Backpack atau beg galas merupakan salah satu keperluan yang paling penting untuk melaksanakan pancingan sungai hutan pergunungan dan jungle trekking.

Kesesuaian dan ketahanan sesebuah backpack adalah perkara yang memainkan peranan menentukan keselesaan anda.

Perkara yang paling utama sebelum membeli sesebuah backpack, haruslah sesuai dengan saiz tubuh pemakai.

 

Saiz backpack

Backpack yang dipilih mestilah sesuai dengan bahagian belakang kita yang dikenali sebagai ‘Torso’. Untuk menentukan ukuran torso, anda perlulah berdiri tegak di mana kaki haruslah dibuka selaras dengan luas bahu.

Minta rakan anda mengukur menggunakan tap ukur bermula dari vertebra ke tujuh (tulang yang berada di bawah sekali di bahagian tengkuk biasanya berbonjol). Dari situ ukur hingga ke bawah mengikut kontur tulang belakang.

 

Untuk mencari titik akhir anda perlulah meletak kedua belah tangan anda di bahagian pinggul dengan ibu jari menghala satu sama lain. Garisan di antara ibu jari tadilah yang akan menandakan penghujung torso anda.

Amnya jika ukuran torso anda di bawah 46cm (18 inci), anda adalah bersaiz kecil. 46-51cm (18-20 inci) bersaiz sederhana dan sekiranya anda lebih daripada 51cm (20 inci) adalah bersaiz besar.

 

Jika saiz beg terlalu panjang, ia akan menjadikan keseimbangan dan pergerakan seseorang itu terganggu seterusnya boleh mencetuskan kecederaan kepada anggota-anggota badan seperti bahagian belakang.

Juga akan membahayakan sekiranya melalui cerun yang sempit kerana gangguan kepada imbangan.

 

Kapasiti beban

Selepas selesai menentukan saiz dan model diperlukan untuk memenuhi kehendak anda, pastikan anda pergi ke mana-mana kedai outdoor dan timbangkan ia.

Anda perlu mengisi pemberat 9kg (20lb) untuk menjadikan ia mantap di belakang anda. Tali pinggang mestilah berada di pinggul anda, bukan di pinggang anda.

 

Jika ianya terlalu rendah ia akan mengganggu pergerakan kaki ketika berjalan ke hadapan. Jika ia terlalu tinggi pula anda akan mengakibatkan beban akan tertumpu pada bahagian bahu.

Pelindung alas pada tali pinggang seharusnya membaluti pada bahagian tulang pinggul, tetapi tidaklah begitu tepat di hadapan.

 

Tempat di mana penggalas bahu bersambung dengan beg seharusnya berada di bahagian bawah bahagian tertinggi bahu anda, ia menyediakan balutan sesuai tanpa ada ruang di antaranya.

Kedudukan penggalas juga haruslah selesa tanpa mengganggu pergerakan tangan anda dan tidak merasa sempit di bahagian ketiak.

 

Untuk pengetahuan anda beg galas ini juga dilengkapi dengan penggalas-penggalas dan juga bahagian yang boleh diubah alih bagi memastikan keselesaan anda ketika memakainya.

Adalah bijak sekiranya anda mendapatkan khidmat nasihat dari mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan.

 

Susunan beban

Susun barang yang paling berat di atas dan sebolehnya hampir dengan bahagian belakang. Susunan beg seharusnya mempunyai berat antara 1/5 hingga ¼ daripada berat badan anda.

Beg tidur (sleeping bag) selalunya di susun di bahagian bawah, kemudian diikuti dengan pakaian, makanan dan khemah. Masukkan semua barang tersebut ke dalam plastik hitam bagi mengelakkan dari dimasuki air.

 

Pastikan tiada benda tajam di dalam beg yang tertonjol keluar, terutama di bahagian belakang beg.

Ini memberi kesan pada tulang belakang anda. Kalau benda berat tu keras pastikan diletakkan apa-apa sahaja barang lembut yang bertindak sebagai pengalas / pelapik di antara beg dengan benda berat tadi.

 

Simpan tabung gas dan botol air di luar bagi mengurangkan selerak jika terdapat tumpahan dan sebagainya.

Elakkan meletak barang anda tergantung di luar beg. Ini memastikan ia tidak tersangkut pada ranting-ranting dan duri pokok.

Jika perlu, ada sesetengah barang yang boleh disimpan di luar beg, pastikan ia tidak berayun ketika anda berjalan kerana ia boleh menyebabkan anda hilang keseimbangan.

 

Gunakan alas beg (rain cover) untuk memastikan beg anda tidak basah ketika hujan. Sekiranya hujan lebat, letakkan plastik hitam di bawah rain cover untuk mengelakkan beg basah dan menjadi berat.

Lindungi barang di dalam beg anda dengan membalutnya dengan plastik. Juga bawalah beg plastik sampah lebih kerana anda memerlukannya untuk memastikan barang anda kering.

 

Buat sistem penyusunan sendiri, bagi memudahkan anda mengingati barang yang anda bawa. Jika kecemasan ia boleh memudahkan anda mengeluarkan barang yang diperlukan. Susun secara tertib.

 

Keseimbangan

Barang berat rapatkan dengan belakang (dekat dengan frame backpack). Ini adalah supaya posture kita akan lagi natural.

Kalau berat ke bahagian belakang beg, centre of gravity akan berubah, kita berdiri pun tak selesa, dan badan kita kena adapt dengan posture baru (bongkok ke depan).

 

Barang berat diletakkan sama ada di bahagian atas atau di bahagian tengah. Kalau barang berat diletakkan di atas, maka beg akan kurang stabil; mudah gerak-gerak sebab centre of gravity dah berubah, lebih kepada bahagian atas badan. Cara packing ini sesuai untuk terrain yang rata.

 

Barang berat yang paling sesuai diletakkan di bahagian tengah kerana centre of gravity tak berubah banyak sangat. Beg stabil kerana berat berada pada bahagian badan yang paling berat (kawasan torso). Sesuai untuk terrain yang tidak rata.

(Sumber: Facebook/endy kubis)

 

baca juga Punca yang boleh menyebabkan trip trekking kumpau!

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI