Ikan jalai adalah spesies tercantik dalam keluarga Channa. Corak atau paten berbunga pada tubuhnya inilah ia mendapat nama jolokan. Jalai atau lebih popular dengan nama toman bunga atau kerandang merupakan spesies ikan berkepala ular atau berada dalam keluarga snakeHead.
Jalai berkongsi persaudaraan dengan ikan haruan serta toman. Nama umum jalai ialah emperor snakehead dan dikelaskan dengan nama saintifik Channa marulloides. Manakala panggilan tempatan lain ialah kerandang, jelai, jaloi, kuang, jahai dan sebagainya lagi.
Ads
Berbeza dengan ikan toman (giant snakehead), ikan jalai ini lebih tirus dan mempunyai badan yang panjang. Ikan jalai mendiami sungai, tasik dan kawasan berpaya berair gambut, mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan Ph airnya rendah, sama seperti ikan haruan dan ikan bujuk.
Ikan ini juga gemar tinggal di kawasan sungai pergunungan. Ikan ini mempunyai nilai yang tinggi dalam industri akuarium kerana rupa bentuknya yang cantik. Ikan jalai merupakan spesies yang paling cantik dalam keluarga snakehead atau genus Channa.
Ads
Namun jangan terpedaya dengan kecantikannya kerana ia tetap merupakan spesies bergigi tajam dan agresif. Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, serangga kecil seperti cengkerik, dan cacing.
Berbanding saudaranya yang lain, populasi ikan jalai mengalami kemerosotan yang agak teruk. Hari ini ia semakin sukar untuk ditemui. Ikan ini juga boleh didapati di selatan Thailand, Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Mekong giant catfish adalah spesies ikan catfish (spesies keluarga ikan bermisai termasuklah spesies tempatan iaitu patin dan keli) dikelaskan berada dalam genus Pangasianodon dan di dalam keluarga besar Pangasiidae (shark catfish family), dengan membawa nama saintifik, Pangasianodon gigas.
Di Malaysia, Mekong giant catfish ini dipanggil patin Mekong, manakala di negara asalnya Thailand, ia dipanggil pla buk (sebutan – pla buek). Spesies ikan yang tergolong dalam ikan bersaiz besar ini berasal dari Lembangan Mekong di Asia Tenggara dan bersebelahan dengan negara China. Dan ramai yang tidak menyangka, spesies yang kian mendapat tempat di hati penggemar aktiviti sukan memancing ini disenaraikan sebagai spesies yang diancam kepupusan pada tahap kritikal.
Dari segi sejarah, spesies ini berasal dari Sungai Mekong yang lebih rendah di Vietnam(di kawasan air payau yang berpengaruh di delta sungai) sehingga ke arah utara sungai di wilayah Yunnan China, yang merangkumi hampir 4,800 kilometer panjang sungai. Berikutan ancaman kepupusan, spesies ini tidak lagi mendiami sebahagian besar habitat asalnya. Kini dipercayai hanya wujud dalam populasi kecil dan terpencil di rantau Mekong tengah.
Ikan patin Mekong berkumpul semasa permulaan musim hujan dan bermigrasi ke hulu untuk membiak. Mereka hidup terutamanya di sistem utama sungai, yang mana kedalaman air adalah lebih dari 10 meter.
Melihat pada saiznya, seperti sukar untuk percaya bahawa spesies ini memakan zooplankton di sungai sebagai diet utama walaupun turut dikenali sebagai kanibalisme. Memasuki usia juvenil atau selepas kira-kira satu tahun, ikan ini akan bersifat herbivor dan Ikan ini mungkin mendapat makanannya daripada alga yang tumbuh di atas permukaan berbatu, berikutan ia merupakan spesies ikan yang tidak memiliki gigi.
Dari aspek penampilan dan saiz, ikan patin Mekong lazimnya berwarna putih kekelabuan dan kekurangan corak pola badan. Ikan patin Mekong dibezakan daripada spesies ikan patin besar lain di Sungai Mekong ini dengan hampir ketiadaan barbel (misai atau sesungut) dan ketiadaan gigi.
Patin Mekong kini memegang kedudukan utama Guinness World Book Of Recorf sebagai ikan air tawar terbesar di dunia. Ikan ini mampu membesar panjang sehingga 3 meter dan ia boleh mencapai berat sehingga 350 kilogram. Tumbesaran Ikan patin gergasi Mekong ini sangat cepat, ia mampu mencapai berat 150 hingga 200 kilogram dalam tempoh enam tahun.
Tangkapan terbesar yang pernah direkodkan di Thailand adalah seekor pla buk betina sepanjang 2.7 meter dan seberat 293 kilogram. Spesimen ini ditangkap pada tahun 2005 dan diiktiraf secara meluas sebagai ikan air tawar terbesar yang pernah ditangkap walaupun spesies sturgeon terbesar dapat melebihi saiz ini, namun tiada pengesahan tangkapan.
Memancing pla buk di habitat liar adalah haram di Thailand, Laos dan Kemboja, tetapi larangan itu kelihatan tidak berkesan dan ikan terus ditangkap di ketiga-tiga negara. Walau bagaimanapun, sebagai pengiktirafan terhadap ancaman kepada spesies, ramai nelayan Thai bersetuju untuk berhenti menangkapnya pada2006.
Spesies patin gergasi ini perlu mencapai 50-70 kg untuk membiak, dan ia tidak membiak di tasik. Jabatan Perikanan Thailand telah memulakan program pembiakan untuk mengembalikannya semula ke Sungai Mekong.
Pernahkah anda terfikir tentang spesies ikan yang paling rare ataujarang ditemui? Mungkin anda terfikirkan beberapa spesies yang mempunyai rupa yang agak ganjil dan jarang dilihat. Namun tahukah anda, salah satu ikan yang paling ‘rare’ atau jarang ditemui di dunia ialah spesies yang digelar Devils Hole pupfish.
Pada April 2003, dianggarkan hanya terdapat kira-kira 35 ekor spesies ini sahaja yang tinggal dalam persekitaran aslinya. Walaupun jumlah itu menunjukkan sedikit peningkatan, populasi ikan ini dalam habitat asalnya tidak pernah mencatatkan jumlah lebih daripada 500 ekor walaupun pada musim luruh iaitu waktu di mana populasi spesies ini berada pada tahap paling tinggi.
Devils Hole pupfish juga merupakan antara spesies yang pertama dilindungi di bawah akta Endangered Species Act. Ikan yang berukuran sekitar 2 cm panjang ini hanya boleh ditemui di satu lokasi sahaja iaitu Devils Hole, sebuah sistem kolam gua semula jadi di Death Valley, Nevada.
Ikan ini hidup di dalam kolam berbatu kapur yang hanya mempunyai ruang terhad kira-kira 2 meter lebar dan 4 meter panjang sepanjang hidupnya. Rupanya tidaklah menakutkan atau ganjil bukan? Macam rupa ikan puyu pun ada.
Perbezaan luaran yang ketara antara sebarau berbanding ikan-ikan lain dari keluarga Cyprinidae (ikan kap) adalah wujudnya satu jalur hitam menurun dari dasar anterior sirip dorsal ke sirip ventral.
Secara saintifik ikan sebarau dikenali dengan nama Hampala sp. Di sarawak ikan ini lebih dikenali dengan nama adong dan barau-barau. Rasanya yang sedap dengan kandungan protein yang tinggi membolehkan ikan ini laris di pasaran dan dijual dengan harga yang agak mahal.
Sebarau besar yang melebihi saiz 25cm panjang lebih digemari kerana mempunyai tulang yang kurang berbanding ikan kecil.
Di kalangan pemancing, kehebatannya bersaing dan kerakusan apabila menyambar umpan lebih memberikan kepuasan. Sifat agresifnya iu membolehkan ia diklasifikasikan sebagai ikan yang sangat garang setanding dengan toman walaupun saiznya lebih kecil.
Umumnya ikan sebarau suka mendiami sungai-sungai jernih dengan air yang mengalir serta dasar berpasir dan sedikit berlumpur. Melalui taburannya ini bagai pegawai sungai kerana ia boleh ditemui di semua zon sungai, dari kawasan pertemuan antara air tawar dan air masin hingga ke zon paling hulu.
Namun melalui kajian, taburan sebarau berbeza mengikut saiznya. Anak-anak ikan bersaiz kurang dari 10 cm biasanya lebih menggemari sungai cetek yang berbatu dengan aliran air deras. Apabila ia mencapai saiz antara 11 hingga 20 cm, ia mula berpindah ke habitat yang lebih luas, berair jernih dan mengalir dengan perlahan.
Kawasan yang bertakung dengan kedalaman melebihi 3 meter, berdinding dan berdasarkan batu dan sedikit lumpur dengan aliran air yang perlahan pula menjadi pilihan sebarau melebihi 21cm.
Kawasan kediaman ikan-ikan dewasa yang bersaiz besar ini lazimnya dikenali sebagai lubuk (deep pool).
Kebanyakan sebarau dewasa mendiami lubuk-lubuk di hulu sungai yang terdapat ranting pokok tenggelam sepanjang hari. Keadaan ini turut memberi cabaran kepada para pemancing kerana cabaran perburuan sebarau bermula dari masa mencari kawasan pemancingan strategik lagi.
Untuk mencari lubuk sebarau, pemancing mungkin perlu berjalan beberapa jam mengharungi sungai berbatu dan berair deras menuju ke hulu sungai. Oleh itu pemancing bukan saja perlu mempunyai kecekapan mengendalikan peralatan memancing tetapi juga perlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.
Disamping itu, ikan sebarau juga amat sensitif terhadap bunyi-bunyi yang ganjil. Pemancing perlu berhati-hati agar segala tingkah laku dan pergerakan tidak mengganggu ikan ini.
Sehinggakan ada pendapat yang mengatakan bahawa warna pakaian juga perlu dititikberatkan apabila hendak memburu sebarau seperti mana kelah. Pakaian yang cerah boleh dikesan ikan yang berada di dalam air.
Melalui ujian pemakanan yang telah dibuat, didapati tabiat pemakanan ikan ini berbeza mengikut peringkat hidup ataupun saiz.
Pada peringkat larva, ia memakan plankton dan lumut-lumut yang melekat pada batu atau daun tumbuhan air.
Tumbuh-tumbuhan air, serangga kecil, larva ikan dan organisma krustasea seperti anak-anak udang pula akan menjadi makanan sebarau pada peringkat juvenil. Pada peringkat dewasa, ikan ini bersifat karnivor sepenuhnya dengan menjadikan haiwan kecil yang lain sebagai mangsanya.
Berbeza dengan ikan karnivor dari famili Channidae (snakehead) yang lebih suka menunggu atau menghendap mangsa, sebarau dewasa merupakan ikan yang aktif dan bergerak dalam kumpulan semasa keluar memburu mangsanya yang terdiri daripada ikan seluang, terbul, lampam sungai dan anak-anak ikan yang lain termasuk anak ikan toman.
Sebarau gemar menyambar mangsa dengan ganas dan sangat mudah tertarik kepada objek-objek yang bergerak. Ini membolehkan para pemancing menggunakan umpan tiruan untuk menipunya.
Sebagaimana kebanyakan ikan lain, sebarau juga mempunyai masa makannya sendiri. Tetapi masa makan ikan ini berbeza mengikut peringkat umur. Ikan kecil akan keluar mencari makan pada waktu pagi hingga tengah hari, manakala ikan juvenil memburu pada sebelah petang dan awal malam.
Ini sekali lagi memberi cabaran kepada kaki pancing yang ingin menawan sebarau bersaiz besar dengan keupayaan tersendiri. Namun ada kajian yang menunjukkan bahawa masa yang sesuai untuk memancing sebarau adalah antara jam 7 pagi hingga 9 pagi dan antara jam 5 petang hingga 7 malam.
Berdasarkan kajian pembiakan pula, sebarau boleh membiak sepanjang tahun dengan kitaran pembiakan bermula pada bulan September hingga Disember. Walaupun ikan ini mampu membesar sehingga 70cm panjang, ikan jantan mula matang apabila mencapai saiz 15cm.
Manakala ikan betina mula menunjukkan kematangan dan sedia untuk membiak apabila saiz 18cm. Oleh yang demikian, sekiranya anda mendapat sebarau yang kurang dari 20cm, adalah baik jika ia dilepaskan semula kerana mereka belum matang.
Proses pembiakan biasanya berlaku semasa musim tengkujuh iaitu apabila paras air sungai atau tasik meningkat.
Pada masa ini, ikan jantan dan betina yang telah matang akan berenang ke hulu sungai untuk mengawan. Kawasan hulu yang berair jernih, berbatu kecil dengan aliran air yang perlahan menjadi pilihan untuk melepaskan telur.
Telur-telur yang dilepaskan akan melekat pada batu dan tumbuhan air di sekitar tebing sungai. Setelah si anak mencapai peringkat juvenil dan mampu berenang melawan arus, ia akan berenang menuju kawasan berjeram untuk memulakan hidup baru sebelum mendiami lubuk yang sesuai apabila meningkat dewasa.
Keadaan hari ini yang telah banyak terganggu oleh aktiviti manusia dan kurangnya kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya pengekalan alam sekitar menyebabkan sebarau semakin sukar ditemui.
Kehilangan atau gangguan terhadap kawasan sungai yang mengalir jernih dan berpasir menjadi punca utama kesusutan sumber ini. Sumber ini penting untuk dinikmati pada masa akan datang sama ada untuk makanan atau tujuan sukan memancing. Oleh itu kajian terhadap spesies sebarau perlu digiatkan lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...