Ya, memang seronok bila penantian anda memancing membuahkan hasil. Kadang-kadang, dalam keadaan seronok kita sampai sanggup melupakan aspek keselamatan terutama ketika mengendalikan ikan. Dari sinilah terdengar banyak kes terkena sengatan ikan, mata kail terpacak di tangan dan bermacam-macam lagi boleh menimpa kaki pancing. Jadi, mari kita ketahui apakah antara langkah keselamatan ketika mengendalikan ikan:
Jangan terlalu gelabah atau tergopoh-gapah ketika melayan tarikan ikan. Lebih baik jika mengamalkan sesi tarik-menarik dengan tenang untuk mengelakkan berlakunya sebarang perkara tak diingini. Banyak kejadian tidak diingini boleh berlaku ketika sesi melayan ikan.
Ads
Guna gancu, tangguk atau lip grip untuk menaikkan ikan. Jangan terlalu berani menaikkan ikan menggunakan tangan kerana rontaan ikan mampu membawa kecederaan kepada kaki pancing. Apatah lagi jika yang sedang didaratkan masih dalam keadaan bertenaga atau spesies bergigi tajam.
Buka mata kail dari mulut ikan menggunakan playar atau alatan lain yang sesuai. Elakkan menggunakan tangan untuk mencabut mata kail! Tak perlu nak tunjuk korang handal dalam perkara yang tidak perlu seperti ini.
Ads
Pastikan ikan yang bersengat sudah dipotong sengatnya terlebih dahulu. Sengat yang sudah dipotong haruslah ditanam atau dicampak semula ke dalam air bagi mengelakkan anda terpijak atau terduduk ke atasnya.
Ads
Pakai kasut yang sesuai dengan geografi padang pancing. Jangan terpengaruh dengan gaya atau fesyen. Biar nampak macam tak bergaya langsung asalkan keselamatan diutamakan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Berkenalan dengan keadaan dan situasi kolam terlebih dahulu. Kalau bertanya terus pada pengusaha dan pekerja kolam pun bagus juga. Ketahui port strategik, umpan dan teknik yang digunakan kerana lain kolam lain umpannya.
Ambil tahu juga jenis-jenis ikan yang ada di dalam kolam. Ini penting untuk mengetahui teknik dan persembahan umpan yang betul.
Selain itu tanya juga jadual pelepasan ikan bagi mengelak daripada silap umpan dan kumpau kerana ikan tak buka mulut. Terutamanya jika ia adalah kolam rohu.
Patuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pengusaha kolam. Terutamanya jumlah penggunaan mata kail bagi mengelak daripada putih mata kerana ikan yang diperoleh tidak layak disenaraikan dalam ranking jackpot.
Pastikan juga set pancing yang digunakan adalah bersesuaian dengan saiz ikan yang terdapat di dalam kolam bagi mengelakkan kes melayan ikan terlalu lama sehingga mengganggu pemancing lain. Dan lebih penting lagi ikan yang dipancing berjaya didaratkan dengan sempurna.
Elakkan membaling umpan secara menyilang kerana tidak semua kaki kolam bersifat mesra, bahkan ramai otai kolam yang bersifat ala-ala KL Gangster.
Sebaiknya guna pancang yang sesuai dan pastikan drag pancing telah dilonggarkan sebelum duduk bersantai menunggu umpan dimakan ikan bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian pancing terbang ke dalam kolam.
Sentiasa peka pada aktiviti memancing di kolam terutama bila pemancing lain sedang menarik ikan. Beri kerjasama untuk mengelakkan tali pancing bersilang atau menyentap tali pancing pemancing yang sedang melayan ikan.
Sekiranya giliran kita pacak dan bertarung dengan ikan, usah segan untuk bersuara sebagai isyarat kepada pemancing agar tidak menyentap tali pancing kita sekaligus menyebabkan ia putus, ikan terlepas an kita berputih mata.
Saling tolong menolong. Sekiranya pemancing di sebelah menaikkan ikan, tolonglah tangguk kerana kita juga akan diberi pertolongan jika bertarung dengan ikan nanti.
Cubalah bertegur dengan pemancing lain yang sudah biasa memancing di kolam tersebut. Ia amat penting sekiranya anda terus membangau setiap kali memancing di kolam tersebut.
Sama ada memancing di sungai, tasik, lombong, laut mahupun kolam pancing pasti ada spesies yang tidak diingini yang gemar menghabiskan umpan yang digunakan. Di laut, spesies-spesies ini sememangnya menjengkelkan para pemancing.
Sesirat
Semua pemancing pasti bersetuju sesirat merupakan pengacau umpan nombor satu pancingan muara. Jika setakat mengutis umpan sehingga licin sekalipun tidak mengapa. Apa yang menjadi kemarahan pemancing apabila ia menelan mati kail dan bergumpal bersama perambut dan tali utama. Untuk menghapuskan lendirnya yang berbau dan menyebabkan ikan lain menjauh, terpaksalah dikorbankan mata kail, perambut dan tali utama tersebut.
Buntal
Menduduki carta di tempat kedua ialah ikan buntal. Perangai buntal lebih kurang sesirat juga. Malah ia lebih ditakuti berbanding benci kepada sesirat. Buntal bukan saja kerap menggigit tali utama dan perambut, ia juga suspek pembunuh kepada umpan hidup terutamanya udang hidup. Dengan harga udang hidup yang semakin mahal, ia tentu menyakitkan hati pemancing jika lubuk dipenuhi si buntal.
Ketam
Sama ada ketam nipah, ketam batu atau lain-lain, ia merupakan spesies mengutis umpan yang cekap dan menyakitkan hati. Sebagaimana ikan buntal, ia juga pakar mengerjakan umpan udang hidup. Jika dibiarkan lama, ia bukan saja memakan kaki udang malah sehingga mata kail menjadi kosong. Kecuali ia tercangkok pada mata kail, ia tidak lagi dianggap pengacau umpan sebaliknya satu tangkapan bonus.
Ulat bulu
Sama ada di muara, pesisir pantai atau perairan cetek, anda akan berhadapan dengan spesies bernama ulat bulu. Selain bijak menghabiskan umpan, ia kadangkala tercangkuk juga pada mata kail. Apabila dinaikkan, pemancing perlu berhati hati ketika menanggalkan dari mata kail kerana spesies ini mempunyai bulu-bulu beracun dan sekiranya terkena pada anggota badan boleh menyebabkan kegatalan.
Kitang
Ikan yang bergerak secara berkumpulan ini dianggap sebagai spesies pengacau umpan, khusus bagi pemancing yang tidak menjadikannya sebagai ikan sasaran. Ia sememangnya gemar mengetis umpan dengan mulutnya yang kecil. Jika menggunakan mata kail yang besar maka ia selamat dari tercangkok. Oleh yang demikian jika anda teringin untuk memancingnya juga maka gunalah mata kail yang lebih kecil.
Belangkas
Belangkas biasanya boleh ditemui di muara anak sungai kecil yang menghala ke kawasan muara. Sebagaimana ketam, ia boleh dibawa pulang dan dimakan jika tercangkok pada mata kail. Namun jika tidak tercangkok pada mata kail, ia samalah seperti spesies pengacau umpan lain yang menghabiskan umpan secara senyap.
Anak ikan
Apa saja jenis ikan termasuk ikan-ikan kecil seperti seriding merupakan pengacau umpan yang paling banyak menghabiskan umpan. Terutamanya umpan dari jenis hirisan ikan. Bagi mengelak serangan anak atau ikan-ikan kecil, sebaiknya gunalah umpan yang agak liat seperti jejari sotong kurita. Walau dikutis ia masih mampu bertahan sehingga disambar spesies sasaran.
Perumpun sarang
Selain dijadikan umpan yang mujarab, sebenarnya perumpun sarang juga tergolong dalam spesies pengacau umpan. Biasanya berada di kawasan anak sungai dan tebing yang bereba. Cuma kerjanya lebih halus berbanding ketam. Atau lebih kurang sama macam anak ketam. Biasanya dia akan meratah udang hidup secara perlahan-lahan. Kalau anda mendapati kaki udang hidup anda kudung semua, jangan tak percaya ia adalah kerja perumpun sarang.
Belukang
Merupakan ikan yang banyak berkeliaran di kawasan muara yang berselut dan berlumpur. Secara fizikalnya mempunyai mulut yang besar dan badan yang berbelang. Tabiat makan yang tidak memilih, semua umpan ikan ni sebat. Kadang-kadang telan umpan sehingga ke insang. Jika bersaiz kasar mungkin ada yang ingin membawa pulang dan memberikan sedikit hiburan ketika tercangkok umpan. Tetapi jika asyik yang bersaiz dua jari yang membaham umpan, memang menjengkelkan!
Gedema
Seperti belukang, species ini tidak mempedulikan umpan apa yang digunakan. Semua yang melekat kat mata kail akan disapu. Kalau dah ambil umpan ia biasanya akan menelan mata kail hingga ke dalam perut. Kalau dah telan, amat susah untuk mengeluarkan mata dan kadang kala pemancing terpaksa mengeluarkan perambut dan digantikan dengan mata dan perambut yang baru. Jangan tertipu dengan rupa parasnya yang seakan kerapu itu.
Terdapat beberapa cara ikan makan atau mengambil umpan. Ada ikan yang makan umpan secara mengutis, meragut, menyedut dan menyambar. Dengan memerhati tabiat ikan makan inilah pengusaha mata kail mereka bentuk mata kail yang tepat bagi membolehkan ikan tercangkok dengan sempurna pada mata kail.
Ikan yang makan secara menyambar
Ikan yang mengambil umpan secara menyambar ini pada kebiasaannya dari jenis ikan pemangsa atau predator yang bergigi tajam. Maksud menyambar di sini ialah ia akan memakan umpan semasa bergerak mahupun ketika mangsa itu sendiri yang bergerak.
Selain memancing dengan umpan ikan hidup, teknik casting dan trolling menggunakan umpan tiruan merupakan kaedah untuk memancing ikan yang menyambar. Antara ikan yang memakan umpan secara menyambar termasuklah tenggiri, barracuda, talang, gerepoh dan haruan tasik.
Kebanyakan mata kail boleh digunakan untuk memancing ikan jenis ini tetapi adalah disarakankan mata kail dari jenis live bait atau big game hook yang mana matanya menegak lurus ke pangkal.
Ini kerana ia membolehkan mata kail tertancap terus pada mulut ikan ketika menyambar umpan. Lazimnya mata kail dari jenis ini juga mempunyai daya ketahanan yang tinggi dan tidak mudah melurus ketika sentapan atau hentakan.
Seperkara yang perlu diingat ialah kekuatan hentakan ketika proses sambaran hampir sepuluh kali ganda berbanding berat ikan tersebut. Justeru itu kekuatan mata kail amat penting bagi mencangkok ikan jenis ini.
Ikan yang makan secara meragut
Maksud meragut di sini ialah jenis ikan pemangsa yang memakan umpan yang bersifat pegun atau tidak bergerak. Sejurus mengambil umpan dengan tindakan pantas dan dengan pantas juga ia melarikan diri.
Teknik pancingan dasar dan menotok (pancingan dasar berhanyut) kebanyakannya menggunakan umpan mati begini. Manakala ikan yang bersifat meragut antara jenahak, merah, kaci dan lain-lain lagi.
Tiada mata kail yang lebih baik bagi memanfaatkan ikan yang meragut umpan seperti ini selain dari jenis mata kail yang melingkar sedikit hujung matanya iaitu mata kail lingkar atau circle hook. Mata kail lingkar direka bentuk agar ikan tercangkuk dengan sendiri pada hujung mulutnya.
Ketika umpan diragut dan dilarikan, mata kail lingkar tidak akan terus tercangkok sebaliknya akan melurut keluar dan hanya akan tercangkuk pada hujung bibir mulut ikan.
Oleh yang demikian, apabila umpan dilarikan pemangsa, sebarang tindak balas sentapan akan menyebabkan mata lingkar ini akan rabut atau lucut begitu saja. Dan apabila tercangkuk dengan kemas, ia hampir mustahil untuk terlucut.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...