
Apa yang terlintas di fikiran anda sekiranya terlihat seseorang itu dengan penampilan berambut panjang, berseluar jean ketat, t-shirt bergrafikkan kumpulan muzik dan berjaket denim?
Saya percaya ramai yang akan melabelnya seorang ahli kumpulan rock atau sekurang-kurangnya ialah peminat rock.
Begitu juga dengan pemancing atau angler. Mereka ada identiti atau penampilan tersendiri yang melambangkan mereka adalah seorang pemancing. Dan mereka berbangga dengan imej tersendiri itu.
➡ Tengok kenderaan yang digunakan.
Jika ada sticker jenama atau produk peralatan memancing tertampal pada cermin atau badan kenderaan, sahlah beliau seorang kaki pancing.
➡ Tengok keychain
Kalau kenderaannya tak bersticker, tengok pula keychain yang digunakannya. Lazimnya pemancing tegar khususnya peminat casting akan menggantung gewang pada keychainnya.
➡ Berpakaian outdoor
Peminat sukan memancing (yang berduit) lazimnya akan mengenakan pakaian outdoor berjenama yang terkenal dengan aktiviti memancing.
➡ Picture profile
Jika di media sosial contohnya di facebook pula cukup mudah untuk mengetahui seseorang itu adalah kaki pancing kerana lazimnya mereka akan letakkan posing bersama ikan sebagai picture profile mereka.
➡ T-shirt event
Jika tidak berpakaian outdoor, tshirt atau topi berjenama produk alatan memancing juga sering dipakai pemancing. Begitu juga dengan t-shirt kejohanan memancing yang disertainya.
➡ Ngeteh
Pemancing ni gemar ngeteh di kedai-kedai mamak. Kalau terlihat sekumpulan lelaki lepak-lepak di kedai mamak dan kedengaran bercerita pasal aktiviti memancing, memang sah la mereka adalah kaki pancing.
➡ Kulit terbakar
Berkulit hitam atau rentung… Walaupun bukanlah satu fakta yang tepat, lazimnya tidak ada pemancing tegar yang berkulit halus dan putih gebu.
Kebanyakannya macam hangus kerana banyak berjemur di tengah panas.
Spesies Sasaran Slow Jigging Zeezone Muar!!

Boron/Tong gas
Boleh dikatakan, setiap pengamal slow jigging berhasrat untuk menundukkan kerapu boron atau tong gas ini. Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan. Pasti ramai pecinta jigging perlahan merindui aksi benamannya dalam usaha melarikan diri setelah tersangkut mata jig.
Info:
Nama saintifik: Epinephelus malabaricus
Nama Inggeris: Malabar Grouper
Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas
Kerapu mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter. Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang.
Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat.
Kakap Merah
Ia merupakan ikan sisik yang dianggap sebagai ikan trofi jika berjaya mendaratkannya. Dalam disiplin jigging perlahan, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan. Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.
Info:
Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus
Nama Inggeris: Mangrove jack
Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong
Ikan kakap merah atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan. Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.
Kaci
Dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini hampir tidak tersenarai dalam buruan utama berikutan ia pernah dianggap tidak membaham jig kecuali jig yang ‘berumpan’. Namun tentangan yang diberikan kaci sehingga ke permukaan membuatkan ia kini menjadi spesies yang ingin diburu.
Info:
Nama saintifik: Diagramma pictum
Nama Inggeris: Grunts (sweetlips)
Nama tempatan: Kaci, mandi abu
Ciri-ciri untuk mengenali kaci atau mandi abu ini memiliki 9-10 duri pada sirip dorsal, 20-24 tompok sinar lembut. Kaci juvana atau sub dewasa memiliki tompok atau jalur. Ia mampu membesar sehingga 100 cm namun saiz biasa yang ditemui sekitar 45 cm.
Dalam dunia memancing khususnya pancingan kolam air masin, kaci ini lebih merujuk kepada panggilan kakap merah.
MERAH
Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig. Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan. Namun peluang untuk memperolehnya dengan menggunakan jig sahaja tetap ada terutamanya ketika ia kelaparan.
Info:
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat
Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu. Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.
Ibu Gelama
Dalam skop jigging perlahan masa kini, ibu gelama dianggap sebagai spesies buruan paling atas masa kini. Ia berikutan bukan sahaja kerana kesukaran untuk memperolehinya, bahkan disebabkan tahap kekuatan pertarungannya yang luar biasa berbanding spesies. Seperkara lain, ibu gelama yang lazimnya ditumpaskan melalui teknik slow jigging ini, saiznya besar-besar belaka.
Info:
Nama saintifik: Argyrosomus japonicus
Nama Inggeris: Mulloway, Jewfish, Kingfish
Nama Melayu: Ibu gelama
Argyrosomus japonicus adalah spesies ikan berwarna keperakan dan hijau gangsa yang tergolong dalam keluarga Sciaenidae. Di Australia ia dikenali sebagai mulloway atau jewfish dan kob dusky di Afrika Selatan. Ibu gelama ini mampu mencapai panjang kira-kira 180 cm (80 kg berat), walau bagaimana pun purata saiz yang biasanya ditangkap sekitar 3-15 kg.
Tip Mengenal Lubuk-Lubuk Persembunyian Ikan Patin

Sebelum membuat rangkaian setting memancing ikan patin sebaiknya ketahui dahulu sifat ikan patin ketika makan umpan berupa pelet. Hal ini sangat penting kerana dengan mengetahui sifat ikan patin, kita dapat menentukan rangkaian setting apa yang perlu dipakai untuk memancing ikan patin.
Biasanya ikan patin memakan umpan dengan cara yang sangat halus iaitu pelet akan disondol-sondol dengan mulutnya. Kemudian dibawa pergi agak jauh, baru kemudian umpan ditelan. Jadi apabila anda terburu-buru menyentap joran ketika tali pancing baru menegang biasanya sering lucut.
Tip Memilih Spot
Menentukan spot/tempat memancing memang sangatlah penting. Pastinya membangau bila korang memancing seharian meskipun dengan umpan yang power lagi padu sekalipun, namun di tempat itu tidak terdapat ikan patin.
Memancing ikan patin memang tidak boleh sebarangan atau asal main lempar umpan saja. Dengan spot yang tepat pastinya tak akan ada istilah kumpau atau membangau ketika memancing. Untuk itu kemahiran dalam menentukan spot memancing harus korang miliki.
Memilih Spot Memancing Patin Di Sungai
Spot atau titik memancing ikan patin sangat dipengaruhi oleh cuaca dan musim. Ketika musim kemarau ikan patin lebih senang berada di lubuk-lubuk yang memang tempat tinggalnya. Sementara ketika musim hujan ikan ikan patin akan menyebar dan bermigrasi dari lubuk-lubuk ke arah hilir.
Ketika musim hujan, korang boleh memancingnya di sebarangan tempat, asalkan lebih dalam dari perairan yang lainnya.
Memilih Spot Memancing Ikan Patin Di Rawa, Tasik dan Lembah Sungai
Berdasarkan pengalaman para pemancing yang sudah terbiasa memancing ikan patin, terdapat 3 tempat atau spot yang biasa didiami ikan patin iaitu:
Sekitar Rumpun Semulajadi
Rumpun adalah tempat atau spot yang terbentuk secara alami, misalnya bekas pokok tumbang. Biasanya di bawah pohon tumbang dijadikan tempat tinggal ikan-ikan predator termasuklah keli dan patin.
Tempat seperti ini sangat sesuai untuk melempar umpan. Saiz ikan patin yang mendiami spot ini juga pelbagai mulai dari di bawah 1kg hingga berukuran abah.
Sekitar sangkar ikan
Sangkar ikan merupakan tempat yang sangat digemari oleh ikan patin. Makanan berupa pelet yang jatuh ke dasar dari jaring sangkar menjadikan titik ini dihuni ikan-ikan beragam termasuk ikan patin. Usahakan memancing di sekitar sangkar ikan, namun jangan terlalu dekat kerana potensi kail tersangkut tali sangkar juga besar.
Sekitar pinggiran rawa, tasik dan lembah sungai
Untuk spot satu ini memang kurang padu dibandingkan sekitar rumpun dan sangkar. Kita hanya menunggu ikan patin yang lalu untuk mencari makan ke pinggiran. Memancing di pinggiran perlu trik khusus.
Meskipun di pinggiran, korang harus mencari spot yang paling dalam serta spot yang sering dipancing. Jika sering dipancing pastinya umpan-umpan berupa pelet dan cacing atau yang lain bertebaran di spot tersebut. Dan pastinya ada potensi ikan berkumpul di tempat seperti itu.
Cara Orang Lama Memancing Tengas!!

Apabila memancing tengas, kita perlu banyak ‘mengendap’ iaitu bergerak senyap, perlahan dan menyamarkan diri dengan persekitaran. Kaedah mengendap ini lebih penting berbanding pemilihan umpan. Tengas hidup dalam persekitaran yang terdapat makanan mengalir laju mengikut air, jadi spesies ini tidak begitu memilih makanan.
Namun walau apapun umpan terbaik yang digunakan, tengas tidak akan menyentuhnya sekiranya ia dapat melihat anda. Jadi, anda perlu berpakaian hijau, berselindung di sebalik batu atau pokok ataupun duduk di bawah bayangan sekiranya mahu mengendap tengas.
Berkenaan dengan umpan pula, tengas menggemari pelbagai umpan termasuk pelet, biskut (campur sedikit kunyit sebagai pewarna) dan juga roti canai! Belalang, cengkerik, cacing dan lundi pasir juga merupakan kegemarannya lebih-lebih lagi dalam air keruh.
Umpan utama yang biasa digunakan oleh rakan-rakan saya ialah sejenis serangga yang dipanggil belalang togel, iaitu belalang hijau dengan perut yang bulat gemuk dan kaki belakang yang panjang. Tengas memang pantang nampak belalang ini, pasti disambarnya. Walau bagaimanapun, umpan terbaik apabila air keruh ialah perut ayam.
Jika anda ingin memancing tengas pada siang hari dan menjangkakan mampu mendapat ikan kecil tidak lebih dari 500gm, peralatan ringan dengan ketahanan 2-6lb sudah memadai.
Kekili mendatar jenis kecil dengan sistem tegangan yang licin paling sesuai. Joran yang panjang mungkin menyukarkan bagi yang kurang berpengalaman tetapi banyak kelebihan di sebaliknya.
Perairan tengas biasanya kecil dan sempit, oleh itu umpan perlu dilontarkan dengan cara menghayun (bukan melontar) atau hanya menjatuhkan terus ke dalam olak di belakang batu. Jadi joran yang panjang dapat menjalankan tugas ini dengan baik sekali.
Pengawalan hanyutan umpan dan tarikan ikan juga menjadi lebih mudah. Joran sepanjang 7-9 kaki juga boleh digunakan kerana ia sudah cukup lembut untuk mengawal tali halus. Gunakan tali perambut sepanjang 20 hingga 25 cm yang diikat pada cili dan batu ladung yang cukup kecil supaya hanyutan umpan kelihatan lebih semulajadi.
Untuk ikan kecil, gunakan mata kail bersaiz 16 hingga 10 (skala Mustad). Saiz yang kasar sesuai untuk umpan belalang dan cengkerik. Kebiasaannya, tengas kecil suka bermain di kawasan sempadan antara air deras dan olak tenang.
Cara yang banyak digunakan ialah dengan melontar umpan ke arah arus deras sambil tali dilepaskan beberapa meter ke hilir, kemudian karau.
Umpan akan hanyut ke olak tenang dan biasanya ragutan berlaku apabila umpan melewati sempadan yang disebutkan. Anda tidak perlu merembat joran dengan kuat kerana tengas sangat rakus menyambar umpan. Sentapan yang lembut sudah memadai.
Sekiranya anda ingin memburu spesies ini lebih-lebih lagi pada waktu malam, sebaik-baiknya gunakan tali yang kasar iaitu 8-12lb. Kaedah batu ladung hidup diperlukan, begitu juga dengan saiznya supaya sepadan dengan tali. Dengan ini, lontaran lebih mudah dilakukan dan penyampaian umpan kelihatan seperti semulajadi.
Spot kesukaan tengas pada malarn hari ialah pada bahagian ekor lubuk. Ikan ini lebih berani pada waktu malam kerana perairan yang agak tenang di bahagian tersebut menjadi medan perburuannya.
Anda perlu membiasakan diri dengan kawasan sebegini sebelum mengail kembali pada waktu malam lainlah sekiranya anda lebih gemar memancing pokok setiap kali lontaran! Memancing pada waktu malam di dalam hutan serta sungai berbatu amat membahayakan, jadi pastikan anda sentiasa berteman.