Mungkin bagi sesetengah pemancing yang mempunyai duit yang lebih melihat enjin baru lebih berbaloi dimiliki. Harga pasaran yang masih konsisten membolehkan pemancing memilih untuk membelinya.
Terdapat pelbagai jenama seperti Yamaha, Suzuki, Mariner, Mercury, Johnson, Honda dan lain-lain jenama seperti Hidea keluaran China terdapat di pasaran tempatan.
Enjin 2 lejang atau 4 lejang boleh dipilih mengikut kehendak pemancing tetapi mungkin cuma harganya sedikit berbeza.
Di Malaysia, tiada had penggunaan kuasa kuda terhadap perairan padang pancing kita namun sesetengah negara luar, terdapat penguatkuasaan undang-undang terhadap had penggunaan kuasa enjin sangkut.
Ads
Memilih membeli enjin sangkut terpakai.
Sebenarnya ramai nelayan atau pemancing menjual dan mencari enjin sangkut terpakai. Berbeza dengan membeli enjin sangkut baru, pembeli haruslah meneliti dan melihat sendiri enjin terpakai tersebut supaya tidak kecewa setelah memilikinya.
Terdapat beberapa aspek yang perlu dititikberatkan seperti:-
Ads
1. Memeriksa badan enjin sangkut.
2. Memeriksa kipas enjin.
3. Meneliti kebocoran head enjin.
4. Memastikan tangki minyak dalam keadaan baik.
Ads
5. Memastikan hose penyalur minyak tidak bocor.
6. Bunyi rod tidak bising.
7. Enjin tidak bergegar.
8. Gear mudah dimasukkan ke hadapan dan mengundur.
Ia tidak mungkin 100% sempurna namun pembeli harus tahu penyelenggaraan enjin sangkut ini bukan mudah. Bayangkan enjin sangkut berkuasa 15 hp baru sama nilainya dengan sebuah motosikal kapcai.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan baung dengan nama latinnya Mystus Nemurus aktif mencari makan pada malam hari (nocturnal), dengan sasaran ikan-ikan kecil, bangkai dan beberapa jenis buah pohon liar. Untuk mendapatkan ikan jenis ini tidak begitu sukar bahkan dikira agak mudah kerana ikan baung termasuk dalam ikan rakus membaham umpan.
Namun jangan terlalu yakin sangat kerana jika kita tidak tahu harus pakai umpan apa, atau ia aktif pada jam berapa untuk mencari makan, boleh kumpau berdarah juga dibuatnya. Untuk memperoleh dalam kuantiti banyak, persediaan dan peralatan pancing amat penting.
Tali Pancing Sesuai
Mungkin sebahagian dari kita sudah tahu sensasi tarikan ikan jenis ini. Jika tidak mahu kecewa kita harus memilih jenis line atau tali yang kuat untuk bertarung dengannya. Tentu kita tidak mahu berputih mata apabila tewas dalam pertarungan dan menjadi rezeki mata saja.
Line yang biasa saya gunakan ialah jenis braied atau tali sulam 20lbs kerana line jenis ini tidak mudah putus jika bergeser atau berbeli pada bangkar pokok yang menjadi rumah kegemaran baung.
Umpan
Umpan saya biasa guna ialah anak ikan kap ukuran sebesar jari telunjuk atau usus ayam yang dibusukkan yang tidak lebih dari 2 hari.
Namun yang paling sering saya pakai adalah umpan usus ayam yang dibusukkan kerana dengan bau yang menyengat akan menarik perhatian ikan baung itu sendiri, sebab ikan baung akan mencari sumber yang mengeluarkan bau busuk untuk dijadikan makanan yang merupakan makanan kegemarannya.
Tak seperti menggunakan umpan anak ikan kerana jika kita menggunakan anak ikan, kita hanya menunggu ikan baung melintas untuk memakan umpan kita. Namun, gabungan umpan busuk dan umpan anak ikan boleh membuahkan hasil yang lebih baik.
Waktu & Tempat
Beberapa pemancing mengabaikan hal ini, mereka lebih beranggapan yang penting umpan sudah dibaling dan memancing pada malam hari. Tak mustahil jika begini, anda hanya akan dapat gigitan nyamuk saja tanpa sebarang hasil.
Ada beberapa hal yang perlu diketahui pemancing, jika kita memancing pada malam hari mulai lewat sampai pukul 03.00 pagi, pada tempoh waktu tersebut ikan baung aktif mencari makan di pinggiran sungai dan jenis umpan yang paling sesuai ialah anak ikan.
Selain melalui teknik casting, toman juga boleh dipancing dengan teknik dasar. Suatu ketika dahulu teknik ini amat popular. Sekiranya anda berhasrat untuk memancing toman melalui teknik dasar, panduan pemilihan peralatan berikut perlu korang teliti.
Pemilihan joran
Joran berkekuatan sekurang-kurangnya 10-20lb dengan aksi sederhana berat (medium heavy) adalah disarankan. Namun joran berkuatan 15-30lb dengan aksi sederhana berat merupakan pilihan yang terbaik. Bukanlah bermakna joran di bawah 10-20lb tidak boleh digunakan. Nak guna joran 4-10lb pun boleh tetapi boleh ke joran tersebut beraksi sempurna jika strike toman melebihi 5 kilogram?
Peranan joran bukan sahaja untuk menarik atau mengepam ikan, sebaliknya juga untuk menyentap mata kail masuk ke rahang ikan toman yang keras. Saiz panjang joran yang ideal ialah 6-8 kaki. Joran melebihi 6 kaki lazimnya lebih efisien untuk membuat lontaran menggunakan umpan seperti ikan keli hidup ke spot yang lebih jauh, sekiranya memancing dari daratan. Jika menggunakan bot atau boating, joran berukuran 5-6 kaki lebih efisien.
Pemilihan kekili
Kekili saiz siri 3000 hingga 5000 paling sesuai digunakan. Tak kiralah kekili untuk kegunaan air tawar atau air masin semuanya boleh digunakan. Yang penting kekili tersebut memiliki longkang gelendung atau spool yang dalam bagi mengisi tali tangsi yang mencukupi.
Daya seretan kekili atau drag kekili juga tidak perlu sehingga belasan kilogram. Drag 4 kg pun sudah memadai kerana boleh menggunakan bantuan tangan terhadap spool bagi mengekang larian toman.
Tali pancing sesuai
Penggunaan tali tangsi atau mono adalah disarankan untuk memancing toman. Tali sulam juga boleh digunakan tetapi haruslah disambung dengan shockleader 2-3 meter. Ia bertujuan bagi mengurangkan risiko tali utama berbelit atau berpintal terutamanya jika menggunakan umpan hidup seperti ikan keli atau ikan lampam.
Tali tangsi yang tahan lasak dan geseran berkuatan 20-35lb adalah pilihan terbaik. Justeru itulah kekili saiz siri 3000 hingga 5000 adalah pilihan sesuai bagi memuatkan tali tangsi 20-35 lb ini.
Tali tangsi berwarna jernih atau kehijauan lebih sesuai digunakan atau tali yang sepadan dengan warna air lokasi pancingan toman tersebut.
Pemilihan mata kail
Boleh dikatakan banyak jenis mata kail seperti octopus hook, siwash hook atau circle hook boleh digunakan. Saiz mata kail sederhana sekitar 2/0-4/0 sesuai digunakan bergantung kepada saiz umpan yang digunakan.
Apa yang penting mata kail mestilah tajam dan kukuh untuk menembus mulut dan rahang ikan toman yang keras. Shank atau teras mata kail sebaiknya yang sederhana tetapi kuat. Teras yang halus bagus untuk strike tetapi dikhuatiri tidak mampu bertahan. Sementara teras yang tebal pula menyulitkan untuk hook up yang kemas.
Sebaiknya juga gunakan mata kail daripada material black nickel. Jumlah penggunaan mata kail pula bergantung kepada saiz umpan. Namun penggunaan 1 hingga 2 mata kail sahaja sudah memadai.
Perambut sesuai
Perambut mono filamen atau fluorocarbon 30-50lb sepanjang sekaki disambungkan dengan perambut dawai atau kabel 20-30lb kira-kira sejengkal.
Sebaiknya pilihlah dawai lembut yang disalut getah hitam. Yang penting perambut mata kail wajib menggunakan dawai atau kabel kerana toman bukan saja memiliki barisan gigi yang tajam bahkan rahang kuat yang mampu mematahkan mata kail.
Penggunaan perambut tanpa dawai pun boleh digunakan tetapi ia lebih bergantung kepada nasib. Kalau nasib baik, naiklah toman tapi kebanyakkannya jarang yang bernasib baik.
Umpan hidup
Apa sahaja benda berdaging boleh digunakan sebagai umpan toman. Namun umpan yang biasa digunakan adalah ikan hidup atau ikan mati.
Ikan keli, lampam dan puyu merupakan umpan hidup yang lazim digunakan dan berkesan. Untuk lebih berkesan, sebaiknya guna umpan yang boleh diperoleh di habitat yang sama dengan toman tersebut.
Sekiranya lubuk tersebut turut ada sebarau maka gunalah ikan sebarau sama ada hidup atau mati. Sudah sekian lama dikatakan toman dan sebarau saling bermusuhan.
Kalau nak pancing keli limbat ni kena hati kering sikit. Sebabnya, untuk memancing spesies ini dalam kuantiti yang banyak, kenalah memancing pada waktu malam. Paling berkesan pada waktu malam bulan gelap.
Cara memancingnya lebih seronok jika menggunakan teknik dulu-dulu. Tak perlu guna joran dan kekili. Cari pelepah sawit muda yang agak lembut sikit (batang buluh kecil atau joran teleskopik pun boleh). Panjang 1 depa setengah atau ikut kesesuaiaan korang.
Panjang tangsi dalam sedepa (jangan terlebih panjang melebihi joran). Kemudian guna batu ladung kepit dan kepit lebih kurang sejengkal dari mata kail. Sebenarnya tali pancing tu jangan panjang sangat. Kalau orang dewasa lebih kurang setengah depa je.
Tapi saya lebih suka tali pendek sebab bila ikan bawak lari umpan tak terasa ikan tu merempit… macam tak mencabar. Selalunya kalau tali panjang bila ikan tu merempit dia akan masuk kat mana-mana celah kayu atau pelepah sawit dalam air. Kat situlah cabarannya dan kenalah pandai control. Umpan biasanya guna cacing tanah je.
Lubuk paling mudah untuk cari limbat ialah parit-parit tanah gambut yang biasanya terdapat di kawasan estet atau ladang kelapa sawit. Jika memancing bersama rakan, sebaiknya jarak antara pemancing sekurang-kurangnya 20-30 kaki. Part inilah kena hati kering sikit sebab waktu malam. Kalau takut duduk jauh-jauh, rapat-rapat pun boleh tapi kuranglah hasilnya.
Masukkan mata kail dalam air kemudian kocak air parit dengan hujung joran. Kocak dalam 5 saat kemudian berhenti 3 saat, kemudian kocak dan begitulah seterusnya sehingga umpan kena ngap. Kalau malas kocak, korang henjut sikit-sikit hujung joran bagi umpan turun naik.
Cara kocak joran pun ada caranya juga. Celupkan hujung joran tu lebih kurang setengah jengkal dalam air, dan jangan kocak air tu kuat sangat. Sedang-sedang je. Kalau nak kocak kuat-kuat pun boleh tapi cepat letihlah
Hasilnya kalau tempat tu banyak limbat memang ralit dibuatnya. Hilang semua rasa seram sejuk. Kena elok saiz yang bagak-bagak pun boleh keluar. Biasanya kalau dapat saiz yang 2-3 jari ke atas tu saya akan lepas balik sebab dah tua… dah tak sedap rasanya.
Kalau memancing di dalam sawah padi, tali air atau parit yang ada titi berkolong, cuba pancing depan muka kolong tu time malam. Biasanya pasti ada cuma banyak tak banyak je.
Kalau malas atau takut nak pancing waktu malam gelap tapi teringin nak makan keli limbat ni, buat tajur dan pasang banyak-banyak. Tinggal dan pergi tengok selepas subuh. Kalau dah rezeki tu tak ke mana…. itupun kalau tak kena makan dgn kengkawan dia. Selalunya seekor dua mesti tinggal kepala je.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...