Lain lokasi, lain senarionya. Lain tasik, lain ragam penghuninya. Begitu jugalah toman di Tasik Chini.
Percaya atau tidak, tabiat pemakanan toman di Tasik Chini tidak sama dengan tasik lain walaupun tasik berdekatan.
Untuk berjaya memburu toman Tasik Chini, beberapa perkara perlu anda semua perhatikan terlebih dahulu.
WAKTU TERBAIK
Sebaik sahaja habis musim tengkujuh berakhir dan banjir mula surut, waktu inilah merupakan antara waktu yang ‘menjadi’ untuk casting.
Menurut rekod pancingan, bulan Julai hingga Oktober adalah waktu terbaik untuk berkunjung ke sini.
WAKTU YANG PERLU DIELAKKAN
Ads
Sebaiknya elak berkunjung ke sini 2-3 minggu selepas air surut. Yang mana mengkuang, kelecut, teratai, rasau serta lain-lain tumbuhan yang ditenggelami air akan layu dan mati.
Situasi ini akan menyebabkan air menjadi masam. Ketika ini toman agak sukar membuka mulut.
GEWANG PILIHAN
Gewang pencil antara gewang permukaan yang sesuai dimainkan di sini dan boleh dikatakan agak laku.
Ketika tasik tenang dan permukaan tasik seumpama cermin yang mana pergerakkan pencil dapat dikesan oleh sang toman dengan cepat.
Ads
Awal pagi ketika angin belum berhembus serta lewat petang, pencil memang ‘laku’. Apabila angin mula ‘mengocak’ permukaan tasik, para caster biasanya menggunakan gewang kekipas, popper, jump frog dan juga buzzbait.
Joran berkekuatan 7lb-14lb atau 10lb-20lb sudah dikira berbaloi untuk dibawa ketika berkunjung ke sini.
Kekili ratio tinggi sesuai kerana kebiasaannya gewang permukaan menjadi pilihan untuk casting di tasik ini.
Manakala tali utama kebanyakan caster di sini menggunakan tali sulam 20lb-30lb.
Shock Leader sama ada yang biasa mahu pun flourocarbon adalah penting manakala kabel atau tali kevlar perlu diikat pada muncung gewang sebagai insuran.
Apa pendapat anda? Ayuh tinggalkan komen dan share. Terima kasih!
Antara tip yang perlu diketahui sebelum memancing seuatu spesies ikan adalah mengetahui diet atau makanannya terlebih dahulu. Ikan kaloi merupakan spesies ikan omnivor. Ikan ini memakan apa sahaja seperti rumpai air, ikan kecil, katak, cacing, organisma akuatik yang kecil malah hidupan akuatik yang telah mati juga dimakan oleh ikan kaloi.
Begitu pun, diet spesies ini lebih cenderung kepada tumbuhan. Dalam sektor akuatik, spesies kaloi juga digunakan sebagai haiwan pengawal rumpai air kerana keupayaannya untuk memakan dan mengawal tumbuhan vegetative akuatik dan alga yang tidak dikehendaki. Ini kerana, ikan kaloi yang dewasa mampu untuk memakan tumbuhan akuatik yang bersifat fiber secara terus.
Berbalik kepada dunia pancingan, spesies ikan kaloi bukanlah antara spesies ikan yang boleh dipancing setiap hari. Apa yang penulis maksudkan ialah, spesies boleh dikatakan spesies ikan yang agak jarang juga dinaikkan menggunakan teknik pancing. Lubuk pancingan spesies kaloi juga bukanlah di lokasi mudah diakses.
Biasanya, spot yang sesuai untuk memancing ikan kaloi ialah di kawasan sungai atau tasik yang mempunyai keadaan air yang bergerak perlahan. Ini kerana ikan kaloi biasanya memilih kawasan air berarus perlahan sebagai habitatnya. Spot sebegini yang mempunyai struktur seperti kayu mati di dasarnya juga antara spot menarik dan berpotensi.
Biarpun jarang dijadikan spesies target utama, ikan kaloi sebenarnya mampu memberikan tentangan yang kuat kepada pemancing. Henjutan kaloi yang bersaiz besar mampu membuatkan adrenalin pemancing mengalir laju. Jangan dipandang remeh kerana spesies ini mampu membesar sehingga mencapai saiz 70cm panjang. Dengan sirip kaudal pedunkel yang kuat, ikan kaloi mampu membuatkan tali pancing putus dengan hanya satu henjutan. Selalunya pemancing perlu berwaspada ketika ikan kaloi melakukan henjutan secara tiba-tiba.
Dalam pancingan ikan kaloi, teknik yang terbaik ialah teknik pelampung dan dasar, namun penulis lebih cenderung memilih teknik pelampung kerana ikan ini bukannya ikan demersal. Antara umpan yang boleh dipilih jika ingin menduga spesies Giant gourami ini ialah, lipas kayu, cengkerik, udang sungai, cacing dan belalang atau pepatung.
Jika anda mahu mencuba umpan berasaskan tumbuhan pula, beberapa jenis umpan boleh dipilih. Antaranya ialah buah ara, sawit peram atau sawit masak dan juga umpan pisang separuh masak yang dipotong kecil atau dipotong dadu sebelum dicangkukkan pada mata kail.
Jarang sekali kaloi menjamah umpan tiruan seperti gewang, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Kebelakangan ini sudah terdapat beberapa kejadian pemancing berjaya memancing kaloi dengan menggunakan gewang. Selain dry flies dan teknik pancingan layang juga berpotensi menggoda spesies gourami gergasi ini gewang tiruan berbentuk ala-ala udang dipercayai antara gewang terbaik yang boleh dicuba.
Terdapat 4 fasa air laut yang melibatkan pergerakan arus yang mempengaruhi sesi pemancing yang perlu diketahui oleh pemancing. Walaupun keadaan air yang cantik kadangkala tidak juga membuahkan hasil kerana ia juga bergantung kepada keadaan cuaca semasa dan suhu persekitaran.
Air Menyorong Kecil
Air menyorong kecil bermaksud keadaan air besar yang mula perlahan dan akan mati selepas 3 hari. Ketika ini air keruh mula jernih dan arus perlahan. Kebanyakan kawasan sesuai untuk memancing. Kebiasaannya pada waktu ini sesuai untuk memburu spesies kurau, senangin dan jenahak di kawasan dermaga dan kawasan dalam yang lain.
Air Menyorong Besar
Air menyorong besar bermaksud, keadaan air mati yang mula berarus. Biasanya berlaku 3 hari sebelum air besar. Ketika ini ikan yang berada di kawasan zon pasang surut air mati mula aktif dan bergerak mengikut arus.
Ketinggian air pasang boleh dilihat meningkat sedikit demi sedikit. Kebiasaannya pada hari ketiga. Nelayan akan keluar menjaring untuk memburu spesies Ikan senangin yang mula bergerak bersama air pasang. Dalam erti kata lain, ketika ini jugalah pemancing perlu keluar untuk memancing senangin.
Air Besar
Air besar bermaksud keadaan di laut yang mana air pasang tinggi dan arus deras. Biasanya air bergerak bersama lumpur menyebabkan air menjadi keruh. Ia biasanya berlaku selama 7 hari sebelum air mengecil semula. Ketika ini air pasang akan menenggelamkan reba-reba kayu dan batu tebing di sekitar tebing muara. Ketika air mula tinggi spesies ikan tetanda dan gelama adalah spesies yang biasa menghuninya.
Kebanyakannya berlindung ketika arus di kawasan tengah terlalu laju. Kebanyakan spesies seperti ikan sembilang juga amat aktif ketika ini. Kawasan muara dan anak sungai ketika air mula masuk, adalah yang paling sesuai. Kebanyakan ikan pari kecil di bawah 2kg biasanya banyak terdapat di kawasan pantai yang cetek.
Air Mati
Air mati (tidak berarus) bermaksud, keadaan air begitu jernih dan sekiranya umpan dijatuhkan, arus tidak mampu menghanyutkan batu walaupun bersaiz kecil. Adakalanya umpan tanpa batu tidak akan hanyut.
Keadaan air seperti ini menyebabkan ikan kurang aktif. Hanya waktu air mula pasang atau air mula surut yang mempunyai arus sesuai untuk memancing. Ketika ini ikan buntal dan sesirat adalah yang paling banyak mengganggu.
Sekiranya hujan, suhu air bertambah sejuk dan ini memburukkan keadaan. Kebanyakan spot sesuai berada di laluan alu lebih ke tengah laut. Ketika ini, air jernih di kawasan anak sungai amat sesuai untuk teknik casting.
Umpan perumpun atau udang hidup sesuai untuk menjerat tetanda dan siakap yang bergerak ke dalam anak sungai.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...