Bertempat di Kolam Pancing Paroi, Seremban, kami dari Group Kampung Sentosa A Paroi (Mahfah) telah bermuafakat untuk mengadakan satu komplot memancing Santai Anak Mahfaz dengan tema `Moh Jagho Lopak Kito’.
Program hasil inisatif belia dan pemuda Mahfaz ini dianjurkan oleh Mohd Firdaus Badzali yang merupakan Setiausaha Program Persatuan Belia, Kg Sentosa Bersatu (BKSB) merangkap YDP GPMS Rembau & Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Negeri Sembilan.
Menurut Muhammad Zaini Md Radzali atau dikenali dengan nama Ujang Like selaku juru cakap Santai Anak Mahfaz, program ini diadakan bagi mengeratkan silaturahim di antara individu, komuniti setempat dan generasi muda Kg Sentosa. Selain tu ia turut menjadi aktiviti riadah (memancing) di kalangan anak-anak muda Mahfah pada masa lapang.
Ads
Dalam pada masa yang sama Ia juga dapat merangka pelan tindakan kendiri dan hala tuju yang bersesuaian dalam membentuk kualiti kehidupan masyarakat kampung pada masa akan datang. Memupuk semangat kerjasama di kalangan mereka dengan lebih baik berbanding sebelumnya.
“Program ini juga dapat membentuk perpaduan di kalangan masyarakat sama ada generasi kanak-kanak, remaja, belia serta warga tua dengan lebih berkesan dalam menangani isu-isu semasa yang banyak berlaku sekarang ini.”
Ads
“Yang paling penting ia mengembalikan keseronokan berkumpul sesama sahabat kampung yang kebanyakannya bekerja di luar sekali gus mengeratkan kekeluargaan semua penduduk Mahfaz,” tambah Ujang Like lagi.
Program yang bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 1 petang ini disertai hampir 60 anak Mahfaz. Kehadiran peserta yang ramai dan di luar jangkaan itu ternyata memeriahkan suasana. Suasana yang sedia meriah bertambah kemeriahannya apabila seorang demi seorang peserta berjaya mendaratkan ikan yang terdiri daripada spesies siakap putih dan siakap merah.
Ads
Keputusan pertandingan santai ini menyaksikan peserta yang mendaratkan ikan siakap putih seberat 3.7 kilogram muncul sebagai juara.
GALERI
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sebenarnya di Banding terdapat banyak juga spot-spot yang boleh dicuba. Antaranya Sungai Kedah, Pulau Tujuh, Sungai Rokam, Air Kuda, Air Dok dan juga beberapa buah tempat lain lagi.
Namun, memandangkan waktu yang singkat kami hanya mencuba beberapa spot yang dirasakan sesuai kerana tidak mahu membuang masa.
Trip kali ini kami lebih menumpukan kepada pemburuan sebarau memandangkan musim monsun adalah musim terbaik untuk menjerat spesies ini.
Trip kali ini disertai seramai 12 orang dengan menggunakan 4 buah bot. Kami yang dari pagi telah berpecah ke suak-suak kegemaran guide masing-masing sentiasa mengharapkan agar setiap bot memperolehi hasil yang memuaskan.
Bot yang dipandu oleh tekong Zack, selaku guide bot penulis terlebih dahulu mencuba di kawasan sekitar suak berhampiran dengan Jeti Awam Banding sahaja malah boleh
dikatakan agak dekat sahaja dengan jambatan kerana tidak mahu membuang masa pada awal pagi.
Dari kejauhan setiap suak yang dimasuki agak sunyi dan tidak kelihatan langsung riak ikan bermain air.
Namun, tanpa disangka, lontaran pertama Syawal ke arah tunggul yang agak terbuka telah disambut sebaik sahaja sesudu beliau menyentuh air.
Kami agak terkejut kerana suak yang berdekatan dengan kawasan bot lalu lalang sahaja sudah boleh memberikan hasil. Ini membuatkan kami bertambah semangat untuk mula mencuba nasib.
Teknik Korek
Semasa menghampiri penghujung suak, terdapat sebatang pokok tumbang yang kelihatan berpotensi.
Faizal tanpa membuang masa telah menjatuhkan mikro jignya merapati reba yang menjulur ke dalam tasik. Baru dua atau tiga kali ‘jerk’ sahaja jig beliau telah disambar oleh sebarau berskala 800-900 gram. Memang lumayan!
Tekong yang berdayung perlahan menyarankan kami tunggu untuk casting seketika sehingga dia betul-betul memakir botnya selari dengan reba tumbang yang tenggelam.
Setelah memakir bot betul-betul di atas reba tumbang tersebut, dia menyarankan kami untuk mencuba teknik ‘korek’.
Beliau menyarankan agar kami membaling spoon ke tengah tasik dan menarik spoon ke tepi.
Kami yang selalunya melontar gewang ke tebing dan menarik semula gewang ke tengah merasa agak pelik dengan teknik yang disarankan oleh tekong.
Tetapi bila kami mencuba teknik ini kami bukan sahaja terkejut dengan hasil yang diperolehi tapi boleh dikatakan teknik ini agak sukses.
Dengan cara ini sahaja kami telah berjaya ‘mengorek’ sebarau direba tersebut dengan agak banyak.
Boiling
Selalunya pada awal pagi dan petang adalah waktu yang paling sesuai untuk memburu sebarau. Dan pada waktu pagi jugalah selalunya ‘boiling’ sebarau senang dijumpai.
Tetapi kali ini kami langsung tidak menjumpai ‘boiling’ sebarau. Kebanyakan sebarau yang kami perolehi adalah dengan teknik melontar gewang atau spoon serapat mungkin di ranting-ranting dan tunggul kayu yang terdapat di tepi tebing.
Jika tunggul tersebut berpenghuni dengan sekali karauan sahaja gewang kami akan disergap sebarau. Saya yang dari pagi asyik menggunakan spoon telah cuba menukar kepada gewang Rapala Fat Rap 5cm.
Gewang telah di lontar dicelah dua batang reba dan mengarau secara perlahan hasilnya saya mendapat strike pertama setelah merasa agak panjang juga sebelah tangan.
Boleh dikatakan pada trip kali ini toman sangat jarang timbul. Suak demi suak yang kami masuk langsung tidak nampak toman timbul untuk mengambil udara.
Mungkin disebabkan cuaca yang mendung dan berada pada musim monsun menyebabkan toman sedikit pasif.
Sehinggakan kami menjumpai beberapa kelompok anak toman yang masih ‘berpenjaga’ tapi langsung tidak mengendahkan gewang yang kami lontarkan.
Syawal yang menyediakan dua set mengilat, satu set untuk sebarau dan satu set untuk toman dengan pantas melemparkan gewang Megabass Deep X ke arah toman bujang yang timbul di satu suak.
Walaupun lontaran sedikit tersasar tetapi kayuhan perlahan gewang tersebut telah diragut oleh penghuni tasik. Nyata toman bujang memang lebih agresif.
Bot yang dinaiki Wan, rakan penulis yang berada tidak jauh dari bot penulis turut mencatatkan keputusan yang menggembirakan.
Sang toman yang mereka daratkan kebanyakan menghentam gewang ketika ‘blind cast’ sahaja.
Dalam trip ini juga Chidan telah berjaya mendaratkan seekor sebarau anggaran saiz lebih 2 kg menggunakan set up yang agak ringan dengan menggunakan tali berkekuatan 6lb.
Keputusan Bot Lain
Alhamdulillah, dalam kunjungan ini, nasib sangat menyebelahi kami. Alhamdulillah, setiap bot mendapat hasil yang boleh tahan lumayan. Nampaknya trip ke Banding kali ini masih memberikan hasil yang agak lumayan kepada setiap bot.
Ternyata Tasik Banding menjanjikan hasil yang masih boleh dibanggakan jika kena pada waktunya.
Cuma trip kali ini kami semua tidak dapat meneroka keseluruhan tasik kerana waktu memancing yang singkat. Dengan izin Allah, kami pasti akan kembali lagi ke sini bila tiba musimnya nanti.
Hampir semua teknik memancing ikan berparuh ini ialah dii permukaan dan pertengahan air.
Belum pernah berlaku ikan layaran ini dipancing melalui teknik dasar kecuali memperolehnya secara tidak sengaja di lokasi perairan cetek.
Trolling (menunda)
Menunda atau trolling disifatkan cara mudah menjinakkan layaran dan diamalkan secara meluas di luar negara seperti Australia.
Bot bergerak dengan kelajuan 4 hingga 10 knot, jika menggunakan gewang replika ikan, kelajuan di bawah 8 knot adalah disarankan.
Jika bot mampu memecut melebihi 10 knot makan gewang skirt adalah disyorkan.
Namun teknik trolling ini agak kurang dipratikkan oleh pemancing tempatan atas beberapa faktor.
Walaupun ada pemancing yang mengaplikasikannya namun peratusannya amatlah rendah.
Drifting atau berhanyut
Cara ini paling digemari dan paling banyak diaplikasi oleh pemancing terutamanya berada di kawasan unjam atau karang luas.
Teknik hanyut dikaitkan dengan penggunaan umpan hidup dan dibiarkan bebas berenang tanpa pemberat.
Namun teknik hanyut dengan menggunakan pelampung terutamanya belon dan botol mineral lebih banyak diamalkannya.
Sekiranya arus agak laju makan pemberat kecil bersama belon sering dipraktikkan.
Hanyut berladung
Teknik ini pada asasnya bukanlah memancing layaran, sebaliknya menyasarkan ikan tenggiri tetapi turut diambil oleh layaran.
Caranya hampir sama dengan teknik drifting, di mana umpan hidup yang dilayang atau dihanyutkan bersama batu ladung kecil sebagai pemberat.
Tujuannya adalah untuk menenggelamkan umpan sehingga satu pertiga permukaan atau setengah kedalaman air.
Peralatan
Sekiranya berhasrat untuk merasai pertarungan dengan layaran dengan kepuasan optimum, maka gunalah peralatan kelas pertengahan.
Disaran menggunakan kekili kelas siri 5000 yang mampu memuatkan tali sulam 30-40 lb sepanjang 300 meter. Manakala perambut berkuatan 50 lb sudah memadai.
Walaupun layaran berupaya melakukan pecutan deras dan mampu menghela tali dari kekili sehingga 100 meter dalam sekelip mata, namun ia bukanlah spesies yang mampu
mengheret tempoh pertarungan yang panjang. Pertarungan yang berlarutan akan meningkatkan tekanan dan memendekkan jangka hayatnya.
Penggunaan mata kail lingkar yang mudah reput di dalam air masin amatlah digalakkan.
Biarpun mata kail J lebih efisien dari segi peratusan hook up, namun mata kail lingkar lebih bersifat mesra kepada ikan kerana ia menyebabkan ikan tertelan mata kail.
Mata kail saiz 3/0 hingga 7/0 adalah disarankan. Walau bagaimana pun pemilihan saiz mata kail bergantung juga pada saiz umpan.
Sungai Lepar merupakan sebatang sungai yang merentasi banjaran tengah semenanjung Malaysia.
Bermula dari hulu sungainya yang terletak bersempadan dengan Hulu Sungai Lembing, aliran sungai ini terus sahaja merentasi mukim Lepar Utara sehinggalah aliran hilirnya bertemu di Sungai Pahang di bahagian selatan.
Dahulu sungai ini kaya dengan pelbagai spesies seperti kelah, tengas, sebarau, kenerak, kerai kunyit.
Namun berlakunya tekanan aktiviti mencari ikan secara haram oleh masyarakat sekitar secara senyap-senyap seperti menuba dan arus elektrik, spesies kelah dan kerai terutamanya sudah semakin sukar diperolehi.
Namun, setiap kali berlakunya bah besar, rantaian sistem Sungai Lepar kembali pulih. Stok ikan masih lagi ada, tetapi tetap sukar berjumpa spesies bersaiz besar.
Apa yang menariknya, di dalam rantaian pelbagai jenis ikan yang ada di sungai ini, terselit spesies sikang yang boleh dianggap masih banyak di sungai ini, terutama di bahagian hulunya yang berpasir landai dan berbatu.
Semasa kecil saya kerap juga ke sungai ini. Serius, dahulu saya tidak pernah pedulikan ikan ini. Badannya pipih, panjang, berlendir dan paling penting ia bermulut luas.
Sebab itulah, saya dan rakan-rakan menggelarnya sebagai ikan mulut luas. Malah saya turut menggelarnya ikan racing, kerana ikan ini begitu pantas di dalam air.
Cuma saya teringat, ikan ini banyak saya perolehi dengan cara memancing menggunakan batang pelepah sawit yang dikeringkan yang panjangnya 7 kaki, tali cap nelayan 4 lb, panjang tali hampir sama panjang dengan batang pelepah sawit dan mata kail udang.
Menggunakan umpan cacing tanah, saya membiarkan umpan hanyut di kawasan lata cetek yang berarus laju.
Bila terasa umpan diragut, tanda sikang sedang menjamah dan melarikan umpan, terus sahaja joran disentap ke belakang dan sikang sebesar 1-2 jari yang meragut umpan jatuh ke atas pasir.
Begitulah rutin saya dan rakan-rakan kalau pergi ke sungai ini semasa musim cuti sekolah.
Selepas lebih 20 tahun berlalu, sungai yang tak pernah jemu mengalirkan air walaupun landskapnya berubah setiap kali banjir berlaku, ikan sikang ini masih banyak dan kekal menjadi penghuni sungai bernama Lepar ini.
CASTING SIKANG SUNGAI LEPAR
Disebabkan memori lama itulah saya merancang trip untuk casting sikang bersama rakan-rakan.
Pada awalnya, kami bercadang untuk casting sikang di lubuk hulu Kuala Berakit, salah satu cabang anak Sungai Lepar, tetapi disebabkan hujan lebat yang turun tidak henti-henti
seharian pada semalamnya menyebabkan air keruh sekali gus membantutkan aktiviti casting.
Hanya beberapa ekor sahaja strike yang kami perolehi. Itu pun bersaiz kecil. Lubuk dalam yang kami jangkakan ada potensi, kosong!
Mungkin disebabkan air keruh yang berlumpur, ia membatasi keaktifan sikang menyambar gewang dan spoon.
Keesokan harinya, kami merancang pergi ke lokasi lain. Kali ini, kami betul-betul ke bahagian hulu Sungai Lepar yang hanya boleh diakses dengan menaiki motosikal.
Di hulu sungai yang bersempadankan ladang kelapa sawit dan hutan simpan, kami berjalan menyusuri sungai yang cetek airnya. Mujur air telah pun jernih dan tidak keruh.
Sekali pandang, memang tidak percaya ada banyak sikang. Tetapi setiap kali lontaran di zon lata dan air yang sedikit dalam, bertalu-talu sikang tanpa malu mengejar sama ada spoon atau gewang kecil yang kami lontarkan.
Walaupun bersaiz kecil, ia cukup menghiburkan kami.
Hasan antara yang paling gembira kerana lesen sikang pertama diperolehinya di sini. Kerana itulah juga dia sanggup mengambil cuti dan sanggup datang dari Shah Alam.
Mungkin sudah tuah agaknya, dia turun memperoleh saiz sikang yang boleh tahan juga saiznya. Ini semua ‘racun’ katanya!
KOMPLOT KEDUA
Selepas komplot pertama, saya merancang bertandang lagi ke sungai untuk mencari sikang.
Berbeza dengan trip kali dahulu yang airnya jernih, trip kali kedua ini airnya sedikit keruh, kerana berlakunya hujan agak kerap dan lebat.
Atas dasar percayakan tuah pada trip pertama dahulu, kami kembali ke lokasi yang sama.
Terdapat perbezaan landskap, terutama lubuk-lubuk yang dalam airnya telah berubah, dahulunya dalam telah menjadi cetek, yang cetek menjadi dalam (istilah dalam di bahagian hulu Sungai Lepar, hanyalah setakat pinggang sahaja).
Ketika kami berjalan berpecah sambil menyusuri dan menyeberangi sungai mencari spot-spot berpotensi, Pachai yang berjalan paling hadapan sekali berteriak kuat memberitahu berjaya memperoleh sikang bersaiz besar.
Sikang berkenaan berjaya diperdayakan menggunakan Rapala CD3 Fire Tiger UV series.
Ikan berkenaan diperolehi di satu lubuk airnya yang dalam, berarus dan berdekatan dengan gigi lata.
Pada pengamatan saya, sikang tersebut memang menghendap sumber makanan, terutama anak ikan kecil atau serangga yang hanyut.
Lontaran gewang berkenaan di kawasan lata sebelum ia memasuki ke tempat air yang dalam segera disergap oleh sikang yang menyangka ia habuan makanannya.
Melihat saiz sikang berkenaan, terbit rasa kagum dalam diri saya kerana sudah lama tidak melihat saiz sikang sebesar anggaran lengan kanak-kanak dan memiliki perut besar.
Cepat-cepat ikan berkenaan dilepaskan semula selepas diambil gambar.
Satu kepuasan bukan sahaja pada raut wajah Pachai, tetapi kami semua juga kerana berjaya mendapatkan sikang bersaiz begini dengan teknik casting.
Tidak lama kemudian, dia juga berjaya memperoleh seekor lampam sungai.
Cikgu Sofian yang baru belajar menggunakan baitcaster juga turut bertuah. Lontaran gewang pada saat kami ingin mengakhiri komplot berjaya memperoleh seekor kelah juvenil.
Amri pula, yang juga kali pertama cuba-cuba belajar casting turut berjaya memperoleh seekor sikang.
Walaupun bersaiz kecil, saya memberitahunya, tidak mengapa kerana bukan semua orang ada lesen ikan ini.
Agaknya inilah dikatakan orang baru memang selalu bertuah atau sebenarnya ia adalah `racun`permulaan kepada hobi memancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...