Bagi mereka yang mensasarkan sungai yang terdapat rumpai atau sampah disyorkan guna batu ladung dipasang atau berada di bahagian bawah mata kail (lebih kurang sekaki atau lebih) supaya umpan bergerak bebas dan mudah dilihat oleh ikan.
Ada juga pemancing sungai yang suka menggunakan pelampung di mana ia merupakan teknik yang paling popular. la sangat sesuai digunakan di tempat-tempat berarus tenang yang dikhuatiri mempunyai banyak tunggul kayu di dasarnya.
Panjang perambut daripada pelampung bergantung kepada kedalaman sungai. Umpan pancing perlu tergantung beberapa inci dari dasar dan dibiarkan hanyut di bahagian pertengahan air. Batu ladung kecil perlu diletakkan pada jarak tertentu pada perambut supaya umpan boleh turun pada kedalaman yang dikehendaki.
Ikan lampam sungai lazimnya akan meragut umpan dengan agak kasar yang kemudiannya tercangkuk sendiri pada mata kail. Bagaimanapun apa yang mereka sering lakukan adalah kita perlu menyentap supaya cangkukan lebih teguh dan ikan tidak akan terlepas lagi.
Oleh kerana ikan ini saiznya ada yang kecil kadang-kadang kuasa tarikannya tidaklah begitu kuat namun dengan teknik yang disebutkan tadi ianya akan menjadi lebih menarik.
Sesetengah Orang Asli di beberapa tempat juga ada ramuan tersendiri untuk menyediakan umpan ikan lampam sungai.
Mereka menyediakan jenis umpan khusus untuk memancing ikan lampam sungai atau serupa dengannya dengan guna umpan dedak kuning (dedak ayam), gandum dan serbuk kunyit.
Bahan-bahan digaul biar sebati dan gentel di mata kail (mata rambai atau guna perambut selari 5-6 mata pancing).
Jenis umpan kedua yang mereka selalu gunakan adalah dengan pakai isi kelapa sawit di peram, gandum dan serbuk kunyit kemudian bahan ini digaul sebati dan gentel di mata kail (mata rambai atau guna perambut selari 5-6 mata kail). Sebaiknya menggunakan jenis mata saiz kecil yang sesuai untuk mulut ikan di sesuatu lokasi memancing.
Dalam pada itu dinasihatkan agar untuk memasang banyak mata kail pada pancing dan jangan hanya gunakan mata satu. Dalam beberapa laporan dinyatakan ikan lampam sungai adalah diantara jenis ikan yang menjadi penyelamat kepada para pemancing.
Ini kerana ikan ini jarang kecewakan pemancing setelah seharian tercongok memancing di tepi sungai dan tasik.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Memancing di bawah jambatan yang dimaksudkan bukanlan dengan cara menaiki bot dan kemudian berlabuh di bawah jambatan berkenaan.
Sebaliknya, menjadikan platform atau pelantar pada tiang jambatan sebagai spot memancing. Dalam artikel ini lebih merujuk kepada teknik memancing di bawah jambatan Pulau Pinang yang pertama.
Boleh dikatakan hampir semua pelantar bawah jambatan tidak mempunyai tempat untuk memancang pancing. Jadi, korang perlulah membawa sendiri tali bagi mengikat pancing pada tiang jambatan.
Bagaimana cara untuk mengikat pancing pada tiang jambatan itu terpulanglah pada kreativiti korang sendiri. Yang penting ia dapat menyelamatkan set pancing korang terhumban ke laut apabila disentap ikan.
Set pancing
Set pancing yang disarankan ialah set pancing yang murah harganya tetapi kuat dan tahan lasak. Ini kerana ketiadaan tempat pancang memaksa korang sekadar mengikatnya dan letak di atas pelantar begitu saja.
Impak daripada ikan menyambar umpan akan menyebabkan set pancing akan terseret dan bergesel teruk pada pelantar.
Tali utama & perambut
Kelasakan perambut dan tali utama terhadap geseran dan kakisan pada struktur tajam, tukun, karang di dalam air menjadi penentu kejayaan mendaratkan ikan.
Jadi, pilih tali utama dan perambut yang sepadan. Disarankan anda menggunakan tali tangsi 20lb dan ke atas sebagai tali utama dan perambut sekurang-kurangnya 40lb.
Anda boleh menggunakan teknik perambut batu hidup atau batu gantung tetapi pastikan batu ladung diikat dengan ikatan yang memudahkan ia lucut apabila tersangkut pada
sesuatu objek. Kehilangan batu ladung adalah lebih baik daripada set lengkap perambut dan juga ikan.
Lubuk
Kelebihan memancing di bawah jambatan ini ialah kita berada berdekatan dengan lubuk. Lubang-lubang atau struktur di bawah jambatan lazimnya menjadi kediaman ikan
pemangsa. Oleh yang demikian kita tidak perlu membaling umpan jauh dari kawasan tiang jambatan.
Teknik
Teknik pancingan dasar dan pertengahan air merupakan kaedah terbaik untuk menjerat ikan-ikan pemangsa.
Anda boleh gunakan apa saja teknik perambut asalkan umpan kekal berada di dasar dan pertengahan air.
Umpan
Walaupun umpan terbaik adalah hidupan yang terdapat perairan sekitar lokasi seperti ikan-ikan kecil dan udang tetapi sebaiknya bawalah umpan tambahan yang turut menjadi dietnya.
Manalah tahu anda akan berhadapan dengan kesukaran untuk memperoleh ikan-ikan umpan di tempat tersebut.
Aksesori
Disamping kesemua peralatan penting yang perlu dibawa, jangan lupa bawa bersama gancu bertangkai panjang.
Ia amat penting untuk mendaratkan ikan terutamanya apabila memperoleh ikan bersaiz kasar ketika air laut sedang surut rendah.
Kunjungan kali pertama saya ke kawasan tadahan air ini kebetulan untuk merasmikan enjin Mercury 5 kuasa kuda yang baru dibeli oleh Zaini. Kunjungan ini juga disambut dengan hujan seawal jam 9 pagi dan berlarutan hingga ke petang. Namun itu tidak melemahkan semangat kami bertiga pada hari tersebut.
Di beberapa suak kami menemui satu kawanan anak toman yang masih kecil dan kelihatan sepasang induk yang mengiringi kawanan tersebut. Tanpa berlengah lagi pelbagai gewang permukaan dan selaman dalam kami hulur namun tidak membangkitkan rasa amarah kedua induk tersebut malah langsung tidak mahu menghentam gewang-gewang kami.
Sehingga tengah hari kami masih lagi belum dapat menaikkan toman gadang kecuali saudara Apit yang berjaya mendaratkan seekor toman bujang berskala 1kg dengan kaedah yang kami gelar di sini ‘Drive Thru Casting’ iaitu dengan cara menghantar ‘buyun’ @ katak rambutan dan buzzbait sehampir yang boleh dengan tebing sambil bot dipandu secara perlahan menyusuri tebing tasik.
Apabila perut semakin berbunyi ditambah pula dengan kesejukan berhujan dari pagi, kami mengambil keputusan untuk berehat di spot yang saudara Zaini gelarkan ‘Port Air Terjun’ kerana terdapatnya sungai kecil berair terjun yang mengalir masuk ke kawasan tadahan air ini.
Sambil menghampiri spot tersebut secara perlahan-lahan kami turut menghantar gewang-gewang permukaan, manalah tahu sekiranya ada pemangsa yang sedang menghendap di sekitarnya.
Setelah mendarat di tebing, di satu sudut bereba kayu tumbang saya perhatikan seperti kelibat ikan yang baru disambar oleh sesuatu di dalam air.
Selepas beberapa ketika, seekor tilapia belang bersaiz dua tapak tangan yang hanya tinggal separuh timbul berhampiran reba tersebut dan sejurus itu juga saya terpandang sekilas ikan toman yang begitu besar saiznya timbul bersebelahan tilapia tersebut.
Saya tanpa berfikir panjang terus menghantar gewang Lucky Craft Gunfish 95 yang kebetulan memang siap tersedia diset pancing saya.
Satu sambaran kuat diperoleh sebaik sahaja gewang tersebut mencecah air namun sambaran tersebut tidak mengenai sasaran. Saya mainkan kembali gewang saya tersebut dan sejurus itu jugalah toman yang sama menyambar sekali lagi dan kali ini tepat mengenai gewang!
Berlakulah adegan tarik-menarik yang begitu mencemaskan daripada penghuni dasar dan saya menahan sedaya yang termampu.
Namun nasib tidak menyebelahi saya kerana hanya mampu bertahan selama 10 saat sahaja di mana shock leader berkekuatan 30lb saya putus begitu sahaja dikekah gigi toman gadang tersebut dan menelan gewang kegemaran saya. Lebur RM50!!!
Setelah selesai sesi mengisi perut dan solat, kami menyusuri semula sebahagian lagi kawasan tadahan air ini sambil ditemani basah hujan dan kesejukan. Di satu sudut berstruktur kayu tumbang, Apit yang menggunakan buzzbait menerima sambaran agak kasar.
Hampir 2-3 minit perlawanan seekor toman bunga berskala 1.5kg berjaya didaratkan. Setelah gambar dan hasil timbangan diambil, toman bunga tersebut dilepaskan semula ke habitat asalnya dengan senyuman lebar hingga ke telinga kerana telah berjaya mendapat lesen penuh bagi spesies kepala ular ini.
Sehingga lewat petang tiada lagi sebarang sambaran yang kami perolehi kecuali seekor toman bujang yang menghentam buyun saya, jadilah daripada ‘kumpau’ serta sebagai lesen saya di sini. Namun semasa bot perlahan-lahan menyusuri highway dalam perjalanan pulang, mata kami terpandang kepada satu kawanan anak yang agak besar kelompoknya.
Zaini dan Apit serentak menghantar gewang permukaan serta gewang selaman dalam namun kedua-duanya tidak memperoleh sambaran. Giliran saya pula menghantar pencil Combat Gigantes berwarna kuning apabila kawanan anak toman tersebut menimbul semula.
Sekali lagi, sebaik sahaja gewang mencecah permukaan air, 2 ledakan serentak yang begitu kuat menyambar dan tali utama terus tegang. Sistem tegangan kekili yang hampir 85% telah saya ketatkan terus-menerus memuntahkan tali dari gelendong. Hampir 5 minit pertarungan namun akhirnya memihak kepada induk toman tersebut kerana berjaya menyelinap di celahan kayu di dasar tasik malah menguncupkan mata tiga berkekuatan 3X.
Dua kali saya kempunan untuk mendaratkan toman gadang pada kunjungan pertama ini. Setelah kejadian rabut kedua tersebut tiada lagi sebarang sambaran kami terima dan kami pulang sambil menyimpan hasrat untuk kembali lagi ke sini.
Kunjungan ulangan dirancang tidak lama selepas kunjungan pertama dan kami bertiga kembali semula dengan misi yang sama untuk menumpaskan sang mama. Kebanyakan suak sama pada kunjungan yang lepas, kami ‘repeat’ semula dan turut menemui satu suak baru umpama nursery toman di mana banyak kelompok anak toman kami temui di sini.
Kunjungan kali ini berpihak kepada Zaini kerana berjaya mendaratkan dua ekor mama toman berskala 4-5kg dengan berpelurukan Rapala Fat Rap warna Fire Tiger. Apit juga berjaya mendaratkan seekor lagi kerandang yang agak kasar sekali lagi dengan menggunakan buzzbait jenama Ofmer.
Saya pula setelah rabut seekor mama pada awalnya namun akhirnya dapat juga mendaratkan seekor mama setelah mengacau kawanan anak toman yang masih merah yang menimbul berhampiran tebing di satu bahagian suak dan seekor lagi di tengah highway pada kunjungan ketiga saya di sini.
Kami begitu teruja kerana kunjungan ulangan kali ini membuahkan hasil yang begitu baik. Yang lebih membanggakan adalah kami tidak perlu memandu jauh hingga ke Temenggor ataupun Kenyir untuk mendapatkan hasil yang lumayan sebegini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...