Semasa umur dalam 17 tahun iaitu sekitar tahun 80-an, ketika baru pertama kali memancing mengikut abang dan arwah abang ipar mengail di tebing sungai.
Kawasan Sungai Redan,Ulu Tiram di dalam kebun kelapa sawit, berhampiran kuil Hindu yang terpencil.
Sewaktu itu tidak pernah saya lihat ikan sembilang dikail begitu senang didaratkan, hanya berumpankan udang kopek sahaja.
Sehinggalah dirasakan umpan udang hampir kehabisan dan waktu masih lagi awal sekitar jam 5.00 petang saja, lalu arwah abang ipar menyarankan saya membeli lagi umpan udang di pekan berhampiran.
Pekan berhampiran bukanlah dekat, hampir 5 km juga jauhnya. Memandangkan saya baru pertama kali ke tempat itu, jadi berpandukan tempat belakang kuil Hindu sahaja yang boleh saya ingat kedudukan pancingan kami.
Setelah puas mencari dari satu kedai ke satu kedai akhirnya dapat juga umpan yang dicari. Lalu bergegas membawa motosikal menuju ke tempat pancingan kami tadi.
Ads
Waktu pula menunjukkan sekitar 6.00 petang dan waktu dulu pukul 6.00 petang adalah waktu hampir Maghrib, dan saya masih dalam perjalanan mencari tempat yang dituju.
Suasana di kebun kelapa sawit hampir sama sahaja, dan lorong tanah merah juga membuatkan kita keliru.
Jam menunjukkan pukul 6.30 petang akhirnya sampai juga saya di kuil Hindu yang dicari. Lalu saya mengikuti lorong kanan belakang kuil tersebut. Saya rasakan perjalanan begitu jauh sekali!
Ads
Tiba-tiba saya perasan yang saya masih lagi berada di hadapan kuil Hindu tersebut lagi.
Dalam fikiran mungkin saya silap jalan, lalu saya ulangi jalan tersebut lagi dan berteriak memanggil abang-abang saya tetapi tiada sahutan, dan saya masih lagi tidak temui tempat abang2 saya mengail.
Hati mula gelabah dan hampir nak menangis kerana dah hampir 4 kali saya berpusing-pusing melalui kuil Hindu tersebut.
Belok kanan jumpa kuil itu, belok kiri juga jumpa kuil itu, waktu pula makin gelap dan tak nampak.
Ads
Akhirnya saya teringat pesan orang tua-tua, kalau sesat di hutan cuba-cubalah azan. Lalu saya pun azan sebanyak 3 kali sekuat hati!
Tiba-tiba… saya dengar suara abang saya memarahi saya kerana lambat dan melaungkan azan di tengah-tengah hutan pada waktu maghrib!
Fuhh… lega dapat juga saya bertemu dengan abang-abang saya setelah melalui peristiwa yang mendebarkan.
Yang peliknya abang-abang saya tidak mendengar bunyi motosikal saya (sedangkan ekzos motosikal saya jenis yang membingitkan telinga) dan tidak dengar saya memanggil nama-
nama mereka, sedangkan kedudukan kuil Hindu dengan tebing sungai terlalu hampir… pelik bukan?
(Sumbangan artikel dari zulkiffleeh.blogspot.my)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikuti pengalaman seram dan lucu para pemancing yang berhadapan dengan pelbagai perkara mistik di luar kotak pemikiran yang normal.
Kisah 1
Kes aku bersama kawan-kawan berlaku di Tasik Manong, Batu 3 Jalan Yong Peng. Kejadian di kaki Bukit Jintan. Masa tu tahun 90-an.
Kita orang bergasak ikan kaloi berpuluh-puluh kilogram. Umpan udang kampung (udang bangkrok nama dia), kaloi dia besar-besar talam saiz dia. Setakat saiz-saiz pinggan tu kasi lepas je. Ikan sumbat dalam guni baja 50 kg penuh.
Kita orang pergi berenam. Ada sorang member ni siap bawak balik tunggul kayu. Tunggul tu sebijik rupa ikan kaloi. Ikat kat belakang motor. Kita orang memang tak tau dia ambik tunggul tu untuk bawak balik! Akibatnya… ambik kau!
Hampir empat kali pusing-pusing kita orang tetap jumpe jalan yang sama. Aduhhh… kompom sesat ni tak pun kene tutup jalan. So kita orang meeting la… tiba-tiba aku terpandang tunggul tu!
Aku cakap nak buang tunggul tu dia cakap baik buang ikan daripada buang tunggul tu. Tapi aku berkeras jugak… setelah aku ambik dan buang jauh-jauh, Alhamdulillah. Sekali round je… rupa-rupanya jalan nak keluar tu sebelah aje rupenya… wakakakaka. Selamat!
Kisah 2
Saya baru semalam kena, lokasi Puchong Jaya. Selangor. Nasib baik la member aku jerit-jerit nama aku, port lombong sebelah timur ada hutan kecik.
Aku try je masuk pasal nampak dari belah barat, port nampak cantek. Dah sampai belah timur nak patah balik belah barat, parking motor belah barat lombong. Aku masuk hutan tu.
Nak balik pasal nak ikut tepi lombong tak boleh semak rimbun, aku masuk je dalam hutan tu. Aku pusing-pusing dekat 30 minit. Hutan tu bukan rimbun sangat adalah dalam 200 meter persegi.
Rasa dah macam kena culik bunian. Nasiblah kawan jerit-jerit ajak balik baru sedar saya dah ada sebelah utara lombong tu.
Bahagia je rasa bila dah nampak muka member yg nampak marah tu pasal dari tadi jerit-jerit ajak balik.
Kisah 3
Ado la satu cerito… tapi kelakarlah jugak. Poie ngonjon haruan dengan 3 orang kawan ni. Port ea dalam hutan belkang rumah sorang brader ni.
Mintak la dio tunjukkan jalan ko port tu. Bilo dah sampai kita orang pun mulolah mancing dan brader ni cakap nak balik.
Tak lamo leps tu… dio pusing balik mintak den hantar kan sobab sosek tak jumpo jalan walhal topek tu betul-betul belakang rumah dio jo. Polik ko tak polik tu… hahaha.
Malam itu cuaca agak indah dengan bulan mengambang penuh. Kami tidak perlu menggunakan lampu suluh untuk sampai ke lubuk yang dituju. Cukup dengan panduan cahaya bulan yang memantul indah di atas permukaan air sungai yang beriak tenang.
“Sunyi pulak malam ni…” kata Mazli kepada saya. Saya hanya mengangguk namun pandangan saya lemparkan pada barisan pokok nipah yang hidup subur di tebing sungai.
Kata orang-orang tua, di mana berkumpulnya udang galah yang banyak, di situ pasti ada buaya besar kerana udang galah suka ‘melepak’ di atas badan buaya. Sama ada kata-kata ini ada benarnya, saya tidak pasti.
Namun saya berpegang teguh kepada prinsip, saya memancing udang galah ini hanya sekadar untuk mencari lauk bagi keluarga. Saya tidak mengganggu ‘kehidupan’ makhluk lain yang tidak kelihatan pada mata kasar!
Setelah mendapat spot yang sesuai untuk melabuhkan sampan, saya dan Mazli terus membaling umpan ke tengah sungai.
Alhamdulillah, tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya mula mengena. Udang galah yang dianggap jenggo dengan anggaran berat 250 gram berjaya dinaikkan. Selepas itu, saya dan Mazli bagaikan tidak cukup tangan melayan aksi penghuni sungai yang lain seperti duri, bagok dan baung. Malam itu kami bagaikan berpesta di tengah sungai.
Menjelang jam dua pagi, suasana mulai sejuk. Gerimis turun dan bulan yang tadinya indah di dada langit sudah mula ditutupi awan hitam yang tebal. Sesekali terlihat guruh di langit. Mazli beri isyarat supaya saya mengemas semua joran dan bersedia mendayung untuk balik ke jeti semula apatah lagi gerimis yang tadinya halus sudah bertukar kepada rintik kasar.
Ketika inilah, dengan dibantu oleh pancaran kilat yang sesekali datang menerpa, saya perasan di hadapan perahu saya berdiri seorang perempuan tua memakai baju kebaya berbunga-bunga dan berkain batik berwarna kuning.
Rambutnya tidak kelihatan kerana dia memakai selendang. Dia memegang sebatang tongkat yang berlingkar, sebiji seperti akar bonsai yang sering saya kutip di tengah hutan. Rasa gemuruh dan takut menyelubungi diri saya apabila saya perasan mukanya hitam legam tanpa kelihatan mata, hidung atau mulut!!
Rasa tergamam dan seram itu membuatkan saya menundukkan pandangan. Niat untuk membaca ayat-ayat suci itu ada tapi bibir saya bagaikan terkunci untuk membacanya. Otak pula bagaikan blur. Saya duduk statik di dalam sampan betul-betul seperti orang yang sudah terkena renjatan elektrik!
Ketika inilah saya terdengar Mazli mengalunkan azan sebanyak tiga kali. Setiap kali azan dilaungkan, saya ternampak perempuan tua itu menutup telinganya bagaikan sakit mendengarnya. Akhirnya jasad perempuan itu berubah menjadi asap hitam yang berkepul-kepul lalu menghilang di tengah sungai.
Bahu saya ditepuk beberapa kali oleh Mazli. Mulut Mazli terkumat-kamit membaca ayat Qursi lalu dihembuskan ke muka saya.
“Itu syaitan… jangan takut. Dia makhluk Allah jua.” kata Mazli lagi. Saya mengangguk lemah. Tubuh saya masih lagi gementar dan tiada berdaya untuk mendayung.
Nasib baik Mazli seakan mengerti dengan keadaan saya. Dia mendayung sehingga kami selamat sampai di jeti tepat jam 3.10 pagi. Mazli juga yang memunggah semua hasil yang kami dapat masuk ke bonet kereta.
Sampai sahaja di hadapan rumah saya, Mazli tidak membenarkan saya masuk terus ke dalam rumah. Dia menghulurkan sebatang rokok kepada saya. Sambil menghisap rokok, saya terdengar Abang Mazli seperti berbual-bual dengan ‘seseorang’ dengan suara perlahan. Katanya, “sampai sini sahaja kau ikut aku. Jangan ikut aku lagi. Aku tak kacau kau dan jangan pulak kau kacau aku,”.
Selepas itu, baru Abang Mazli ‘membenarkan’ saya masuk ke rumah. Saya juga diberi pesanan agar mandi dan terus tidur selepas itu.
Sekurang-kurangnya sebulan dua kali aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik mengilat atau pancingan dasar. Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di universiti dulu.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 1.00 petang. Dalam hati terdetik ‘masih awal, ada peluang nak mancing petang ni’. Setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus capai telefon bimbit dan menelefon Nizam. Rupanya NNizam sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir tiga jam katanya.
Racun punya racun, NNizam akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Batang Berjuntai. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih.
Setibanya Nizam di perkarangan rumah, kami mengambil keputusan untuk naik satu kereta iaitu kereta aku. Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini.
Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan lama aku memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang. Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah.
Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu.
Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya. Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali.
Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Nizam supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada NNizam. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di set-up tersebut.
Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang. Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur.
Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama.
Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Nizam untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi.
Nizam bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul.
Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul. Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa.
Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Nizam mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan exit ke highway telah terlalu jauh.
Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut.
Tetapi kini suara azan isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami. Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh,
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”.
Nizam yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya. Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut.
Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati.
Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?” pakcik itu kehairanan dan menjawab,
“Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Nizam hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Nizam hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Zam!” Tetapi tidak diendahkan oleh Nizam sebaliknya Nizam terus memecut laju pulang ke rumah.
Malam itu sebelum tidur, aku terima Whatsapp dari Nizam, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan pasar malam tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Nizam sahaja yang berada di dalam kereta.
Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...