Untuk memperoleh hasil yang memuaskan setiap kali memancing di kelong atau rumah rakit, walaupun cuma sekadar memancing santai, banyak perkara yang perlu dipertimbang.
PERALATAN
Biasanya 3 jenis peralatan memancing digunakan.
Joran aksi ringan untk dapatkan umpan hidupseperti tamban, selar dan sebagainya atau untuk memancing ikan kecil.
2. Joran pancing aksi sederhana atau berat aksi berat untuk balingan jauh dan melayan ikan besar seperti gerong belang, barraccuda, siakap, pari dan lain-lain.
Amboh atau Koyan bagi dihulurkan kebawah tiang-tiang kelong untuk menjerat kerapu atau pari yang gemar bermain di tiang-tiang berteritip atau dasar.
UMPAN
Bagi memastikan tangkapan yang berpanjangan, ada pemancing membawa pelbagai jenis umpan seperti pumpun (pumpun sarung, pumpun pasir atau ruat bakau), udang segar, ikan kembong atau selayang, roti untuk pancingan spesis tamok dan sebagainya.
Bagi pemancing yang hardcore, mereka sanggup berabis modal utk membawa umpan hidup, seperti udang hidup, ikan mas, cengkerik dan sebagainya bagi mendapatkan spesies-spesies tertentu (kebiasaannya umpan begini mendatangkan hasil yang lumayan).
KEADAAN PASANG SURUT AIR
Sebaiknya pilih waktu arus bergerak kerana jika air tak berarus, pemancing tak rasai getaran getuan ikan, tiba-tiba umpan abis.
Carilah keadaan air yg berarus, kerana arus pasang surut air bergantung kepada aktif ikan lalu lalang atau juga yang menjadi penghuni tetap unjam dan tukun buatan di persekitaran kelong atau rakit.
Ads
MATA KAIL
Jangan menggunakan mata kail terlalu besar kerana target ikan yang besar-besar. Jika mendapat ikan mega boleh dikatakan sebagai bonus kepada pemancing.
Cukuplah sekadar menggunakan matakail kecil jenis carbon saiz 4 hingga 8, kerana jenis carbon matanya tajam mudah lekat ke mulut ikan serta kuat tidak meluruskan mata kail jika ikan besar ragut.
PERAMBUT
Penggunaan perambut 2 mata kail atas bawah lebih efektif digunakan.
Tak perlu perambut panjang panjang seperti memancing di laut dalam. Cukup sekadar sejengkal lebih sahaja. Perambut ni sesuai untuk semua keadaan arus.
Perambut 2 matakail ni, pemancing boleh buat sendiri dan lebih efektif kekuatannya dan menjimatkan.
Ads
BATU LADUNG
Perambut 2 mata kail disepadankan dengan batu ladung mati, ikut kesesuaian keadaan air.
Sementara batu ladung hidup pula sesuai utk keadaan air berarus sederhana iaitu utk umpan hidup,atau air pasang besar.
TALI UTAMA:
Penggunaan tali utama cukup sekadar 15lb hingga 30lb atau tali sulam mengikut kekuatan yg dikehendaki.
Kerana jika spesies spt tamok, di mana ia begitu sensitif dengan ketebalan tali, semakin halus tali tu semakin cerah untuk mendaratkan spesies tersebut.
Ads
IKATAN:
Pelajarilah teknik ikatan yang betul kerana ikatan memainkan peranan bagi pendaratan ikan.
Jangan pula nanti joran melengkung, loceng berbunyi dan drag menjerit,..baru pertengahan pertarungan sudah tewas!
Disebabkan terlucut simpulan, ikatan yang tak kemas. Pasti berputih mata, tepuk dahi dan tak tidur malam dibuatnya akibat kekesalan.
SABIKI @ APOLLO
Kebiasaannya jika air besar spesies tamban, selar, talang dan gelama banyak di sekitar rakit atau kelong. Penggunaan Apollo bersaiz 9-11 harus sentiasa tersimpan dalam tool box.
Satu joran pasang apollo letak umpan udang kopek yang dipotong kecil. InsyaAllah penuhlah tong ais tu nanti.
KESELAMATAN
Sebagai peringatan bersama pastikan keselamatan diri semasa di atas rakit dan kelong. Kekili pula pula usah ketatkan drag biar release. Andai ikan besar yang menyambar umpan, boleh terbang joran dibuatnya.
Dah banyak kali juga di kelong atau rumah rakit para pemancing kehilangan joran gara-gara joran terbang ke laut akibat tidak mengikat joran.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan telinga gajah boleh ditemui secara konsisten di kawasan tukun kapal karam, tukun-tukun konkrit yang besar atau struktur tiang konkrit dengan kedalaman sehingga 50 meter.
Antara lokasi popular untuk menemuinya ialah di gugusan pelantar minyak, rumah api Pematang Sedepa atau One Phantom Bank dan kelong konkrit seperti Kelong Paradise di Sabak Bernam.
Di Kelong Paradise dan rumah api One Phantom Bank contohnya sudah sekian lama menjadi medan pancingan telinga gajah.
Kesesuaian waktu
Tiada waktu khusus untuk pancingan ikan telinga gajah. Ini kerana ia aktif mencari makan pada waktu siang dan malam. Walau bagaimana pun ia dikatakan lebih sesuai dipancing ketika air kecil dan kurang berarus. Dan lebih agresif memburu makanan ketika air pasang mula berhenti.
Umpan dan persembahan.
Ikan-ikan kecil, krustasia dan alga merupakan diet utama telinga gajah. Maka tidak hairanlah ia memilih lokasi seperti tukun dan struktur tiang-tiangan yang menjadi tumpuan sumber makanan sebagai habitatnya.
Selain udang hidup yang banyak digunakan sebagai umpan, ikan telinga gajah juga boleh dipancingan dengan menggunakan dedak ayam. Malah penggunaan dedak ayam sebagai umpan sudah menjadi trend sejak sekian lama oleh para penggemar telinga gajah.
Peralatan
Kesesuaian peralatan banyak bergantung kepada habitat telinga gajah itu. Sebagaimana diketahui, habitat kegemaran telinga gajah dipenuhi dengan struktur yang menjadi bentang kepadanya untuk menyelamatkan diri.
Justeru peralatan yang berkuasa perlu digunakan. Kekili yang mempunyai kuasa putaran yang tinggi dan mampu menghalang telinga gajah memasuki struktur. Begitu juga dengan joran. Sekiranya joran digunakan lembik maka peluang untuk mendaratkannya adalah rendah.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Walaupun siakap dan temoleh merupakan antara spesies ikan pancingan yang popular di Tasik Kenyir, namun ia bukanlah ikan asal tasik tersebut. Berikut disenaraikan 10 ikan asal yang popular di Tasik Kenyir.
SEBARAU
Famili: Cyprinidae
Nama Tempatan: Sebarau
Nama Inggeris: Carp
Nama Saintifik: Hampala macrolepidota
Taburan: Boleh ditemui hampir di semua sistem sungai termasuklah juga wilayah tasik.
KELAH
Famili: Cyprinidae
Nama Tempatan: Kelah
Nama Inggeris: Malaysian Mahseer
Nama saintifik: Tor tambroides
Taburan: Diketahui ditemui di Sungai Pertam, Sungai Terengganu Mati, Sungai Cicir, Sungai Perapik, Sungai Kerbat, Sungai Cendana, Sungai Chaching dan wilayah taman negara di mana airnya jernih.
BAUNG
Famili: Bagridae
Nama Tempatan: Baung
Nama Inggeris: Catfish
Nama Saintifik: Mystus sp.
Taburan: Boleh ditemui di kawasan sungai, berdekatan dengan kuala sungai dan juga kawasan pesisir tasik.
TOMAN
Famili: Channaidae
Nama Tempatan: Toman
Nama Inggeris: Giant Snakehead
Nama Saintifik: Channa micropeltes
Taburan: Boleh ditemui hampir di semua sistem sungai, kawasan pesisir dan perairan terbuka tasik.
TAPAH
Famili: Siluridae
Nama Tempatan: Tapah
Nama Inggeris: Giant river catfish
Nama Saintifik: Wallago leerii
Taburan: Diketahui pernah ditemui di Sungai Leban namun peratusannya semakin menurun.
BELIDA
Famili: Notopteridae
Nama Tempatan: Belida
Nama Inggeris: Featherback
Nama Saintifik: Notopterus sp
Taburan: Boleh ditemui di beberapa batang sungai dan tasik.
TENGAS
Famili: Cyprinidae
Nama Tempatan: Tengas
Nama Inggeris: Carp
Nama Saintifik: Acrossocheilus deauratus
Taburan: Hanya boleh ditemui di hulu beberapa sungai.
LAMPAM SUNGAI
Famili: Cyprinidae
Nama Tempatan: Lampam sungai
Nama Inggeris: Scwanenfeldii’s barb
Nama Saintifik: Puntius schwanenfeldii
Taburan: Taburannya meluas di merata sungai dan tasik.
KELISA
Famili: Osteoglossidae
Nama Tempatan: Kelisa
Nama Inggeris: Green arowana
Nama Saintifik: Scleropages formosus
Taburan: Diketahui boleh ditemui di Sungai Kerbat dan Sungai Siput.
KALOI
Famili: Anabantidae
Nama Tempatan: Kalui
Nama Inggeris: Giant goramy
Nama Saintifik: Osphronemus goramy
Taburan: Kehadirannya lebih dominan di sungai-sungai berair tenang berbanding tasik.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...