Lubuk-lubuk berpotensi di perairan Selat Melaka dari utara hinggalah ke selatan tanah air saban hari diteroka khususnya oleh para pemancing bagi memburu spesies pancingan popular masa kini, jenahak. Perairan Sungai Besar yang terletak di Selangor tidak ketinggalan dalam senarai padang pancing pemburuan jenahak.
Perairan Sungai Besar sebenarnya bukanlah destinasi baru pancingan jenahak. Spesies bersisik emas ini sudah sekian lama dipancing dengan teknik konvensional dan bot-bot pancing yang beroperasi kebanyakannya bot kayu.
Tekong Zeff
Justeru apabila munculnya operator atau tekong jigging menggunakan bot laju, dalam masa singkat khidmat operator yang kecil bilangannya ini menjadi rebutan ramai penggemar sukan memancing jigging perlahan. Saya sendiri bersama beberapa orang rakan seangkatan terpaksa menunggu agak lama untuk mendapatkan khidmat tekong jigging Sungai Besar ini.
Ads
Berbanding perairan laluan kapal Port Dickson atau Pelabuhan Kelang, waktu terbaik untuk memburu jenahak di perairan Sungai Besar ketika arus lemah. Justeru itu kami terpaksa menunggu hampir tiga bulan untuk mendapatkan waktu tersebut sebagaimana yang disarankan oleh tekong.
Hasil diperoleh Azmie Mie
Lubuk atau spot jigging juga berbeza. Bukan lubuk berkarang tebal atau jurang dalam yang menjadi sasaran, sebaliknya dasar rata dengan sedikit lubang cetek pula yang menjadi taruhan. Lubuk-lubuknya hampir sama sebagaimana lubuk pencarian kerapu atau tong gas di perairan Pulau Jarak.
Ads
Di perairan ini juga jig-jig `tahyul’ saiz 200 gm pelbagai warna yang banyak mengorbankan nyawa jenahak di perairan lain seperti hilang taring. Sebaliknya jig yang lebih ringan daripada 120 gm hingga 60 gm dengan warna asas perak lebih berkesan. Seolah-olah jenahak malah spesies lain seperti kerapu berselera kecil.
Ads
‘Doc The Dr. Braid’ dah hasilnya
Ia berlawanan dengan kebiasaan yang mana jig dengan saiz yang lebih besar atau lebih berat akan menarik ikan yang lebih besar juga. Di perairan ini, jig bersaiz kecil lebih menarik minat ikan kecil mahupun besar.
Sama ada ikan-ikan di perairan Sungai Besar menyukai jig kecil atau faktor arus lemah mempengaruhi persembahan jig, melihatkan situasi yang lebih berpihak kepada tekong baharulah beberapa orang daripada kami mengambil kaedah yang dipraktikkan oleh tekong. Walaupun agak lewat namun ia ternyata membuahkan hasil sekali gus menyelamatkan kami dari kumpau.
Tenggiri tunggal yang berjaya menyelit
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Dua perkara utama yang menjadi nadi penting sebelum menyertai trip sport fishing ke boreng atau pelantar minyak. Pertama; mampu bersengkang mata berjaga sepanjang malam dan keduanya kekal bertenaga.
Sama ada sport fishing (jigging dan popping) atau pancingan konvensional (bottom fishing) di kawasan pelantar minyak, waktu utama aktiviti memancing adalah pada sebelah malam. Waktu siang adalah waktu untuk bot berpindah ke pelantar minyak atau lubuk berikutnya. Sekaligus ia menjadi waktu terbaik untuk berehat dan tidur bagi mengembalikan tenaga.
Bersama lapan pemancing, saya menyertai trip ke pelantar minyak di perairan Terengganu dengan matlamat memburu spesies game fish. Berbanding kebanyakan trip ke pelantar minyak yang mencari spesies bersisik bernilai tinggi di pasaran seperti merah, kerapu atau siakap merah dengan kaedah pancingan dasar.
Kami pula memburu spesies pelagik yang hampir tiada nilai di pasaran namun tak ternilai dari sudut pancingan rekreasi melalui teknik jigging dan popping. Namun untuk ke lubuk atau pelantar minyak yang didiami spesies game fish ini kami harus meredah lautan sekurang-kurangnya 15 jam dari jeti di Kuala Besut.
Senja pada hari kedua barulah kami tiba di pelantar Guntong A. Ia bukanlah pelantar pertama yang kami singgah sebaliknya merupakan pelantar pertama pemburuan gerepoh. Pemburuan dimulakan dengan memberi ruang kepada pemancing menggayakan teknik popping terlebih dahulu. Kemudian barulah para jigger menyusul.
Tidak sampai setengah jam popper dan jig dikarau dan diunjun, maka saat yang dinantikan pun menjelma. Seekor GT anggaran berat 10kg berjaya didaratkan oleh Bob melalui teknik jigging. Selepas seorang demi seorang mendaratkan GT dan cupak menerusi teknik jigging, joran dan kekili khusus untuk aksi popping pun direhatkan sementara.
Kami meninggalkan pelantar Guntong A dengan aksi berani tekong bot menyelam ke bawah lunas bot untuk melepaskan tali pancing yang tersangkut sekaligus membolehkan GT terberat trip ini dalam anggaran 35kg berjaya didaratkan.
Jarak antara pelantar Tiong dan gugusan pelantar Seligi yang tidak terlalu jauh memberi kami peluang untuk memancing pada waktu siang. Khususnya untuk mempraktikkan teknik pancingan slow pitch.
Biarpun sudah lewat petang dan tekong pula kurang berpengalaman teknik-teknik menghanyutkan bot bagi memudahkan kami mempraktikkan teknik slow pitch ini namun kurang lebih 20 ekor juga kami berjaya menaikkan pelbagai jenis kerapu dan ibu kerisi di lubuk garisan paip berhampiran gugusan pelantar Seligi.
Lubuk-lubuk berhampiran pelantar minyak yang pada siang hari seperti tiada berpenghuni pada siang hari, berubah wajah apabila malam menjelma. Terutamanya lubuk di bawah dan berdekatan dengan api boreng dihujani oleh GT dan cupak memburu makanan.
Lantaran set slow pitch saya belum pernah diuji hingga ke tahap maksima, saya pertaruhkan set tersebut untuk bertarung dengan GT. Doa saya seperti segera dimakbulkan apabila speed jig 100 gm yang digunakan mencapai sasaran. Namun tentangan yang diberikan oleh pemangsa 20 kali ganda lebih bertenaga berbanding baby GT 2kg yang saya daratkan di pelantar Tiong.
Drag 28lb kekili menegak yang saya gunakan seperti pincang tugas untuk mengekang seretan pemangsa. Setelah hampir satu jam bertarung secara berganti-ganti, akhirnya GT mencecah berat 20 kilogram berjaya juga didaratkan. Saiznya tidaklah terlalu besar namun disebabkan mata kail mengenai badannya, ia menjadi punca kenapa ia begitu bertenaga untuk dikalahkan.
Apabila GT dan cupak mula menyepi, kami bergerak ke pelantar Tinggi yang api borengnya dapat dililhat dengan jelas dari gugusan pelantar Seligi. Pelantar Tinggi sekadar persinggahan singkat ekoran sasaran utama adalah untuk pelantar Pulai yang terletak berhampiran perairan Indonesia.
Meskipun pelantar Pulai sudah kurang dikunjungi berikutan kurangnya kehadiran pemangsa setelah penutupan operasi carigali, namun kami tetap juga ke pelantar Pulai sekadar untuk mencoret catatan diari memancing bahawa kami pernah ke pelantar Pulai sebelum ia terus dilupakan.
Dari pelantar Pulai kami kembali pelantar Seligi. Ketika tiba di Seligi, jam sudah pun 3 pagi dan ramai di antara kami sudah tertidur kepenatan. Namun aksi GT boiling dalam kuantiti yang banyak membuatkan kami yang tertidur kembali bangkit untuk melontar popper dan mengunjung jig.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya apatah lagi tinggal beberapa jam saja sebelum menamatkan sesi pemburuan gerepoh boreng. Tepat jam 6 pagi trip buru gerepoh boreng ditamatkan secara rasmi dan bergerak pulang selama 15 jam sebelum singgah di pelantar Monrovia untuk memancing tenggiri dan meneruskan perjalanan selama 8 jam lagi untuk tiba ke jeti di Kuala Besut.
Walaupun tidak menjanjikan hasil yang mantap seperti memancing di perairan-perairan laut dalam, memancing di perairan sekitar Pulau Ketam dan kawasan Pelabuhan Klang, sebenarnya masih boleh memberi laba yang tidak kurang lumayannya.
Segalanya bergantung kepada faktor air, cuaca, umpan dan tekong yang bijak dan tahu di manakah lubuk yang terbaik melabuhkan umpan.
Apa yang penting, pancingan sekitar ini boleh dianggap sebagai port memancing santai bagi warga Lembah Klang yang sentiasa kesibukan masa pergi memancing ke laut. Tambahan pula lokasinya dekat (boleh pulang hari) dan kosnya juga berpatutan.
Bagi mereka yang ingin menduga port pancingan di sini, terdapat beberapa lubuk yang boleh dikunjungi.
Biasanya sekitar Pulau Ketam (sama ada sekitar sangkar ikan, bangkai kapal tenggelam), lubuk sekitar Stesen Janakuasa Hidro Kapar, Pulau Jemur, Angsa dan sebagainya
termasuklah lubuk yang agak jauh iaitu Pintu Gedung dan juga pancingan dari atas Rumah Api One Phantom Bank (Permatang Sedepa).
Bahkan terdapat banyak kordinat-kordinat rahsia yang disimpan oleh kaki-kaki pancing yang menjanjikan laba lumayan jika kena waktu, umpan sesuai. Pandai-pandailah ‘membodek’ mereka dengan turut serta memancing bersama.
Tekong IKS
Johari Khamis atau lebih dikenali Tekong Ikan Kembong Sambal (IKS), menghantar Whatsapp mengajak saya ‘menotok’ jenahak di Pintu Gedung (laluan kapal) kerana
kunjungannya bersama kaki pancing yang menempah botnya membuahkan hasil yang baik. Lantas, saya mengajak beberapa orang rakan, Pozi, Zul, Azmi, Fauzi dan Azri.
Walaupun persiapan dilakukan, tetapi kuasa alam sukar diramal. Sehari sebelum ke Pintu Gedung, berlaku ribut di Selat Melaka. Atas faktor keselamatan, trip menotok terpaksa ditunda dan ditukar lokasinya sekitar Pulau Ketam.
Kami turun pada awal waktu subuh dari Jeti Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, tempat IKS melabuhkan botnya.
Disebabkan, lokasinya bukan di Pintu Gedung yang memerlukan set pancingan kasar, peralatan yang digunakan hanyalah set sederhana sahaja.
Malah, satu set kecil dibawa, kerana di dalam fikiran, sambil menunggu ikan besar, bolehlah melayan ikan apa yang patut.
Beberapa lokasi telah kami singgah untuk melabuhkan umpan. Sementara menunggu hari cerah, kami menduga dahulu di muara sungai, iaitu berdekatan dengan tiang-tiang konkrit dermaga kapal.
Tanpa disangka, siakap bersaiz sekitar 2 kg berjaya dinaikkan Rozi dengan menggunakan umpan hidup. Beberapa lokasi diubah lagi dan hasilnya naik kerapu, gerut-gerut dan juga tanda. Boleh tahan juga port kat sini.
Berkunjung ke Tukun Che Minah.
Bila hari siang, bot kemudiannya di hala ke Tukun Che Minah. Tukun Che Minah ialah sebuah tukun kuboid (terdapat 3 kuboid di sini yang dibina sekitar awal tahun 2002 hingga
penghujung tahun 2008) yang dibina oleh Jabatan Perikanan yang terletak tidak jauh dari sangkar ikan Pulau Ketam.
Ia berfungsi sebagai sarang atau rumah ikan sekali gus berfungsi sebagai menambah baik tangkapan pada pemancing dan nelayan di sini.
Tiba di lokasi, seperti biasa ikan gelama mendominasi tangkapan jika menggunakan umpan udang pasar. Asyik-asyik dia je yang naik, sehinggakan tong ikan hampir penuh.
Seloroh IKS, “Kejap lagi adalah ikan besar naik, kerap-keraplah tengok umpan udang hidup tu, ada lagi ke tak,” katanya.
Rozi yang rajin melihat dan menukar umpan, akhirnya dihadiahkan satu tarikan kuat. Walaupun tidak lama bergasak, tetapi seronok jugalah melihatnya mengarau tali, kerana
set yang digunakan bersaiz 3000 dan joran 10-20lb. Akhirnya naik juga merah dalam skala 2 kilo lebih. Tersenyum lebar beliau.
Lewat tengah hari, arus agak laju, sekali gus membuatkan kami menuju ke Pulau Ketam untuk berehat. Tambahan pula, ada permintaan dari rakan yang tidak pernah menjejakkan
kaki ke pulau yang majoriti penduduknya kaum Cina yang mengusahakan bisnes sangkar ikan dan juga nelayan di sana.
Sekitar jam 3 petang, kami bergerak menuju ke anak-anak sungai di pulau berkenaan untuk menjala anak belanak dan juga udang hidup.
Selepas berpuas hati dengan umpan tambahan, kami bergerak menuju ke sangkar ikan, untuk menduga penghuni di bawah dan di tepi sangkar.
Tetapi, disebabkan akibat cuaca tidak elok di kawasan laluan kapal, olengan bot tidak begitu stabil dan lubuk sekitar kawasan bot karam cuba diduga.
Naik beberapa ekor ikan semilang dan tanda, ketuka. Tetapi, sambutan dari penghuni di bawah sana kurang rancak. Agak lama, baru menaikkan seekor demi seekor.
Lewat petang, sebelum pulang untuk menamatkan trip ini, kami singgah di Tukun Che Minah. Sambutannya juga agak kurang.
Ia disebabkan arus semakin laju sehingga batu nombor 10 terpaksa digunakan. Lewat petang trip ditamatkan sambil beberapa lagi tanda, semilang, anak kerapu dinaikkan semasa bekalan udang hidup semakin bersisa di kawasan tepi dermaga.
Walaupun, tidak berjaya menaikkan ikan target, iatu pari, trip ini bolehlah dianggap berhasil juga. Tambahan pula, cuaca menjadi penghalang di kala persiapan telah dilakukan.
Trip ini kami sifatkan, trip santai dan impian untuk menotok sang jenahak di Pintu Gedung akan dirancang tidak lama lagi.
Apa yang penting, bot gentian kaca IKS nyata selesa. Apa yang bestnya ia lengkap dengan rod holder, kotak umpan hidup, kotak letak barang, kemudahan alat GPS, penarik sauh elektronik, berbumbung, siap ada dapur gas untuk memasak ringkas dan yang paling pentingnya ia dilengkapi enjin berkuasa 200hp.
Waktu terbaik
Waktu memancing terbaik Tukun Che Minah & sekitar Pulau Ketam: Waktu ‘bunga pasang- bunga surut’ (air mula nak pasang dan turun- arus perlahan). Kerana waktu ini, arus tidak laju dan boleh gunakan batu bersaiz 6, 7, 8.
Kampung Beng adalah sebuah perkampungan tradisional berkedudukan di pinggir Empangan Chenderoh, di pinggir Hutan Simpan Piah dan pergunungan Piah serta di
pertengahan Banjaran Titiwangsa. Maka ia bukan sesuatu yang lucu warga Kampung Beng menterjemahkan Beng sebagai sejuk.
Keunikan Kampung Beng Panorama dan keunikan Kampung Beng telah menarik minat penggiat industri perfileman untuk melakukan penggambaran filem, dokumentari mahupun iklan.
Selain popular dengan perkhidmatan inap desa atau homestay, perusahaan ikan pekasam juga gah di Kampung Beng.
Tasik Beng yang terbentuk dari limpahan air Empangan Chenderoh yang mengalir dari Sungai Perak dan bercantum dengan Tasik Raban melalui Sungai Perak ini mula menarik kaki-kaki pancing khususnya kaki mengilat.
Dengan melabel pakej memancing di Tasik Beng sebagai Mini Amazon Malaysia, usaha penjenamaan Roslan Abd Rahman (Abang Lan) itu ternyata menjadi satu fenomena.
Kaki-kaki mengilat, khususnya peacock bass atau ikan raja menurut panggilan di Perak mula menjadikan Kampung Beng sebagai padang pancing yang wajib dicuba.
Termasuklah saya sendiri yang terpesona melihat panorama suak-suak di Tasik Beng yang ala-ala Amazon.
Agak lama juga saya memantau perkembangan potensi sukan memancing di Mini Amazon Kampung Beng ini.
Khususnya di Facebook namun perancangan bersama rakan untuk ke sana selalu saja tergendala. Akhirnya, tanpa perancangan saya dan Anhar buat trip balik hari ke Kampung Beng!
Jam 3 pagi saya dan Anhar bergerak dari Shah Alam ke Kampung Beng. Penanda ke Kampung Beng tidaklah sesukar mana.
Melalui Jalan Baling-Kuala Kangsar sebelum tiba di Lenggong, ambil simpang menghala ke Galeri Arkeologi dan seterusnya ikut papan tanda arah ke Kampung Beng sehingga habis jalan.
Di penghujung jalan mati, sudah sedia menanti untuk membawa kami ke kediamannya di pinggir Tasik Beng yang juga merupakan pusat operasi fishing charter services yang beliau usahakan.
Selain hidangan nasi lemak sebagai sarapan pagi, yang turut sedia menanti ialah 8 orang caster dari Gombak yang mengambil pakej memancing selama 2 hari.
Usai bersarapan, saya dan Anhar agak bertuah kerana mendapat khidmat Abang Lan sendiri selaku guide meneroka suak-suak di Mini Amazon Malaysia.
Suak-suak limpahan air Sungai Perak rata-ratanya keruh ekoran hujan lebat yang turun kelmarin hari.
Faktor kekeruhan air itu merungsingkan sedikit Abang Lan namun kami yang sudah biasa dengan title kumpau ini tenang-tenang saja.
Cuma berharap bangau yang memayungi kami di Tasik Temenggor dahulu tidak terbang mengekori kami ke Tasik Beng.
Tambah pula kali ini kami bergandingan dengan satu misi; untuk menguji sesudu atau So’do aneka warna Tokwan yang dalam proses ujikaji atau prototype.
Suak Terpa yang juga kawasan takungan air dari limpahan Sungai Perak merupakan suak kedua yang kami susuri dengan bot fiber 12 kaki dengan enjin 15cc.
Di suak ini saya menggunakan so’do 7gram warna putih pula setelah menggunakan warna oren di Suak Cuas.
Setelah dibaling dan dibiarkan tenggelam dalam kiraan 5 dan dikarau laju, satu sambaran dirasakan namun rabut.
Balingan ke kawasan bangkar yang sama untuk kesekian kalinya ada satu lagi sambaran tapi kali ini solid hook-up dan seekor spesis sasaran berjaya didaratkan.
Tidak lama kemudian giliran Anhar pula memperolehi lesen Mini Amazon Kampung Beng.
Setelah beberapa ekor peacock bass berjaya didaratkan di Suak Terpa hasil penggunaan so’do warna putih dan gold plated, Abang Lan membawa kami ke suak-suak lain pula. Namun suak-suak berikut agak kurang berpotensi ekoran air yang lebih keruh.
Menjelang tengahari, sebagaimana yang tertera dalam pakej memancing, pulang ke pengkalan untuk makan tengahari hidangan ala kampung. Tentu saja ikan pekasam buatan Abang Lan sendiri menjadi menu wajib.
Suak Terpa Tepat jam 2.30 petang, sesi memancing disambung kembali. Jika sesi pagi kami mewajibkan penggunaan So’do Tokwan (termasuk Abang Lan dengan sukarela
menggunakannya), sesi petang lebih kepada acara bebas. Bukan saja penggunaan gewang, spesis sasaran juga bebas.
Sebarau dan toman yang berkongsi lubuk sama dengan peacock bass akan turut diburu juga. Suak-suak dan lubuk-lubuk yang sebelum ini tidak pernah mengecewakan Abang Lan diperkenalkan kepada kami.
Namun aksi-aksi boiling langsung tidak kelihatan. Kelibat toman turut sama seperti berwaspada untuk meneguk udara.
Menjelang petang kami request ke Suak Terpa lagi. Hati kembali berbunga apabila menyusuri pintu masuk suak yang sempit kelihatan ada kelibat pemangsa mengerjakan anak-anak ikan.
Namun kegembiraan tidak kekal lama, sejurus memasuki suak kelihatan sudah ada nelayan sungai sedang merentang jaring panjang hingga ke hujung suak.
Spot-spot yang membuahkan hasil pagi tadi juga sudah tidak boleh diakses ekoran sudah direntangi jaring.
Kami memasuki lebih jauh ke dalam suak, pun ada juga nelayan sungai sedang bersantai menanti waktu jaringnya dilanggar ikan untuk dijadikan pekasam.
Sebelum beredar keluar dari Suak Terpa, sempat jugalah kami mencuba mama toman membawa anak.
Nasib ternyata menyebelahi mama toman namun nasib anak-anaknya yang masih merah itu belum dapat dipastikan kerana ada nelayan yang memburu anak toman untuk dijadikan umpan taut sedia menanti dengan kelengkapannya.
Sebelum senja kami kembali ke pengkalan sekaligus mengakhiri trip mengejut ke Kampung Beng.
Meskipun hasil agak kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan faktor cuaca, ia sudah cukup melegakan kami kerana tidak kumpau pada kunjungan sulung.
Sekurang-kurangnya ada beberapa perkara yang dapat kami akui keistimewaannya dalam trip ini; pakej memancing yang ditawarkan oleh Abang Lan, potensi Mini Amazon Kampung Beng sebagai destinasi padang pancing yang harus dicuba dan keampuhan So’do Tokwan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...