Menurut Muaz, seminggu lepas, Pak cik beliau ada masuk ke dalam kebun Pak Daud tu untuk memancing. Pak Daud jenis tak kisah. Tapi orang kampung tetap akan minta izin terlebih dahulu darinya jika berniat ingin memancing di situ. Bukan tak biasa Pakciknya ke situ, tapi kali ini begitu pula nasibnya. Kami yang lain hanya mendengar dengan teliti.

 

Sebelum menyambung cerita, Muaz berhenti seketika untuk memesan minuman daripada anak tauke warung tersebut. Orang lain dah tak sabar nak dengar cerita, dia boleh pula main-main kata dengan si Filzah anak tokey warung tersebut. Maklumlah, jarang-jarang anak gadisnya balik ke kampung. Tengah belajar di UiTM katanya.

 

Oh ya, berkenaan kolam tersebut. Sebenarnya, di dalam kawasan kebun Pak Daud terdapat sebuah kolam tinggal yang dahulunya dibuat kolam ternakan ikan keli. Disebabkan Pak Daud pernah sakit teruk, kolam itu menjadi tidak terurus dan akhirnya langsung tak terjaga. Malah apabila hujan lebat melanda pada akhir tahun lepas, paras air naik menyebabkan ikan-ikan di dalamnya terlepas ke luar.

 

Kolam tersebut sebenarnya ditakung dan dibesarkan dari pecahan aliran sungai kecil yang mengalir masuk ke dalam kawasan kebun tersebut. Maka tidak hairanlah terdapat ikan-ikan lain yang menyinggah di situ ketika kolam tersebut sedang rancak dijaga. Ikan-ikan lain datang untuk menumpang makanan keli yang diberi oleh Pak Daud.

 

Padah Membunuh Ular Bunian!!

 

Kalau diikutkan cerita orang kampung, teruk juga sakit Pak Daud tu. Orang kampung ingat dah tiada harapan. Tapi umurnya panjang. Pak Daud kini amat cergas malah seperti tidak pernah jatuh sakit. Sungguhpun begitu, dari cerita yang disampaikan, memang dia dah tak nak lagi usahakan kolamnya itu. Kadang-kadang naik airnya dan ada kalanya surut sungguh tapi tidak pernah kering, masih berbaki air seperti lecah dan lumpur.

 

Orang kampung pula, jika terdesak nak dapatkan haruan untuk tujuan ubat ibu berpantang selepas bersalin, atau saja suka-suka untuk memancing, mungkin dah tiada hala tuju sangat untuk melepaskan gian seperti kami, kolam kebun Pak Daud tu lah yang dituju. Tapi kami tak pernah bawa balik ikan-ikan tersebut. Semuanya dilepaskan kembali.

 

Masing-masing mengamalkan pancingan tangkap dan lepas. Atau memang dah muak agaknya makan ikan sungai. Nak dijadikan cerita, seminggu selepas Pakcik si Muaz ni ke kolam tersebut, badan beliau tiba-tiba ditumbuhi sisik seperti ular. Semakin hari semakin teruk sehingga kini keadaannya hanya terlantar di katil.

 

Puas berubat sana sini. Hospital kerajaan dan swasta pun dah pergi. Semuanya tak berhasil. Tetapi menurut Muaz, ada seorang ustaz yang ditemui memberi tahu, pakciknya terkena badi ular. Aku dalam dilema antara ingin percaya atau tidak. Tapi takkan benda-benda macam ni nak buat main pula.

 

Lagi-lagi yang diceritakan itu ialah pakciknya sendiri. Takkan nak buat main dengan nama ahli keluarga. Tambahnya lagi, ustaz tu ada beritahu yang ketika sedang mengubat, ada seorang perempuan berambut panjang berbadan ular marah pada ustaz tu sebab cuba nak ubatkan pakciknya.

 

“Jin tu nak buat pakcik aku sampai mati!” Meremang bulu roma aku bila Muaz habiskan ayatnya.

Syed bertanya, “Kenapa boleh jadi macam tu? Ada orang ‘buat’ ke?”

Jawab Muaz, “Masa dia mancing tu ada ular tedung besar lengan datang ke arahnya. Dia ketuk sekali je ular tu tumbang. Tak melawan langsung.”

Sambungnya lagi, “Lepas dia bunuh ular tu, baru dia fikir, betul ke ular yang dibunuh tu….” tambahnya, ketika itu sedang Maghrib.

 

Padah Membunuh Ular Bunian!!

 

Persoalannya, kenapa tak dihalau sahaja ular tersebut. Atau orang tua itu sahaja yang beralih. Mungkin ketika itu ada makhluk lain yang ingin pulang ke alamnya. Maklumlah hari sedang Maghrib. Semua pertanyaan ini bermain di benak fikiranku sendiri. Tak pula aku ajukan pada Muaz kerana mungkin tidak mahu membuat suasana menjadi semakin ralat. Tambahan pula, sekarang ni, beliaulah yang perlu berikhtiar untuk merawat pakciknya itu.

 

Ah.. Mungkin sebab terlalu panik maka ular itu pun dibunuh. Biasalah tu ‘orang kita’ kalau terjumpa dengan binatang-binatang berbahaya ni. Lagipun, jika kita tak bunuh… kita pula akan jadi mangsa. Aku cuba sedapkan hati sendiri.

 

Dalam tak sedar, taukey warung dah berkemas-kemas nak tutup warung. Kami pun angkat punggung masing-masing menuju ke kaunter. Taukey cakap hari ni tak payah bayar, sedekah. Nak tunggu kenduri lambat lagi katanya.

 

Mungkin beliau perli kami sebab kacau anak daranya tadi. Apa pun, kisah badi ular tersebut membuatkan bulu roma badanku meremang sepanjang perjalanan pulang.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI