



Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!




Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!

Ramai dah yang akui port ini memang best! Siakap, kerapu, pari antara spesies yang pengunjung kerap land kat sini. Lepas dah land terus hantar kat restoran bagi chef masak. Pergh… syahdu! Mancing 24 jam sambil makan sedap yang amat.
Untuk info, Kong Kong Chalet Terapung ini letaknya di Masai, Pasir Gudang, Johor. Kedudukan chalet terapung ni tak jauh pun dari darat… dalam 3-5 minit perjalanan saja dengan menaiki bot yang disediakan. Pelbagai jenis bilik ikut kesesuaian dan bajet. Kolam pun ada untuk mandi-manda. Orang rumah yang bosan duk teman suami mancing boleh layan karaoke kat sini. Kemudahan lain seperti surau pun ada disediakan.
Harga bermula serendah RM130.00 sebilik untuk penginapan selama 2 hari 1 malam. Pakej untuk memancing sahaja pun ada, tanpa bilik, bot dan makanan siap disediakan. Haa… apa lagi para angler sekalian, layan hobi sambil beli jiwa orang cakap, sambil menyelam sambil minum air.
Siapa yang tak nak ikan besar-besar bas betul tak? Ni admin belanja sikit antara gambar pelanggan yang kami hargai dapat ikan besar-besar bas di Kong-Kong Chalet Terapung. Besarkan korang? Hehehe… kita kasi racun sikit.
Korang tak nak ke ikan besar-besar macam ni? Kalau nak tunggu apa lagi tu korang? Jomlah memancing di Kong-Kong Chalet Terapung. Haa… lepas dapat ikan tu takkan nak biarkan je betul tak? Mesti nak rasa ikan fresh tu. So bila dah dapat boleh terus hantar ke dapur Restoran D’Terapung untuk chef masakkan mengikut citarasa anda.
Untuk pengetahuan semua, Kong-Kong Chalet Terapung mempunyai pakej memancing yang bermula pada jam 2 petang sehingga 12 tengahari. Harga yang murah dan berpatutan disertakan sekali sarapan pagi, mandi kolam untuk kanak-kanak dan pengangkutan dari jeti ke chalet dan chalet ke jeti.
Fasiliti yang ada di Kong-Kong Chalet Terapung juga boleh digunakan secara percuma. So korang yang inginkan suasana yang nyaman lagi tenang dan kayangan untuk memancing jom datang ke Kong-Kong Chalet Terapung sekarang!
Sewa Joran
Ramai yang tak tahu sebenarnya kami ada buat sewaan joran. Bagi kaki-kaki pancing yang nak memancing di chalet tanpa bawa peralatan memancing, kami ada buat sewaan joran lengkap. Tak perlu risau lepas ni kalau tertinggal joran dekat rumah ke hilang atau terlupa, kita ada jalan penyelesaian.
Harga sewaan joran yang berpatutan. Satu joran siap mata kail, loceng, batu ladung, kili dan mesin joran cuma RM30 untuk satu hari. Umpan pun kita ada jual seperti umpan udang hidung dan udang mati.
Untuk sebarang pertanyaan tentang sewaan joran dan tempahan bilik boleh hubungi nombor di bawah:
https://wa.me/60197798724
(En Affandi)
https://wa.me/60134806300
(Admin)
https://wa.me/60198385311
(Zati)

Trip yang dianjurkan oleh seorang kenalan dari sebuah kilang bersebelahan dengan Kompleks Kumpulan Karangkraf boleh disifatkan trip mengejut juga setelah notis pelawaan agak singkat. Geng pancing ini rata-rata baru belajar memancing dan peralatan yang digunakan adalah banyak ‘cap ayam’.
Soal peralatan bukanlah ukuran asalkan keinginan memancing adalah perkara pokok. Memandangkan tiada perancangan lain dalam waktu tersebut, persetujuan diberikan kerana trip ini boleh balik kampung sekali.
Kami berlima menggunakan khidmat tekong Othman yang berpangkalan di kampung Geliga berdekatan dengan Kuala Kemaman. Bot kayu uzur ini bersaiz 36 kaki memadai untuk grup yang kecil.
Malah kabin tidur hanya muat 2 orang pemancing kerana kabin bot tersebut disumbat dengan enjin generator. Yang tidur di kabin akan berdendangkan enjin generator sepanjang malam sambil menikmati bau asap yang sesekali menyelubungi ruang pernafasan.
Bergerak dari jeti selepas sarapan ringkas ke lubuk pancing kegemaran tekong yang memakan masa lebih dari 2 jam. Lubuk ini adalah kawasan tapak unjam berdasar keras di mana banyak bot pancing lain turut berada di sekitar lubuk.
Setelah membuat hentian sementara di unjam untuk mencari bekalan umpan, tekong meneruskan perjalanan untuk mencandat sotong terlebih dahulu.
Kami disarankan untuk mencandat sotong kerana kawasan tersebut sotong galak di siang hari. Sambil mencandat, aktiviti memancing sampingan turut dilakukan. Kerana ramai kurang berpengalaman mencandat sotong pada siang hari, tidak banyak yang kami perolehi tetapi sudah memadai untuk dijadikan umpan sepanjang malam.
Lewat petang sauh dibongkar menuju ke lokasi utama setelah hentian pertama tiada tanda-tanda ikan pemburu berkeliaran. Tak payah tunggu lagi kata tekong. Waktu kami tiba belum nampak lagi kelibat bot nelayan berhampiran, rasa was-was bermain di fikiran.
Ikan dah habis ke? Bila tanya ikan apa yang biasa dipancing di kawasan tersebut, tekong Othman yang sentiasa sengih selamba memberitahu ‘macam-macam ada’ kat sini.
Seperti biasa hirisan sotong segar dan ikan selayang menjadi pertaruhan. Dalam leka memancing layan akan-anak ikan kerisi dan tambak, sekali sekala sentapan mengejut mengena joran aksi sederhana.
Awal malam kehadiran kumpulan aruan tasik pula sering melenturkan joran. Puas melayan penangan aruan tasik lepas seekor demi seekor sampai kami kecoh dalam ruang bot yang sempit.
Tidak lama selepas itu spesies cobia ini mula menyepi walaupun dihidangkan dengan sotong cumit segar malah hidup lagi.
“Nak tengok pari besar?” suara awak-awak tekong memberi cadangan sambil memasang kepala sotong jarum yang paling besar.
Kami berehat sambil melihat sahaja awak-awak tekong menyediakan peralatannya memancing pari. Sambil menunggu elok juga alas perut dengan kari sotong ala kadar.
Tidak sampai 20 minit menunggu, tangsi koyan yang diselitkan pada kaki pembantu tekong Othman menegang keluar. Barulah nampak beliau membuka langkah bersilat menahan larian pari berkenaan.
Tekong Othman datang membantu, 2 lawan 1. Elok juga saranan untuk dipasang pada joran kami ditolak kerana pari bukanlah buruan utama kami bertandang ke mari.
Melihat cara mereka berdua bergilir melayan pari, masing-masing melonjak untuk melihat saiz pari yang memerlukan kederat 2 tenaga manusia. Hampir setengah jam mereka berdua layan barulah kelibat di permukaan.
‘Besornya’, bunyi yang terpacul dari mulut seorang dari rakan penulis. Nasib baik tak kena pada joran medium action, kalau kena jenuh mengepam pari ke atas.
Masalah kedua ialah untuk menaikkan pari ke bot. Tekong kemudian menarik perlahan-lahan pari ke arah hadapan bot tempat simpanan ikan bagi memudahkan ia dinaikkan dan di simpan. Tengok saiz kami anggarkan lebih dari 60 kg. Kalau saya pasti putuskan je pari kerana cukup faham masalah untuk menyimpan dan proses menyiang juga rumit.
Setelah selesai urusan mereka berdua, kami mengambil alih aktiviti memancing. Namun aktiviti memancing terpaksa berhentikan dahulu apabila hujan mula berderai.
Elok juga hujan memberikan waktu rehat walaupun dalam keadaan yang cukup tidak sempurna. Janji dapat berteduh dari kebasahan. Sakit badan bersesak dalam tirisan hujan sampai ke pagi.
Seawal pagi hujan kembali reda memberi peluang untuk kami memancing semula menghabiskan sisa-sisa waktu sebelum berangkat pulang. Sedang menyiapkan perambut baru, kedengaran beberapa ekor ikan meloncat dari permukaan air dari jauh.
Tenggiri! Dengan cepat perambut tenggiri dipasang berumpankan sotong jarum malam tadi yang di candat.
Dua kali sotong dilontar ke arah lokasi tenggiri meloncat, sambaran diterima tidak lama selepas umpan jatuh. Sayang ikan bijak dan mudah memutuskan perambut dawai 40lb yang digunakan.
Sambaran kedua mengalami masalah sama, beberapa saat larian, tali tiba-tiba sahaja kendur. Umpan hidup ketika itu tiada, jig juga tiada dalam list, terpaksa guna umpan mati yang ada. Tenggiri memilih sedikit pasal umpan di kawasan ini, hanya sotong yang masih bercahaya sahaja digunakan.
Sambaran ketiga turut membuatkan kami buntu apabila tidak semena-mena perambut boleh putus. Mungkin seekor yang melarikan umpan dan yang lain turut mengejar umpan yang sama sebab itu perambut dan juga perambut tangsi menjadi mangsa.
Kali keempat barulah dapat solid hook up dan akhirnya tenggiri 8 kg menjadi milik kami. Masa galak umpan pula sukar, kalau dapat umpan hidup pasti cepat disambar. 1 berjaya ditewaskan dalam 6 kali rabut dan putus perambut. Nasib baik apabila tenggiri senyap, joran dasar pula bersilih ganti melentur.
Kali ini ebek pula menyerang berselang seli dengan haruan tasik. Terpaksa umpan dihulurkan jauh sedikit dari dasar. Ketika yang di belakang tertumpu pada tenggiri, 2 orang pemancing haluan bot pula fokus pada pengumpanan dasar.
Senyap tenggiri, geng haluan terus mendapat sambaran rakus. Kedua-dua joran menerima sambaran dalam selang 2 minit. Strike pertama berjaya ditangani tidak lama selepas itu manakala strike kedua terpaksa menerima bantuan awak-awak untuk menarik tali secara manual setelah joran tidak mampu mengepam.
Pari ketiga terpaksa ditewaskan dalam perlawanan berat sebelah 2 lawan 1. Selepas pari dinaikkan ebek masih lagi berkeliaran di kawasan kami berada. Selepas itu silih berganti kami setiap orang merasai penangan ebek Kemaman sebelum mengakhiri trip semalaman memancing.

Saya melabuhkan punggung di satu kawasan lapang yang sedikit berpasir. Tidak jauh daripada saya, dalam jarak 50 meter, Nasrul dan kawan baiknya Bahtiar juga sedang tenang menunggu umpan diragut oleh sang mangsa.
Sejak petang tadi, kami bertiga memang sudah berjanji untuk memancing di lombong terbiar berdekatan dengan kawasan Sidam Kiri ini.
Dikatakan sekarang adalah musim ikan kaloi dan haruan. Setakat dua, tiga kilo beratnya sudah menjadi perkara biasa penduduk sekitar mendapatnya.
Itu yang menyebabkan saya, Nasrul dan Bahtiar geram mendengar cerita-cerita begitu. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk memancing di sebelah malam.
Dengan berbekalkan umpan anak ikan, katak, cengkerik dan cacing, kami bertiga mencuba nasib di lombong seluas dua ekar ini.
Tidak jauh daripada saya duduk, ada sebatang pokok sena yang berdiri gagah. Daripada cerita orang-orang tua, pokok sena itu sudah tumbuh sejak beratus tahun lamanya.
Umur sebenar pokok itu tidak diketahui, cuma apa saja cubaan untuk menumbangkan pokok itu pasti tidak berhasil. Pasti ada rintangannya.
Jentolak rosak, pemandu jentolak jatuh sakit, hujan ribut dan sebagainya. akhirnya pokok sena yang mempunyai banyak akar berjuntaian itu dibiarkan begitu saja kerana dikatakan berpuaka.
Sesekali mata saya pasti melirik ke situ. Sebagai pemuda yang dilahirkan dalam zaman merdeka dengan usia baru mencecah usia 25 tahun, saya kurang percaya dengan cerita-cerita misteri begini.
Dalam zaman yang serba moden ini mana ada hantu atau jembalang.
Semuanya mainan perasaan manusia itu semata-mata apatah lagi saya merupakan graduan dalam tahun akhir bidang kejuruteraan awam di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur. Joran saya bergerak. Sekali sentap, mangsa sudah kelihatan.
Seekor ikan kalui sederhana besar mungkin dalam 300 gram menggelepar lemah di permukaan air.
Saya mengucapkan syukur, Alhamdulillah ini rezeki pertama setelah lima belas minit menunggu.
Dari jauh, saya lihat Bahtiar dan Nasrul juga sedang sibuk menaikkan joran masing-masing. Ini bermakna rezeki kami agak murah pada malam itu.
Setelah memasang umpan anak katak pada mata kail (dengan harapan kali ini haruan pula yang akan menyambarnya) tiba-tiba mata saya melihat dua ekor ikan kecil sebesar ikan puyu berwarna putih bermain-main di gigi air dengan jinak sekali.
Seperti dua orang budak kecil yang bermain kejar-kejar sambil mengacah sesama sendiri. Saya jadi terpesona dan khayal melihat gelagat dua ekor ikan kecil berwarna putih itu.
Di dada langit, bulan semakin mengambang penuh. Cahayanya jatuh berkilauan di atas permukaan lombong yang luas.
Kalau tadi, terdengar suara cengkerik bersahutan dari hutan kecil di sebelah kini suasana sudah bertukar menjadi senyap sepi.
Hanya deru angin yang semakin sejuk terasa. Saya pula seolah-olah ditarik perasaan untuk cuba menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih itu.
Gelagat Bahtiar Dan Nasrul tidak saya pedulikan lagi. Begitu juga dengan dua joran yang saya letakkan tadi (sebenarnya umpan saya sedang dimakan ikan).
Apa yang bermain di dalam fikiran saya hanyalah untuk menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih yang saya rasa sungguh aneh dan istimewa sekali.
Ketika itulah, tanpa saya sedar, kaki saya sudah mula melangkah ke gigi air lombong tempat dua ekor ikan putih bermain-main tadi.
Semakin saya dekat, semakin ikan itu bermain dengan riang seolah-olah mencabar saya untuk menangkap mereka.
Perasaan saya menjadi semakin geram dan tidak sabar. Dalam otak hanya satu yang saya fikirkan, saya mesti berjaya menangkap kedua-dua ikan putih ini untuk ditunjukkan pada kawan-kawan dan sanak saudara.
Setiap kali saya cuba menangguk dua ekor ikan putih itu (dengan tangguk yang saya bawa) pasti terlepas.
Ikan-ikan itu pula tidaklah berenang terlalu jauh daripada saya tetapi entah mengapa saya masih gagal untuk menangkapnya.
Pada masa yang sama, saya tidak sedar bahawa saya bukan lagi berada di gigi air, tetapi saya sudah berjalan jauh ke depan dengan air kini separas dada saya!
“Iqbal…Iqbal….” Sayup-sayup saya terdengar suara memanggil tetapi keasyikan saya pada kedua-dua ekor ikan putih itu menyebabkan saya sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling saya.
Tiba-tiba saya terdengar laungan azan. Agak sayup dan sayu pada pendengaran saya. Bukan sekali malah tujuh kali.
Ketika itulah ikan putih tadi ghaib dan saya seolah-olah baru tersedar akan kedudukan saya yang berdiri di tengah lombong terbiar itu!
Nasrul datang berenang mendapatkan saya dengan mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Qursi. Saya seperti dipukau hanya membiarkan tangan saya ditarik ke tepi tebing.
Dengan dibantu oleh Bahtiar, saya didudukkan dan diberi minum air kosong. Selepas itu barulah fikiran saya menjadi waras dan boleh berfikir.
Kejadian ini baru dua tahun berlaku. Walaupun diuji begitu, saya tidak serik untuk ke lombong itu lagi.
Setiap kali turun ke Teluk Intan, saya pasti akan memancing di situ. Cuma kali ini saya memancing pada sebelah siang sahaja. Sebelum waktu Maghrib tiba, saya pasti akan angkat kaki dari situ.
Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Kaya. Saya selamat kerana ajal saya belum tiba dan keluhuran budi dua orang sahabat yang tidak meninggalkan saya begitu sahaja.
Sesungguhnya inilah ujian hidup. Saya mula percaya, selain manusia ada juga makhluk Allah yang turut menumpang sama di muka bumi ini. Wallahualam.
© Hakcipta Terpelihara Nu Ideaktiv Sdn. Bhd 🎣 Dikendali Oleh Astro Group

