS TIDAK DAPAT DIELAKKAN BILA BERCERITA TENTANG IKAN GERGASI YANG AGRESIF DAN KEMAMPUANNYA UNTUK MENYERANG MANUSIA. KADANGKALA MANGSA MAMPU BERTUKAR MENJADI PEMANGSA!
BELUT ELEKTRIK
Belut elektrik merupakan pemangsa terkenal di Amazon dan menggunakan renjatan elektrik sebagai sistem pertahanan dirinya. Aliran elektrik sekuat 600 volt yang dihasilkan oleh spesies ini mampu membunuh seekor kuda dan tidak terkecuali manusia yang boleh mati akibat serangan ini. Belut elektrik mampu membesar sepanjang 8 kaki dan seberat 50lbs. Biasanya penggunaan peralatan berunsur getah bagi mengelakkan serangan belut elektrik. Terdapat rekod menunjukkan kematian akibat serangan renjatan elektrik oleh spesies ini.
MUSKELLUNGE
Muskellunge merupakan seekor spesies ikan air tawar dan sebenarnya masih belum ada catatan rasmi serangan ke atas manusia. Namun berdasarkan kepada keupayaannya, banyak spekulasi terhadap spesies ini dalam potensinya menyerang manusia. Muskellunge mampu membesar sehingga 7 kaki dan mempunyai barisan gigi yang tajam dan boleh dikatakan sebagai jelmaan Barracuda air tawar. Spekulasi mengatakan terdapat serangan ke atas seorang kanak-kanak dan nelayan oleh spesies ini namun mangsa selamat walaupun terdapat kesan yang agak teruk.
KELI WELS
Keadaan perairan di Eropah seperti Tasik Berlin dan Sungai Volga sepanjang masa seakan tenang dan selamat sehinggalah kemunculan pemangsa raksasa ini. Keli Wels ini mampu mencapai 13 kaki panjang dan seberat mencecah 400lbs dan itu sudah cukup menjadikannya sebagai raksasa yang menggerunkan. Keli Wels merupakan pemangsa agresif dan menurut catatan sejarah ikan ini mampu membesar sehingga 20 kaki panjang. Seekor keli Wels yang ditangkap di Russia mempunyai sisa manusia di perutnya sementara serangan terhadap manusia dilaporkan di Jerman.
PARI AIR TAWAR GERGASI
Raksasa ini sering menyembunyikan dirinya di perairan air tawar yang keruh, berpasir dan berselut di Asia Tenggara. Ikan pari air tawar ini mungkin merupakan spesies ikan air tawar yang terbesar dengan panjang mencecah 16 kaki dan seberat hampir 2000lbs. Sengat sepanjang 8 inci pada pangkal ekornya mampu menyerang seperti seekor kala jengking dan sengatannya diakui amat berbisa dan mampu membunuh. Jadi berhati-hati jika tiba-tiba anda berasakan dasar sungai yang anda pijak bergerak!
GOONCH
Sungai Kali di antara Nepal dan India telah dihantui oleh siri kematian dan insiden lemas yang misteri. Misteri ini berlarutan sehinggalah raksasa perang sepanjang 7 kaki dengan gigi yang tajam ini ditangkap. Ia seekor ikan keli Goonch seberat 300lbs. Ikan ini dikatakan menarik mangsanya dan melemaskannya sebelum ditelan. Spekulasi juga mengatakan selera ikan Goonch terhadap manusia mungkin disebabkan pembuangan abu mayat ke Sungai Kali yang diamalkan di sana.
PIRAIBA
Dengan warna biru kehitaman, Piraiba ini mampu mencecah sepanjang 9 kaki dan merupakan antara gergasi air tawar. Spesies ini merupakan spesies keli terbesar dan dikatakan berpotensi sebagai pemakan manusia. Gigi ikan raksasa ini tidak kelihatan menakutkan memandangkan tiada taring terkeluar, namun gigi ikan ini tersusun rapi menghala ke bahagian dalam mulut ikan. Keadaan ini menjadikan mangsanya tidak akan terlepas jika sudah dalam cengkaman mulutnya.
GOLIATH TIGERFISH
Spesies Goliath Tigerfish merupakan salah satu spesies yang dahsyat dan mengerikan. Spesies ini membuatkan spesies pemangsa rakus seperti Piranha seakan-akan ikan kecil untuk hiasan. Spesies ini mampu mencapai berat sehingga 70lbs dan lebih enam kaki panjang. Spesies ganas ini berlegar di perairan Afrika berkumpulan dan mampu mencarik-carik daging mangsa yang lebih besar dalam beberapa saat. Mulut gergasi bermata kuning ini tersemat gigi taring seakan pisau yang lebih daripada dua inci. Pemancing terkenal, Jeremy Wade percaya spesies ini bertanggungjawab terhadap beberapa siri kematian manusia di Sungai Congo yang sebelum itu dikatakan berpunca daripada semangat ghaib menurut kepercayaan masyarakat tempatan.
BULL SHARK
Senarai ikan terakhir untuk kali ini, secara teknikalnya merupakan seekor jerung iaitu Bull Shark. Spesies ini mempunyai keupayaan yang luar biasa dan dikatakan lebih ganas berbanding jerung lain. Dengan saiznya yang mampu mencapai panjang sehingga 12 kaki dan seberat 600lbs, spesies ini mampu berenang ke perairan air tawar seperti tasik dan sungai di Missouri, Illinois dan Kentucky. Rekod menunjukkan banyak serangan oleh spesies ini terhadap manusia di perairan air tawar. Selain merupakan spesies yang paling agresif antara jerung, Bull Shark juga mempunyai kuasa gigitan yang paling kuat berbanding semua spesies ikan di dunia.
Tutorial Lengkap Slow Pitch Jigging!!

Apakah yang dimaksudkan dengan slow pitch jigging? Slow pitch jigging adalah sama atau dikenali sebagai ‘slow jigging’. Apakah perbezaannya dengan teknik lama ‘hispeed jigging’?
Hi-Speed Jigging adalah kaedah menurunkan jig ke dasar dan akan di karau dengan laju. Ia akan menjadikan otot tangan menjadi keras dan sakit, namun ia masih satu cara memancing yang menarik dan ia berfungsi dalam banyak keadaan.
Kadang-kadang kaedah lama ini menyebabkan ramai kaki pancing yang telah berumur enggan mencuba kaedah lama ini kerana cepat pancit!
Tetapi slow pitch jigging adalah satu kaedah jigging yang berbeza sekali dibandingkan dengan kaedah hi-speed jigging. Teknik slow jigging boleh dilakukan dengan `suku,
setengah’, ‘setengah, suku’ atau ‘satu karauan’ dan ‘satu henjutan’ pada joran dengan cara yang perlahan sekali.
Nampak mudah, kan? Ya ia adalah satu teknik yang benar-benar mudah kerana anda sebenarnya tidak perlu menyeksa otot anda dan memerlukan stamina dan kekuatan yang kuat.
Percaya atau tidak kaedah slow pitch jigging memang satu kaedah yang menyeronokkan dan sebenarnya banyak ikan akan lebih mudah terjerat dengan kaedah ini.
Slow pitch jigging adalah kaedah yang mampu memperdayakan pelbagai jenis spesies ikan dari ikan gamefish sehingga ikan dasar.
Kaedah ini juga amat praktikal untuk pelbagai jenis mood ikan iaitu bukan sahaja ketika ikan sedang aktif, tetapi juga ketika ikan kurang aktif.
Para pemancing perlu tahu, Ikan bukanlah aktif sepanjang hari. Malah, di kebanyakan tempat, masa aktif untuk ikan berlangsung kira-kira 2 hingga 3 jam sahaja pada satu-satu masa.
Ia berlaku beberapa kali sehari atau semasa air pasang dan surut. Jadi, jika anda tidak mahu untuk bersiar-siar di sekitar laut sepanjang hari mencari ikan yang aktif, anda perlu tampil dengan sesuatu yang berbeza.
Jadi bagaimana kita memancing apabila ikan tidak aktif? Slow pitch jigging adalah satu idea dan kaedah yang berkesan untuk menjerat ikan pada masa ia tidak begitu aktif. Bagaimana?
Pemangsa sentiasa mencari sasaran mudah untuk makan. Lebih mudah, lebih baik baginya. Ia satu naluri. Perhatikan seekor ikan umpan yang tercedera.
Bagaimanakah pergerakannya. Ikan yang tercedera akan membuat pergerakan rawak. Teknik slow pitch jigging adalah meniru pergerakan ikan tercedera ini.
Jadi kita perlu membuat karauan dan henjutan joran dan berhenti beberapa saat, dan dalam arah yang tidak teratur dan jatuhkan jig ke bawah selepas beberapa karauan.
Dalam ekosistem laut, ikan yang terus ke bawah dasar adalah tanda kelemahan, sama ada ia tidak dapat berenang atau ia mencari perlindungan untuk bersembunyi. Jadi inilah dia kaedah slow pitch jigging untuk menjerat dan menggoda ikan.
Slow pitch jigging bukan sekadar dengan karauan perlahan tetapi ia adalah urutan yang bersambungan berhenti dan jatuhkannya ke dalam dasar.
Tempo yang sangat perlahan perlu dimainkan berbanding gaya konvensional jigging.
Pada masa anda melakukan karuan, joran akan melentur dan jig akan akan memecut naik ke atas dengan satu karauan, 1/2 atau 1/4 karauan.
Anda bolehlah henjut joran sedikit atau tidak, atau melakukan kedua-duanya dengan berselang kali.
Selepas karauan dan henjutan, anda perlu berhenti dan memegang rod. Pada ketika itu joran akan menyokong, melepaskan kuasa dalam tindakan supaya jig dilambung bebas ke tepi.
Keseimbanganan jig ke tepi dan bergerak dalam kedudukan mendatar seketika. Ketika ini anda perlu bersedia kerana ini adalah waktunya pemangsa mengejar dan membaham jig.
Anda boleh menukar semua jenis tindakan yang berbeza untuk joran, kelajuan, karauan, irama, masa dan kombinasi semua jenis.
Anda tidak akan tahu apa yang menyebabkan ikan untuk bertindak balas terhadap jig anda.
Tetapi pada dasarnya, mereka yang jigging perlahan apabila jig dalam keadaan kedudukan mendatar, dan sedang jatuh ke bawah akan mendapat paling banyak sentapan daripada ikan.
Dalam erti kata lain, slow jigging adalah untuk memaksimumkan saat-saat jig berenang bebas dan membiarkan ia berenang sendiri dan biarkan ia jatuh.
Kaedah ini telah mencapai keputusan yang luar biasa dengan semua anak-anak ikan, kerapu, jenahak dan lain-lain mudah terjerat dan juga tidak ketinggalan juga ikan-ikan gamefish.