Menarik sotong tidak sama seperti menarik ikan. Jangan melayan tarikan sotong seperti anda membuat sentakan ikan. Jika anda menarik sotong seperti ikan, peluang untuk mendapatkan sotong agak tipis.
Mungkin anda hanya mendapat jejari sotong sahaja. Apabila semakin lama anda menyandat, akan akan faham sendiri seni pancingan sotong ini.
Semasa sotong tiba dipermukaan, sotong akan memancutkan dakwatnya ke atas. Oleh itu elakkan dari melihat sotong dalam posisi berhadapan. Pastikan sotong berada agak jauh dari muka anda dengan cara meluruskan tangan semasa mengangkat sotong.
Ads
Sotong mampu memancutkan dakwat dan air melebihi ketinggian bumbung bot. Selalunya sotong torak hanya membuat sekali pancutan yang kuat. Pancutan air juga menunjukkan kedudukan sotong yang sudah berada berdekatan dengan permukaan.
Ads
Jika kita menghampiri bot-bot menyandat sotong, kita boleh melihat pancutan-pancutan air yang tinggi. Pancutan yang kerap memberi gambaran bilangan sotong yang berjaya didaratkan.
Ads
Jika semakin banyak dan kerap pancutan, maka semakin banyak sotong yang telah dicandat. Selalunya fenomena sebegini tidak lama, oleh itu pemancing perlu peka kepada perubahan pola ini.
Bagi nelayan tradisional dan penyandat-penyandat hardcore, mereka akan menarik sotong dengan tarikan yang sesuai, memegang badan sotong dalam posisi rendah, mencampak ke dalam bekas sotong dan melepaskan semula candat ke laut dengan muka yang cukup selamber.
Semuanya berlaku cukup pantas. Agak sukar untuk melihat sotong yang telah mereka tangkap dari jarak yang jauh. Walaubagaimanapun, pancutan yang dilakukan oleh sotong dapat memberikan gambaran yang cukup bermakna bagi bot-bot yang baru tiba ke lokasi berkenaan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sama ada menebing atau pancingan pantai, pasti ada spesies ikan yang menjadi sasaran utama. Berikut merupakan senarai spesies yang sering menjadi sasaran.
Pari
Tidaklah sama ada pari benting, pari daun atau pari lalat… ia merupakan spesies sasaran utama mana-mana pemancing pantai. Ini adalah kerana daya juangnya yang tidak mengenal erti kalah.
Semakin besar saiz ikan pari yang ditawan, semakin seronoklah cabaran yang diberikan. Selain itu, ikan pari turut menjadi sasaran disebabkan faktor keenakan dagingnya. Umpan yang biasa digunakan untuk memancing pari terdiri daripada udang, ikan dan juga sotong.
Gerong Belang
Gerong belang atau golden trevally lebih mudah dipancing dan menjadi sasaran surfcaster di sebelah Pantai Timur Semenanjung. Di Pantai Barat, spesies ini agak sukar untuk ditemui berikutan faktor geografi dasar pantai.
Gerong belang diminati oleh penggemar surfcasting berikutan pecutan dan tenaganya yang jitu. Sebagaimana ikan pari, ia turut diburu untuk sumber protein dan memiliki daging yang enak. Gerong belang biasanya diburu dengan menggunakan umpan hidup, ikan dan juga sotong.
Ebek
Ebek atau diamond trevally lazimnya akan menghuni kawasan perairan berbatu karang yang mempunyai kedalaman sekitar 20 meter hingga 100 meter sebagai habitatnya. Begitu pun, ebek juvenil lebih bersifat pelagik dan sering berlegar mengikut arus.
Kadangkala ebek juvenil mengikut arus laut sehingga ke kawasan muara atau tepian pantai. Ebek-ebek inilah lazimnya yang diburu oleh para pemancing pantai. Selain ebek juvenil, adakalanya ebek dewasa turut sama berjaya ditawan dan ia dianggap bonus.
Ebek biasanya dipancing dengan menggunakan umpan udang hidup, udang lipan dan turut mengambil umpan hirisan sotong.
Yu kemejan
Spesies campuran yu dari pari ini mampu menghabiskan tali utama sepanjang 200 hingga 400 meter di dalam gelendung kekili milik surfcaster dengan sekelip. Justeru yu kemejan menjadi spesies sasaran utama bagi pemancing pantai yang mendambakan pertarungan yang sengit dan penuh mencabar.
Yu kemejan merupakan spesies yang gemar mendiami kawasan berpasir, berlumpur selut dan kawasan rata yang mendatar. Waktu utama pemburuannya ialah pada waktu malam kerana ia lebih aktif memburu mangsa pada tersebut. Umpan bagi memburu spesies ini lebih kurang sama dengan pari iaitu udang, sotong dan ikan.
Talang
Ikan talang atau queenfish biasanya boleh ditemui di lagun pantai, terumbu dan persekitaran pulau-pulau. Mereka mendiami perairan yang jernih dari permukaan hingga kedalaman 100 meter.
Sementara talang juvenil mendiami kawasan air cetek berhampiran pantai dan boleh memasuki muara termasuk kawasan air payau. Walau bagaimana pun ikan dewasa turut menghampiri pesisir pantai dan sering menjadi sasaran kepada pemancing pantai.
Ikan ini digemari oleh surfcaster kerana aksi akrobatiknya selepas tercangkok mata kail. Ia boleh dipancing dengan menggunakan umpan belanak hidup, udang hidup serta hirisan ikan.
Daun baru
Ikan daun baru atau sicklefish boleh ditemui hampir merata pesisiran pantai semenanjung. Ikan daun baru menjadikan pesisiran pantai berkarang, berpasir dan berlumpur sebagai habitat utamanya.
Walaupun tidak tergolong dalam game fish yang memberikan tantangan hebat kepada pemancing, ia turut tersenarai dalam ikan sasaran penggemar pancingan pantai. Ikan daun baru boleh dipancing dengan menggunakan umpan umpun-umpun, hirisan ikan dan udang.
Sembilang
Sembilang atau gemang merupakan spesies sasaran utama khususnya di bahagian sebelah Pantai Barat Semenanjung yang memiliki pesisir pantai berlumpur. Spesies yang terkenal dengan sirip berduri dan berbisa ini juga mampu melenturkan joran panjang jika bersaiz kasar.
Ia menjadi sasaran utama bukanlah kerana keupayaan pertarungan, sebaliknya lebih kepada hidangan di meja makan kerana keenakan dagingnya. Banyak jenis umpan boleh digunakan untuk memancing sembilang seperti udang, sotong, ikan, umpun-umpun dan kerang-kerangan.
Adalah sangat penting kepada semua pemancing untuk mengetahui kesesuaian set pancing bagi memancing golden trevally atau gerong belang. Peralatan yang sesuai secara asasnya dari set light hingga medium.
Namun ia bergantung juga pada teknik dan kecenderungan peribadi pemancing untuk perlawanan yang lebih mencabar, terdapat juga pemancing yang memilih set yang lebih ringan untuk lebih ekstrim.
Tali sulam utama dengan kekuatan breaking point sekitar 10-20lb sudah memadai untuk penggemar teknik casting dan light jigging. Kekuatan tali melebihi 20lb dikira terlalu berat untuk menikmati pertarungan yang sebenar.
Kekuatan tali utama ini adalah kekuatan yang sesuai untuk kebanyakan spesies trevally termasuk gerong belang dengan mengambil kira kaedah pancingan casting di zon strike trevally.
Sekiranya anda memilih tali nylon atau tangsi, pilihlah tali yang mempunyai warna yang terang jika anda gunakan tali jenis ini sebagai tali utama.
Jika anda mengamalkan teknik trolling pula, gunakan gewang berbibir minnow saiz sederhana dengan kelajuan bot sekitar 4-6 knot.
Waktu yang paling sesuai untuk memancing gerong belang dan kebanyakan spesies trevally ialah ketika waktu air penuh kerana trevally aktif mengejar ikan kecil di habitatnya pada waktu sebegini.
Bagi kaki casting, cermin mata polaroid sangat membantu terutama ketika mengenal pasti lokasi gerong belang di dalam kawasan air cetek dan jernih selain mengelakkan mata anda letih ketika memancing di lautan.
Ikan sebarau memiliki sifat pemangsa atau pemburu. Spesies ini sering menerkam mangsa secara tiba-tiba selain gemar mengejar ikan kecil. Kelajuan renangan menjadikannya suatu kelebihan ketika mengejar mangsa. Selain menghentam mangsa dengan agresif, sebarau juga mampu menggunakan teknik menyedut mangsanya.
Sebarau biasanya bergerak secara berkumpulan dan selalunya dalam setiap kumpulan terdapat seekor sebarau yang dominan bertindak sebagai ketua. Bagi sebarau yang lebih besar, biasanya akan bergerak secara bersendirian atau pun berpasangan. Spesimen yang besar jarang berenang berkumpulan kerana sifat dominannya.
Sebarau merupakan ikan pancingan sukan yang sangat mengujakan. Spesies ini mempunyai sifat seekor pemburu dan sangat agresif. Pemancing yang terjumpa kawanan sebarau sedang memburu mampu menaikkan beberapa ekor spesies ini dalam waktu yang singkat.
Di Malaysia, sebarau atau badong boleh dikatakan ikan pancingan sukan yang paling terkenal dan paling mengujakan. Daya tentangan ikan ini cukup kuat dan boleh dikategorikan antara spesies pemangsa yang terhandal. Kekuatan sebarau boleh dirasakan sejak dari mula spesies ini menghentam gewang sehinggalah sewaktu mendaratkan ikan ini.
Sebarau cukup terkenal bagi penggemar teknik mengilat. Selain gewang tiruan dan sesudu, sebarau juga boleh dipancing menggunakan umpan seperti cacing dan serangga. Lokasi terbaik dan popular memancing sebarau termasuklah tasik-tasik besar, lombong tinggal, kawasan air terjun berjeram serta sungai-sungai pergunungan. Sebarau sering mendiami kawasan seperti ini.
Kawasan yang mempunyai sedikit struktur menambahkan lagi potensi kehadiran sebarau. Dengan struktur seperti batu besar dan kayu, sebarau berpotensi menunggu mangsa di sebalik struktur tersebut. Penggunaan umpan tiruan lebih berpotensi dihentam sebarau jika digayakan di kawasan berstruktur.
Sebarau yang lebih besar atau badong pula sering menghuni kawasan yang lebih dalam dan berstruktur. Sebarau bersaiz 1kg ke atas mampu memberikan tentangan yang mengujakan sehingga ke gigi air atau tepi bot. Kes mata kail standard gewang dan sesudu patah atau bengkok perkara biasa jika terkena sebarau bersaiz besar.
Ada di kalangan kaki pancing awal-awal lagi akan menukar mata kail kepada yang lebih kuat, terutama menjejaki sebarau di kawasan sungai pergunungan.
Kekuatan tentangan serigala air tawar ini sejak awal sehingga ke akhir perlawanan seharusnya mendapat penghormatan oleh pemancing.
Tip dan teknik
Bagi teknik mengilat, penggunaan paling mudah, efektif dan popular ialah penggunaan sesudu. Penggunaan sesudu sangat berkesan untuk digayakan di lokasi yang berair tidak terlalu dalam serta berarus. Bagi lokasi seperti sungai-sungai pergunungan, selalunya penggunaan sesudu tidak mengecewakan. Larian sesudu serta kilauan pada sesudu biasanya akan menarik perhatian spesies ini untuk mengejar dan menghentam sesudu.
Selain itu, penggunaan gewang selaman sama ada selaman sederhana dan selaman dalam turut berkesan menjerat sebarau. Sebarau yang bersaiz lebih besar biasanya mendiami kawasan yang lebih dalam dan penggunaan gewang selaman berkesan menarik perhatian sebarau.
Satu lagi gewang tiruan yang cukup popular ialah gewang permukaan. Saya sendiri menganggap, dalam banyak-banyak gewang, gewang jenis ini paling mengujakan.
Anda sendiri cuba bayangkan, setibanya di satu teluk di awal pagi, ketika itu hujan sedang turun gerimis, gewang pensil di lontar jauh, sebelum dimainkan dengan perlahan.
Sedang mata memerhatikan lenggokan gewang berkenaan, satu deburan kuat kedengaran, serta-merta degupan jantung berkali ganda kuat degupannya. Satu tarikan padu berlaku pada kekili anda dengan tali berdecit muntah keluar sebelum asakan tersebut cuba ditahan dengan kemas.
Tiada yang lebih nikmat melainkan merasai saat pertarungan tersebut. Sama ada ia berpihak kepada ikan atau anda itu terpulang pada skill dan juga peralatan memancing yang anda gunakan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...