Sedang kebanyakan pakej rumah rakit hanya menawarkan pakej memancing dan menginap, Rumah Rakit Azarza Zainal yang terletak di Teluk Sengat, Kota Tinggi tampil dengan pendekatan berbeza 3 dalam 1 iaitu memancing, menginap dan cafe atas air.
Kunjungan kami ke rumah rakit ini terlebih dahulu disambut dengan minuman selamat datang oleh pemiliknya, Encik Azar Zainal. Menurutnya, idea untuk membuka rumah rakit dengan pakej menginap, makan dan memancing ini datangnya secara tiba-tiba.
Perancangan asal hanya untuk fokuskan kepada memancing sahaja, tetapi bila melihat dengan hanya 1 pakej kurang menjana keuntungan, maka beliau tampil dengan idea untuk
menjadikan rumah rakit ini lain daripada yang lain dengan pakej lengkap memancing, menginap dan cafe atas air.
Ads
Selain cafe dan bilik penginapan dengan konsep terbuka yang selesa, rumah rakit ini juga lengkap dengan pelbagai kemudahan lain seperti surau, tandas, TV siaran Astro, ruang makan yang selesa dan pelbagai lagi kemudahan lain.
Dikelilingi panorama menarik berlatarbelakangkan Sungai Johor pastinya rakit ini menjadi antara rakit pilihan yang boleh dikunjungi kaki pancing yang ingin membawa keluarga untuk bercuti sambil memancing.
Rumah rakit ini juga amat sesuai buat mereka yang ingin merancang untuk membuat hari keluarga atau apa jua aktiviti yang melibatkan kuantiti peserta yang ramai kerana ia mampu memuatkan maksima seramai 100 orang pada satu-satu masa.
Ads
Ditanya tentang perancangan masa hadapan, Encik Azar Zainal merangka untuk membina sebuah lagi rumah rakit yang baru dengan konsep bilik penginapan yang berbeza dan lebih privasi untuk pengunjung.
Selain itu beliau juga ingin menambah pelantar bagi memudahkan kaki pancing melontar joran dengan lebih selesa selain menambah baik kemudahan sedia ada untuk kepuasan pengunjung.
Sewaktu kunjungan singkat kami tempoh hari boleh dikatakan rezeki tidaklah memihak kami. Dengan kunjungan singkat dan keadaan air yang kurang cantik hanya spesies kecil sahaja yang sudi menjamah umpan kami.
Namun apabila melihat koleksi foto pemancing dengan tangkapan di rakit ini kami percaya ia juga menjadi persinggahan pelbagai spesies ikan gred A seperti siakap, tebal pipi, senangin, kerapu, merah, semilang dan macam-macam lagi.
Selain memancing di rumah rakit, Rakit Azarza Zainal turut menawarkan khidmat sewa bot untuk memancing dan menyusuri Sungai Johor bagi yang ingin menjamu mata melihat keindahan matahari terbenam.
Jadi, bagi yang menginginkan suasana rakit ala homestay ini bolehlah menghubungi En. Khairul Adnan atau En. Azahar atau lawati Facebook Rakit Azarza Zainal Telok Sengat.
Boleh dikatakan setiap kali air besar atau sebulan sekali saya akan turun memancing spesies gelama ini. Berlainan dengan gelama biasa atau cerua yang boleh dipancing hampir di serata kawasan, gelama dada kuning hanya tertumpu di lubuk dalam terutama laluan arus keluar masuk.
Air besar menjadi pilihan kerana mudah mendapat anak udang di sungai ketika air surut. Udang kecil sesuai dengan mata kail yang digunakan.
Sukar bagi kita untuk menjinakkan ia, jika tidak kena pada laluan keluar masuk ikan ini dari laut ke sungai dan kawasan laluan yang saya memancing ia adalah kawasan air dalam melebihi 40 kaki, terutama kawasan laluan bot ke Pelabuhan Selatan.
Memang ramai kaki pancing tidak gemar memancing gelama kerana kebanyakan yang diperolehi adalah dari jenis yang kecil dan kurang enak isinya.
Ia juga kebiasaan dijadikan umpan hidup terutama saiz sebesar dua hingga tiga jari orang dewasa untuk memancing spesies yang lebih besar.
Umpan juga akan cepat habis dibelasah oleh spesies yang menyerang secara berkumpulan ini dan dikatakan mudah membiak.
Agak malang kadar pembiakan tidak dapat menandingi jumlah kegiatan pukat, jaring, tagang atau dengan kata lain hasil penangkapan tidak diimbangi dengan penjagaan dan pemulihan stok ikan.
Peralatan dan Teknik
Memancing gelama dada kuning bukan mudah jika tidak mengetahui laluan utamanya. Gelama tidak memilih umpan selain udang, perumpun, sotong, isi ikan malah anak ketam, siput, ala-ala, kupang dan dan sebagainya pernah dijumpai di dalam perutnya.
Ia adalah spesies yang makan umpan pemancing tidak kira waktu. Namun bagi saya waktu aktif ikan gelama ini ialah ketika bunga pasang sehingga pertengahan pasang.
Jika kederasan air lemah, adalah maka lebih sesuai menggunakan pemberat kecil sekadar untuk menjatuhkan umpan ke dasar supaya mudah dirasa kehadiran si gelama yang sedang mencuri umpan anda.
Kalau ingin memancing gelama bersaiz kecil gunakan mata kail udang bersaiz no.8/9/10 (kecil, halus dan tajam) supaya ia cepat melekat pada mulutnya dan paling baik umpan tidak terlalu besar kerana gemar mengutis umpan pemancing yang leka.
Pilihan kelas tangsi utama dan kekili untuk memancing gelama dada kuning di bawah 20lb. Perambut 20lb hingga 40lb amat memadai kerana ia mampu bertahan walaupun digigit sang gelama.
Tidak ‘sporting’ kalau menggunakan tangsi yang kasar sebab perlawanan akan menjadi berat sebelah, jadi kita tidak akan enjoy dan merasai nikmat memancing dengan erti kata kepuasan apabila menarik ikan.
Bersama Kelab Raja Rimba Adventure, kami mengatur pelan sekian kalinya untuk mencari sang kelah sebagai tangkapan utama.
Kunjungan atau trip kali ini betul-betul untuk mencari ikan. Setelah beberapa minggu merancang, hari yang ditunggu tiba dan kami masuk ke Temenggor dengan kelengkapan pancing yang ada dengan menaiki lima buah kenderaan pacuan empat roda.
LUBUK SIRA DINDING
Untuk memaksimumkan masa memancing, kami bertolak masuk ke Hutan Temenggor sekitar jam 1.00 pagi.
Beberapa masalah teknikal pada kenderaan tidak dapat dielakkan, namun sekurang-kurangnya kami meminimakan masalah yang timbul dengan meminimakan jumlah pacuan.
Setelah tiba di kem utama di Sira Dinding, kami mengambil keputusan untuk bermalam dan akan trekking ke lubuk bahagian hulu.
Pada malamnya, kami menyiapkan pancing dan barangan keperluan untuk hari esok.
Sempat juga kami menghulurkan umpan di kem utama hasilnya beberapa ekor tengas daun berjaya menjadi santapan kami sebelum tidur.
Awal pagi keesokannya, setelah bersarapan dan berkemas mana yang patut, kami mula trekking menuju ke hulu sungai.
Setelah hampir 2 jam berjalan kaki melalui trek di tepi sungai dan sesekali mendaki bukit, kami akhirnya tiba ke satu kawasan yang kami rasakan sesuai untuk mendirikan khemah sebagai kem untuk bermalam.
Setelah siap mendirikan kem khemah untuk bermalam dan berehat seketika, kami bergegas mencapai set pancing dan mula mengikat mata kail serta bersiap apa yang perlu.
Kami berpecah kepada 3 kumpulan kecil memilih lubuk yang berlainan bagi melabuhkan umpan.
Penulis dan 2 orang lagi rakan memilih kawasan yang mempunyai lubuk yang agak dalam di bawah kawasan berarus laju.
Pilihan umpan yang ada ialah cengkerik dan kelapa sawit selain lipas batu yang boleh ditemui di bawah batu-batu lembab di tepi sungai.
Setelah umpan dilabuhkan, kami tidak perlu menunggu lama. Rod Berkley Cherrywood penulis yang berumpankan cengkerik melentur laju ke bawah menandakan ada yang melarikan umpan.
Dengan pantas penulis menyambar pancing yang hampir terjatuh dan terus mengepam laju kekili Shimano Aernos yang digunakan sebagai padanan rod tadi.
Ahhh, larian ikan dalam arus deras begitu mengasyikkan, tambahan pula melihat hujung rod yang meliang-liuk melentur menahan asakan.
Seketika kemudian seekor tengas bersaiz 800 gram dinaikkan. Ini petanda baik.
Sedang gembira menaikkan ikan pertama, tiba-tiba rod Ayie pula melentur. Apa lagi, terus saja Ayie membalas dan memulakan aksi karauan.
Tali yang memenuhi gelendong setelah dikarau akhirnya menampakkan seekor tengas daun di hujung kail.
Selepas itu, berselang seli antara kami bertiga melayan larian ikan terutama spesies tengas. Sesekali tengas daun juga berjaya mencuri umpan.
MALAM PESTA BAUNG
Sebelah petang kebanyakan spesies didominasi oleh tengas. Saiznya pula boleh tahan sekitar 1 kg. Namun, hentaman kelah masih di nanti.
Umpan yang sering dijamah dengan cukup laju ialah cengkerik dan lipas batu. Habis batu-batu di sekeliling kami selak untuk mendapatkan lipas batu.
Umpan sawit pula sedikit perlahan namun masih dijamah oleh ikan.
Beransur ke malam, baung mula menunjukkan diri. Apabila hari sudah gelap, kebanyakan umpan yang dilabuhkan disambar baung.
Tengas semakin kurang dan bertukar kepada baung. Sekitar jam 10 malam, tiba-tiba kekili Shimano Aernos menjerit membuatkan kami yang agak santai menjadi kelam kabut.
Dalam samar-samar cahaya, rakan bergegas mencapai rod dan mengetatkan drag secepat mungkin.
Tak sampai 5 minit, tali mono kekuatan 20lbs tiba-tiba putus ketika menahan asakan tersebut.
Kami berpandangan dengan perasaan bercampur baur. Kami yakin jeritan kekili tadi akibat henjutan kelah kerana rod tersebut dicangkuk umpan sawit. Paling tidak pun, tengas bersaiz besar.
LENGGOK SANG KELAH
Awal pagi, kami mendapat khabar rakan kami di bahagian atas sudah mendaratkan kelah. Terus cerah mata dan kembali bersemangat menghulur umpan.
Tidak sia-sia kerana tiba-tiba kekili Ryobi Navigator milik seorang rakan menjerit minta dikarau. Pantas beliau mula mengepam laju dan bergerak ke arah yang lebih terbuka bagi mengelakkan sebarang masalah.
Tali dipam masuk dan sesekali drag diketatkan sambil menahan asakan larian ikan di hujung kail.
Tak lama kemudian muncul si sisik merah dengan lenggok perlahan di gigi air dan sesekali cuba melakukan henjutan akhir ke tengah namun tak terdaya.
Akhirnya seekor kelah hampir 2 kg berjaya didaratkan. Kepuasan jelas terpancar pada raut wajah kami terutamanya rakan yang berjaya menaikkan kelah tersebut.
Setelah itu beberapa ekor tengas lagi berjaya dicungkil keluar dari dalam air. Ayie yang pula yang tidak jemu menghulur umpan dari semalam akhirnya mendapat sambaran yang agak luar biasa.
Kamera di tangan diletakkan dengan pantas dan tangan beralih pada pancingnya.
Penantiannya berbaloi apabila seekor lagi kelah yang lebih kecil kelihatan setelah bertarung menahan asakan dari dalam air.
Jeritan kepuasan kedengaran walaupun sedikit tenggelam dengan bunyi larian air sambil mengangkat ikan ke udara.
PULANG DENGAN KEPUASAN
Sekitar jam 4 petang, kami berkumpul dan berkemas untuk trekking ke kem utama kami di bahagian bawah sungai.
Setelah dikumpulkan hasil tangkapan, spesies tengas paling banyak dan 5 ekor sisik merah atau kelah berjaya dinaikkan.
Setelah berkemas lebih kurang dan membersihkan kawasan khemah, kami mula trekking pulang.
Hampir jam 7 malam, kami tiba di kem utama. Malam terakhir kami makan malam dan kelah stim menjadi hidangan utama bersama-sama beberapa ekor tengas.
Setelah makan malam dan berehat ala kadar, kami mengambil keputusan untuk terus keluar ke jalan utama pada malam itu juga memandangkan perancangan kami sedikit lewat dari jadual asal.
Selepas membersihkan kawasan persekitaran dan mandi di sungai yang begitu dingin airnya, kira-kira jam 9 malam kami terus bergerak keluar.
Dalam keadaan penat begini, pastinya lewat tiba di luar nanti dan esok belum tentu boleh terus memandu ke Lembah Klang akibat kepenatan.
Namun perjalanan malam ini tetap kami teruskan dengan senyuman kepuasan dek lenggok si sisik merah dalam trip kali ini.
(Catatan: Muhammad Faiz)
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Rasanya tak perlu nak cerita panjang pasal joran ni sebab kat kedai pancing memang dah tersedia joran khas untuk pancing udang. Yang penting joran tu lembut, mudah lentur dan liat. Joran jenis ini akan memberi signal kepada kita bila udang dah sangkut. Kalau pakai joran yang keras, sebarang tindak balas udang kita tidak dapat dilihat.
Gunakanlah tali utama yang berdiameter halus. Kekuatan tali maksimum 10-15lb pun sudah memadai. Pastikan tali utama adalah tali benang atau braided supaya mengurangkan risiko dipotong ikan buntal. Paling leceh sebab nak kena set semula perambut mata kail dan rugi batu ladung hilang.
Batu ladung jenis berlubang di tengah atau batu biji kana biasa digunakan. Ia penting sebab bila udang dah tersangkut secara automatik ia akan menarik terus tali utama. Batu jenis ini membantu dari segi tahap kesensitifan joran. Berat batu adalah bergantung kepada arus sungai. Saya biasa menggunakan batu no 4 hingga 6.
Yang pasti kekuatan perambut adalah kurang berbanding mainline. 6-10lb sudah memadai. Berdasarkan purata terberat udang galah di sungai ini tidak melebihi 700 gram. Sekiranya anda mendapat lebih dari berat itu, jackpot untuk anda. Perambut yang halus akan membantu menyelamatkan wang dan masa anda sekiranya mata tersangkut.
Mata kail khusus untuk udang memang banyak dijual. Di sini saya biasa menggunakan mata kail saiz sederhana iaitu no 4 hingga 6. Walau bagaimanapun, penggunaan mata ini bergantung kepada keadaan. Adakala mata kecil ok… kekadang kena pakai mata saiz besar. Sediakan lah pelbagai saiz.
Lazimnya memang guna cacing tanah saja. Umpun-umpun adakalanya mengena juga. Jantung ayam juga digunakan dan biasanya udang saiz jenggo suka ambik umpan jantung ayam. Jantung ayam kena hiris halus-halus supaya mata kail senang sangkut.
Di sini cuba cari kawasan air yang berarus. Tapi mengikut pengalaman di Sungai Pontian ni memang ada udang galah. Cuba la kat mana pun dari tepi hingga ke tengah sungai. Selain itu suhu air juga memainkan peranan. Sekiranya air terlalu sejuk udang macam malas nak cari makan.
Berdasarkan pengalaman… time udang makan selepas 2 atau 3 hari hujan lebat diikuti cuaca panas. Udang biasanya suka melepak kat kawasan yang ada rimbunan kayu. Kawasan berarus dengan selekoh-selekoh sungai memang port dia.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...