Panduan Pemancing Baru Ke Tasik Kenyir (part 1)

 

Ramai kaki pancing pernah menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir. Ada yang sekali sahaja pernah sampai, ada juga yang dalam setahun sampai lima enam kali menjejakkan kaki ke sini. Tidak kurang juga ramai yang belum pernah sampai ke sini.

 

Seperti yang kita tahu, Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1978 dan disiapkan pada tahun 1987.

Ia dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Empangan ini menampung kira-kira 23,6 juta meter padu air dan meliputi keluasan kawasan 38,000 hektar.

 

 

Operasi empangan ini dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Tasik Kenyir secara amnya merangkumi 30 batang sungai utama, ratusan anak sungai, 25 air terjun dan sekurang-kurangnya 25 spesies ikan yang diketahui menetap di tasik ini.

 

Oleh itu, Tasik Kenyir sememangnya dikenali sebagai syurga memancing pelbagai spesies air tawar. Atas sebab itu, Tasik Kenyir memang wajib dikunjungi oleh kaki pancing, sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

 

Bagi mereka yang berhasrat untuk datang memancing ke sini buat pertama kalinya, beberapa perkara harus anda ketahui dan perlu ambil kira. Majalah Umpan merumuskan 17 perkara yang perlu ada patut tahu sebelum bertandang ke sini.

 

 

Waktu sesuai

Tasik Kenyir, boleh dikunjungi pada bila-bila masa sepanjang tahun. Terpulang kepada anda mahu fokus memancing ikan apa dan cara pancingan, iaitu memilih boathouse (sesuai untuk pancingan santai dan rileks) atau berkhemah/trekking (adventure).

IKLAN

 

Untuk pengetahuan, tidak semua ikan mudah diperolehi sepanjang masa. Jika mensasarkan casting sebarau, waktu terbaik pada musim tengkujuh dan musim panas untuk memancing kelah dengan trekking denai hutan.

Hujung minggu di Tasik Kenyir adalah waktu puncak dan biasanya boathouse akan penuh di kebanyakan spot utama.

 

Bagi yang inginkan privacy, sebaiknya datang ketika waktu bekerja (mohon cuti awal-awal) kerana ketika ini, spot utama di Tasik Kenyir tidak sesak. Paling penting setiap tempahan trip ke sini perlu ditempah awal sekurang-kurangnya 2-3 bulan lebih awal.

 

 

Kos memancing

Kos memancing di Tasik Kenyir masih dianggap munasabah setakat hari ini. Pakej memancing untuk 3H 2M dengan boathouse (termasuk pakej makan+minum), misalnya

masih tidak melebihi RM500 seorang termasuk kos transport dari Lembah Klang & makan minum. Semakin ramai ahli trip maka semakin kuranglah kosnya.

 

Harga yang ditawarkan oleh kebanyakan pengusaha boathouse di sini sekitar RM1500-RM2500 sehari dan ada juga lebih dari itu. Untuk tidak membebankan, buatlah tabungan awal sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal.

 

Untuk mereka yang inginkan kelainan dan juga merancang untuk sesuatu yang berbeza, boleh berurusan dengan tekong untuk terus menaiki speedboat ke lokasi memancing.

Cara ini, biasanya dilakukan oleh mereka yang ingin fully casting semasa musim tengkujuh dan juga trekking (memancing sungai pergunungan) semasa musim panas. Kosnya sedikit mahal berbanding pakej boathouse.

 

 

Peralatan memancing

Set memancing yang sesuai digunakan di Tasik Kenyir ialah padanan rod yang berkekuatan 8lb-20lb dan kekili spinning saiz 1000-3000 ataupun kekili baitcaster untuk mereka yang gemar kekili jenis ini.

 

Tali pancing pula berkekuatan 10-20lb amat sesuai digunakan untuk aktiviti casting dan memancing dasar. Ini bermaksud set pancingan berkekuatan ringan dan sederhana perlu dibawa ke sini.

Anda juga digalakkan membawa joran teleskopik atau rod memancing udang. Tujuannya untuk lebih keseronokan memancing ikan lampam.

 

 

Lokasi memancing

Tasik Kenyir terbahagi kepada dua seksyen iaitu Taman Negara dan luar kawasan Taman Negara. Permit adalah diwajibkan, jika memancing di dalam kawasan taman dan akan ia diuruskan oleh tekong.

 

Lokasi memancing biasa yang akan dibawa oleh tekong adalah Sungai Cicir, Perpek, Terenggan, Cacing dan Bewah (bergantung kepada proses penutupan sungai). Manakala luar taman adalah seperti Kelebu, Air Papan, Belimbing, Lawit dan sebagainya.

 

 

Makan & minum

Biasanya kaki pancing akan membayar kos boathouse sudah termasuk pakej makan minum (5x sehari). Sebagai tambahan anda bolehlah bawa kudapan sendiri. Untuk lebih menarik, anda boleh bawa daging kambing untuk acara BBQ pada malam terakhir.

 

 

Pengangkutan

Pengangkutan secara carpool adalah paling efektif, kerana ia dapat menjimatkan kos. Sebaiknya guna kenderaan yang ada but besar untuk kemudahan mengisi barang.