
Udang galah aktif apabila air sungai bersuhu suam dan akan kurang makan apabila air sungai sejuk atau terlampau tawar. Musim yang paling baik untuk memancing udang adalah pada musim panas atau kemarau.
Udang galah adalah haiwan jenis omnivor iaitu spesies yang makan serba-serbi yang dijumpainya. Bagi saya, umpan yang saya selalu gunakan adalah perumpun, cacing, isi ikan, jantung ayam yang dibakar sedikit dan dihiris.
isi ikan kembung, kulit ayam dan ikan longkang atau gapi yang ditangkap dan disimpan dalam bekas plastik selepas direnjis dengan sedikit belacan dan dibekukan selama sehari dua. Boleh dikatakan udang galah akan makan serba jenis benda yang berdaging yang berbau.
Untuk mata kail pula saya selalu menggunakan mata kail no 1 hingga 5 kerana saiz ini paling sesuai di mana adakala saya pakai jenis berduri (barb) dan ada masa jenis tidak berduri (barbless). Apa yang penting mata kail itu mestilah tajam.
Satu lagi tip yang saya hendak berikan adalah supaya menggunakan ‘burley’ atau rasuah untuk memikat udang datang. Caranya gunakan makanan kucing yang basah yang dijual di kedai di dalam tin ataupun paket. Saya akan membuatkan lubang pada tin atau paket dan meletaknya di bawah bot atau sampan.
Trip Trobek – Rumah Rakit Sungai Tembeling!!

Sekitar jam 11.00 pagi kami sampai ke Rumah Rakit Haji Nan yang terletak di kawasan yang dikenali sebagai Tempan. Rakan-rakan yang sampai satu jam lebih awal daripada saya kelihatan asyik melayan pancing masing-masing. Setelah berehat seketika, saya mengepal umpan dedak yang telah digaul kelapa sawit masam yang disediakan Haji Nan.
Patin lawang, kerai kunyit, jelawat, kelabau dan tengalan di antara spesies yang kebiasaannya dipancing sekitar rumah rakit ini. Mata bom yang dilengkapi gelung spring bersama beberapa bentuk mata kail digunakan agar dedak tidak mudah pecah dihakiskan arus. Bagi yang ingin mendapatkan udang galah, umpan anak udang dipertaruhkan.
Tengah syok melayan pancing, Haji Nan memanggil saya ke perahu untuk menahan tajur. Umpan anak keli yang dibawa, dimasukkan ke dalam baldi. Haji mengemudi bot manakala saya memasang umpan anak keli ke mata tajur. Tali tajur yang putus kerana mengena ikan yang besar diganti tali serta mata kail baru. Belida, patin, tapah, baung serta temoleh antara yang berkemungkinan besar terpedaya dengan umpan ikan hidup yang dipasang.
Hidangan ikan segar dari ‘ladang’ serta sayur kampung memang berpeluh dahi dibuatnya. Setakat dua pinggan selamba je!
“Jangan malu-malu. Tiga pinggan kalau di sini biasa…” kata Haji Nan apabila ada rakan yang ‘malu-malu kucing’ hendak menambah.
Setelah selesai makan tengah hari kami berehat seketika menghilangkan penat perjalanan. Sesi pancingan pada sebelah petang, Haji Nan menghantar kami menggunakan bot fiber untuk memancing di lubuk kegemarannya. Beberapa ekor ikan berjaya dipancing. Lewat petang, Haji menjemput kami pulang ke rumah rakit.
Belum pun sempat kaki melangkah ke lantai rumah rakit, rakan memberitahu seekor baung yang besar telah mengena tajur tapi sayang episod duka menjelma apabila tali putus setelah bergeser dengan tongkah kayu hanyut. Nasib kau lah baung. Kalau tidak gulai tempoyak pastinya.
Acara pancingan diteruskan pada sebelah malam. Sambil bersembang bersulamkan kopi ‘o’ panas, joran yang dikepit loceng di hujungnya setia menanti mangsa. Apabila mata mula terasa ‘kelat’, kekili dikarau dan perambut ditukar.
Sebiji sawit ranum yang secukup rasa masamnya dicangkuk ke mata kail dan dilepaskan ke dasar. Selepas membaca ayat kursyi dan mengucap, kepala direbahkan ke bantal. Sebelum mata dipejam masih sempat berharap agar ada penghuni Sungai Tembeling yang akan menggegarkan loceng tatkala sunyi dinihari. Kalau tidak kelah, patin buah pun jadilah!
Hari terakhir di sini kami masih lagi memancing pada sebelah pagi. Kami akan bertolak pulang lebih awal dari jadual asal (makan tengahari lebih awal) kerana ada tetamu dari sebuah jabatan kerajaan yang akan ‘datang makan’.
Bagi sesiapa yang ingin berkunjung bolehlah merancang satu trip bersama keluarga atau rakan pancing. Haji Nan yang menghubungi penulis memberitahu beberapa ekor patin buah berjaya dia perolehi.
Stok ikan sungai hidup yang disimpan di dalam sangkar di rumah rakit yang mencecah nilai ribuan ringgit menanti anda. Tanya selera, tepuk saja poket. Di samping melayan strike, sesekali menikmati hidangan ikan sungai di atas sungai, apa salahnya. Berpeluh dahi weh!
Jenis Umpan Untuk Spesies Carp!!

Ini adalah sejenis dedak halus campuran protein ikan yang telah di kisar merupakan sejenis umpan yang ramai orang pakai guna untuk memancing ikan kap. Ia sangat berkesan dalam memancing ikan mulut besar ini kerana taburan peroi ia didalam air yang sangat berkesan memanggil ikan ini makan.
Ikan kap sangat suka dedak yang peroi yang bertebaran jatuh di dasar kolam ini kerana ikan kap makan secara menyedut. Terdapat banyak dedak halus yang telah dikisar di pasaran.
Roti juga merupakan umpan kap namun di sebalik itu ikan patin, dan pacu pun suka akan roti. Roti boleh juga dipotong dadu atau dihiris halus seperti dedak untuk dijadikan umpan kap. Ikan kap akan makan apa saja umpan mengikut bancuhan basah yang tuan-tuan lakukan semasa membancuh umpan tersebut, boleh dikatakan segala umpan yang kita buat berasaskan roti akan dimakan oleh sesetengah ikan memang betul ia bergantung kepada bancuhan yang kita buat.
Pelet juga merupakan umpan kap bukan hanya dedak atau pun roti. Pelet ini sangat berkesan untuk memburu spesies ikan kap. Pelet juga amat berbahaya kepada pemancing lain ini kerana ikan kap akan memburu pelet dahulu sebelum dedak dan roti, namun begitu untuk memburu menggunakan pelet amat jarang orang guna ini kerana palet merupakan sejenis umpan universal.
Pelet bukan hanya kap suka malah ikan lain seperti ikan patin, pacu, dan tilapia. Itulah sebab banyak kolam pancing mengharamkan penggunaan pelet ini, sekiranya ingin memburu ikan kap jangan sesekali guna pelet sebab anda memburu ikan kap namun anda akan daratkan ikan lain selain ikan kap sedangkan anda sudah buat bancuhan palet kap namun ikan lain yang makan sebab pelet akan terapung di atas permukaan air dan amat mudah disambar ikan lain. Jadi peratus anda memburu ikan kap sangat nipis wal hal bancuhan anda tepat untuk kap.
Umpan Patin Terbaik Paduan Minyak Nanas & Serai!!

Bahan-Bahan Keperluan:
Pelet 920 (4kg)
Mama Essen Nanas Makassar (100ml)
Almond Oil (50ml)
Minyak Serai (100ml)
Air kelapa tua peram (2 liter)
Kelapa parut (2 biji)
Cara Penyediaan:
Masukkan 2 liter air kelapa peram di dalam bekas bancuhan umpan bertutup yang bersesuaian (mampu memuatkan 4 kg pelet).
Masukkan esen Mama Essen Nanas Makassar sebanyak 100 ml. Kemudian masukkan pula almond oil 50 ml dan minyak serai 100 ml. Gaul campuran ini hingga sekata.
Masukkan pelet 920 sebanyak 4 kg dan gaul sehingga pelet dapat meresap campuran bahan tadi.
Akhir sekali masukkan pula kelapa parut dan gaul hingga sekata. Tutup bekas ini peram bahan umpan ini kira-kira 3 hingga 5 hari sebelum digunakan. Bahkan semakin lama diperap semakin bagus hasilnya.