Dengan hanya bayaran permit memancing sebanyak RM20 untuk satu joran, anda boleh memancing daripada pagi hingga lewat petang. Menarik bukan?

 

Anda boleh pelbagai menduga spesies yang terdapat dalam tasik ini sepuas-puasnya. Jangan terkejut jika joran anda melendut dek sentapan ikan bersaiz besar kerana di sini memang ada spesies yang bersaiz idaman.

 

Menurut rekod pihak Taman Wetland, terdapat 42 spesies ikan di dalamnya. Terpulang kepada anda untuk menggunakan apa sahaja teknik, bottom, pelampung atau kerajinan anda casting membaling gewang dan menjejaki dimanakah ikan-ikan ini berada.

 

Casting dari bot.

Memandangkan kawasan tasik ini luas, casting menggunakan bot adalah terbaik, selain boleh mempraktikkan trolling.

Mana tahu sang baung akan dapat diperdayakan dengan gewang selaman dalam. Usah risau kalau gewang anda tersangkut, kerana di dasarnya, secara keseluruhan tidak ada

reba kayu yang menyebabkan nilai wang anda lebur sia-sia. etapi untuk beringat, tidak salah membawa pelepas gewang sebagai persediaan.

 

Beberapa kali penulis ke sini bersama rakan-rakan, sebarau mahupun toman pasti tidak menghampakan. Malah teknik trolling pernah menewaskan beberapa ekor belida bersaiz 3kg. Adakalanya baung juga rajin menyambar gewang yang di casting.

 

Sekiranya ingin mencari sebarau, berhadapan muka sauk terowong air dan penghujung tasik, berhampiran boya kuning adalah port sebarau.

IKLAN

 

Manakala sang toman pula beraja di kawasan suak yang terdapatnya, pokok-pokok kiambang. Jika nasib anda baik dan bertemu dengan mama toman yang sedang membawa anaknya, alamatnya menjerit nyaring kekili anda.

 

Toman atau giant snakehead di sini sememangnya amat ganas. Anda boleh kehilangan gewang dalam sekelip mata jika tidak berhati-hati.

 

Ini kerana rentapan daripada sang pemangsa ini begitu hebat lebih-lebih lagi yang bersaiz besar sehingga mencapai sekitar 7kg. Yang pastinya, ia menjadi satu kepuasan jika berjaya mendaratkan spesies ini.

 

Pancing temoleh

Jangan tak tahu, di sini juga terdapat beberapa spesies rare yang dilepaskan oleh Jabatan Landskap dan Taman Putrajaya seperti temoleh, tengalan dan kelah. Cuma kelah yang pernah dilepaskan dahulu, sukar untuk ditemui.

IKLAN

 

Menurut Ketua Operasi Taman, kelah memang pernah dilepaskan oleh jabatannya, sewaktu ia mula beroperasi bertujuan menambah stok ikan di tasik ini. Namun tidak dapat dipastikan ianya dapat membiak dengan baik atau sebaliknya.

 

“Pendek kata, terpulang pada umpan yang digunakan si pemancing, kalau nak berjaya menangkapnya, perlu try and error banyak jenis umpan.

“Umpan untuk pancingan bottom yang biasa digunakan oleh pemancing di sini ialah dedak, cacing dan cengkerik,” katanya.

 

Untuk mereka yang mahukan privacy ketika memancing, anda boleh menyewa bot untuk ke pulau-pulau yang berada di tengah tasik. Pulau-pulau ini ini adalah port terbaik menjerat spesies seperti tengalan dan temoleh.

 

IKLAN

Pernah suatu ketika ada kaki pancing membawa pulang 2 ekor tenggalan dengan salah seekornya hampir 2 kg.

Selain menawarkan keseronokan memancing ala semulajadi, Taman Wetland juga sebenarnya lokasi ideal untuk membawa ahli keluarga untuk memancing sambil bersantai. Di sini, ribuan lampam boleh diduga menggunakan set pancing ringan.

 

Hulurkan sahaja pancing dari tebing atau dari atas pelantar wakaf. Pasti umpan yang dihulurkan akan bersambut. Lokasi ini juga sesuai sebagai medan mengasah mana-mana kaki pancing untuk mengajar anak mereka menjiwai hobi ini.

 

Terdapat banyak kemudahan fasiliti yang disediakan oleh pihak pengurusan Taman Wetland. Di sini tersedia sebuah kafe yang menyajikan hidangan yang lazat bagi pemancing untuk berehat setelah penat memancing.

 

Lain-lain kemudahan yang disediakan

Antara kemudahan lain yang disediakan termasuk surau, parkir kereta, tandas dan lain-lain.

Jika ingin barbeku, membakar ikan hasil tangkapan atau membawa ayam perap berempah yang ingin di bakar di sini, terdapat beberapa wakaf yang lengkap dengan pembakar elektrik.

 

Beli sahaja token dikaunter dan masukkan sahaja ia di dalam mesin disediakan dan boleh terus membakar. Bak kata orang memang cukup lengkaplah!

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI