Ia seperti menepati hebahan pertandingan memancing di Tasik Ujana, Nilai Impian yang tersiar pada minggu lalu, ikan likuh emas yang menjadi hiasan dalam hebahan tersebut, berjaya dipancing sekali gus menobatkan pemancingnya muncul sebagai juara dalam pertandingan memancing Cabaran Hari Malaysia, Ahad lalu.
Begitulah jika ia sudah menjadi rezeki kepada Danial Haikal Mohd Naim apabila berjaya mendaratkan seekor ikan likuh emas seberat 5.550 kg pada jam 11.25 pagi. Dengan kejayaan itu Danial Haikal merangkul wang tunai sebanyak RM 41,000 termasuk hadiah spesies terberat sebanyak RM 500.
Ads
Sementara pemenang di tempat kedua turut berjaya mendaratkan spesies likuh emas seberat 4.680 kg. Abdul Razak berjaya mendaratkan ikan tersebut pada jam 11.04 pagi yang mana kedudukannya di podium teratas sekadar bertahan selama 21 minit sahaja. Dengan kejayaan tersebut beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM 9,500.
Manakala peserta yang mendaftarkan nama sebagai Panglima pula berjaya mendaratkan seekor ikan spesies rohu seberat 3.225 kg pada jam 12.17 tengah hari. Dengan kemenangan tersebut, beliau membawa pulang wang tunai RM4,500 dan tambahan RM500 sebagai bonus tangkapan spesies terberat (rohu).
Ads
Dalam pertandingan anjuran Wakjali Event Management ini sebanyak 524 ekor ikan pelbagai spesies dibawa ke meja hakim untuk ditimbang. Sementara hadiah kepada pemenang pula disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Sime Darby Nilai Impian, Rizal Affendy Ab Latif.
Ads
Carta top 10
DANIAL HAIKAL – likuh emas 5.550 kg (RM41,000)
ABDUL RAZAK – likuh emas 4.680 kg (RM9,500)
PANGLIMA – rohu 3.225 kg (RM5,000)
MOHD SABRI GP – rohu 2.730 kg (RM1,500)
JAHLI – rohu 2.710 kg (RM500)
MARZUKI – rohu 2.620 kg (RM500)
MARZUKI – rohu 2.520 kg (RM500)
SIAMAN – rohu 2.395 kg (RM500)
SIRAN SIN – haruan 2.115 kg (RM1,000)
ROSELINA – rohu 1.975 kg (RM500)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Hampir 4 tahun aku tinggal di bandar Jengka. Inilah kali pertama aku pergi memancing ikan bersama kawan-kawan.
Pada mulanya aku memang tak mau join dia orang, bukan apa, aku memang tidak minat aktiviti yang sangat membosankan. Lagipun, memancing perlukan kesabaran.
Tetapi aku akui, bukanlah seperti mereka. Tetapi selepas dipujuk aku termakan juga dengan dengan pujuk rayu mereka.
Kami bertolak ke Sungai Tepus dan saya melengkap diri dengan berpakaian baju hujan dan tidak lupa membawa bekal makanan. Cuaca agak mendung, maklumlah ketika ini musim hujan dan adakalanya ia turun tidak menentu.
Bukan apa, sebagai pemancing haruslah mengutamakan keselamatan. Kami terpaksa melalui sebuah lading kelapa sawit dan jalannya memang cukup becak dan licin.
Kami tiba di tebing sungai dan airnya memang keruh, macam teh tarik. Set peralatan ringan milik Udin saya gunakan, kerana memang saya tidak berapa tahu pasal peralatan pancing.
Tapi mujurlah mereka banyak membantu terutama membuat perambut, mengikat mata kail dan bermacam-macam lagi. Pendek kata semua barang pancing, milik Udin.
Dengan berumpankan cacing, Udin dan Bang Mat silih berganti menaikkan beberapa ekor baung kecil.
Tiba-tiba hujung pancing melentur dan Udin yang berada di sebelah saya menyuruh saya segera menggulung tadi, kerana katanya umpan pancing saya sudah dimakan ikan.
Alangkah terkejutnya saya kerana, menaikkan makhluk seperti ular.
Tetapi Udin terus menggelakkan saya sambil mengatakan adalah itu adalah sejenis ikan, iaitu tilan bukannya ular.
Nasib baik kata saya di dalam hati. Tiba-tiba Bang Mat mengeluarkan sesuatu dari dalam botol dan saya terkejut apakah benda tersebut. Katanya inilah umpan tapa, umpan yang diperbuat daripada jeruk ikan yang baunya cukup busuk.
Saya tidak sanggup untuk memegangnya, tetapi bila mana Bang Din mula menaikkan baung seekor demi seekor, saya teruja untuk menggunakannya.
Tetapi sebelum itu saya menggunakan plastik yang dibalut di tangan sebelum saya berani memegangnya. Merah padam juga saya kerana puas digelakkan oleh Bang Mat dan Udin. Kata mereka, kalau nak jadi pemancing haruslah berani.
Kami memancing sehingga hari malam. Tetapi pada malam itu, hujan mula turun dan kami mengambil keputusan untuk segera pulang.
Ini kerana kami cukup bimbang jikalau kawasan tempat kami memancing tersebut dinaiki air. Pengalaman kali pertama memang sangat seronok, tetapi saya akui, perlu banyak bersabar menunggu ikan memakan umpan.
Mencari lokasi dan lubuk yang boleh Menghasilkan tangkapan yang baik di kawasan Lembah Klang ini sangatlah mencabar apatah lagi segala pelosok kawasan yang mempunyai perairan telah pun diterjah kaki pancing.
Saya telah diberitahu oleh rakan mengenai terdapat sebuah lombong tinggal yang berpotensi dan dihuni spesies ikan yang bersifat game fish peringkat air tawar.
Memandangkan lokasinya tidak jauh, kurang dari 30 km dari tempat tinggal kami, maka kami memulakan perjalanan.
Rakan saya, Kamaruzaman yang ketika Itu menggunakan gewang pensil melontar ke arah kawanan spesies yang dipercayai toman dan dengan satu lontaran sahaja gewangnya disentap mangsa.
Toman yang masih dianggap masih ‘budak sekolah’ berjaya didaratkan. Beratnya selepas ditimbang hanya 300gram dan selamat dilepaskan semula ke habitat asal.
Di sebabkan kawasan lombong ini Luas dan tidak mempunyai halangan, Asseri mempraktikkan teknik trolling dan membuat beberapa pusingan di sekeliling lombong.
Satu desitan tali terhambur keluar dari rod yang di pacak di bahagian belakang bot. Gewang selaman dalam keluaran hinomiya berwarna hijau telah mengena. Melentur lentur joran akibat Diasak dengan cukup kuat.
Hampir 10 minit bertarung akhirnya Belida bersaiz hampir 3 kilogram berjaya ditangkap. Mata tiga gewang kemas tertancap di mulut mangsa.
Asseri sekali lagi membuat pusingan untuk trolling dan tanpa disangka sekali lagi seekor belida yang sama saiznya dan dipercayai pasangan belida ini berjaya kami peroleh.
Walaupun lokasi ini terdapat banyak lagi kawanan toman dan belida, khabarnya Ia telah dimasukkan dalam perancangan pihak berkuasa untuk dibangunkan pada masa hadapan.
Cuma masa yang akan Menentukan sampai bilakah ia mampu bertahan dan jika benar, habislah satu lagi port memancing yang best di kawasan Rawang ini.
Sungai Pahang merupakan nadi negeri Pahang Darul Makmur. Ini dapat dibuktikan apabila negeri Pahang itu sendiri terletak di lembangan Sungai Pahang. Sejarah Sungai Pahang itu pula sememangnya unik kerana ia mempunyai kuala (Kuala Pahang) tetapi tidak memiliki hulu. Sungai yang terbentuk dari pertembungan Sungai Tembeling dan Sungai Jelai ini merupakan sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia.
Sungai sepanjang 459 kilometer ini bermula dari pergunungan Banjaran Titiwangsa dan berakhir di Kuala Tahan. Dan banyak lagi cabang sungai yang mengalir masuk ke Sungai Pahang. Sungai yang mengalir secara terus dari hulu ke hilir tanpa kewujudan sistem empangan seperti mana di negeri Perak contohnya, membolehkan spesies ikan asal dan spesies tambahan terus berkembang biak dengan baik.
Malah dari sungai inilah munculnya raja segala ikan air tawar iaitu ikan patin muncung. Ikan-ikan gred tinggi dan berharga seperti temalian (temoleh), jelawat, tapah, patin buah, baung kenerak, kerai, serta tenggalan masih boleh ditemui di Sungai Pahang. Begitu juga dengan ikan yang tidak dapat ditemui di sungai-sungai lain di Malaysia melainkan Sungai Pahang iaitu begahak.
Begahak bukanlah seperti kebanyakan ikan buruan lain yang boleh dipancing sepanjang tahun. Justeru untuk menanti kemunculan spesies unik dan ‘rare’ ini saja sudah merupakan satu cabaran. Lazimnya kehadiran begahak adalah selepas musim tengkujuh melanda negeri Pantai Timur atau ketika air Sungai Pahang mula surut dan sedikit jernih sekitar bulan Februari atau Mac.
Atau waktu yang sama ketika musim udang galah. Kehadiran begahak itu dihubungkaitkan pula dengan kemunculan ikan mungkus (anak-inak ikan seluang dan pelbagai jenis lain) dengan jumlah yang banyak. Bila munculnya ikan mungkus ini, maka dapatlah dilihat kelibat ikan-ikan begahak ini menggasak ikan mungkus.
Namun untuk menetapkan waktu sebenar kemunculan begahak ini adalah sesuatu yang subjektif. Apatah lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan musim tengkujuh itu sendiri tidak dapat dipastikan bila kemunculannya. Bagaimana sekiranya musim tengkujuh tidak muncul atau ikan mungkus juga tidak muncul-muncul.
Apakah ikan begahak juga tidak akan muncul sebagaimana tahun-tahun sebelumnya? Dan itulah yang telah berlaku pada awal tahun yang lalu. Tanpa kehadiran musim tengkujuh yang benar-benar tengkujuh, dan tanpa kemunculan ikan mungkus, gerombolan begahak tiba-tiba saja muncul dan mengganas di Sungai Pahang terutamanya di Paloh Hinai, Pekan, Pahang.
Secara peribadi saya sendiri sudah saban tahun berhasrat untuk mengutip pengalaman memancing begahak. Soal dapat atau itu soal kedua, setidak-tidaknya dapat cuba bercerita pernah memancing begahak. Dan saban tahun jugaklah hasrat itu terpaksa ditunda berikutan sering dikecewakan dengan sifat begahak seperti biskut tersebut.
Menerusi seorang rakan pemancing yang berkampung halaman berhampiran Sungai Pahang, saya bersama beberapa orang rakan lain segera turun apabila mendapat info kemunculan begahak. Untuk mendapat lesen begahak sebenarnya bukan mudah tapi bila sudah terkena seekor, untuk yang berikutnya tidak lagi payah.
Cara paling berkesan untuk mengesan lubuk yang didiami begahak adalah dengan cara teknik menunda gewang atau trolling. Kadar kelajuan trolling perlu dikawal kerana tabiat begahak yang lebih gemar menunggu dan menyerang hendap.
Sementara gewang selaman dalam pula adalah lebih efektif berbanding gewang selaman cetek. Namun di Sungai Pahang yang mana aktiviti memukat oleh nelayan-nelayan sungai amat aktif, potensi gewang tersangkut pada jaring lama di dasar sungai adalah lebih tinggi berbanding gewang tersangkut pada begahak itu sendiri.
Dalam masa yang sama ketika menunda, mata perlu tajam untuk melihat sebarang aktiviti ikan menyambar di lubuk-lubuk tepi tebing. Besar kemungkinan ia adalah aksi begahak sedang menggasak anak ikan. Justeru lubuk tersebut wajib dilontarkan gewang.
Seharian casting dan menunda dari cabang Sungai Kuala Lepar sehingga ke Kuala Mentiga, apa yang diburu mengena juga. Cuma saya sahaja yang kurang bernasib baik. Sekadar dapat merasai getaran ‘durpp’ yang dipercayai dari hasil tamparan begahak pada gewang minnow yang digunakan ketika casting.
Menurut rakan yang amat arif dengan permainan begahak ini, dipercayai begahak ‘menampar’ mangsa terlebih dahulu sebelum membahamnya. Ini berikutan dari nisbah sepuluh ekor begahak yang beliau daratkan, juang begahak tidaklah sekuat dan seganas toman yang mampu meluruskan mata kail.
Hasil keputusan pemburuan begahak pada hari tersebut ternyata tidak menyebelahi saya. Sementara rakan lain yang turut serta ternyata berbaloi. Geram pulak tengok mereka menjulang ikan trophi tersebut.
Dan meskipun gagal memperolehi lesen begahak dan perlu menunggu setahun lagi untuk mengulanginya, segala penat lelah dan rasa kecewa bagai terubat apabila dihidangkan dengan sajian ikan begahak. Tidak hairanlah harganya mencecah sehingga RM 80 sekilogram kerana dagingnya sememang shedappppp!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...