Sama ada suka atau tidak, percaya atau tidak, kita harus akui sumber perikanan kita terutama air tawar semakin hari semakin nazak. Lubuk-lubuk yang sedia ada lazimnya akan mati dalam hayat yang pendek jika lokasinya menjadi umum. Jika disembunyikan, timbul pula isu simpan lubuk yang akhirnya menimbulkan cakap-cakap belakang.
Mari kita cuba lihat sejenak dan fikirkan, aktiviti memancing secara logik tidak akan mengundang bala kepada sumber perikanan. Yang ketara dan penyumbang utama ialah aktiviti penangkapan ikan yang tidak beretika seperti yang mengebom, penggunaan racun atau tuba dan penggunaan elektrik.
Maka golongan ini wajib dibendung dengan apa cara sekalipun. Itu belum campur dengan pembalakan haram yang memusnahkan terus lubuk-lubuk pembiakan ikan.
Ads
Jujurnya, sukar untuk mengharapkan pihak berwajib sahaja. Jadi di sinilah peranan kita sebagai pemancing beretika, berilmu dan sayangkan sumber perikanan kita. Lantas menjadi tugas kita, menghalang aktiviti tak beretika iniasekurang-kurangnya dalam kalangana rakan-rakan kita sendiri.
Jika tidak mampu menghalang secara fizikal, sekurang-kurangnya kita menasihati mereka dan menyedarkan mereka tentang kepentingan sumber ini dan apa akibat buruk daripada perbuatan mereka. Selain itu, dalam melihat kesilapan orang lain, kita sendiri kadangkala lupa untuk melihat diri sendiri.
Ads
Kadangkala kita masuk ke hutan untuk trekking, camping dan memancing. Apabila mahu pulang banyak sampah seperti plastik atau tin yang ditinggalkan di campsite oleh grup kita. Secara tidak langsung, kita turut menyumbang kepada berlakunya kerosakan sumber ini.
Inilah perkara yang perlu kita elakkan, nampak remeh namun kesannya cukup dalam. Sebagai pemancing, pastilah isu ini terasa dekat dengan kita. Pemancing dan sumber ikan seperti sungai ibarat simbiosis dan saling memerlukan.
Jadi, tanpa menuding jari kepada sesiapa, sama-samalah kita mengambil langkah sewajarnya dalam meneruskan kelestarian alam sekitar seterusnya dapat memberikan kepuasan dalam hobi kesayangan kita ini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Pada hari Sabtu itu, Haziq mencadangkan tempat yang menarik untuk kami memancing. Tidak pernah mengatakan tidak, kami berlima terus bersetuju dengan cadangan Haziq. Tempat yang dicadangkan olehnya di puncak Bukit Polo Iskandar, Ipoh.
Kami sampai di situ kira-kira jam 5.30 petang. Sampai sahaja di situ kami mencari lokasi yang terbaik untuk memulakan memancing. Kelihatan kocakan air memang banyak. Tidak hairanlah banyak ikan di situ kerana dahulunya merupakan tapak bekas kolam ikan yang dibela.
Setelah itu kami menunaikan solat fardu asar secara berjemaah. Berbekalkan roti kosong di cicah bersama sardin yang dibekalkan oleh ibu Afiq tadi, kami bersama menikmatinya sambil berborak kosong. Lebih kurang 15 minit menunggu, joran Mirza disambar. Naik seekor toman lebih kurang 3 kg beratnya.
Hari semakin beransur gelap. Mirza dan Iddin sibuk memasang unggun api. Nak bagi kawasan terang dan juga menghalau agas kata mereka. Aku pula duduk berborak dengan Afiq dan Haziq. Sedang asyik berborak tiba-tiba aku terdengar bunyi sesuatu yang mencurigakan. Uuuiiii….uuiiii..uiiii. Afiq dan Haziq mungkin tidak terdengar bunyi itu kerana asyik membebel sahaja pasal ikan yang tak makan umpan.
Aku cuba mengamati bunyi tu betul-betul. Aku cuba mencari dari manakah arah bunyi tersebut. Hati aku sudah mula rasa tidak sedap. Tetapi untuk tidak melayan perasaan takut itu aku buat tak tahu sahaja. Akan tetapi bunyi itu semakin berlanjutan. Aku tak pandang joran ketika itu. Dalam keadaan bunyi yang mencurigakan tiba-tiba ada tambahan bunyi pula, aku terdengar bunyi budak menangis.
Bunyi itu semakin berlarutan. Tiba-tiba datang Mirza. Mukanya agak pucat. Dia duduk sebelah aku. Ada benda yang ingin disampaikannya. Tetapi agar sukar untuk Mirza berkata-kata. Kawan-kawanku yang lain juga perasan akan perubahan Mirza dan segera datang ke arah aku dan Mirza. “Kau kenapa ni Mir,”? soal Haziq cemas. “Ceritalah,” sambung Afiq.
“Aku perasan ada orang memancing tadi di sebelah sana, aku pun tergur dia, tapi tak sampai 5 saat orang itu hilang betul-betul depan mata aku,” cerita Mirza dalam nada ketakutan.
Ketika Mirza menceritakan kejadian itu, kedengaran uuuuuiiii…uuuuiii….uiii bunyi tangisan budak itu berselang-seli dan semakin kuat. Kini bukan sahaja aku seorang yang dengar malah yang lain juga turut terdengar bunyi yang sama.
Tanpa berlengah masa, aku terus mengajak kawan-kawanku pulang. Tetapi Afiq dan Iddin enggan pulang. Katanya baru sampai takkan mahu pulang. Akhirnya mereka semua akur dengan keputusan aku yang mahu pulang. Kami semua berkemas dan berjalan keluar dari kawasan itu.
Bila sudah hampir dengan tempat meletak motosikal kami, baru aku sedar bunyi itu datang pokok yang paling hampir dengan tempat aku meletak motosikal. Hendak tak hendak aku harus melalui pokok itu untuk mengambil motor.
Tapi apa nak buat mesti lalu pokok itu dulu takkan nak terus berdiri di situ. Bertemankan cahaya lampu suluh kami melalui pokok itu. Itu pun lampu suluh meragam. Kejap menyala, kejap tidak. Masa lalu pokok tu hanya Allah yang tahu.
Bulu romaku meremang sakan. Masa nak sampai ke motosikal, kami terdengar orang ketawa mengilai panjang. Apa lagi kami semua hidupkan enjin tekan gear dan jalan. Mujurlah enjin senang dihidupkan ketika itu.
Aku menjadi orang yang paling belakang. Tak tengok belakang aku terus menunggang dengan tenang. Ingatkan gangguan itu sudah habis, tapi masa turun puncak bukit itu ada berlaku kejadian aneh. Ketika turun dari bukit itu keadaannya memang gelap.
Tiba-tiba ada sebuah motosikal yang datang dari arah belakang memotong aku dan rakan-rakan. Lagi pelik motosikal itu tidak berlampu dan dinaiki seorang pakcik tua. Sedangkan kawasan itu gelap. Jika tiada lampu mustahil akan nampak dengan keadaan jalan yang berbukit pula, lagi bahaya.
Aku lihat kawan-kawanku juga tidak peduli dengan keadaan itu. Kami terus memandu dengan berhati-hati. Bukit di situ agak curam. Jadi aku menggunakan gear 1 sahaja. Dalam keadaan gelap begitu, kami diuji lagi. Ada sebuah kereta berwarna merah bertembung dengan kami. Kereta itu menuju ke puncak bukit.
Masa berselisih dengan kereta itu, aku menjeling untuk melihat apa yang ada dalam kereta itu. Alangkah terkejutnya aku kereta itu tiada pemandu dan di belakangnya ada seorang penumpang yang berambut panjang dengan paras rupa yang menyeramkan. Aku cuba kawal perasaan aku ketika itu. Mulutku tidak berhenti membaca ayat kursi dan 3 qul. Bulu romaku semakin menegak.
Kelihatan kawa-kawanku memecut motor laju masing-masing. Aku cuba fokus untuk menunggang dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tanpa melihat kiri dan kanan aku terus memecut laju. Oleh kerana sudah jalan landai, agar lancar perjalanan. Fikiranku hanya mahu sampai ke rumah dengan segera tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam hatiku masih lagi tertanya-tanya siapakah penunggang motosikal tadi? Dan tujuan apakah perempuan itu menuju ke bukit. Mujurlah hanya aku sahaja yang menjeling wanita itu, namun wanita itu tidak menjeling aku kalau tidak, mahu 120km/j aku turun dari cerun bukit itu.
Setelah memakan masa hampir 45 minit untuk keluar daripada kawasan itu, akhirnya kami semua sampai di jalan besar. Kami terus mengambil keputusan untuk singgah ke rumah nenek Iddin yang terletak tidak jauh dari situ. Oleh kerana hari sudah larut malam, kami bersetuju untuk tumpang di situ sementara menunggu hari siang.
Kebetulan pula,rumah nenek Iddin bersebelahan dengan jirannya berbangsa Cina. Rumah jirannya itu ada anjing. Semasa kami semua mahu masuk ke rumah nenek Iddin itu, anjing tidak duduk diam dan menyalak dengan kuat sambil memandang ke arah kami semua. Mungkin anjing itu tahu akan kehadiran entiti asing di situ.
Semenjak kejadian itu, kami berlima tidak lagi memancing di lokasi itu. Kami lebih selesa memilih pot yang ada orang ramai dan mudah meminta bantuan andainya berlaku kejadian yang tidak diingini. Kejadian yang berlaku itu kini menjadi satu memori misteri yang hingga kini sukar untuk dirungkaikan!
Kisah ini berlaku pada saya dan suami kira-kira 12 tahun yang dulu. Lama dah tapi ingat sampai sekarang. Kami suami isteri memang minat memancing. Pada waktu itu saya, suami dan seorang adik angkat saya telah pergi memancing di tepi pantai.
Kami tiba di sana di waktu petang. Biasalah bila dah sampai sana apa lagi, kami pasang khemah dan menyiap barang-barang pancing kami. Tapi rupanya pada hari tu hujan turun tak henti setelah 3 jam kami berada di sana. Hujan berlarutan hinggalah ke lewat malam.
Kami memang berniat memancing 2 hari tapi keadaan begini mengundang kami pulang pada keesokan harinya. Bila malam tiba, biasalah kalau dah kaki pancing, masih memancing walau pun hujan turun.
Kami bertiga berteduh di dalam khemah dan kami biarkan kesemua 7 joran kami tersusun tegak di tepi pantai. Kami tidak tutup pintu khemah jadi kami boleh melihat hujan yang turun dengan lebat sekali. Walaupun hujan tapi suasana tak gelap sangat kerana pancaran dari lampu di jalanraya.
Dari khemah, kami masih boleh melihat joran kami di luar dari jauh. Bercahayakan lampu yang khas untuk khemah, kami semua duduk di dalam menghadap laut, sambil berbual dan berborak-borak, saya beralih pandangan ke joran kami.
Di dalam hujan, saya ternampak bahawa salah satu dari joran suami telah diangkat dan seperti seseorang sedang memancing ikan. Tetapi tidak kelihatan. Saya terus suruh suami dan adik angkat saya melihat.
“Korang tengok kat joran tu. Korang nampak apa yang aku nampak?”
Mereka terus diam. Suami pula lagi boleh buat lawak. Dia berkata, “Sudah biarkan. Tempat dah gelap. Harapkan lampu jalan. ‘Dia’ nak join pancing biarkan lah. Mana tahu dapat ikan. Mana tahu dia tak pernah try pancing pakai joran. Hehehe… Jangan tegurlah. Sekali dia jelma depan mata lagi satu kerja. Dah buat bodoh. Awak tu lemah semangat…”
Selepas suami kata begitu sambil kami memerhatikan joran itu, tiba-tiba seperti benda itu tahu yang kami melihat apa yang dia buat dan terus joran itu dia letak kembali semula ke tempat asal.
Ingatkan dah berhenti. Rupanya selang setengah jam dari kejadian itu satu dari joran saya pula dibuat main. Tapi joran saya semua ada saya letak loceng.
Jadi bila benda itu seperti bermain dengan joran saya, locengnya berbunyi. Selepas itu ia berhenti. Ia seakan-akan ingin mencuba semua joran itu.
Kelakar tapi menyeramkan kerana tidak dapat melihat. Inilah satu kejadian yang saya alami ketika memancing.
Aktiviti berkhemah sambil memancing di tebing sungai pergunungan sememangnya menyeronokkan. Lebih seronok lagi bila dapat mendaratkan ikan-ikan sungai dan segera dijadikan juadah. Tiada yang lebih mewah selain hidangan ikan-ikan segar terus dari sungai. Malah hidangan hotel 5 bintang pun tak boleh lawan.
Baung campur udang galah masak tempoyak
Bahan keperluan:
Ikan dan udang
2 senduk tempoyak
1 tangkai daun kesum
1 batang bunga kantan
Cili api
Serbuk kunyit (kunyit hidup lagi bagus tapi lesung batu tak bawa)
Garam
Cara penyediaan:
Siang dan cuci bersih ikan dan udang
Bunga kantan dihiris dan cili api diketuk
Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk dan tambah air sebanyak mana yang ingin dijadikan kuah.
Rebus saja sehingga menggelegak… dah pun boleh dihidangkan.
Ikan sungai goreng garing
Bahan-bahan:
Ikan lais, lampam, parang (apa saja ikan yang dapat)
Serbuk kunyit
Garam
Minyak
Cara penyediaan:
Bersihkan dan kelar badan ikan
Gaul ikan dengan garam dan serbuk kunyit
Goreng dengan api sederhana sehingga garing.
Patin lawang salai
Bahan keperluan:
2 ekor patin lawang kecil
garam
Kunyit
Cara penyediaan:
Bersihkan ikan patin lawang dan kelar memanjang pada badannya.
Lumurkan garam dan kunyit.
Cucuk ikan pada ranting kayu dan pacak berdekatan dengan bara api sehingga masak.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...