Mungkin bagi sesetengah pemancing yang mempunyai duit yang lebih melihat enjin baru lebih berbaloi dimiliki. Harga pasaran yang masih konsisten membolehkan pemancing memilih untuk membelinya.
Terdapat pelbagai jenama seperti Yamaha, Suzuki, Mariner, Mercury, Johnson, Honda dan lain-lain jenama seperti Hidea keluaran China terdapat di pasaran tempatan. Enjin 2 lejang atau 4 lejang boleh dipilih mengikut kehendak pemancing tetapi mungkin cuma harganya sedikit berbeza.
Di Malaysia, tiada had penggunaan kuasa kuda terhadap perairan padang pancing kita namun sesetengah negara luar, terdapat penguatkuasaan undang-undang terhadap had penggunaan kuasa enjin sangkut.
Ads
Sebenarnya ramai nelayan atau pemancing menjual dan mencari enjin sangkut terpakai. Berbeza dengan membeli enjin sangkut baru, pembeli haruslah meneliti dan melihat sendiri enjin terpakai tersebut supaya tidak kecewa setelah memilikinya.
Terdapat beberapa aspek yang perlu dititikberatkan seperti:-
Memeriksa badan enjin sangkut.
Memeriksa kipas enjin.
Meneliti kebocoran head enjin.
Memastikan tangki minyak dalam keadaan baik.
Memastikan hose penyalur minyak tidak bocor.
Bunyi rod tidak bising.
Enjin tidak bergegar.
Gear mudah dimasukkan ke hadapan dan mengundur.
Ads
Ia tidak mungkin 100% sempurna namun pembeli harus tahu penyelenggaraan enjin sangkut ini bukan mudah. Bayangkan enjin sangkut berkuasa 15 hp baru sama nilainya dengan sebuah motosikal kapcai. Teliti keadaan enjin sangkut luar dan dalam dan pengetahuan selok-belok alat ganti amat membantu dalam memilih enjin sangkut yang masih elok.
Terdapat penjual enjin sangkut individu dan kedai membaiki enjin sangkut di pasaran. Enjin sangkut yang bermasalah dapat dikesan dengan mendengar bunyi yang agak bising apabila dihidupkan. Sistem rod dan piston mewujudkan bunyi yang agak kasar menandakan enjin sangkut ini dalam keadaan kurang memuaskan.
Kuasa kudanya akan menurun dan tolakan sampan menjadi kurang bertenaga sekiranya digunakan. Ditambah lagi penggunaan minyak akan menjadi lebih kuat berbanding enjin yang masih baik.
Ads
Sistem coil api juga perlu dilihat supaya enjin sangkut terpakai ini boleh menyalurkan api yang kuat untuk disalurkan kepada plug. Alat ini amat penting dan adakala ia mudah rosak dan harga alat gantinya boleh tahan juga!
Walau apa jua pilihan pemancing sama ada ingin membeli enjin sangkut baru atau terpakai, penyesuaian terhadap bot amat penting. Padankanlah enjin sangkut sepadan dengan sampan yang digunakan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Trip memancing di kawasan saluran paip minyak bersama tekong Pok Lan Dungun, memang menjadi trip impian bagi penggemar bottom fishing. Terkini, para penggemar teknik jigging atau kaki Jigging juga sudah mula beminat untuk mendapatkan slot trip dari beliau. Secara tidak langsung menjadikan ia trip yang sama sekali tidak boleh dilepaskan apabila berjaya menyelit nama dalam trip tersebut.
Perjalanan dari jeti Dungun ke lokasi pelantar minyar mengambil masa lebih kurang 16 jam! Lebih kurang jam 10.00 malam bot sampai ke destinasi. Bot ditambat pada tiang pelantar dengan jarak yang selamat dan sesuai untuk jigging.
Tak sampai 10 minit strike demi strike dari ikan cupak diperolehi. Ada juga strike saiz yang kasar sehingga memutuskan tali dan jig. Pesta jigging terganggu apabila angin bertiup kuat dan laut mula bergelombang.
Angin dan hujan turun dengan lebat sekitar jam 2.00 pagi menyebabkan ramai ahli komplot dah mula rasa pening dan mual. Mujur juga saya ada bawa minyak kelapa dara MATCH outdoor refreshing scent antara minyak penyegar yang sering kami gunakan untuk melegakan pening dan mual-mual mabuk laut.
Pancingan disambung pada sebelah pagi dengan bot bergerak ke kawasan pipeline untuk sesi pancingan bottom drift. Bot dibiarkan berhanyut dan tekong mengawal bot supaya kekal di atas laluan saluran paip.
Pesta Tarik menarik bermula apabila sekumpulan ikan merah dan ikan ibu kerisi dinaikkan. Rata-rata saiz ikan adalah seberat 1-2 kg. Setelah hampir berpesta ikan merah dan ibu kerisi kami meneruskan perjalanan ke pipe line kedua kira kira 30 minit perjalanan.
Di spot pipeline kedua ikan kerapu yang dinaikkan hanya bersaiz sederhana. Azrie agak bertuah menaikkan sekor ikan kerapu bara sekitar 3kg. Tak kurang hebat di bahagian kiri bot di mana Angah Pun mendaratkan ikan merah juga bersaiz 3kg.
Tepat jam pukul 6.00 petang, Pok Lan mengubah haluan untuk berlabuh di tepi pelantar minyak untuk berehat dan jigging malam. Bot ditambat pada pelantar dan acara jigging bermula. Jig seberat 40g hingga 80g digunakan dalam trip kali ini.
Ikan bersaiz monster lebih mendominasi pada sebelah malam. Banyak kali jig disambar ikan monster dan gagal dikawal. Lewat malam angin mula membuai bot dan gelora mula terasa. Ada kilat memancar di hujung kaki langit. Satu petanda ribut sedang dalam perjalanan ke tempat kami. Sesi malam itu ditamatkan apabila hujan lebat mula turun dan ribut melanda kami di pelantar minyak.
Keadaan laut yang bergelora tidak mengizinkan kami untuk terus jigging. Ombak dan alun tiada tanda untuk berhenti hingga keesokan harinya memaksa kami berbincang sama ada ingin meneruskan sesi pancingan atau ingin pulang awal.
Enjin bot dihidupkan dan kami terus meneruskan perjalanan ke jeti . Separuh perjalanan, bot menghampiri kawasan pulau Tenggol dan kelihatan unjam-unjam yang dibuat oleh nelayan. Kami menunda apollo bulu ayam untuk menjerat ikan tongkol.
Menurut tekong, kesan dari laut yang bergelora kumpulan ikan tongkol banyak bermain di dasar unjam. Hanya yang bersaiz kecil yang galak mengejar apollo bulu ayam yang kami tunda. Cukuplah hasil ikan tongkol atau aya sekadar penambah hasil tangkapan trip kali ini.
Bot meneruskan perjalanan ke jeti , tepat jam 10.30 malam kami tiba di jeti LKIM Kuala Dungun. Alhamdulillah kami selamat pergi dan kembali walaupun ditimpa ribut dan angin tenggara ia bukan satu yang mematahkan semangat kami dan akan turun kembali ke pipeline ini pada lain masa.
Nota:
Salam takziah buat Tekong Pok Lan yang meninggal dunia ketika sedang bertugas di laut Februari lalu.
Setelah semua perancangan dan taktikal diatur hampir sempurna dengan menyenaraikan saudara Pok Har 50 sebagai mastermind, saudara Faie Kaido, Hilman Yusoff, Serol dan saya sebagai crew.
Tekong 44 menyiapkan keperluan asas bot seperti bahan api, air bersih, makanan, ais dan memeriksa bot dengan teliti dibantu oleh co-skipper, saudara Sero DBJ. Tekong 44 menelefon saya memaklumkan untuk menterjemahkan perancangan tersebut.
Kami berkumpul di jeti Pengkalan Che Lat, Tumpat jam 1.00 pagi. Tekong mula keluar dari jeti belayar dalam keadaan tenang jam 1.30 pagi Selasa. Perjalanan ke spot pertama sejauh 45 batu nautika mengambil masa 5 jam dengan kemampuan bot 44 yang boleh mencapai kelajuan 18 knot.
Kira-kira jam 6.00 pagi saya merasakan tekong memperlahankan tempo kelajuan bot dan menandakan kami sudah hampir sampai di lokasi. Setelah beberapa minit memerhatikan sonar, tekong mengarahkan Sero melabuhkan sauh.
Tekong 44 mengambil kesempatan melelapkan mata seketika sementara menunggu hari siang. Saya, Hilman, Faie dan Pok Ha 50 berehat bersembang sambil menikmati makanan ringan. Jam 7.00 pagi kami mula memancing. Tempo keaktifan ikan pelagik agak kurang pada waktu ini mungkin kerana pertukaran arus.
Kira-kira jam 9.00 pagi setelah agak lama menggayakan teknik fast jigging, kami diasak gerombolan tenggiri yang baru masuk ke spot. Jam 12.00 tengah hari pertama kami berjaya menewaskan kira-kira 30 ekor tenggiri.
Keletihan mula mencacatkan rentak kami. Pok Har 50 mengarahkan kami ‘cool down’ sementara menunggu beliau memasak menyediakan makan tengah hari. Menu hari pertama kami kari ikan tenggiri dan ikan tongkol goreng. Sungguh nikmat menikmati juadah di atas bot andainya kita tidak terlibat dengan mabuk laut.
Jam 2.00 petang kami beralih ke lokasi kedua kira-kira 5 batu nautika. Di situ kami diasak oleh kawanan ikan tongkol yang rakus. Setelah keadaan kurang rancak, tekong memaklumkan untuk berlayar sejauh 27 batu nautika ke arah timur. Lokasi yang ingin dituju ialah pelantar Cakerawala.
Kami berhenti sementara di lokasi kapal karam utk menyejukan enjin bot. Di situ kami bermain light jig jenis luminous. Ikan cupak rakus meligan kepingan jig yang dimainkan. Kami berjaya mendaratkan kira-kira 20 ekor cupak berskala 2-3 kilogram seekor.
Jam 12.00 malam tekong meneruskan perjalanan, kami tiba di pelantar Cakerawala jam 3.00 pagi. Setelah agak dekat merapati pelantar Cakerawala, kami tidak dibenarkan untuk memasuki apatah lagi memancing di sekitar pelantar kerana ia berbahaya kepada kami dan pekerja di atas sana. Juga terdapat kerja-kerja selenggara di bawah air oleh petugas pelantar.
Kami akur dan tidak terkilan kerana memahami SOP mereka. Bagi kami dapat sampai dan mengambil gambar kenangan sudah cukup bermakna. Tekong menjauhkan bot dari pelantar. Kami bersauh kira-kira 3 batu nautika dari pelantar. Di situ kami merehatkan tubuh dan minda sementara menunggu untuk patah balik ke spot-spot unjam laut.
Kami berada kira-kira 65 batu nautika dari dataran. Kami memancing pelbagai teknik. Ikan pada hari kedua juga sungguh frenzy hingga membuatkan kami lupa untuk makan tengah hari.
Jam 6.00 dengan hasil pancingan yang agak memuaskan, Tekong 44 dan Sero mula menyusun atur hasil tangkapan ke dalam tong bagi mengekalkan kualiti ikan. Sebelah malam kami lebih byk berehat sambal santai memancing ikan cupak.
Jam 9.00 pagi kami mula merancakkan tempo pancingan kami. Lepas satu spot ke spot unjam lain kami terjah. Alhamdulillah pertambahan hasil pada hari ketiga juga agak memuaskan. Tenggiri pada hari ketiga juga bersaiz bagak.
Kami bersauh di kepala unjam sementara menunggu Pok Har 50 menyediakan makan tengah hari. Kami menghulurkan umpan teknik bottom. Di situ kami berjaya memperolehi ikan kerapu, asu-asu, merah tanda dan jenahak.
Sesekali barracuda berjaya kami daratkan dek kerana arus mula mati tetapi gelombang dan angin timur agak besar. Usai makan tengah hari dan menyegarkan tubuh, Tekong 44 memberitahu kami untuk menamatkan misi kerana keadaan laut sudah mula bergelora ditambah pula kuantiti ais sudah mula berkurang. Perjalanan pulang ke jeti sejauh 60 batu nautika pasti mencabar.
Bagi penggemar spesies peacock bass ataupun ikan raja mengikut panggilan orang tempatan, taburan lombong di sekitar Air Kuning yang terletak di negeri Perak ini sudah tidak asing lagi bagi kaki-kaki pancing yang menggunakan teknik casting serta fly fishing.
Pasti ramai yang bersetuju peacock bass atau ramai juga yang menyebutnya ikan PB di sini boleh diperolehi dalam kuantiti yang banyak dan bersaiz agak kasar berbanding tempat-tempat lain.
Maka, tidak hairanlah mengapa ramai yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk merasakan tarikan padunya.
Tambahan pula ia mudah ditemui kerana populasinya yang begitu baik sekali di kawasan ini disebabkan sumber makanan yang begitu banyak serta kemampuan spesies ini untuk membiak dengan begitu mudah dan cepat.
POTENSI SPOT PANCINGAN
Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk menjejak spesies pendatang yang semakin mendapat tempat di hati kebanyakan kaki pancing yang meminati teknik mengilat.
Kegilaan peacock bass di sini menghentam gewang-gewang permukaan pada awal pagi dan lewat petang serta ada kalanya sewaktu matahari tegak di atas kepala menyebabkan saya sering gigil tangan kerap ‘repeat’ ke Air Kuning.
Spot-spot lazim seperti Bird Sanctuary, Little Kenyir, Peacock Point dan Port Kandang menjadi port biasa yang sering saya kunjungi setiap kali ke sini.
Setelah beberapa kali menduga dan mengamati tabiat ikan di sini, saya dan pendapat beberapa orang rakan pengilat lain berpendapat bahawa paras air yang paling sesuai untuk
memancing adalah semasa air sedang menurun dari paras paling tinggi selepas musim hujan.
Waktu itu, akan banyaklah kelibat peacock bass menghambur anak ikan di permukaan air terutamanya pada waktu awal pagi.
Namun ada juga pemancing yang gemar mengilat spesies predator ini sewaktu paras air benar-benar surut kerana pada ketika itu PB banyak berlegar di luar kawasan samai yang telah cetek.
Sedar atau tak, sudah agak lama lombong-lombong di sini dihuni oleh spesies pendatang ini.
Malah, bukan hanya di Air Kuning sahaja, tetapi di sekitar lombong di Malim Nawar, Temoh, Mambang Di Awan, Kampung Pisang dan Kampung Gajah juga sudah banyak diperkatakan tentang kewujudan populasi PB.
Malah, sejak tahun 90-an lagi ramai yang sudah sedia maklum akan kehadiran spesies pendatang ini.
POTENSI SAMBARAN
Sama seperti tempat lain, peacock bass Air Kuning tidak segan silu menghentam pencil dan popper berukuran 5-7cm lebih-lebih lagi ketika ia begitu galak menghambur anak-anak ikan di permukaan air.
Malah, toman, haruan, sebarau dan jelawat juga banyak diberitakan gemar menghentam gewang permukaan.
Gewang-gewang seperti Megabass dog-x, Jackall mudsucker, Ofmer catwalk, Yo-zuri 3D/3DS popper serta Jackson RA Pop sering diperkatakan akan keberkesanan penggunaannya di kalangan pengilat yang berkunjung ke sini.
Warna lazim adalah skema terang seperti fire tiger, merah dan oren. Warna natural dan transparent juga begitu efektif untuk digunakan di sini semasa matahari telah semakin meninggi.
Waktu ini, penggunaan gewang selaman, suspending dan sinking lebih praktikal terutamannya Storm flutterstick, Lucky Craft wander dan Smith pannish.
Penggunaan soft plastic dan clouser spinfly yang diikat pada pemberat juga antara yang popular digunakan bagi memujuk PB yang berlegar jauh di bahagian dasar lombong.
Satu lagi kaedah yang efektif untuk diaplikasikan di sini adalah teknik tundaan menggunakan gewang selaman dalam.
Antara spesies lain yang biasa didaratkan dengan menggunakan teknik ini adalah belida, toman, baung dan juga tapah.
MOMEN INDAH SEORANG PEMANCING
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat melakukan aktiviti bersama rakan yang berkongsi minat yang sama.
Ada kalanya kegembiraan memancing dengan rakan-rakan baik sudah cukup memadai biarpun kumpau seharian. Kalau beroleh sambaran tu sudah dikira bonuslah bagi seorang pemancing.
Justeru, saya menyeru kepada kaki pancing semua untuk bersama-sama mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika memancing demi menjamin alam sekitar kita supaya terpelihara.
Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Faktor keselamatan diri juga harus dititikberatkan oleh oleh kaki pancing. Kadang-kadang dengan sedikit kecuaian sahaja boleh membawa padah.
Bagi yang gemar boating di Air Kuning, saya menyeru gunakanlah sentiasa jaket keselamatan sebagai langkah keselamatan diri. Malang tidak berbau.
Perlu diingat lombong Air Kuning adalah bekas lombong bijih timah dan ia adalah dalam!
Selain itu, demi memastikan stok ikan terutamanya spesis-spesis tempatan di perairan kita sentiasa terpelihara, amalkanlah ‘Tangkap dan Lepas’ (CnR) ataupun mengehadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit).
Bukannya apa, semoga dengan usaha yang kita amalkan ini turut sama dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan terutama untuk anak cucu kita pada masa hadapan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...