Ikan tongsan ini tidak suka kehadiran ikan-ikan air tawar yang lain seperti ikan patin, rohu, pacu dan lain-lain lagi. Sekiranya sarang dan koloninya diganggu, ia akan lari dan akan membina koloni yang baru selepas itu.
Di setiap kawasan atau lubuk tongsan ini akan ada seekor ikan tongsan sisik halus yang bersaiz besar disitu, kadang-kadang terdapat 1-6 ekor ikan tongsan di setiap lubuk termasuk yang saiz besar mencapai saiz 20kg ke atas.
Walaupun ia telah terkena mata pancing ia seperti biasa 2 hingga 3 hari kemudian ia akan kembali tinggal di lubuk lamanya. Bagi pemancing yang sudah tahu lokasi ikan ini tinggal maka beruntunglah ia, kemungkinan besar ia akan berkali-kali menaikkan ikan besar seberat 20kg.
Ads
Namun, bancuhan umpan mestilah berbeza-beza. Ikan tongsan bersaiz besar dapat mengenal pasti umpan yang telah dimakannya dahulu selama 6 bulan lamanya, percaya atau tidak?
Pengalaman saya memburu ikan tongsan bersaiz besar banyak kali melihat ikan yang bersaiz besar ini banyak kali telah didaratkan di tempat yang sama atau di lubuk yang sama. Ikan yang telah terkena mata pancing ini akan kembali lagi menyedut umpan setelah mulut atau tubuhnya kembali sihat dan lukanya kembali pulih.
Ads
Sekiranya di dalam sesebuah kolam itu hanya terdapat seekor sahaja ikan tongsan sisik halus bersaiz 20kg (contoh sahaja), lazimnya ia akan akan dijadikan ikan jakpot atau tangkapan bonus.
Sekiranya kita pernah menaikkan ikan ini maka bancuhan umpan tongsan jakpot ini perlulah ditukar. Jika tidak, peluang ikan tongsan didaratkan oleh si Pemancing lain amat cerah. Sedangkan kita tahu di mana lubuk ikan tongsan ini jadi perlulah tukar bancuhan bau umpan kita ini.
Ads
Ikan tongsan ini seakan-akan mempunyai seekor ketua di setiap lubuknya, namun begitu ia akan mencari makan di setiap sudut kolam dan kembali semula ke sarang atau lubuknya. Begitulah perangai ikan tongsan ini di saban hari.
Ikan tongsan amat suka tinggal di kawasan air yang tenang dan sunyi jauh dari gangguan ikan-ikan. Sesiapa yang mahir, ia pasti akan dapat melihat ikan-ikan ini keluar dari sarangnya melalui olak air di kawasan itu maka di situlah sarang ikan-ikan ini boleh dikenal pasti.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kebanyakan orang kecewa memancing rohu kerana gagal menyediakan umpan yang mampu menarik rohu untuk memakannya. Sememangnya memancing ikan rohu agak teknikal berbanding ikan keli. Oleh yang demikian saya ingin berkongsi cara-cara menyediakan umpan rohu yang biasa saya buat jika ingin memancing ikan rohu.
Bahan-bahan:
Roti sandwich
Minyak JS
Pes strawberi emulco
Dedak 929
Serbuk Nescafe
Dedak ayam hitam (halus)
NS Power pandan
Mata bom (mata kail rambai)
Cara penyediaan umpan:
Umpan roti untuk dicucuk pada mata kail:
Tutorial 1
Picit atau penyekkan dua keping roti sandwich.
Potong dadu roti lebih kurang sebesar kuku bayi.
Tutorial 2
Campurkan sedikit pes strawberi emulco (kira-kira setengah penutup botol).
Tuangkan 1 penutup botol minyak JS dan gaul roti dadu hingga sekata.
Bancuhan dedak untuk dikepal pada spring mata kail:
Tutorial 3
Masukkan 600 gm dedak 929 ke dalam bekas bancuhan.
Kemudian masukkan pula 300 gm dedak ayam hitam. Gaul campuran dedak ini seketika.
Tutorial 4
Seterusnya masukkan 1 sudu besar serbuk Nescafe. Gaul sekali lagi campuran bahan ini.
Masukkan pula 2 paket NS Power pandan dan sekali lagi gaul kesemuanya.
Tutorial 5
Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga dapat adunan yang peroi.
Kemudian masukkan 5-7 penutup Minyak JS dan gaul kesemuanya.
Cara penggunaannya:
Tutorial 6
Cucuk mata kail dengan roti dadu yang telah diadun dengan pes strawberi dan Minyak JS.
Kepal campuran dedak tadi pada spring mata kail. Pastikan ia dikepal dengan kuat dan dedak masih boleh berderai apabila berada di dalam air kolam.
Seawal jam tujuh pagi, kami berempat berkumpul di gerai Kak Jenab di simpang jalan. Di sini aku sempat bertanyakan kepada beberapa orang pakcik yang duduk makan di situ tentang Sungai Selangor. Masing-masing mengakui memang banyak spesies ikan yang ada di situ termasuk baung, sebarau, tengas, lampam dan juga kelah. Cuma, kata seorang pak cik yang dikenali dengan nama Pakcik Dolah, kami dinasihatkan supaya berhati-hati. Kawasan hulu dikatakan agak keras dan misteri.
Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda. Jalan tanah merah dan berbukit menjadi cabaran pertama kami. Nasib baik tidak becak. Setengah jam melalui jalan merah yang berbonggol itu akhirnya kami tiba di hujung jalan mati. Hanya kenderaan seperti motosikal yang boleh melalui denai kecil yang ada di situ.
Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya hanya 200 meter dari situ. Memercik peluh jantan saya mengusung alatan memancing dan sebuah khemah bentuk A. Sebenarnya hajat kami untuk bermalam sekiranya hasil tangkapan memberangsangkan.
Haikal memilih sebuah kawasan lapang yang mempunyai batu besar di depannya. Sungai di kawasan hulu ini agak berbatu dengan airnya mengalir deras. Kesunyian hutan kadang-kadang dipecahkan dengan bunyi jeritan sang ungka berbulu merah yang galak bergayut dari dahan ke dahan.
Keletihan berjalan tidak melunturkan semangat kami untuk mencuba aksi penghuni di Hulu Sungai Selangor ini. Kami mencuba teknik mengilat di kawasan berbatu ini. Hasilnya memang tidak mengecewakan apabila masing-masing menaikkan sebarau yang seberat 800 gram-1 kilogram setiap seekor. Boleh tahan!
Gewang yang kami lontarkan memang tidak sia-sia sehingga kami rasakan bagaikan berpesta sebarau di situ.
Menjelang petang, kami berempat mengambil keputusan untuk bermalam. Saya menanak nasi manakala Budin pula membersihkan enam ekor ikan sebarau yang akan dipanggang dan di cicah sambal kicap yang telah disediakan oleh isteri Haikal.
Selesai menanak nasi, barulah aku mengambil wuduk di tepi anak sungai. Ketika itu kawasan sekitar sudah menjadi gelap dan agak suram.
Nasib baiklah aku sudah mengumpulkan ranting dan dahan kayu yang akan dibakar untuk menjadi unggun malam ini. Nak diharapkan pada pelita ayam yang dibawa, berapa sangat nak diterangkan kawasan yang ada.
Selesai solat Maghrib, aku menyediakan juadah. Tiga orang sahabatku sudah tidak nampak kelibat lagi. Mungkin mereka sedang berehat di dalam khemah. Aku tidak kisah sangat kerana aku tahu masing-masing keletihan dengan aktiviti yang padat hari ini.
Ketika sedang menyuap nasi yang terakhir, aku mula terbau wangi seolah-olah harum kemboja. Ada kalanya bau itu bertukar menjadi bau minyak atar dan bau kenanga putih. Aku tidak mempedulikan semua itu.
Ikan sebarau panggang berbaki seekor yang berminyak itu aku ambil untuk meratahnya lalu aku cubit isi dagingnya dan ku cicah dengan sambal kicap. Fuhh, memang nikmat, tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.
Ketika sedang melayan keenakan isi ikan sebarau itu, ekor mataku dapat menangkap satu lintasan orang yang berjalan bertongkat. Berderau darahku apabila mengangkat kepala, seorang nenek tua, memakai baju kebaya yang agak usang dengan berkain batik sedang memandang ke arah aku sambil tersenyum.
Dia menggenggam sebatang tongkat yang diperbuat daripada kayu cengal rasanya. Tongkat itu sedikit bengkok namun berbonjol bulat di atasnya.
“Jemput makan nek,” spontan aku bersuara walaupun sedikit gugup. Entah kenapa aku tidak rasa takut sedikit pun. Di dalam hati, aku mengulang-ulang membaca ayat Qursi tanpa henti.
“Makanlah cu. Terima kasih kerana tidak membuat onar di sini,” jawabnya perlahan dan agak tersekat-sekat. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Minta maaf kalau saya mengganggu kawasan nenek. Saya cuma mencari sedikit rezeki di sini,” kataku lembut. Aku perasan mata nenek bertongkat cengal ini agak merah dan ke dalam. Tudung putih yang dipakai pula bergoyang ditiup angin.
“Tak apa. Nenek izinkan. Kita semua makhluk Allah. Esok selepas cucu dapat apa yang cucu mahu, pulanglah dengan selamat”.
“Errrrr nek….” Aku segera memintas katanya. “Saya teringin nak makan ikan kelah. Di sini takde ikan kelah ke?” berani betul aku meminta.
Nenek tua itu tidak menjawab. Dia hanya senyum dan berjalan perlahan. Lima saat kemudian, dia hilang dari pandangan. Hanya kabus nipis yang tinggal di tempat akhir dia berdiri.
Aku tidak lalu makan. Perasaan mula berbaur. Rasa takut, seram, hairan mula menghantui di benakku. Hairannya tiga lagi orang kawanku seolah-olah tidur mati. Kenapalah aku yang dipilih untuk merasai kejadian aneh ini???
Aku tidur dalam keadaan gelisah. Bayangan nenek tua bertongkat yang aneh dan bau-bau harum membuatkan tidurku tidak tenang sepanjang malam. Namun syukurlah tiada lagi kejadian aneh yang berlaku selepas itu.
Usai solat Subuh, aktiviti memancing kami sambung semula. Sesuatu yang menghairan, pagi itu gewang aku dimakan oleh ikan kelah yang bersaiz besar. Peristiwa ini tidak berlaku pada tiga sahabatku yang lain. Aku memanjat kesyukuran di atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.
Kami berempat balik dengan tangkapan yang agak luar biasa hingga kami dapat menjual sebahagian hasil tangkapan dan mendapat untung yang lumayan. Sesungguhnya aku mengerti, di bumi ini kita memang berkongsi tempat dengan makhluk Allah yang lain. Dan aku, antara mereka yang sudah merasai pengalaman ini.
Drop shot adalah satu teknik ikatan perambut mata kail yang dihasilkan dengan kaedah simpulan dropper loop.
Drop shot ini lazimnya digunakan bagi pancingan menggunakan gewang tiruan soft plastic. Soft plastic akan dilekatkan pada mata kail dan dimainkan bagi memancing ikan bass.
Di negara kita, ia sesuai untuk memancing ikan raja atau peacock bass.
Langkah 1
Masukkan tali perambut ke dalam cincin mata kail. Pastikan kedudukan mata kail itu berada di tengah perambut.
Kemudian silangkan hujung perambut dan mata kail kelihatan berada di dalam satu lingkaran.
Langkah 2
Masukkan hujung perambut ke dalam lingkaran satu persatu. Setelah masukkan hujung perambut di tangan kiri, masukkan pula hujung perambut di tangan kanan.
Langkah 3
Untuk memudahkan pintalan, anda boleh melakukan dengan pusingan jari atau masukkan pen di ruang tengah pintalan.
Langkah 4
Buat pintalan sekurang-kurangnya sepuluh lilitan sehingga ruang tengah pintalan menjadi kecil.
Pastikan ruang ini tidak terlepas pegang kerana pintalan akan terlerai atau sukar untuk mencari titik tengah pintalan.
Langkah 5
Pegang kedua-dua bahagian hujung pintalan dan masukkan mata kail sepenuhnya ke ruangan tengah pintalan.
Langkah 6
Tarik kedua-dua bahagian hujung simpulan dan pastikan mata kail tidak terkeluar dari ruang tengah tersebut.
Langkah 7
Sebaiknya basahkan dulu pintalan ini sebelum menariknya sehingga ketat. Dalam masa sama pastikan simpulan terbentuk dengan kemas tanpa bertindih.
Kemudian barulah mengetatkannya sekuat mungkin.
Langkah 8
Ikatan drop shot yang siap untuk dipasangkan soft plastic.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...