Mangrove Jack boleh dikategorikan sebagai ikan samseng, kerana ikan ini begitu rakus mencari makanan dan sifat kewilayahan membuatkan ia menyerang hampir ke semua ikan yang menghampiri kawasannya. Ia menyerang hendap mangsanya dengan membuat serangan mengejut.
Penggunaan umpan hidup seperti udang dan anak ikan adalah cara terbaik untuk memburu spesies ini, namun penggunaan hirisan ikan pasar segar seperti ikan selayang juga boleh digunakan kerana darah ikan selayang dapat menarik perhatian MJ.
Untuk memancing MJ ini, kawasan berstruktur seperti bangkar kayu, tebing berbatu serta struktur tiang adalah lokasi terbaik. Namun ianya juga pernah di tangkap di kawasan yang jauh dari kawasan tebing iaitu di tengah laut dan selalunya saiznya lebih dari 4 kilogram.
Ads
Set pancing yang sesuai untuk memburu spesies ini adalah dari kategori ringan dan sederhana berat seperti rod dari 10-20lb dan reel dari 1000-4000 bagi memaksimumkan kepuasan bertarung dengan spesies ini.
Tetapi awas! MJ adalah spesies yang bijak melarikan umpan ke kawasan berstruktur dan membuatkan anda berputih mata dengan kejadian seperti perambut putus dan matakail terkangkang. Anda perlu pantas menarik ikan ini keluar dari tempat kawasan persembunyiannya.
Ads
Jika menggunakan umpan hidup, teknik yang sering saya gunakan adalah dengan cara mata kail diikat terus ke tali serap henjutan (shock leader) yang telah disambung dengan menggunakan ikatan FG Knot ke tali utama.
Penggunaan batu ladung jenis hidup (running sinker) saiz kecil sambil stopper dipasang antara mata kail dan batu ladung bagi memudahkan kita menetap jarak antara umpan dan batu ladung. Umpan dilontar dan seterusnya dikarau perlahan-lahan dan berhenti seketika di dasar lubuk.
Ads
Teknik casting juga sudah popular untuk memburu MJ ini. Set seperti rod dari 10-20lb dan reel dari jenis round baitcasting atau low profile dan juga spinning yang tahan air masin adalah sesuai serta tali sulam berkekuatan antara 20-30lb dan shock leader antara 30-40lb bagi mengelakkan putus akibat bergeser dengan batu atau teritip.
Gewang selaman dalam serta bergemerincing adalah terbaik dengan skema warna terang seperti oren, merah, putih dan silver.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ciri utama jebong ialah kulit keras hingga serata bahagian badannya. Berbeza dengan ahli keluarga rapatnya ikan barat-barat yang kulit luarnya lebih lembut di seluruh bahagian badan. Biasanya ia dibarisi gigi kapal terjojol di hadapan serta gigi-gigi kecil atas bawah serta mulutnya amat kecil berbanding saiz badan. Bentuk badan leper tetapi agak tebal isinya dan bahagian kepala amat keras.
Setiap jenis jebong memiliki corak warna tersendiri berwarna-warni kecuali dari jenis jebong putih ini. Jenis yan menjadi kegemaran masyarakat pantai timur ini mempunyai bahagian atas berwarna kelabu disusuli tompokan keperakan di tengah. Corak kelabu putih ini lebih ketara di atas garis lintang hidup sehingga bahagian ekor.
Bahagian ekor berbentuk bulan di tengah tetapi menirus kedua-dua hujung. Sirip dorsal pertama memiliki tulang agak keras dan saiznya pendek berbanding sirip dorsal kedua. Saiz biasa ialah hampir 30 cm panjang dan paling besar dilaporkan 44.5cm.
Tahap tumbesaran setiap jenis jebong tidak sekata. Di kalangan keenam-enam jenis jebong yang dicatatkan, jebong kuning ekor berduri (Pseudobalistes flavimarginatus) dan jebong perang ekor bercabang (Odonus niger) mampu membesar sehingga 60cm.
Lazimnya jebong mudah ditemui di kawasan yang kaya dengan terumbu karang. Jebong amat jarang keluar dari kelompok terumbu karang. Kawasan wilayah buruan atau lingkungan mencari sumber makanan juga tertumpu di kawasan berkenaan.
Ia banyak berlegar di atas karang bawah dan pertengahan air. Gemar mendiami kedalam sederhana di mana kadar ketelusan cahaya lebih menyerlah iaitu sekitar 6meter hingga 60meter. Ikan jebong bersifat kewilayahan dan bergerak dalam kumpulan tersendiri.
Ikan jebong tidak begitu kuat meronta apabila dinaikkan tetapi suka mengeluarkan bunyi seakan-akan ikan gelama. Gigi yang kuat digunakan untuk memecahkan karang kecil, cengkerang dan menggeledah kawasan karang mencari makanan yang terdiri dari krutesia, organisme Benthic serta cebisan ikan, sotong dan sebagainya.
Jom kita tengok spesies-spesies ikan pemangsa yang memerlukan keberanian luar biasa untuk menawannya. Kalau korang cepat koyak memang tak digalakkan memancing spesies ini.
Goliath Tigerfish
Spesies goliath tigerfish merupakan salah satu spesies yang dahsyat dan mengerikan. Spesies ini membuatkan spesies pemangsa rakus seperti Piranha seakan-akan ikan kecil untuk hiasan.
Spesies ini mampu mencapai berat sehingga 70lb dan lebih 6kaki panjang. Spesies ganas ini berlegar di perairan Afrika berkumpulan dan mampu mencarik-carik daging mangsa yang lebih besar dalam beberapa saat.
Mulut gergasi bermata kuning ini tersemat gigi taring seakan pisau yang lebih daripada dua inci. Pemancing terkenal, Jeremy Wade percaya spesies ini bertanggungjawab terhadap beberapa siri kematian manusia di Sungai Congo yang sebelum itu dikatakan berpunca daripada semangat ghaib menurut kepercayaan masyarakat tempatan.
Piraiba
Dengan warna biru kehitaman, piraiba ini mampu mencecah sepanjang 9 kaki dan merupakan antara gergasi air tawar. Spesies ini merupakan spesies keli terbesar dan dikatakan berpotensi sebagai pemakan manusia.
Gigi ikan raksasa ini tidak kelihatan menakutkan memandangkan tiada taring terkeluar, namun gigi ikan ini tersusun rapi menghala ke bahagian dalam mulut ikan. Keadaan ini menjadikan mangsanya tidak akan terlepas jika sudah dalam cengkaman mulutnya.
Ikan Muskellunge
Muskellunge merupakan seekor spesies ikan air tawar dan sebenarnya masih belum ada catatan rasmi serangan ke atas manusia. Namun berdasarkan kepada keupayaannya, banyak spekulasi terhadap spesies ini dalam potensinya menyerang manusia.
Muskellunge mampu membesar sehingga 7 kaki dan mempunyai barisan gigi yang tajam dan boleh dikatakan sebagai jelmaan barracuda air tawar. Spekulasi mengatakan terdapat serangan ke atas seorang kanak-kanak dan nelayan oleh spesies ini namun mangsa selamat walaupun terdapat kesan yang agak teruk.
Keli Wels
Keadaan perairan di Eropah seperti Tasik Berlin dan Sungai Volga sepanjang masa seakan tenang dan selamat sehinggalah kemunculan pemangsa raksasa ini. Keli Wels ini mampu mencapai 13 kaki panjang dan seberat mencecah 400lb dan itu sudah cukup menjadikannya sebagai raksasa yang menggerunkan.
Keli wels merupakan pemangsa agresif dan menurut catatan sejarah ikan ini mampu membesar sehingga 20 kaki panjang. Seekor keli wels yang ditangkap di Russia mempunyai sisa manusia di perutnya sementara serangan terhadap manusia dilaporkan di Jerman.
Pari Air Tawar Gergasi
Raksasa ini sering menyembunyikan dirinya di perairan air tawar yang keruh, berpasir dan berselut di Asia Tenggara. Ikan pari air tawar ini mungkin merupakan spesies ikan air tawar yang terbesar dengan panjang mencecah 16 kaki dan seberat hampir 2000lb.
Sengat sepanjang 8 inci pada pangkal ekornya mampu menyerang seperti seekor kala jengking dan sengatannya diakui amat berbisa dan mampu membunuh. Jadi berhati-hati jika tiba-tiba anda berasakan dasar sungai yang anda pijak bergerak!
Goonch Catfish
Sungai Kali di antara Nepal dan India telah dihantui oleh siri kematian dan insiden lemas yang misteri. Misteri ini berlarutan sehinggalah raksasa perang sepanjang 7 kaki dengan gigi yang tajam ini ditangkap. Ia seekor ikan kenerak gergasi seberat 300lb.
Ikan ini dikatakan menarik mangsanya dan melemaskannya sebelum ditelan. Spekulasi juga mengatakan selera ikan goonch terhadap manusia mungkin disebabkan pembuangan abu mayat ke Sungai Kali yang diamalkan di sana.
Belut Elektrik
Belut elektrik merupakan pemangsa terkenal di Amazon dan menggunakan renjatan elektrik sebagai sistem pertahanan dirinya. Aliran elektrik sekuat 600 volt yang dihasilkan oleh spesies ini mampu membunuh seekor kuda dan tidak terkecuali manusia yang boleh mati akibat serangan ini.
Belut elektrik mampu membesar sepanjang 8 kaki dan seberat 50lbs. Biasanya penggunaan peralatan berunsur getah bagi mengelakkan serangan belut elektrik. Terdapat rekod menunjukkan kematian akibat serangan renjatan elektrik oleh spesies ini.
Bull Shark
Senarai ikan terakhir untuk kali ini, secara teknikalnya merupakan seekor jerung iaitu bull shark. Spesies ini mempunyai keupayaan yang luar biasa dan dikatakan lebih ganas berbanding jerung lain.
Dengan saiznya yang mampu mencapai panjang sehingga 12 kaki dan seberat 600lb, spesies ini mampu berenang ke perairan air tawar seperti tasik dan sungai di Missouri, Illinois dan Kentucky.
Rekod menunjukkan banyak serangan oleh spesies ini terhadap manusia di perairan air tawar. Selain merupakan spesies yang paling agresif antara jerung, bull shark juga mempunyai kuasa gigitan yang paling kuat berbanding semua spesies ikan di dunia.
Tongkol putih adalah salah satu dari jenis tuna yang ditemui di negara kita. Mungkin ramai yang memanggilnya tongkol sahaja, aya di Pantai Timur atau kayu di sebelah Sabah.
Selain tongkol putih (bonito), aya hitam (skipjack tuna), aya selasih (bullet & frigate tuna), aya mata besar (bigeye tuna), aya sirip kuning (yellowfin tuna), aya sirip biru (bluefin tuna) dan aya tenggiri (spotted chub mackerel) adalah rangkaian ikan yang lebih dikenali panggilan tuna di kalangan masyarakat luar.
Badan tongkol putih berbentuk peluru ‘torpedo’ yang padu dan mantap. Mulutnya mampu membuka luas mudah menelan seekor kembong, dan dibarisi gigi-gigi tajam berlapis atas dan bawah.
Ia mempunyai jalur hitam putih yang tidak sekata di atas badan selepas garis lintang dan bermula dari hujung sirip pektoral.
Bentuk dan corak jalur hitam putih inilah yang membezakan tongkol putih, aya selasih dan aya hitam. Warna putih mendominasi bahagian bawah badan tongkol putih ini dan berbadan gempal dan sedikit gemuk berbanding aya selasih.
Sirip dorsal pertama dan kedua terpisah antara satu sama lain. Sirip-sirip kecil (finlets) hadir selepas sirip dorsal kedua membawa ke pangkal ekor (atas dan bawah).
Pangkal ekor pula terdapat sisik yang keras di tengah pangkal ekor (median keel) yang mampu melukakan tangan jika dikendalikan secara tidak betul.
Ikan aya adalah jenis spesies yang mempunyai darah yang banyak, hanyir sedikit kesan dari bau darah yang berlebihan, cepat mati apabila berada di luar air dan kurang menggelepar seperti mana ikan karang.
Biasanya tongkol ini meronda di lautan yang mempunyai suhu air di antara 18 °C hingga 29°C. Gemar meronda dalam kumpulan yang besar dengan saiz purata 2 hingga 4 kilogram setiap ekor. Rekod terbesar untuk tongkol putih ialah 6kg atau 68cm panjang.
Biasanya mengekori kumpulan ikan bilis yang menjadi sumber diet utama. Membiak dari bulan Ogos hingga Oktober di sebelah pantai Timur membawa ke arah perairan Sabah.
Nama Lain: Tongkol, Kayu, Bakulan aya kurik,
Ciri Fizikal: Bentuk badan seperti silinder (peluru), mulut besar dilengkapi gigi-gigi halus. Ekor tirus bercabang dan spesies ini mempunyai lima sirip dorsal dan anal kecil dekat bahagian ekor.
Diet: Gemar makan ikan bilis dan anak-anak ikan pelagik lain.
Habitat: Permukaan air dan persisiran pantai melebihi 20 km.
Taburan: Bergerak dari Laut Jepun Ke Australia, Terusan Suez dan seluruh Asia Tenggara.
Tempatan: Pantai Timur, Sabah dan Sarawak, Pantai Barat taburannya lebih ketara dari Pulau Jarak ke arah Tukun Perak.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...