Umpan yang padu untuk memperoleh hasil di sesuatu padang pancing amat penting sebelum memancing di lokasi tersebut. Sebagaimana padang pancing yang lain, untuk memperoleh hasil bagi sesi memancing di rumah rakit Teluk Gong juga perlu bijak memilih umpan sepadan dengan ikan sasaran.
Berdasarkan pengalaman para pemancing yang pernah memancing di sini, berikut merupakan senarai umpan dan spesies ikan yang telah didaratkan.
Udang hidup
Udang hidup merupakan umpan nombor satu jika anda berhajat untuk menaikkan spesies sasaran utama di sini iaitu pari, siakap, senangin, kerapu, tetanda, atau siakap merah. Malah banyak lagi ikan gred A akan melahap umpan udang hidup.
Udang kopek
Tiada pembaziran umpan di sini. Udang hidup yang telah mati tetapi masih segar dan dikopek kulitnya boleh digunakan untuk memancing ikan daun baru, duri, gelama, sembilang, atau ketuka. Jika bernasib baik, siakap merah atau siakap juga mengambil umpan udang kopek.
Ikan Tamban
Sama ada digunakan ketika masih hidup atau dijadikan hirisan, umpan ikan tamban berpeluang untuk mendaratkan ikan seperti pari, duri, kerapu, senangin atau kurau.
Hirisan ikan selayang
Sebagai mana hirisan sotong, hirisan ikan selayang juga berpeluang mendaratkan ikan berkualiti seperti sembilang, kerapu, atau duri sekiranya ia tidak banyak digetu dan dihabiskan oleh ikan-ikan kecil.
Hirisan sotong
Boleh dikatakan pelbagai spesies akan membaham umpan hirisan sotong terutamanya yang masih segar. Jika bernasib baik anda akan menaikkan kerapu, pari, atau tetanda.
Anak Gelama
Sekiranya anda memperoleh anak ikan gelama sebesar ibu jari, jadikan ia sebagai umpan hidup dan tagan. Anak gelama ini biasanya digemari oleh pari, senangin, kurau atau malong.
Umpun-umpun
Umpun-umpun merupakan umpan wajib hampir setiap rumah rakit. Walaupun ia sinonim sebagai umpan gelama, namun kadangkala ikan berkualiti seperti tebal pipi, tetanda, sembilang malah siakap turut membaham umpan ini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Memancing di sekeliling pulau dengan menggunakan bot pancing sememangnya menyeronokkan. Terutamanya pulau yang banyak didiami ikan pemangsa.
Namun tidak kurang juga perkara-perkara yang boleh merencatkan keseronokan serta bahaya yang menanti.
Di sini kami sediakan serba sedikit panduan dan peringatan untuk memancing di sekitar pulau.
Tip 1
Kebanyakan pulau terutamanya di perairan pantai timur diwartakan sebagai kawasan taman laut.
Oleh yang demikian sebarang aktiviti menangkap ikan adalah dilarang dalam radius 2 batu nautika.
Jadi, kita kenalah faham kenapa tekong tidak membawa kita memancing berdekatan dengan pulau.
Tip2
Kebanyakan pulau yang tidak berpenghuni adalah pulau berbatu. Sementara struktur batu-batu yang tenggelam di sekeliling pulau tidak seragam saiznya.
Tidak semua pulau boleh dihampiri dengan bot dalam jarak yang rapat. Oleh yang demikian, kita sebagai pemancing jangan cepat beranggapan negatif jika tekong tidak merapati pulau sebagaimana yang diinginkan.
Tip 3
Sentiasa perhati pergerakan arus dan angin jika ingin merapati tebing pulau berbatu.
Sekiranya angin dan arus lebih terarah ke tebing maka sebaiknya beralih ke kawasan yang lebih selamat untuk merapati tebing.
Tip 4
Turut sama membantu tekong memerhati skrin sonar perihal kedalaman air walaupun tidak terlalu hampir dengan tebing pulau.
Kewujudan struktur batu yang tidak seragam ketinggiannya boleh mendatangkan bahaya terutamanya di ke dalaman kurang daripada 20 kaki.
Tip 5
Sepadan dengan dasar yang berbatu maka gunalah perkasasan pancing yang dapat membantu mengurangkan kadar sangkut.
Sekiranya berjigging, sebaiknya kurangkan jumlah penggunaan mata kail dan elakkan dari mengguna mata tiga.
Tip 6
Sepadan jugak dengan spot ikan-ikan kecil berlindung maka jangan terlalu harap akan strike kerapu bara 3-4kg.
Dan kalau asyik strike kerapu biasa-biasa besar tapak tangan tu jangan nak salahkan tekong pula.
Air menyorong kecil ini merujuk kepada air laut ketika air pasang besar yang mula bergerak perlahan dan akan bani atau mati selepas 3 hari. Ketika ini air keruh mula jernih dan arus perlahan. Kebanyakan kawasan sesuai untuk memancing. Kebiasaannya waktu ini sesuai untuk memburu spesies kurau, senangin dan jenahak di kawasan pantai dan kawasan dalam yang lain. Waktu air menyorong kecil juga dianggap terbaik bagi pemancing yang ingin memburu spesies bersisik melalui teknik slow jigging terutamanya di Selat Melaka.
Air menyorong besar bermaksud, keadaan air mati yang mula berarus. Biasanya berlaku 3 hari sebelum air besar. Ketika ini ikan yang berada di kawasan zon pasang surut air mati mula aktif dan bergerak mengikut arus. Ketinggian air pasang boleh dilihat meningkat sedikit demi sedikit. Kebiasaannya pada hari ketiga, nelayan akan keluar menjaring untuk memburu spesis ikan senangin yang mula bergerak bersama air pasang. Jika nelayan keluar menjaring senangin ia bermakna para jigger juga berpeluang untuk mencari senangin atau gubal ketika ini.
Air besar bermaksud, keadaan air pasang tinggi dan arus deras. Biasanya air bergerak bersama lumpur menyebabkan air menjadi keruh. Ia biasanya berlaku selama 7 hari sebelum air mengecil semula. Ketika ini air pasang akan menenggelamkan reba-reba kayu dan batu tebing di sekitar tebing selat. Kebanyakan spesies berlindung ketika arus di kawasan tengah terlalu laju. Kebanyakan spesies predator malah ikan semilang juga amat aktif ketika ini. Kawasan muara dan anak sungai ketika air mula masuk, adalah yang paling sesuai. Kebanyakan ikan Pari kecil di bawah 2 kg biasanya banyak terdapat di kawasan pantai yang cetek.
Air mati dan tidak berarus bermaksud, keadaan air begitu jernih dan sekiranya umpan di jatuhkan, arus tidak mampu menghanyutkan batu ladung walaupun bersaiz kecil. Malah ada ketikanya umpan tanpa batu ladung pun tak hanyut. Keadaan air seperti ini menyebabkan ikan kurang aktif. Hanya waktu air mula pasang atau air mula surut yang mempunyai arus sesuai untuk memancing. Sekiranya hujan, suhu air bertambah sejuk dan ini memburukkan keadaan. Kebanyakan spot sesuai berada di laluan tengah selat seperti laluan kapal dan kawasan tertentu yang lain. Ketika ini, air jernih di kawasan anak sungai amat sesuai untuk teknik casting. Umpan perumpun atau udang hidup sesuai untuk menjerat tetanda dan siakap yang bergerak di dalam anak sungai. Aktiviti jigging ketika air mati ini juga boleh menyebabkan sesalan yang tak berkesudahan.
Bagi yang tidak biasa dengan istilah air apabila tekong beritahu terpaksa turun awal atau lewat kerana air tak ada. Pemancing yang berstatus `pembaris’ akan bertanya pula ke mana perginya air? Takkan air laut boleh tak ada? Air tak ada lazimnya dikaitkan dengan air surut rendah di kawasan pangkalan atau jeti di mana bot parkir. Keadaan di mana bot tidak boleh masuk atau keluar kerana air surut rendah inilah yang dikatakan air tak ada.
Sebut sahaja Taman Negeri Perak atau Royal Belum, tergambar satu panorama indah mengenai sebuah landskap hutan semula jadi yang indah. Ia diberi pengiktirafan sebagai ‘Diraja’ oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2003. Seterusnya ia diwartakan di bawah Enakmen perbadanan Taman negeri Perak 2001 oleh kerajaan Perak pada 17 April 2007.
Kawasan yang diwartakan seluas 117,500 hektar. Dianggarkan, Royal Belum memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan termasuk sungai serta tasik sebagai habitat. Ia juga dikenal pasti sebagai Kawasan Alam Sekitar Sensitif di bawah Pelan Fizikal Malaysia 2005 kerana menjadi tempat perlindungan gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir.
Sebagai lembah Hutan Tropika dara terbesar dan tertua di Semenanjung dan berusia lebih 130 juta tahun , ia lokasi penting kawasan perlindungan burung, terutama burung enggang. Namun, tidak mudah atau sewenang-wenangnya untuk memasuki Royal Belum melainkan perlu memohon permit dahulu dari Perbadanan Taman Negeri Perak sebelum memasukinya.
Caranya, jika untuk tujuan memancing, minta sahaja guide atau tekong menguruskan permitnya. Manakala untuk tujuan santai boleh minta pengurusan hotel yang terdapat sini membuatnya untuk anda dan selepas mendaftar masuk, pihak berkuasa akan merekodkan bila anda masuk dan keluar.
Lubuk memancing Bagi kaki pancing tegar, Royal Belum memang dianggap lubuk terbaik. Bahkan daripada susunan ranking lokasi pancingan tasik di negara ini, ada yang berani mengatakan, Royal Belum atau disebut juga Temenggor Utara lebih baik dari Tasik Kenyir kerana populasi ikannya seperti sebarau, toman, kelah, kejor, tengas, temoleh, kalui, baung masih banyak.
Untuk kaki casting tegar yang ingin mencari sebarau, toman, pilihan terbaik ke Sungai Tiang, Papan, Kenarong dan Sungai Kejar. Servis yang terbaik ialah menggunakan khidmat speedboat dan tidur di wakaf yang telah disediakan. Manakala untuk pancingan santai bersama kaum keluarga atau rakan-rakan, pilihan terbaik adalah menyewa boathouse sambil menyusuri tasik ini sehinggalah ke Sungai Kejar.
Bagi kaki pancing berhasrat mencari kelah, trekking ke hulu sungai adalah terbaik. Lokasinya ialah berjalan kaki dari tapak perkhemahan Sungai Kejar, melalui Sungai Ketir, Berting, Sanghur hingga ke Sungai Laho. Purata perjalanan 4-8 jam. Semakin menghala ke hulu, semakin bertemulah anda dengan lubuk-lubuk kelah, tengas, kejor yang bisa menggetarkan tangan apabila umpan yang dilontar dilarikan ganas oleh penghuni lubuknya.
Waktu sesuai Sebenarnya Royal Belum boleh dikunjungi bila-bila masa sahaja sepanjang tahun. Apa yang penting, adalah apa target spesies yang anda sasarkan. Secara umumnya, bulan April hingga Julai dianggap waktu terbaik memancing kelah kerana ketika ini musim panas. Untuk merasai bagaimana kuatnya penangan toman Royal Belum, waktu ini juga dianggap sesuai.
Manakala musim tengkujuh, Oktober hingga Januari merupakan saat yang paling sesuai atau pesta untuk kaki casting mencari sebarau atau ikan trofi, iaitu badong kerana kumpulan ini biasanya kan lebih kerap ‘boiling’ untuk mencari makanan. Pokok pangkalnya, perlulah sentiasa berhubung dengan rakan atau tekong yang biasa di kawasan ini, terutama bila waktu ‘paling sesuai’ (kerap hujan, panas terik, air naik tinggi) atau ‘tidak sesuai’ (air tasik surut teruk, rumput telah masam, harimau bawa anak).
Teknik Memancing Di Royal Belum
Casting
Kesemua jenis aksi gewang (floating, sinking, suspending) disyorkan wajib ada dalam kotak gewang. Tapi bergantung juga dengan lokasi dan spesies yang disasarkan. Untuk yang baru berjinak dengan kaedah ini, bolehlah minta pendapat rakan kaki casting. Tidak perlu membeli gewang secara banyak dalam satu-satu masa. Sebaiknya beli sedikit demi sedikit dan beli mengikut warna dan jenis gewang ‘killer’ sahaja.
Spoon- Satu lagi item wajib ada, kerana ada masanya, sebarau memandang sepi gewang anda dan sedang boiling jauh dari speedboat. Pastikan warna-warna ‘killer’ (gold, silver) berat 7-18 gram mesti bawa.
Mengenai teknik persembahan, cubalah tanyakan otai-otai, sama ada perlu karau laju, perlahan, jerk, light jigging.
Bottom
Untuk kaki bottom, bawalah apa sahaja yang anda perlukan di sini, terutama tapa (baung), anak ikan kap, emas (baung besar, belida), cengkerik (baung, kalui), cacing tanah (baung, ikan terbul) dan anak keli (toman).
Tahukah anda?
Di sebalik nama Royal belum itu sendiri, nama Belum itu diambil daripada nama asal perkampungan Melayu, iaitu Kampung Belum Lama yang meliputi enam perkampungan kecil yang wujud sejak tahun 1952 lagi. Bahkan, belum itu sendiri sebenarnya diambil daripada bunyi yang dihasilkan oleh sejenis belalang besar berwarna hijau yang menghuni hutan ini yang mengeluarkan bunyi belum, belum, beluuummm!.
Sejarah juga pernah mencatatkan kawasan ini diwartakan sebagai kawasan hitam pada tahun 1984 kerana berlakunya ancaman pengganas komunis. Aktiviti ketenteraan dan kem tentera yang terdapat di sini berfungsi sebagai menjaga kawasan sempadan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan dan penyeludupan membawa keluar hasil hutan terutama kayu gaharu yang banyak terdapat di sini.
Sesiapa yang berhajat berkunjung ke sini untuk tujuan rekreasi, anda perlu mendapatkan permit terlebih dahulu dari Perbadanan Taman negeri Royal Belum dan perlu patuh terhadap peraturan sepanjang berada di sini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...