Jika memancing di sungai yang dipercayai ada buaya, jangan gunakan umpan tepung yang digaul dengan kunyit.
Buaya tidak suka bau kunyit dan ia boleh ‘mengamuk’ dan ini boleh mendatangkan bahaya kepada pemancing.
Sesat di hutan
Jika tersesat di dalam hutan semasa memancing dan tidak menjumpai jalan pulang, ada petua yang agak ngeri iaitu telanjang dan buang air kecil.
Selepas itu, ambil tanah di antara tapak kaki anda dengan tempat membuang air kecil tadi dan bawalah sepanjang jalan. Khabarnya jalan pulang akan ditemui.
Pemakaian kasut
Ads
Apabila memancing di dalam sampan atau bot jangan pakai selipar atau kasut. Ia seperti hendak masuk rumah sendiri dan juga rumah orang lain.
Ia seperti tanda hormat dan adab. Ada juga beranggapan benda-benda di bawah (dalam air) tidak suka kepala mereka dipijak dengan selipar atau kasut yang kotor.
Langkah joran
Petua ini menjadi ikutan ramai pemancing hingga ke hari ini. Pantang larang agar batang pancing tidak dilangkah ada kalanya menjadi satu medan pertengkaran sesama rakan pancing.
Apa yang sering dikatakan adalah batang pancing akan ‘suwei’ apabila kena langkah dan hasil tangkapan akan meleset.
Ads
Meludah umpan
Petua ini turut menjadi amalan hingga kini. Ada yang melakukan pada umpan yang pertama di dalam aktiviti memancing dan ada yang sentiasa meludah setiap kali menukar umpan baru.
Ada yang beranggapan untuk isyarat membuang ‘suwei’ dan ada yang kata sebagai ‘daya penarik’ ikan atau udang.
Ads
Patah balik
Dilarang patah balik ke rumah sekiranya ada tertinggal barang. Ada yang beranggapan akan berlaku perkara tidak baik dan juga tidak akan dapat hasil tangkapan.
Itu kalau benda-benda kecil yang tertinggal la… kalau dah joran dengan reel yang tertinggal. Gila ke apa tak nak patah balik?
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Nombor satu keselamatan, nombor dua keselamatan, nombor tiga barulah strike! Ingat tu, keselamatan adalah aspek paling penting apabila melakukan aktiviti memancing di bawah jambatan. Beberapa perkara yang disenaraikan ini perlu anda hadam demi keseronokan memancing.
Jaga Keselamatan fizikal
Pakai pakaian yang sepadan dengan aktiviti dan geografi lokasi. Pastikan badan tidak terdedah dengan cuaca yang terlalu sejuk atau panas. Begitu juga dengan alas kaki. Sebaiknya pakailah alas kaki yang lebih selamat berbanding berselipar sahaja. Lebih-lebih lagi jika kita tidak pasti tahap kelicinan pelantar benda-benda tajam yang mungkin tersembunyi di permukaannya.
Pakai Jaket Keselamatan
Jangan berasa segan jika ingin memakai jaket keselamatan. Terutamanya jika anda ada masalah gayat dan langsung tidak tahu berenang. Jika ingin memakai jaket keselamatan pilihlah jaket keselamatan dari jenis foam kerana selain daripada berfungsi di dalam air, ia juga boleh digunakan sebagai jaket pemanas badan pada waktu malam.
Bekalan Air Bersih
Selain membawa bekalan makanan yang mencukupi, apa yang lebih penting sebenarnya adalah bekalan air bersih untuk diminum dan tujuan lainnya. Tak mengapa kalau kelaparan tak cukup makanan tetapi kalau kehabisan air untuk diminum, ia tak boleh diganti dengan air laut.
Pancing Berteman
Sama ada ingin memancing untuk tempoh yang lama atau beberapa jam sahaja, sebaik-baiknya biarlah berteman. Jangan sesekali memancing secara bersendirian. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku. Kadang-kadang kemalangan yang kecil sahaja boleh menyebabkan nyawa terancam.
Keselamatan Barangan Peribadi
Simpan segala barang-barang yang penting seperti handphone dan kunci kenderaan di tempat yang selamat. Khususnya selamat dari diterbangkan angin dan terkena tempias air masin. Kalau boleh biar diikat terus pada tiang jambatan. Setidak-tidak kalau tersepak pun tidaklah terus melayang ke air.
Sentiasa Peka
Jangan berada dalam keadaan terlalu selesa. Maksudnya, bila dah rasa selesa sangat kita akan lupa di mana sebenarnya kita berada. Kita jadi terlupa yang kita berada kawasan yang dikelilingi oleh air berarus deras. Bukannya berada di daratan sebenar.
Fenomena Air Pasang Besar
Ia jarang berlaku tetapi pernah terjadi ada pemancing yang terperangkap di atas pelantar dan hampir dihanyutkan arus apabila dilanda peristiwa air pasang besar. Jadi, anda harus pantau jadual air pasang surut dan cubalah elak daripada memancing di bawah jambatan apabila berlakunya peristiwa air pasang besar.
Tasik Kenyir, boleh dikunjungi pada bila-bila masa sepanjang tahun. Terpulang kepada anda mahu fokus memancing ikan apa dan cara pancingan, iaitu memilih boathouse (sesuai untuk pancingan santai dan rileks) atau berkhemah/trekking (adventure).
Untuk pengetahuan, tidak semua ikan mudah diperolehi sepanjang masa. Jika mensasarkan casting sebarau, waktu terbaik pada musim tengkujuh dan musim panas untuk memancing kelah dengan trekking denai hutan.
Hujung minggu di Tasik Kenyir adalah waktu puncak dan biasanya boathouse akan penuh di kebanyakan spot utama. Bagi yang inginkan privacy, sebaiknya datang ketika waktu bekerja (mohon cuti awal-awal) kerana ketika ini, spot utama di Tasik Kenyir tidak sesak. Paling penting setiap tempahan trip ke sini perlu ditempah awal sekurang-kurangnya 2-3 bulan lebih awal.
Kos memancing
Kos memancing di Tasik Kenyir masih dianggap munasabah setakat hari ini. Pakej memancing untuk 3H 2M dengan boathouse (termasuk pakej makan+minum), misalnya masih tidak melebihi RM500 seorang termasuk kos transport dari Lembah Klang & makan minum. Semakin ramai ahli trip maka semakin kuranglah kosnya.
Harga yang ditawarkan oleh kebanyakan pengusaha boathouse di sini sekitar RM1800-RM3000 sehari dan ada juga lebih dari itu. Untuk tidak membebankan, buatlah tabungan awal sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal.
Untuk mereka yang inginkan kelainan dan juga merancang untuk sesuatu yang berbeza, boleh berurusan dengan tekong untuk terus menaiki speedboat ke lokasi memancing.
Cara ini, biasanya dilakukan oleh mereka yang ingin fully casting semasa musim tengkujuh dan juga trekking (memancing sungai pergunungan) semasa musim panas. Kosnya sedikit mahal berbanding pakej boathouse.
Peralatan memancing
Set memancing yang sesuai digunakan di Tasik Kenyir ialah padanan rod yang berkekuatan 8lb-20lb dan kekili spinning saiz 1000-3000 ataupun kekili baitcaster untuk mereka yang gemar kekili jenis ini.
Tali pancing pula berkekuatan 10-20lb amat sesuai digunakan untuk aktiviti casting dan memancing dasar. Ini bermaksud set pancingan berkekuatan ringan dan sederhana perlu dibawa ke sini.
Anda juga digalakkan membawa joran teleskopik atau rod memancing udang. Tujuannya untuk lebih keseronokan memancing ikan lampam.
Lokasi memancing
Tasik Kenyir terbahagi kepada dua seksyen iaitu Taman Negara dan luar kawasan Taman Negara. Permit adalah diwajibkan, jika memancing di dalam kawasan taman dan akan ia diuruskan oleh tekong.
Lokasi memancing biasa yang akan dibawa oleh tekong adalah Sungai Cicir, Perpek, Terenggan, Cacing dan Bewah (bergantung kepada proses penutupan sungai). Manakala luar taman adalah seperti Kelebu, Air Papan, Belimbing, Lawit dan sebagainya.
Makan & minum
Biasanya kaki pancing akan membayar kos boathouse sudah termasuk pakej makan minum (5x sehari). Sebagai tambahan anda bolehlah bawa kudapan sendiri. Untuk lebih menarik, anda boleh bawa daging kambing untuk acara BBQ pada malam terakhir.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...