Ia merupakan bahagian paling atas di mana ia menjadi bahagian utama untuk menghubungkannya dengan tali pancing dengan simpulan atau ikatan-ikatan mata kail. Namun tidak semua mata kail memiliki cincin, sesetengah mata kail bahagian cincin ini diratakan.
Batang teras
Bahagian yang menyambungkan mata ke bingkai mata kail. Setiap mata kail memiliki teras yang berlainan kepanjangannya dan bergantung kepada jenis aplikasi memancing. Sama ada terus panjang atau pendek, penghujungnya semakin cenderung untuk bengkok.
Lengkung
Ads
Lengkung atau selekoh di bahagian bawah mata kail yang terdiri daripada pelbagai gaya dan jurang. Bahagian ini adalah tulang belakang mata kail kerana jika diberi tekanan berlebihan akan melurus sekaligus bakal kehilangan ikan yang dipancing.
Jurang
Ia adalah jarak antara hujung bilah mata kail dan teras yang tercipta dari hasil panjangnya lengkung. Jarak jurang itu ditentukan berdasar pada umpan yang digunakan dan lebar rahang spesies sasaran. Untuk lebih jelas, untuk cangkokan sempurna ikan jenis berahang luas memerlukan jurang mata kail yang lebih luas.
Ads
Mata jarum
Boleh dikatakan ia bahagian paling penting pada mata kail. Mata jarum yang kuat dan tajam adalah kritikal kerana ia adalah titik pertama di mana ia berhubung dengan ikan. Sekiranya ia gagal menembusi mulut ikan maka ia adalah kegagalan mutlak. Jadi, pastikan mata jarum ini sentiasa tajam.
Ads
Duri pandan
Bahagian ini direka untuk memegang ikan yang dipancing apabila mata kail menembusi bahagian mulutnya. Bahagian ini juga menjadi bahagian paling ditakuti oleh pemancing sekiranya mata kail tertancap pada anggota badan sendiri.
Justeru bagi pengamal sukan memancing sejati, mereka akan mematahkan duri pandan atau menggunakan mata kail tanpa duri pandan kerana ia bersifat lebih adil dan mesra kepada pemancing dan juga ikan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sekiranya anda belum pernah menyertai mana-mana pertandingan major memancing kolam air tawar, sebaiknya anda sertai dahulu pertandingan kecil.
Atau sekurang-kurangnya kerap turun memancing di kolam-kolam air tawar. Ia bagus untuk melatih teknik balingan dengan lebih lurus dan tepat.
Di samping itu ia juga bagus untuk melatih kekuatan mental. Untuk menyertai pertandingan memancing yang berstatus tinggi, ketahanan mental juga perlu kental.
Sekiranya anda sudah bersedia untuk menyertai pertandingan memancing tersebut, pastikan anda juga sudah bersedia dengan keperluan yang lengkap dan tepat.
Dan lebih penting lagi ia dibawa ke lokasi pertandingan.
SET PANCING
Set pancing yang dimaksudkan adalah padanan joran, kekili dan tali pancing yang berketepatan saiz ikan yang dipertandingkan. Joran berkekuatan 10-20lb atau sebaiknya 15-30lb.
Kekili siri 3000 hingga 5000. Dan tali tangsi berkekuatan 20-30lb. Joran dan kekili pastikan dalam keadaan sempurna dan sudah teruji keupayaannya.
Sementara tali tangsi (mono) yang akan digunakan juga dalam keadaan sempurna atau setidak-tidaknya masih dalam keadaan baik.
Jangan sesekali menggunakan tali tangsi yang sudah terlalu lama berada di dalam gelendong kekili kerana dikhuatiri akan reput dan mudah putus.
PERAMBUT MATA KAIL
Perambut mata kail yang dimaksudkan adalah gabungan tali pancing yang mengikat mata kail. Sama ada perambut mono filamen, fluorocarbon atau braided (tali sulam), pastikan ia berkeadaan baik.
Mata kail pula tajam dan saiz mata yang tepat. Sama ada perambut mata kail untuk teknik pancingan dasar, perambut teknik gantung atau perambut teknik apung, pastikan ia disiapkan terlebih awal dalam kuantiti yang secukupnya.
UMPAN
Sama ada anda lebih selesa menggunakan umpan organik seperti organ haiwan, umpan universal seperti cacing atau anak-anak ikan, umpan semasa (roti dan palet) berperisa, atau apa saja umpan yang dibenarkan penggunaannya, ia tidak mendatangkan sebarang makna sekiranya anda terlupa untuk membawanya bersama.
Apa saja umpan yang anda akan gunakan sebaiknya disiapkan terlebih dahulu. Dan pastikan juga bekas bancuhan dan menyimpan tidak ketinggalan.
TANGGUK
Boleh dikatakan semua pertandingan memancing air tawar sama ada di kolam atau tasik mewajibkan penggunaan tangguk.
Dan tugas untuk menangguk ikan tangkapan sebenarnya bukanlah semudah menyauk anak udang di tepi kolam.
Sama ada anda sertai pertandingan secara berkumpulan, apatah lagi jika secara solo, tangguk atau sauk adalah kelengkapan yang wajib dibawa. Jangan sesekali mengharapkan kawan atau rakan yang bawa.
PANCANG
Pancang atau alat yang digunakan untuk meletak set pancing merupakan kelengkapan yang sering terlepas pandang.
Walaupun seperti kurang penting namun pancang merupakan pelengkap kelengkapan untuk memancing.
Adalah satu perkara mustahil untuk anda memegang joran sepanjang waktu pertandingan tanpa meletakkannya pada pancang.
Justeru ada baiknya anda menyimpan satu pancang lipat yang boleh disimpan di dalam kotak peralatan memancing.
AKSESORI
Kerusi lipat atau bangku, topi, payung dan kain lap merupakan beberapa kelengkapan tambahan yang seharusnya tidak diabaikan demi keselesaan sepanjang waktu memancing.
Yang pasti sebelum anda bergerak ke lokasi pertandingan pastikan ada lima benda utama bersama anda. Set pancing, tong umpan berserta umpan, kotak pancing, pancang dan tangguk.
Ikatan grinner atau grinner knot merupakan keadah menyambungkan tali pancing utama atau perambut dengan swivel atau mata kail yang memiliki lubang cincin.
Ia satu ikatan yang agak mudah namun mampu bertahan dengan baik dan mudah lucut ikatannya. Selamat mencuba!
Langkah 1:
Masukkan hujung tali ke lubang cincin mata atau swivel.
Langkah 2:
Buat satu lingkaran ke arah mata kail dari bawah tali utama.
Langkah 3:
Tindakan lingkaran yang dihasilkan pada tali utama dan lakukan lilitan pada tindanan tali tersebut.
Langkah 4
Buat lima atau enam lilitan mengelilingi tali utama melalui lingkaran yang dihasilkan.
Langkah 5
Basahkan sedikit simpulan yang dihasilkan dan tarik hujung tali perlahan-lahan.
Langkah 6
Pegang mata kail dan kemudian tarik tali utama sehingga simpulan merapati cincin mata kail.
Petang Jumaat itu, saya dan Rosli sama-sama mengacau rendang daging minang di bawah pondok kecil di belakang rumah ibu.
Ketika inilah Rosli rancak bercerita tentang pengalamannya memancing ikan di Sungai Bertam yang terletak hanya 2 kilometer dari rumah ibu saya.
Kata Rosli, selain keli, haruan, puyu, sepat dan belida juga menghuni di situ. Kadang kala kalau bernasib baik, lampam dan jelawat juga boleh menjadi mangsa umpan.
Mendengar cerita Rosli itulah yang membuatkan hati saya begitu membara untuk pergi memancing.
Tidak sampai sepuluh minit berbincang, kami sudah mengambil keputusan untuk pergi memancing pada malam itu juga, sebaik rendang daging ini masak.
Usai solat Isyak, saya, Rosli dan dua lagi rakan pemuda kampung, Azmi dan Palawi menunggang dua buah motosikal menuju ke Sungai Bertam.
Pemergian kami tidak sesiapa pun tahu. Kalau diberitahu kepada isteri tentu dia akan berleter panjang. Maklumlah banyak lagi kerja di dapur yang menunggu.
Palawi sudah menyediakan batang bertam sebagai joran. Bertam merupakan sejenis tumbuhan daripada keluarga palma yang tumbuh serumpun.
Lazimnya daun pokok bertam digunakan sebagai atap pondok. Batangnya pula sesuai dijadikan batang joran kerana tumbuhan ini tidak mempunyai batang berkayu, justeru, ia sangatlah ringan.
Dengan menggunakan cacing dan cengkerik sebagai umpan, kami mengambil port di sepanjang tebing sungai untuk mencari mangsa.
Sedetik demi sedetik masa berlalu. Malam itu memang malam yang gemilang. Semua umpan yang dilabuhkan dimakan mangsa dengan rakus.
Saya sendiri sudah memperoleh tiga ekor ikan keli dan seekor belida bersaiz dua tapak tangan. Kami memancing tanpa bersuara.
Hanya bertemankan asap rokok yang dijadikan penghalau nyamuk yang menyanyi riang di gegendang telinga.
Sepanjang berada di situ, hati saya langsung tidak teringat kenduri di rumah. Saya asyik melayan tarikan ikan yang menjadi mangsa umpan yang saya taburkan.
Saya tidak kisah sama sekali sama ada saya mendapat ikan kecil atau besar. Yang penting keseronokan menarik ikan di hujung tali kail yang mendatangkan feel luar biasa kepada saya.
Dalam asyik melayan tarikan ikan itulah saya tidak sedar sepasang mata besar berwarna merah tajam memerhati pergerakan saya dari rumpun buluh yang terletak di belakang saya.
Ketika angin sejuk berhembus diikuti dengan pergerakan awan tebal gelap menutup cahaya bulan penuh malam itu, pergerakan mata merah itu semakin hampir dengan tempat saya duduk di tebing sungai.
Saya hanya berasa bulu roma saya meremang tiba-tiba dan mendengar jeritan kawan-kawan yang menyuruh saya lari.
Itulah ayat terakhir yang singgah di gegendang telinga sebelum saya merasakan pandangan saya kelam dan saya tidak sedarkan diri.
Saya hanya tersedar apabila mendengar bunyi azan yang mendayu-dayu di telinga. Sebaik sahaja saya membuka mata, saya melihat wajah isteri yang sembab dan wajah ayah yang sugul duduk di bahagian kepala saya.
Melihat saya membuka mata, barulah mereka tersenyum dan isteri memeluk saya dengan erat.
Saya jadi terpinga-pinga dengan kejadian sebenar yang berlaku. Perasaan hairan itu menjadi bertambah apabila melihat ruang tamu itu dipenuhi dengan jiran tetangga yang datang.
Tok Sidang Majid dan Imam Syukri juga tersenyum memandang saya. Saya disuruh minum segelas air yang sudah dibacakan Surah Yassin.
Laju saya minum kerana terlalu haus. Akhirnya, saya tahu juga kisah sebenar apa yang berlaku. Menurut Azmi dan Palawi, mereka menjerit menyuruh saya lari kerana ketika itu
mereka ternampak kelibat seekor harimau sebesar kerbau jantan keluar meluru daripada rumpun buluh menuju ke arah saya.
Apabila bayangan itu hilang, saya seolah-olah dirasuk apabila mula merangkak dan mengaum dari tebing.
Saya juga mula meratah ikan mentah saya yang dapat tadi seekor demi seekor. Mereka cuba menghampiri saya untuk membawa saya balik namun kekuatan yang ada pada saya sangat luar biasa.
Namun apabila Rosli melaungkan azan dan membawa ayat Nabi Sulaiman barulah saya menjadi lemah dan mudah dipapah ke atas motor.
Di rumah ibu juga, saya bagaikan dirasuk apabila mula menjerit, mengaum dan bercakap benda-benda yang merepek.
Hanya setelah Imam Syukri dan Tok Sidang datang, barulah saya beransur pulih dan mula sedar diri.
Saya bersyukur kerana tiada apa-apa yang lebih buruk berlaku kepada saya selepas itu. Sesungguhnya, saya percaya itu adalah ujian yang Allah SWT berikan supaya saya sentiasa beringat dan lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...