Setelah sekian lama spesies ikan patin atau patin Chao Phraya mendominasi podium kejuaraan dalam pertandingan memancing atau cabaran memancing bulanan yang dianjurkan oleh Kolam Seri Bayu Tekala, akhirnya ikan pacu (yang merupakan spesies sasaran suatu ketika dahulu) kembali merampas takhta dan berada di puncak podium.
Dalam pertandingan memancing, Cabaran Bulan Kemerdekaan (Ogos), anjuran kolam Seri Bayu Tekala yang dilangsungkan Ahad lalu menyaksikan ikan pacu yang didaratkan oleh peserta dari Labu, Negeri Sembilan yang mendaftarkan nama sebagai LBJ 21 seberat 14.460 kg, pada jam 11.12 pagi (kolam 5) muncul sebagai juara. Dengan kemenangan tersebut, LBJ 21 membawa pulang wang tunai sebanyak RM55,000.
Begitu juga dengan pemenang di tangga kedua. Seekor ikan pacu dengan berat 14.315 kg (hanya dibezakan 0.145 kg atau 145 gm) yang didaratkan di kolam 2 pada jam 11.44 pagi (berselang 32 minit) oleh peserta yang mendaftar nama sebagai DAUD ZARAH, terpaksa berpuas hati di podium kedua dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM12,000 ke Tanjung Malim.
Manakala di podium terakhir atau tangga ketiga dimenangi oleh peserta yang mendaftarkan nama sebagai POK CIK dari Petaling Jaya. POK CIK berjaya mendaratkan seekor ikan patin seberat 12.930 kg (kolam 2) sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM 5,000.
Ads
Top carta 10/150 pemenang
1. LBJ 21 – Pacu 14.460 kg (RM55,000)
2. DAUD ZARAH – 14.315 kg (RM12,000)
Ads
3. POK CIK – Patin 12.930 kg (RM5,000)
4. ALONG – Patin 12.840 kg (RM1,000)
5. DATO K – Patin 12.450 kg (RM500)
Ads
6. JERUNG 24 – Patin 12.250 kg (RM400)
7. MUSIBAT – Pacu 12.125 kg (RM300,00)
8. JI 5 – Patin 12.060 kg (RM300)
9. TT – Patin 11.525 kg (RM300)
10. J 26 – Patin 11.205 kg (RM300)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Bagi penggemar spesies peacock bass ataupun ikan raja mengikut panggilan orang tempatan, taburan lombong di sekitar Air Kuning yang terletak di negeri Perak ini sudah tidak asing lagi bagi kaki-kaki pancing yang menggunakan teknik casting serta fly fishing.
Pasti ramai yang bersetuju peacock bass atau ramai juga yang menyebutnya ikan PB di sini boleh diperolehi dalam kuantiti yang banyak dan bersaiz agak kasar berbanding tempat-tempat lain.
Maka, tidak hairanlah mengapa ramai yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk merasakan tarikan padunya.
Tambahan pula ia mudah ditemui kerana populasinya yang begitu baik sekali di kawasan ini disebabkan sumber makanan yang begitu banyak serta kemampuan spesies ini untuk membiak dengan begitu mudah dan cepat.
POTENSI SPOT PANCINGAN
Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk menjejak spesies pendatang yang semakin mendapat tempat di hati kebanyakan kaki pancing yang meminati teknik mengilat.
Kegilaan peacock bass di sini menghentam gewang-gewang permukaan pada awal pagi dan lewat petang serta ada kalanya sewaktu matahari tegak di atas kepala menyebabkan saya sering gigil tangan kerap ‘repeat’ ke Air Kuning.
Spot-spot lazim seperti Bird Sanctuary, Little Kenyir, Peacock Point dan Port Kandang menjadi port biasa yang sering saya kunjungi setiap kali ke sini.
Setelah beberapa kali menduga dan mengamati tabiat ikan di sini, saya dan pendapat beberapa orang rakan pengilat lain berpendapat bahawa paras air yang paling sesuai untuk
memancing adalah semasa air sedang menurun dari paras paling tinggi selepas musim hujan.
Waktu itu, akan banyaklah kelibat peacock bass menghambur anak ikan di permukaan air terutamanya pada waktu awal pagi.
Namun ada juga pemancing yang gemar mengilat spesies predator ini sewaktu paras air benar-benar surut kerana pada ketika itu PB banyak berlegar di luar kawasan samai yang telah cetek.
Sedar atau tak, sudah agak lama lombong-lombong di sini dihuni oleh spesies pendatang ini.
Malah, bukan hanya di Air Kuning sahaja, tetapi di sekitar lombong di Malim Nawar, Temoh, Mambang Di Awan, Kampung Pisang dan Kampung Gajah juga sudah banyak diperkatakan tentang kewujudan populasi PB.
Malah, sejak tahun 90-an lagi ramai yang sudah sedia maklum akan kehadiran spesies pendatang ini.
POTENSI SAMBARAN
Sama seperti tempat lain, peacock bass Air Kuning tidak segan silu menghentam pencil dan popper berukuran 5-7cm lebih-lebih lagi ketika ia begitu galak menghambur anak-anak ikan di permukaan air.
Malah, toman, haruan, sebarau dan jelawat juga banyak diberitakan gemar menghentam gewang permukaan.
Gewang-gewang seperti Megabass dog-x, Jackall mudsucker, Ofmer catwalk, Yo-zuri 3D/3DS popper serta Jackson RA Pop sering diperkatakan akan keberkesanan penggunaannya di kalangan pengilat yang berkunjung ke sini.
Warna lazim adalah skema terang seperti fire tiger, merah dan oren. Warna natural dan transparent juga begitu efektif untuk digunakan di sini semasa matahari telah semakin meninggi.
Waktu ini, penggunaan gewang selaman, suspending dan sinking lebih praktikal terutamannya Storm flutterstick, Lucky Craft wander dan Smith pannish.
Penggunaan soft plastic dan clouser spinfly yang diikat pada pemberat juga antara yang popular digunakan bagi memujuk PB yang berlegar jauh di bahagian dasar lombong.
Satu lagi kaedah yang efektif untuk diaplikasikan di sini adalah teknik tundaan menggunakan gewang selaman dalam.
Antara spesies lain yang biasa didaratkan dengan menggunakan teknik ini adalah belida, toman, baung dan juga tapah.
MOMEN INDAH SEORANG PEMANCING
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat melakukan aktiviti bersama rakan yang berkongsi minat yang sama.
Ada kalanya kegembiraan memancing dengan rakan-rakan baik sudah cukup memadai biarpun kumpau seharian. Kalau beroleh sambaran tu sudah dikira bonuslah bagi seorang pemancing.
Justeru, saya menyeru kepada kaki pancing semua untuk bersama-sama mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika memancing demi menjamin alam sekitar kita supaya terpelihara.
Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Faktor keselamatan diri juga harus dititikberatkan oleh oleh kaki pancing. Kadang-kadang dengan sedikit kecuaian sahaja boleh membawa padah.
Bagi yang gemar boating di Air Kuning, saya menyeru gunakanlah sentiasa jaket keselamatan sebagai langkah keselamatan diri. Malang tidak berbau.
Perlu diingat lombong Air Kuning adalah bekas lombong bijih timah dan ia adalah dalam!
Selain itu, demi memastikan stok ikan terutamanya spesis-spesis tempatan di perairan kita sentiasa terpelihara, amalkanlah ‘Tangkap dan Lepas’ (CnR) ataupun mengehadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit).
Bukannya apa, semoga dengan usaha yang kita amalkan ini turut sama dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan terutama untuk anak cucu kita pada masa hadapan.
Semua ahli trip cukup teruja apabila menjejakkan kaki di Jeti Kuala Tahan tanggal cuti Hari Malaysia. Maklumlah majoriti ahli komplot belum pernah sampai, kecuali dua orang sahaja yang pernah sampai sebelum ini.
Usai sarapan sekitar jam 9.00, memunggah barangan ke dalam bot dan mengambil permit di pos kawalan Perhililitan di Sungai Tahan, bermulalah perjalanan menongkah arus Sungai Tembeling.
Dalam sedar tak sedar, tepat jam 1.30 tengah hari, perahu panjang yang membawa kami akhirnya tiba di Lata Said. Jelas berbeza ujar Abang Rom yang mengatakan, sekiranya musim kemarau, sekitar jam 4-5 petang nanti barulah sampai di Lata Said, akibat terpaksa banyak kali menolak bot.
Usai memasang khemah dan makan bermulalah aktiviti memancing sekitar lubuk berhampiran sebelum ia terbantut apabila langit tiba-tiba sahaja gelap dan hujan turun dengan begitu lebat membawa hingga ke larut malam. Dalam kesejukan berada di dalam khemah, masing-masing berdoa agar hujan segera berhenti.
Hari Kedua
Awal pagi, kelihatan air keruh bak teh tarik mengalir deras di hadapan khemah kami. Jauh bezanya dengan hari semalam yang begitu jernih. Rakan yang sudah merancang untuk trekking, tergamam melihat warna air. Bukan sahaja keruh, tetapi parasnya juga tinggi. Menurut Abang Rom, walaupun keruh yang teruk, jika tidak hujan pada hari tersebut, esok ia sudah kembali pulih.
Semasa sarapan, kami berbincang di mana sekumpulan rakan bersama beberapa boatman yang lain bertekad untuk cuba trekking ke bahagian hulu untuk casting dan juga mencuba pancingan dasar. Ini kerana dengan menuju ke bahagian hulu, keadaan air pasti akan pulih dengan cepat.
Penulis pula, pudar hati untuk trekking melihatkan air yang keruh bak teh tarik ini. Untuk tidak membuang masa, penulis bersama Rul, John, Mazuan dan Bahar bersetuju mengikut Abang Rom dan tiga orang boatman lagi (menggunakan dua buah bot) mudik ke bahagian hilir sehingga ke Lubuk Rawa. Harapannya tidak lain tidak bukan memancing baung sambil berharap ada spesies lain, terutamanya sang tenggalan akan diperoleh.
Hendak dijadikan cerita, sehingga ke tengah hari, kami memang berpesta baung akar sahaja. Cukup banyak sampai tak menang tangan menjaga dua batang joran. John yang memancing sekitar Lubuk Rincing pula mendapat bonus seekor udang galah.
Kembali ke Lata Said pada sebelah petangnya, kami menantikan rakan yang pulang dari trekking. Beberapa ekor kejor berjaya diperolehi melalui kaedah casting dan pancingan dasar oleh boatman.
Sebarau paling mendominasi tangkapan, tetapi tiada bersaiz badong berjaya didaratkan. hanya Udin yang tersenyum lebar, kerana berjaya memperoleh kejor menggunakan sesudu. Geng tekong yang membantu memancing kelah melalui kaedah pancingan dasar, juga gagal.
Post mortem yang diadakan pada malam itu merumuskan keadaan air yang masih keruh membantutkan usaha untuk casting dengan baik. Air yang dalam dan deras turut membataskan mereka yang trekking berjalan lebih jauh dan pantas kerana perlu berhati-hati memijak batu yang tidak kelihatan dan licin.
Hari ketiga
Ketika menikmati makan malam, Lata Said dibasahi hujan lagi. Tetapi tidaklah lebat. Paginya masing-masing bersemangat untuk memulakan trekking kerana keadaan air sudah kembali pulih walaupun ia berstatus ‘air bulu kera’.
Disebabkan ramai yang ingin turun casting, terpaksa berpecah kepada dua grup. Satu grup akan bermula casting dari Lubuk Batu Terubung menghala ke Lata Said. Manakala satu grup lagi dengan ditemani dua boatman lagi menghala naik lebih atas lagi menuju ke Keniam Kecil. Saya memilih untuk naik ke atas bersama Zul, John dan Bahar.
Di bahagian atas, keadaan air amat cantik. Banyak sebarau kami berjaya perolehi dan mana yang bersaiz juvenil dilepaskan kembali. Di satu lubuk yang terletak tidak jauh antara satu sama lain, Zul berjaya memperoleh seekor sebarau bersaiz 1.5 kg menggunakan sesudu Bakau (warna tembaga), manakala penulis berjaya memperoleh seekor kejor yang beratnya hampir 1 kg.
Hari terakhir
Hari keempat adalah hari terakhir kami di Sungai Keniam. Ternyata 2 yang lalu hari adalah hari yang kami ‘pulun’ memancing dan bakinya adalah lebih kepada perjalanan pergi dan pulang.
Sekitar jam 10 pagi, kami meninggalkan Lata Said dan lebih kepada sesi casting sebarau secara berhanyut sambil boatman mendayung bot sehinggalah sampai di Lubuk Rincing.
Dalam trip ini, masing-masing mendapat pengalaman yang berharga ketika menjejakkan kaki kali pertama ke Sungai Keniam. Tiada istilah serik, sebaliknya geng ini akan cuba mencari tarikh yang sesuai untuk menjejakkan kaki lagi ke sini dan sasaran utama adalah seawal yang mungkin selepas musim tengkujuh berakhir sekitar Mac nanti.
Pertandingan mengilat atau casting spesies ikan berkepala ular (snakehead) yang berpusat di Tasik Kenyir, Kenyir Snakehead Battle kini semakin mendapat tempat di hati pengilat tanah air dan juga luar negara. Pertandingan mengilat yang dianjurkan secara dwi tahunan atau dua kali setahun ini kini turut disertai oleh pemancing dari negara Thailand dan Singapura.
Hujung minggu lalu, pada tanggal 19 dan 20 Ogos, berpusat di Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir seramai 150 orang peserta mengambil bahagian dan masing-masing telah mempamerkan semangat juang yang tinggi. Dalam pertandingan mengilat dengan menggunakan bot gentian kaca ini hampir 50 ekor toman berjaya ditewaskan dan 35 ekor layak untuk dipertandingkan.
Ketika para peserta sibuk mencari lubuk dan menduga spesies snakehead ini, seorang peserta dari Pahang membuat kejutan dengan tangkapan seekor ikan kelisa dengan anggaran 4 kg yang menyambar gewang besar yang dikhaskan untuk toman. Saiz spesimen tersebut boleh dikatakan amat sukar untuk ditemui ketika ini di Tasik Kenyir.
Dalam pertandingan anjuran MHMH Sport Fishing ini, Shahrim dari pasukan atau kumpulan KLUQKLEQ CREW muncul sebagai juara apabila mengungguli carta dengan tangkapan seekor ikan toman seberat 6.22 kilogram. Manakala pemenang di tangga kedua dan ketiga pula didominasi oleh ahli kumpulan KB ANGLERS & AQUATIC-ID WORLD.
Sementara bagi kategori tangkapan toman terbanyak pula dimenangi oleh pasukan LOKOH setelah berjaya mendaratkan lima ekor ikan toman, dan pemenang di tempat kedua pula menjadi milik pasukan SYSIK HUNTER dengan jumlah tangkapan sebanyak empat ekor toman. Dan kategori tangkapan terpantas pula dimenangi oleh peserta daripada kumpulan JERTEH CASTER CREW, Kamal berjaya mendaratkan seekor ikan dibawa ke rumah bot urus setia pada jam 9.25 pagi, hari pertama pertandingan.
Pihak penganjur sangat berbesar hati dengan kejayaan pertandingan ini dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat. Terutamanya kepada pihak-pihak penaja yang menyumbangkan pelbagai hadiah bagi memeriahkan lagi Kenyir Snakehead Battle edisi kelima ini. Sekiranya tiada halangan, pertandingan atau battle seterusnya akan dilangsungkan pada bulan Februari 2018.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...