Mempunyai khasiat yang tinggi dalam dunia perubatan, sekilogram limpa ikan terusan jantan atau ‘lupa ikan’ (bahasa Sarawak) ditawarkan harga menyamai harga sebuah kereta Proton Persona baharu.
Dengan nilai RM60,000.00 sekilogram, bunyinya seakan tidak masuk akal tapi itulah hakikatnya apabila pembeli bahan tersebut tampil membuka tawaran sehebat itu di sekitar kawasan di daerah ini kini.
Tawaran ‘harga gila’ itu dinyatakan sendiri oleh pemborong makanan eksotik itu kepada Sarawak Voice (SV).
Menurut pembeli bahan berkenaan, tawaran harga yang sedemikian hebat adalah kerana limpa tersebut sangat berguna lantaran khasiatnya yang amat tinggi sebagai bahan campuran utama dalam dunia perubatan alternatif.
Limpa berkenaan kata pemborong berkenaan dijadikan bahan campuran di dalam hidangan sup bagi tujuan penguat pinggang, awet muda dan penguat tenaga batin.
Ads
Lantaran khasiatnya yang telah diperaku dan terbukti kepada pengamalnya, tidak hairan pengamal perubatan tradisional menawarkan harga setinggi itu untuk bahan tersebut.
Menurut pembeli berkenaan, selain limpa ikan jantan, limpa ikan terusan betina juga berguna. Namun harganya hanya sekitar RM5,000.00 sekilogram, tidak sehebat harga limpa ikan jantan.
Ads
Manakala bagi limpa ikan panjang ia dibeli dengan harga RM1,200.00 sekilogram.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Anji, 44, memberitahu dia baru-baru ini memperoleh seekor ikan terusan jantan dan telah menjual limpa yang telah dikeringkan.
“Saya dapat seekor ikan terusan jantan dan limpa ikan tersebut saya keringkan dalam tempoh dua hari. Setelah kering telah dan ditimbang beratnya hanya sekitar 50 gram lebih. Apabila dijual saya dibayar RM2,700.00.
Ads
“Harga yang ditawarkan berbeza mengikut keadaan limpa dan keadaan limpa yang dikeringkan. Semakin elok keadaannya maka semakin tinggi harga yang diberikan,” ujarnya.
Begitupun katanya, bukanlah mudah untuk memperoleh ikan terusan jantan. Biasanya nelayan dan kaki pancing memperoleh ikan terusan betina sahaja.
Justeru tidak hairanlah jika ada kaki pancing sanggup mengorbankan banyak masa semata-mata untuk memperoleh ikan terusan jantan.
Selain sebagai pengisi hobi, isi ikan boleh dijadikan hidangan manakala limpanya boleh dijual membawa pulangan lumayan.
(Sumber – Sarawak Voice)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Bagi mereka yang tidak pernah cuba teknik pancing menggunakan set UL pastinya ada 1001 persoalan yang ingin diketahui teknik yang dipercayai sudah lebih 5 tahun diaplikasi secara meluas di negara kita. Kali ini kita ulas dulu metode ultralight fishing.
Secara teknikalnya, UL tackle merujuk kepada penggunaan set joran, kekili serta peralatan memancing yang terlampau ringan. Kebiasaannya UL tackle dipadankan dengan joran berukuran 4’0” hinggalah melebihi 10’0”, kekili siri 1000 ke bawah dan tali utama 2-6lb.
Bahkan ramai juga yang menggunakan tali utama 1lb sahaja. Melihat kepada set ini sahaja sudah boleh membuatkan kita membayangkan bagaimanakah debarannya untuk bertarung dengan ikan padu kekuatan dan lariannya.
Mengikut kepada pengalaman mereka yang menggemari pancingan menggunakan set UL ini pasti mereka mempunyai sebab tersendiri meminati pancingan jenis ini. Rata-riti peminat UL menyifatkan bahawa ia bukan sekadar pancingan biasa bahkan ia berada pada satu tahap yang lebih tinggi. Ini kerana pancingan UL memerlukan pengetahuan, kemahiran, ketelitian serta kesabaran yang amat tinggi.
Bahkan, ia melibatkan semua aspek termasuklah dari segi pemilihan joran, kekili, tali utama, teknik ikatan dan macam-macam lagi yang akan dititikberatkan oleh seseorang pemancing UL yang berjaya.
Ramai yang mempunyai anggapan bahawa penggunaan set UL ini hanya memancing ikan-ikan bersaiz kecil. Tetapi tanggapan itu sebenarnya silap. Saiz ikan bukanlah faktor utama penggunaan set UL ini. Tetapi ia lebih kepada kreativiti dan kemahiran seseorang pemancing itu untuk mendaratkan hasil tangkapan yang kadang-kadang boleh dikatakan mencapai saiz yang luar biasa dengan hanya menggunakan set yang terlampau ringan ini.
Memancing dengan menggunakan set ultralight atau ringkasnya UL. Apa tu? Seronok sangat ke? Kat mana seronoknya? Jika anda tergolong antara mereka yang mempersoalkan perkara-perkara ini, terbuktilah tahap versatiliti anda di dalam dunia pancingan ini masih belum di tahap maksimum lagi.
Ini hanyalah sebahagian keseronokan yang penulis dapat kongsikan. Selebihnya, apa kata kita pemancing lain.
“Sukar hendak diungkapkan dengan perkataan! Itulah antara perasaan yang sering dialami oleh pemancing menggunakan UL ini ketika berjaya mendaratkan hasil pancingannya. Selalunya hasil yang didaratkan itu bukanlah menjadi ukuran pemancing yang menggunakan UL tackle ini, tetapi apa yang lebih penting dari itu ialah tentang cabaran. Keberanian pemancing menerima cabaran semasa bertarung dengan adil untuk mendaratkan hasil pancingan itulah yang dianggap sebagai satu kepuasan sebenar.”
AHMAD ASWADI
“UL ni best untuk kaki pancing yang melayan tarikan ikan. Dia kalau lagi besar ikan tu lagi best nak layan dan itu yang akan memberi kita kepuasan. Macam sebelum ini saya menggunakan mainline 15lb bila tarik ikan takde kepuasan sangat. Bila tukar guna UL ni baru tahu perasaan bila strike dan dari situ kita kena banyak bermain dengan teknik dan strategi untuk menaikkan ikan dengan set UL ini.”
MUHAMMAD FAIZUL
“Bagi saya, UL adalah seni untuk mencabar diri bagi mendapatkan extreme experience for maximum satisfaction. UL adalah lebih kepada melayan ikan bukan menggunakan teknik force yang kebanyakan digunakan oleh klasifikasi pancingan lain. Kat sinilah seronoknya.”
KANICEN NIX
“Bagi saya yang paling best guna UL ni adalah adrenalin bila gewang atau umpan diragut ikan. Ketika itulah kita kena berjaga-jaga sebab UL ni guna tali yang poundagenya kecil seperti contoh 6lb ke bawah, rod UL 2-6lb ke bawah dan reel saiz 1000 ke bawah. UL ni jugak jadi antara pancingan yang terbaik sebab ia tak menyakitkan ikan kerana kita perlu melayan ikan sehinga penat. Tapi ia memerlukan skil-skil tertentu. Saya sendiri pun masih belum mahir dalam UL ini. Masih banyak yang perlu dipelajari.”
AMIRUL HAFIS
“Bagi saya, UL ni bagi kita lebih thrill. Walaupun yang sangkut kat mata kail tu tak la besar mana tapi dia punya kepuasan melayan tu memang ditahap maksimum dan sukar untuk digambarkan.”
Drag memainkan peranan penting sewaktu pertarungan dengan ikan. Sentiasalah memeriksa drag anda agar tidak terlalu longgar, mahupun terlalu ketat kerana ini boleh memberi peluang kepada ikan meloloskan diri.
Tidak kiralah sama ada anda mengguna braided atau mono. Pemeriksaan tali memang sangat penting. Banyak berlaku kes-kes rabut akibat daripada tali yang sudah lama atau reput. Seelok-eloknya tukar tali anda dengan agak kerap mengikut kesesuaian.
Faktor umpan tak mencukupi memang selalu berlaku ketika keluar memancing. Bayangkan, tengah syok layan ikan, tiba-tiba umpan tak cukup, mesti potong stim kan? Jadi, sentiasalah bawa umpan yang mencukupi. Berlebihan sikit pun tak apa, asalkan anda takkan putus umpan.
Kes joran terbang ke laut atau sungai, tali habis dan macam-macam lagi memang selalu terjadi bila tiada pengawasan daripada anda. Jadi, kalau nak jadi pemancing berjaya, sentiasalah mengawasi rod anda, bagi mengelakkan rod anda lebur menjadi tukun di dasar laut, sungai ataupun tasik.
Ini juga penting kerana, kebiasaannya ikan akan gemar melakukan kejutan di saat-saat akhir. Bayangkan kalau tukang tangguk atau gancu anda terkial-kial hendak menaikkan ikan dan ikan memecut di saat akhir. Pastinya ia akan membawa kegagalan buat anda.
Untuk menjadi pemancing berjaya adalah penting untuk anda sentiasa merancang trip memancing anda mengikut kesesuaian musim. Ambil tahu keadaan tempat memancing, jenis ikan dan teknik terbaik sebelum anda keluar memancing.
Lubuk yang terbaik memang sering menjadi perhatian kaki pancing yang lain. Jadi untuk mengelakkan bersesak-sesak memancing di satu lubuk, adalah baik untuk kita mempunyai ‘back-up plan’ lubuk memancing kita sendiri bila situasi seperti ini terjadi.
Rod, reel, mata kail dan sebagainya harus sentiasa diambil berat kondisinya. Pastikan set pancing anda disimpan di tempat yang selamat lepas digunakan. Ini bagi mengelakkan ia rosak di kemudian hari.
Ini adalah penting untuk keselamatan anda. Jika keadaan benar-benar tidak mengizinkan adalah lebih baik untuk anda membatalkan hasrat keluar memancing. Jangan sekali-sekali cuba untuk menggadai nyawa anda keluar memancing sewaktu cuaca tidak mengizinkan.
Kita tidak akan pernah tahu teknik apa yang akan menjadi pilihan ikan pada hari kita memancing. Jadi, adalah wajib bagi setiap kaki pancing cuba mempelbagaikan teknik yang anda tahu untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
Dalam seminggu sekurang-kurangnya sekali saya dan kawan-kawan lepak kat kedai kopi Pak Abu. Kami lepak di kedai Pak Abu berdekatan simpang kampung. Di sini kami akan berkongsi cerita. Dan menjadi kebiasaan, topik utama yang kami kongsi pastinya tentang ikan dan lubuk-lubuk ikan.
Rata-rata di antara kami semua adalah kaki pancing tegar. Di mana ada lubuk, di situlah kami akan terokai. Pada satu malam minggu, sedang kami asyik berborak tentang lubuk-lubuk yang telah kami teroka, datang seorang pak cik dalam lingkungan umur 50-an menyapa kami.
“Kamu semua ni dah teroka semua lubuk ikan kat Malaysia ni ke?,” Sapa pak cik tersebut sambil tersenyum.
Saya pun menyapa balik pak cik itu, “Takdelah pak cik, kita orang teroka lubuk yang pernah orang pergi sahaja, itu pun kalau ada orang yang cerita tentang lubuk tersebut.” Pakcik itu pun tersenyum sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah saya. Selepas itu, kami berborak panjang dengan pakcik itu. Di memperkenalkan namanya Pak Wahab.
Mulai saat itu, Pak Wahab mula menceritakan pengalaman-pengalaman tentang ikan dan lubuk-lubuk yang pernah diterokai. Kami semakin teruja untuk mendengarnya. Pada masa itulah, Pak Wahab menawarkan kepada kami satu lubuk yang jarang-jarang dikunjungi orang.
Cerita Pak Wahab lagi, di situ terdapat pelbagai jenis ikan dan berat ikan tidak kurang dari 1 kg. Dia pernah menaikkan seekor ikan sebarau seberat 3kg di situ dan pelbagai jenis lagi ikan yang puratanya 2-5 kg.
Dan lubuk itu dinamakan lubuk Batu Dalam. Asal usul nama lubuk itu tidak pula diceritakan kepada kami. Ia terletak di hulu Sungai Dungun. Lokasinya tidaklah jauh dari kampung kami. Kami semakin teruja dan berhasrat untuk mengunjungi lubuk tersebut.
Keesokan harinya, Fizul, Siran dan Firus datang ke rumah. Mereka mengajak saya untuk ke lubuk rusa itu. Selepas berbincang, kami sepakat untuk ke sana selepas Zuhur dengan menggunakan 2 buah motosikal.
Kami menuju ke lubuk rusa berpandukan arah yang diberitahu oleh Pak Wahab malam tadi. Walaupun salah seorang daripada kami tidak pernah sampai ke situ, jalan yang diberitahu oleh Pak Wahab tidaklah susah sangat. Jalannya pun tidak lah teruk dan bahaya kerana ia melalui jalan ladang kelapa sawit sahaja.
Selepas 2 jam perjalanan, akhirnya kami selamat tiba di lokasi yang dihajatkan. Masing-masing tersenyum lebar kerana lubuk yang kami dengar dari mulut Pak Wahab sudah berada di depan mata. Air sungai jernih menghijau.
Pokok-pokok rendang tunduk mencecah permukaan air. Di situ terlihat juga anak sungai kecil yang menuruni lereng bukit dan batu besar sebelum memasuki sungai di hadapan kami. Lubuk sebeginilah yang menjadi kegilaan kaki casting.
Belum sempat saya membetulkan joran dan memasang umpan, satu kelibat ikan sebarau menyambar anak ikan sudah kelihatan. Saiznya agak kasar, mungkin 2kg ke atas. Apa lagi, masing-masing menguji kepakaran masing-masing.
Beberapa minit selepas itu, kami mengambil keputusan untuk berpecah. Saya dan Fizul ke kawasan berbatu. Manakala Firus dan Siran menuju ke kawasan berpasir.
Jam menunjukkan pukul 6 petang. Walaupun nampak kelibat ikan sebarau mengejar anak ikan, tetapi seekor ikan pun belum kami perolehi. Tiba-tiba langit yang cerah bertukar menjadi hitam. Angin bertiup kencang sehingga ada pokok tumbang berhampiran kami.
Saya berasa risau dan mengajak Fizul, Siran dan Firus segera pulang. Kami bergegas menuju ke arah motosikal. Belum sempat kami menghidupkan motosikal, tiba-tiba Siran menyebut kalimah Allah dengan kuat sambil menuding jari ke atas.
Alangkah terkejutnya saya, apabila mendongak ke langit. Kelihatan satu lembaga hitam yang sangat besar berada di hadapan kami. Matanya yang besar, kelihatan merah menyala.
Rambutnya pula panjang menegak hingga mencecah pucuk pokok yang tinggi. Tiada tangan dan kaki, hanya bertubuh besar, tinggi dan berwarna hitam. Makhluk tersebut tidak berkelip sambil menganga menampakkan taring.
Kami terdiam sambil memandang sesama sendiri. Tubuh saya waktu itu menggigil dan terasa sejuk seperti berada di dalam peti ais. Mujurlah rakan saya, Firus adalah anak kepada seorang ustaz.
Dia melaungkan azan sambil membawa ayat Kursi dengan kuat. Serta-merta lembaga hitam berkenaan hilang dan cuaca berubah cerah. Firus menyeru kami beristighfar dan beredar dari kawasan itu dengan segera.
Mujurlah kami tidak diapa-apakan oleh lembaga hitam berkenaan. Kami selamat sampai ke kampung lewat maghrib. Sepanjang perjalanan, kami tidak bergurau seperti biasa kerana masih terkejut dengan kejadian tadi.
Malam keesokan harinya, kami duduk bersembang di kedai Pak Abu. Cuma Siran tidak dapat join kerana demam dan masih terkejut. Waktu itu Pak Wahab datang menghampiri kami. Dia bertanyakan tentang lubuk yang kami pergi dan kami menceritakan apa yang telah kaki lalui kepadanya.
Kami hanya memandang sesama sendiri dan saya berkata kepadanya “kenapa tempat tu keras sangat Pak Wahab?” Pak Wahab tersenyum dan memberitahu lubuk rusa itu memang keras dan berpenunggu. Dia terlupa memberitahu kepada kami perkara sebenar dan pantang larang tempat tersebut.
Di situ sebenarnya ada pantang larang. Tidak tahulah ia perkara benar atau tidak. Sesungguhnya peristiwa berkenaan akan saya ingat sampai bila-bila.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...