
Ikan patin liar diistilahkan sebagai ikan patin hidup di habitat liar seperti lombong, sungai dan juga tasik. Untuk memancing patin liar anda boleh guna umpan semulajadi atau umpan buatan yang diadun dari beberapa bahan.
Di sini kami sediakan beberapa jenis umpan semulajadi yang sesuai untuk digunakan dan umpan buatan yang telah diuji keberkesanannya.
Pilihan Umpan semulajadi:
Cacing
Gunakan jenis cacing tanah yang biasa anda dapatkan di persekitaran rumah atau persekitaran padang pancing. Sebaiknya pilih cacing yang masih segar dan mempunyai ukuran yang besar dan panjang.
Teknik mencangkuknya pada mata kail ialah dengan menusukannya dari bahagian tengah. Dengan cara ini cacing akan tetap bergerak-gerak dan lebih berkesan untuk menarik perhatian ikan patin atau ikan lain yang terdapat di padang pancing tersebut.
Umpan semulajadi yang lain
Kelkatu
Telur kerengga
Ulat daun
Belalang
Cara penggunaannya juga cukup mudah iaitu sama seperti menggunakan umpan cacing tadi.
Mengapa ikan patin suka dengan umpan ini? Ini kerana patin adalah haiwan omnivore yang menghampiri karnivor sebagaimana ikan keli, maka secara alamiah patin akan menyukainya.
Umpan buatan 1
4 keping roti sandwic
1 pek kecil yis segera
Daun serai (2 helai)
1 keping keju kraft kecil
1 paket Susu sachet (20gm)
Cara pembuatan:
Cara membuatnya cukup mudah, iaitu dengan menghiris daun serai kemudian diblender. Blender semua bahan juga kecuali roti dan yis segera.
Kemudian masukan bahan kisar ke dalam bekas dan masukkan yis segera. Biarkan ia di dalam bekas bertutup selama 5 hari sehingga 1 minggu.
Setelah itu gaulkan dengan roti sandwich dan bentuk adunan mengikut kesesuaian untuk digunakan.
Umpan buatan 2
Esen perisa pisang
Santan kelapa tua 1 biji
2 keping tempe segar
Cara membuatnya:
Kelapa tua tadi diparut dan diperah santannya dengan sedikit air.
Kemudian blender tempe dan masukkan santan serta adun sampai rata. Adunan ini kemudian dimasukkan ke dalam bekas bertutup rapat. Biarkan selama 3 hari bagi proses penapaian atau fermentasi.
Apabila ingin digunakan, tambahkan esen pisang untuk menaikkan lagi aromanya.
DIY Umpan – Setting Terbaik Umpan Ara

Sebagaimana yang telah diketahui, Umpan Ara adalah umpan untuk memancing ikan-ikan kolam terutamanya patin.
Cara penyediaan umpan ini juga ringkas dan mudah. Ia boleh digunakan bersama roti atau pelet.
Memandangkan penggunaan pelet peram amat berkesan pada masa kini, kami kongsikan cara mudah penyediaannya.
Bahan-bahan:
Umpan ara (Strawberi/pandan)
Pelet 920 (1 kg)
Air (2 cawan)
Santan kelapa (1 kotak kecil)
Kelapa parut (1/2 biji)
Cara penyediaan:
⇒ Masukkan 1kg pelet 920 ke dalam bekas bancuhan kedap udara.
⇒ Kemudian curahkan 2 cawan air ke atas pelet dan gaul hingga sekata.
⇒ Seterusnya masukkan pula 1 kotak santan kelapa dan gaul sehingga sekata.
⇒ Kemudian barulah masukkan umpan ara strawberi atau pandan sebanyak 15-17 penutup botol dan sehingga sekata.
⇒ Akhir sekali masukkan kelapa parut dan gaul. Kemudian tutup rapat dan peram selama 24jam-48jam sebelum digunakan untuk memancing ikan patin.
(Cara penyediaan alternatif)
⇒ Masukkan air, santan kelapa dan 15-17 penutup umpan ara dan bancuh sehingga ia sebati.
⇒ Kemudian barulah curahkan ke atas pelet dan gaul hingga sekata. Seterusnya barulah masukkan kelapa parut dan peram.
Spesies Bersisik Sasaran Slow Pitch Jigging!!

Teknik jigging perlahan merupakan teknik khusus untuk menggantikan teknik pancingan dasar bagi memburu ikan-ikan bersisik yang bersifat demersal.
Terdapat pelbagai spesies ikan demersal namun dalam sukan memancing jigging perlahan yang berkonsepkan pancingan ikan dasar, terdapat beberapa spesies yang menjadi sasaran utama.
JENAHAK
Dalam disiplin jigging perlahan, ia merupakan ‘ikan sisik’ yang berada di ranking paling atas dalam spesies buruan utama.
Bahkan dalam sesuatu trip jigging perlahan, trip berkenaan boleh dianggap gagal atau kumpau jika gagal mendaratkan jenahak berikutan ia merupakan spesies utama sasaran dalam aktiviti ini.
Info Jenahak
Nama saintifik: Lutjanus Johnil
Nama Inggeris: Golden Snaper, John’s Snapper
Nama Tempatan: Jenahak, jenak, ungah
Ikan yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae ini merupakan spesies yang paling popular dalam 60 genus lutjanus yang memakai nama jenahak. Ikan jenahak boleh hidup sihat dan berenang bebas di kawasan laut beriklim tropika dan sub-tropika.
Ia mampu membesar sehingga satu meter panjang dan seberat 13 kilogram. Ia mudah dikenali dengan tompok hitam bulat di bahagian belakang badannya.
KERAPU BORON aka TONG GAS
Boleh dikatakan, setiap pengamal slow jigging berhasrat untuk menundukkan kerapu boron atau tong gas ini.
Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan.
Pasti ramai pecinta jigging perlahan merindui aksi benamannya dalam usaha melarikan diri setelah tersangkut mata jig.
Info Kerapu boron
Nama saintifik: Epinephelus malabaricus
Nama Inggeris: Malabar Grouper
Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas
Kerapu mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter.
Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang.
Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat.
SIAKAP MERAH aka MAK JANDA
Ia merupakan ikan sisik yang dianggap sebagai ikan trofi jika berjaya mendaratkannya.
Dalam disiplin jigging perlahan, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan.
Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.
Info Siakap Merah
Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus
Nama Inggeris: Mangrove jack
Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong
Ikan kakap atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan.
Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.
KACI aka KA CHEE
Dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini hampir tidak tersenarai dalam buruan utama berikutan ia pernah dianggap tidak membaham jig kecuali jig yang ‘berumpan’.
Namun tentangan yang diberikan kaci sehingga ke permukaan membuatkan ia kini menjadi spesies yang ingin diburu.
Info Kaci
Nama saintifik: Diagramma pictum
Nama Inggeris: Grunts (sweetlips)
Nama tempatan: Kaci, mandi abu
Ciri-ciri untuk mengenali kaci atau mandi abu ini memiliki 9-10 duri pada sirip dorsal, 20-24 tompok sinar lembut.
Kaci juvana atau sub dewasa memiliki tompok atau jalur. Ia mampu membesar sehingga 100 cm namun saiz biasa yang ditemui sekitar 45 cm.
Dalam dunia memancing khususnya pancingan kolam air masin, kaci ini lebih merujuk kepada panggilan kakap merah.
MERAH PUCAT
Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig.
Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan. Namun peluang untuk memperolehnya dengan menggunakan jig sahaja tetap ada terutamanya ketika ia kelaparan.
Info Merah pucat
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat
Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu.
Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.
KERAPU BARA aka SUNOH
Dalam disiplin jigging perlahan ia merupakan spesies tangkapan impian berikutan kesukaran untuk mendapatkannya, khususnya di perairan Selat Melaka yang merupakan padang pancing utama jigging perlahan.
Memperoleh spesies bersisik cantik ini sebenarnya lebih kepada kepuasan bukan kerana kudrat melawannya.
Info Kerapu sunoh
Nama saintifik: Plectropomus leopardus
Nama Inggeris: Common coral trout, leopard coral grouper
Nama tempatan: Sunoh, kerapu bara, kerapu bintang
Kerapu ini dapat dikenali menerusi badannya yang dilimpahi titik biru kecil. Bulatan cincin biru yang tersendiri di sekeliling mata.
Dan sirip pektoral yang polos tanpa warna. Ia mampu membesar sehingga 120 cm panjang namun saiz yang lazim didapati sekitar 35cm sahaja.
IBU GELAMA
Dalam skop jigging perlahan masa kini, ibu gelama dianggap sebagai spesies buruan paling atas masa kini.
Ia berikutan bukan sahaja kerana kesukaran untuk memperolehinya, bahkan disebabkan tahap kekuatan pertarungannya yang luar biasa berbanding spesies.
Seperkara lain, ibu gelama yang lazimnya ditumpaskan melalui teknik slow jigging ini, saiznya besar-besar belaka.
Info Ibu Gelama
Nama saintifik: Argyrosomus japonicus
Nama Inggeris: Mulloway, Jewfish, Kingfish
Nama Melayu: Ibu gelama
Argyrosomus japonicus adalah spesies ikan berwarna keperakan dan hijau gangsa yang tergolong dalam keluarga Sciaenidae.
Di Australia ia dikenali sebagai mulloway atau jewfish dan kob dusky di Afrika Selatan. Ibu gelama ini mampu mencapai panjang kira-kira 180 cm (80 kg berat), walau bagaimana pun purata saiz yang biasanya ditangkap sekitar 3-15 kg.
Ruby Snapper
Satu-satunya spesies idaman penggemar segmen pancingan jigging perlahan yang hanya boleh ditemui di perairan Sabah dan Sarawak.
Ikan ruby snapper pada awalnya dikenali melalui hasil penangkapan ikan komersil menjadikannya banyak tersedia untuk umum.
Ketika itu kebanyakan pemancing rekreasi tidak biasa dengan spesies ini kerana habitat airnya yang dalam.
Walau bagaimana pun ia tidak kekal sedemikian berikut bantuan moden kekili elektrik… dan kini melalui teknik jigging perlahan.
Nama saintifik: Etelis carbunculus.
Nama Inggeris: deepwater red snapper, deepwater snapper, jobfish, queen snapper, red snapper, ruby-colored snapper fish, snapper atau squirrelfish snapper.
Nama Melayu: Kerisi Bali
Spesies marin benthopelagic ini hanya boleh ditemui pada kedalaman 90-400meter atau pada kebiasaannya 200 – 350 meter.
Spesies Etelis carbunculus dikatakan mencapai usia matang apabila mencecah 61 cm. Ia mampu mencapai panjang maksimum sehingga 127 cm dan tempoh usia sehingga 32 tahun.
baca juga Taktik & Teknik Slow Pitch Jigging
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Panduan Dan Tip Memancing Di Pelantar Bawah Jambatan

Nombor satu keselamatan, nombor dua keselamatan, nombor tiga barulah strike! Ingat tu, keselamatan adalah aspek paling penting apabila melakukan aktiviti memancing di bawah jambatan. Beberapa perkara yang disenaraikan ini perlu anda hadam demi keseronokan memancing.
Jaga Keselamatan fizikal
Pakai pakaian yang sepadan dengan aktiviti dan geografi lokasi. Pastikan badan tidak terdedah dengan cuaca yang terlalu sejuk atau panas. Begitu juga dengan alas kaki. Sebaiknya pakailah alas kaki yang lebih selamat berbanding berselipar sahaja. Lebih-lebih lagi jika kita tidak pasti tahap kelicinan pelantar benda-benda tajam yang mungkin tersembunyi di permukaannya.
Pakai Jaket Keselamatan
Jangan berasa segan jika ingin memakai jaket keselamatan. Terutamanya jika anda ada masalah gayat dan langsung tidak tahu berenang. Jika ingin memakai jaket keselamatan pilihlah jaket keselamatan dari jenis foam kerana selain daripada berfungsi di dalam air, ia juga boleh digunakan sebagai jaket pemanas badan pada waktu malam.
Bekalan Air Bersih
Selain membawa bekalan makanan yang mencukupi, apa yang lebih penting sebenarnya adalah bekalan air bersih untuk diminum dan tujuan lainnya. Tak mengapa kalau kelaparan tak cukup makanan tetapi kalau kehabisan air untuk diminum, ia tak boleh diganti dengan air laut.
Pancing Berteman
Sama ada ingin memancing untuk tempoh yang lama atau beberapa jam sahaja, sebaik-baiknya biarlah berteman. Jangan sesekali memancing secara bersendirian. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku. Kadang-kadang kemalangan yang kecil sahaja boleh menyebabkan nyawa terancam.
Keselamatan Barangan Peribadi
Simpan segala barang-barang yang penting seperti handphone dan kunci kenderaan di tempat yang selamat. Khususnya selamat dari diterbangkan angin dan terkena tempias air masin. Kalau boleh biar diikat terus pada tiang jambatan. Setidak-tidak kalau tersepak pun tidaklah terus melayang ke air.
Sentiasa Peka
Jangan berada dalam keadaan terlalu selesa. Maksudnya, bila dah rasa selesa sangat kita akan lupa di mana sebenarnya kita berada. Kita jadi terlupa yang kita berada kawasan yang dikelilingi oleh air berarus deras. Bukannya berada di daratan sebenar.
Fenomena Air Pasang Besar
Ia jarang berlaku tetapi pernah terjadi ada pemancing yang terperangkap di atas pelantar dan hampir dihanyutkan arus apabila dilanda peristiwa air pasang besar. Jadi, anda harus pantau jadual air pasang surut dan cubalah elak daripada memancing di bawah jambatan apabila berlakunya peristiwa air pasang besar.