Pengalaman selama 15 tahun menyertai pertandingan memancing, Hashim Musa (49) dari Sentul yang lebih dikenali Botak Sentul, akhirnya berjaya juga dinobatkan sebagai juara pada Siri Akhir Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) yang berakhir di Taman Tasik Ampang Hilir, Ahad lalu.
“Inilah pertama kali saya berjaya menduduki podium juara setelah enam tahun mengikuti JPKL,” ujar Hashim yang berjaya mendaratkan spesies patin seberat 13.850kg pada jam 10.06 pagi sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM14,000 berserta produk Oishi, Igloo dan Tackles.
Berikutan kemenangan ini, Hashim merancang untuk menggunakan ganjaran yang diperoleh bagi keperluan keluarga, membeli peralatan memancing dan belanja rakan-rakan yang sentiasa menyokong beliau dalam industri ini.
Ads
Ads
Beliau turut berharap JPKL anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan memandangkan inilah waktu terbaik dapat berkumpul dan merapatkan silaturahim sesama kaki pancing.
Sementara itu, lebih manis bagi tempat kedua dan ketiga disandang oleh peserta yang sama. Muhammad Fadzlan Ayob berjaya mendaratkan hasil tangkapan berupa ikan patin seberat 4.705kg dan 3.720 kg sekali gus membawa pulang RM5,000 bagi hadiah tempat kedua dan ketiga.
Ads
Lebih 1,000 kaki pancing menyertai pertandingan kali ini yang bermula pada jam 8.20 pagi dan berakhir pada 12.20 tengah hari.
Dalam majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Pengurus Besar Biro Pelancongan DBKL, Khairul Anuar Mfd Juri, beliau berbangga dengan penglibatan para peserta dari seluruh negeri selain kehadiran keluarga masing-masing yang memeriahkan kawasan persekitaran Taman Tasik Ampang Hilir.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sungai Timun, Linggi sememangnya terkenal dengan aktiviti memancing udang galah. Sama ada ia udang galah, sepit biru atau jenggo, ia sememangnya spesies yang seronok dipancing dan sedap dimakan.
Selain udang galah, sebenarnya Sungai Timun lebih dikenali dengan kehadiran sang bedal aka buaya.
Mungkin juga dengan kehadiran sang bedal ini maka populasi si sepit biru terkawal di Sungai Timun.
Ada yang berkata, ada udang ada buaya. Itu memang tidak dinafikan, Tapi saya pula berpendapat, ada buaya ada udang.
Maka itulah sebabnya Sungai Timun sentiasa ada udang. Bila ada buaya, maka kuranglah sedikit orang turun menangkap udang.
Begitulah halnya pada saya. Kalau tak kerana join orang setempat, maka sampai bila-bila pun saya takkan berani nak memancing udang galah di Sungai Timun.
Oleh kerana bertemankan orang setempat, maka cara kami memancing udang galah agak berbeza sedikit. Biasanya, orang akan menyewa sampan dan memancing pada sebelah siang hari saja.
Tapi kami berenam menaiki dua buah sampan di Jeti Sungai Timun pada pagi Sabtu dan kembali ke jeti pada petang Ahad, keesokan harinya.
Walaupun Sungai Timun terkenal dengan kehadiran sang bedal tapi tidak bermakna setiap inci sungai didiami buaya. Sungai Timun itu sendiri bukanlah cuma sejengkal.
Sekiranya bertembung juga dengan buaya sekalipun tiada apa yang perlu dirisaukan kerana sehingga kini belum pernah lagi berlakunya kejadian yang tidak diingini antara buaya dan manusia di Sungai Timun.
Berpandukan rakan anak jati Sungai Timun, kami dibawa ke lubuk-lubuk yang berpotensi. Kami memancing di atas sampan sehinggalah ke petang.
Dalam pada masa yang sama kami turut meninjau beberapa kawasan tebing yang sesuai untuk dijadikan tapak perkhemahan untuk kami berehat pada malam hari dan berpotensi untuk pancingan tebing juga.
Hasil seharian memacing di atas sampan bolehlah dianggap lumayan juga bagi kami yang baru pertama kali turun memancing udang di Sungai Timun ni.
Hasil itu kami jadikan juadah pada sebelah malam. Selain alatan ringkas perkhemahan, kami turut membawa alatan mmemasak dan makanan kering. Tentu saja kami tidak lupakan mi segera.
Apa lagi yang lebih enak dimakan selain mi segera udang galah bersama kopi O!
Hasil pancingan dari tebing pada malam harinya agak perlahan. Namun saiz udang yang diperoleh agak kasar-kasar juga. Kami memancing sehingga mana mata larat berjaga.
Keesokan pagi setelah bersarapan ala kadar dengan apa yang ada, kami menyambung kembali aktiviti memancing udang galah di atas sampan sehinggalah kembali ke jeti pada petang harinya.
Biarpun hasil tidak seberapa tetapi dapatlah juga membawa pulang hasil perut Sungai Timun untuk ahli keluarga merasainya bersama.
Sekitar jam 8.30 pagi kami memulakan perjalanan menaiki dua buah bot. Saya dan Ame menaiki bot yang dikemudi oleh Nazri manakala Yeo yang mengemudi bot satu lagi bersama Asri dan Amir untuk menyelongkar khazanah Tasik Chini. Kedua-dua bot dipacu sederhana laju menghala ke sebelah kiri jeti.
Setelah perjalanan hampir 10 minit enjin dimatikan dan kami meluncur sambil berdayung merapati kawasan rumput-rumput kelecut yang kekuningan. Beberapa kali lontaran, Nazri yang pertama menerima sambaran.
Bunyi hentaman yang kuat menandakan toman saiz bagak yang menyambar tapi sayang ‘longkah’ di pertengahan jalan. Kami terus berdayung menyusuri lorong-lorong di celah mengkuang dan rasau sambil joran dihayun dalam usaha menghantar gewang ke arah kawasan yang diharapkan berpenghuni.
Mimix shockwave corak ikan koi yang saya lontar pula disergap. Padanan joran Expert Graphite Blue Carbon 10-20lb dengan kekili Ryoga 1016 yang dimuatkan tali sulam Tufline XP 30lb berjaya mengekang larian si toman yang cuba ‘main kotor’ dengan menuju ke dalam perdu mengkuang.
Hasil sulung trip ini dicangkuk kemas dan dinaikkan ke atas bot. Usai mengabadikan sekeping dua gambar sebagai ‘bahan bukti’ ia dilepaskan semula bagi meneruskan kehidupannya.
Enjin dihidupkan kembali dan Nazri selaku tekong memerhati sekeliling sambil mengemudi bot. “Sana.. sana. Nampak tak anak toman tu?” Ujar Nazri sambil menunjuk ke sebelah kiri bot.
Sebaik menghampiri kumpulan anak-anak toman yang masih merah itu, buzzbait milik Ame berwarna pink yang dikarau laju terus diterkam. Sang mama yang cantik berwarna kehijauan terang tertancap kemas.
Menurut Nazri yang biasa casting toman di sini, cara permainan toman di Tasik Chini berlainan sedikit dengan tempat-tempat lain. Jika gewang dilontarkan ke tengah ‘highway’ atau menunggu toman mengambil udara baru melontar gewang alamatnya berjanggutlah kerana toman-toman di sini mendiami di kawasan yang cetek.
Spot pilihan seperti di tepi rimbunan kelecut dan rasau, di celah lorong-lorong mengkuang dan paling mencabar spot yang agak hardcore yang pastinya dihuni banyak toman bersaiz kasar iaitu di celah–celah tunggul mengkuang mati.
Tunggul-tunggul yang berceracak dan di dalam air pula berselirat dengan batang serta akar mengkuang pastinya menjadi tempat yang selesa bagi sang toman beristirehat sambil memerhati mangsa yang lalu.
Bagi para caster yang mengidam dentuman padu sanggup mengambil risiko dengan spot yang sebegini. Apa yang membuat saya bersemangat ialah kata-kata Yeo, “Yang penting ikan mau sambar. Macam mana nak tarik keluar, kita ikhtiar kemudian”.
Tengah hari kami berehat seketika, naik ke jeti. Masa keemasan ini ada yang mengambil kesempatan melepaskan lelah seketika dek kepanasan berada di tengah tasik. Usai solat jamak dan nasi pun sudah turun ke perut, kami menyambung kembali misi pencarian toman Tasik Chini. Sesi petang bertambah meriah lagi dengan kehadiran sebuah lagi bot yang dinaiki oleh Masri dan Ijad.
Nampaknya permukaan tasik sudah mula kucah dek tiupan angin. Gewang jenis kecoh dikeluarkan dari lurebox. Jumpfrog, buzzbait dan popper berperanan dalam situasi sebegini. Kali ini saya menaiki bot yang di kemudi oleh Yeo pula. Gumum antara ‘spot laut’ yang disarankan oleh Yeo untuk dicuba. Beberapa sambaran yang menggoncang dada berlaku di Gumum. Asri yang mengambil tempat di haluan bot paling banyak mendapat sambaran.
Gewang selaman tidak dapat diperturunkan nampaknya. Rata-rata ahli trip yang casting kali ini membawa gewang jenis permukaan (top water). Tidak dinafikan keracunan apabila dentuman sambaran yang memercikan air dipermukaan tasik dapat dilihat sendiri membuatkan ramai caster lebih suka ‘bermain’ dengan gewang permukaan.
Saya dan rakan-rakan memilih buzzbait pada trip ini kerana aksinya yang memang bising dan kecoh. Terbukti keberkesanannya menjerat sang toman lagipun harganya tidaklah mahal. Kalau putus direntap toman tidaklah ‘terasa’ sangat.
Sesi petang agak kureng hasilnya berbanding pagi terutama ketika matahari sedang mula menampakkan diri. Bagaimanapun tasik ini masih berpenghuni. Tidak rugi sekiranya para caster hendak menduga penghuni Tasik Chini kerana toman masih banyak.
Menurut Nazri sebarau pun ada kat sini. Kalau bernasib baik, silap-silap ‘badong’ pun boleh sambar gewang anda. Pasti senyum terukir sampai ke telinga. Tapi apa pun, harus kita ingat, kita sebagai pemancing kalau boleh yang sedang-sedang, seekor-dua boleh ambil makan.
Sebelum Pandemik Covid-19, boleh dikatakan hampir setiap tahun kami empat serangkai (Fakrul Razi, Khairul Nazmi, Kazrin dan saya sendiri) dari Semenanjung, mengadakan trip memancing ke Borneo khususnya di Bintulu, Sarawak.
Tujuan kami memancing sehingga ke Borneo bukanlah kecewa dengan perairan Semenanjung sudah tidak menghiburkan sebaliknya lebih kepada serampang dua mata. Selain bertemu dengan sahabat di sana yang kebetulan merupakan seorang operator bot memancing, sudah tentunya untuk menduga perairannya. Atau dalam erti kata lainnya ia lebih menjurus kepada trip memancing sambil bersilaturahim.
Setelah membuat perancangan dan memilih tarikh sesuai, kami berempat terbang dari Semenanjung dan mendarat di Bintulu. Kami disambut oleh sahabat merangkap tekong memancing kami, Edel dan menginap di sebuah hotel di Medan Jaya sekitar setengah jam perjalanan ke jeti Tanjung Kidurung. Bot pancing yang dimiliki Edel selesa jika dinaiki empat orang pemancing.
Trip pancingan kami lebih kepada teknik light jigging dengan menjadikan kawasan pelantar minyak sebagai padang pancing yang memakan masa sekitar dua jam perjalanan dari jeti Tanjung Kidurong. Jig seberat 40 gm hingga 80 gm menjadi senjata kami bagi memburu spesies sasaran terutamanya tenggiri.
Namun sesi memancing atau trip hari pertama kami dirundung malang akibat cuaca buruk. Akibat dipukul ribut, bot terpaksa ditambat pada pelantar minyak dan kami hanya mampu berserah dan pasrah kepada Tuhan.
Apa yang berlaku pada hari pertama tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan sesi memancing pada hari kedua. Alhamdulillah, cuaca pada hari kedua agak baik. Begitu juga sesi memancing yang berlangsung dengan baik sekali. Seolah-olah penghuni laut kelaparan selepas ribut, kami hampir terduduk kepenatan dihenyak pelbagai spesies ikan sukan atau game fish.
Saya menjadi pembuka tirai apabila jig seberat 40 gm dihenyak spesies yang tidak dikenal pasti. Tapi berdasarkan aksinya saya percaya ia bukanlah spesies sasaran kami iaitu tenggiri. Setelah bertarung seketika, akhirnya mangsa memperlihatkan dirinya. Jemuduk! Fakrul Razi turut sama terduduk dihenyak jemuduk. Namun aksi yang paling mengasyikkan apabila Khairul Nazmi bertarung dengan gerepoh.
Dalam perjalanan pulang ke jeti pada sebelah malam kami sempat singgah di salah satu pelantar minyak lagi. Kali ini jig-jig kami diserbu gerombolan ikan cupak pula. Tak menang tangan kami bertarung dan membiarkan sahaja ikan melambak di atas bot. Sekali gus ia menjadi penamat trip memancing empat hari kami ke Borneo pada tahun ini dan tiada sebab untuk kami tidak kembali pada tahun hadapan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...