Ikan lais merupakan spesies yang semakin berkurangan kebelakangan ini. Tambah sukar kerana bukan semua sungai di Malaysia ada spesies ini. Salah satu sungai yang masih ada spesies ini adalah Sungai Endau, di Mersing, Johor. Sungai Endau ini bersambung dengan Sungai Sembrong di Kluang, Johor.
Ikan lais juga spesies yang bermusim. Dalam erti kata lainnya, ia bukanlah tidak boleh dipancing sepanjang masa. Biasanya, jumlah ikan lais banyak muncul selepas musim banjir. Namun di luar musim ada juga namun bilangannya agak sedikit.
Ads
Faktor air juga penting untuk memancing lais. Biasanya lais lebih mudah dipancing ketika air sungai jernih. Bila air sungai keruh agak sukar menjejak ikan ini. Dari segi umpan pula, cengkerik adalah umpan yang terbaik. Namun umpan lain seperti cacing atau anak udang juga boleh digunakan.
Ads
Dari segi peralatan memancing, memadai menggunakan peralatan ringan atau ultra ringan saja. Peralatan untuk memancing udang galah juga boleh digunakan untuk memancing lais. Mata kail kecil saiz 11-13 sudah mencukupi. Perambut halus 6-10lb dah dikira ok sangat.
Ads
Teknik perambut pula agak berbeza. Ikatan perambut stail apolo 2 mata adalah yang terbaik. Cara lais memakan umpan adalah dengan membawa lari umpan dengan laju.
Masa tu kita perlu membuat sedikit sentapan lembut pada joran dan melayannya dengan perlahan-lahan hingga ia timbul di permukaan. Spot atau lubuk lais pula biasanya berkumpul di teluk-teluk atau suak-suak sungai yang tenang dan juga tempat yang berarus perlahan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Boleh dikatakan semua pemancing memiliki kisah suram (pengalaman yang tak diingini) ketika memancing. Berikut dikumpulkan sedikit kisah yang tidak diingini tetapi berlaku juga kepada para pemancing.
Kisah 1
Trip memancing yang paling tidak dapat saya lupakan pastinya ialah trip slow jigging di perairan zeezone Muar bersama bot Tiger 55 dengan tekong yang bernama Cikgu Tuah.
Kami bergerak keluar dari jeti sekitar jam 7.30 pagi. Apabila sampai di spot pertama, sebuah spot lubang luas dan berpotensi tinggi, saya dan rakan-rakan satu trip yang lain tidak berlengah lagi menurunkan jig.
Lebih kurang lima minit kami melakukan aksi jigging perlahan dengan gaya masing-masing memujuk mangsa di lantai lautan, tiba-tiba jig saya disentap begitu kuat.
Setelah bertarung kira-kira 15 minit, saya berjaya mendaratkan seekor ikan kerapu seberat 4.8 kilogram.
Setelah itu tekong beralih bot ke sport yang lain pula. Lebih kurang satu jam selepas itu kami berada di spot yang mana di dasarnya ada bangkai kapal karam.
Sedang saya seronok memujuk mangsa yg berada di bawah, tiba-tiba jig saya seperti tersangkut pada sesuatu kemungkinan pada badan kapal karam itu.
Pada masa yang sama angin dan alun ombak terlalu kuat dan saya tak dapat nak mengawal kedudukan saya lalu berlakulah perkara yang tak diingini.
Set pancing saya anggaran bernilai RM4,000 jatuh ke laut. Saya dan kawan-kawan cuba nak menyelamatkan set pancing itu tapi kami gagal disebabkan ombak dan angin yang begitu kuat.
Selepas itu saya berasa amat sedih dengan kehilangan set pancing yang saya sayangi dan saya terus terduduk. Sampai la habis trip pada petang itu saya tidak dapat memancing disebabkan itu sahaja la set pancing yang saya ada.
– Azman shah
Kisah 2
Buat masa ni kemalangan paling teruk pernah kena masa memancing ketika sembat kuat melantun ke belakang batu ladung saiz 6 singgah ke mata member yang duduk kat belakang. Toleh-toleh dah berteriak sakit. Apalagi start motor hantar klinik la. 3 hari bengkak sebelah mata.
Kisah 3
Aku sampai hari ni mata kanan kabur. Puncanya kail sangkut kat batu, tarik punya tarik batu ladung singgah dalam mata. Nasib tak kena mata hitam, kalau tak doktor cakap confirm buta. Seminggu kat hospital. Kenangan seumur hidup. Cacat kekal… haha.
Kisah 4
Kisah baru lagi masa pergi memancing kat laut. Kes nak buka mata kail kat mulut anak sembilang. Malang tak berbau kena sengat pulak dengan anak sembilang.
Sakit dia lagi teruk daripada kena sengat ikan keli. Kena pulak sengat anak sembilang tu patah dalam tangan.
Malam tu terus pergi klinik nak buang sengat ikan tu doktor cakap tak jumpa sengat tu. Sudahnya sengat ikan sembilang tu dah sebati dalam tangan sampai la sekarang ni.
Kisah 5
Aku pernah kena time casting. Tengah syok casting sekali tercampak rod dalam sungai. Nak selamatkan dah tak sempat. Arus masa tu laju sangat. Hanya mampu melihat rod tenggelam dibawa arus.
Kisah 6
Pernah kena. Masa tu casting haruan. Dah dapat ikan pegang kepala ikan menggelupur pulak. Tengok-tengok mata kail kena jari. Lepas tu tak tau nak buat macam mana. Terus cabut macam tu je… terkeluar isi wooo.
Kisah 7
Kemalangan kereta masa nak pergi pertandingan memancing Cyberjaya. Patah peha, buku lali kiri kanan, lidah hampir putus, tulang sendi tangan beralih. Duduk hospital Putrajaya tiga minggu. Tersadai kat kampung 3 bulan atas wheelchair.
Kisah 8
Pernah masa kecil dulu. Pergi memancing dengan ayah dan keluarga. Masa ayah nak baling umpan, adik pergi belakang ayah. Aku terus lari tarik adik aku, tapi aku yang kena. Ladung hentak kepala, kail sangkut kat bibir. Dah la kat kail masih ada perumpun. Huhuhu.
Kisah 9
Adik ipar teman tengah karau pancing naik,masa nak baling semula tersangkut pulak. balik dia tersangkut. Bukan tersangkut pada pokok tapi pada telinga sendiri daaa. Doktor pun pening fikir macam mana nak keluarkan kail tu daripada telinganya.
Kisah 10
Masa memancing kat sungai. Perambut tersangkut, tarik kuat-kuat batu ladung saiz 5 hinggap kat dahi. Masa tu rasa macam nak pitam. Dahi rasa macam ada air mengali. Rasa dengan tangan…dah berkicap! Bak kata orang tua-tua dah jadi adat memancing… salam perkenalan.
Kisah 11
Memancing kat kolam. Tarik punya tarik sangkut pulak. Biasa la bila sangkut guna kaedah ambil kain balut kat tangan tarik. Sekali tercabut batu ladung yang panjang terpacak kat dahi member…hospital jawabnya. Hati-hati bila memancing.
Pada hari Sabtu itu, Haziq mencadangkan tempat yang menarik untuk kami memancing. Tidak pernah mengatakan tidak, kami berlima terus bersetuju dengan cadangan Haziq. Tempat yang dicadangkan olehnya di puncak Bukit Polo Iskandar, Ipoh.
Kami sampai di situ kira-kira jam 5.30 petang. Sampai sahaja di situ kami mencari lokasi yang terbaik untuk memulakan memancing. Kelihatan kocakan air memang banyak. Tidak hairanlah banyak ikan di situ kerana dahulunya merupakan tapak bekas kolam ikan yang dibela.
Setelah itu kami menunaikan solat fardu asar secara berjemaah. Berbekalkan roti kosong di cicah bersama sardin yang dibekalkan oleh ibu Afiq tadi, kami bersama menikmatinya sambil berborak kosong. Lebih kurang 15 minit menunggu, joran Mirza disambar. Naik seekor toman lebih kurang 3 kg beratnya.
Hari semakin beransur gelap. Mirza dan Iddin sibuk memasang unggun api. Nak bagi kawasan terang dan juga menghalau agas kata mereka. Aku pula duduk berborak dengan Afiq dan Haziq. Sedang asyik berborak tiba-tiba aku terdengar bunyi sesuatu yang mencurigakan. Uuuiiii….uuiiii..uiiii. Afiq dan Haziq mungkin tidak terdengar bunyi itu kerana asyik membebel sahaja pasal ikan yang tak makan umpan.
Aku cuba mengamati bunyi tu betul-betul. Aku cuba mencari dari manakah arah bunyi tersebut. Hati aku sudah mula rasa tidak sedap. Tetapi untuk tidak melayan perasaan takut itu aku buat tak tahu sahaja. Akan tetapi bunyi itu semakin berlanjutan. Aku tak pandang joran ketika itu. Dalam keadaan bunyi yang mencurigakan tiba-tiba ada tambahan bunyi pula, aku terdengar bunyi budak menangis.
Bunyi itu semakin berlarutan. Tiba-tiba datang Mirza. Mukanya agak pucat. Dia duduk sebelah aku. Ada benda yang ingin disampaikannya. Tetapi agar sukar untuk Mirza berkata-kata. Kawan-kawanku yang lain juga perasan akan perubahan Mirza dan segera datang ke arah aku dan Mirza. “Kau kenapa ni Mir,”? soal Haziq cemas. “Ceritalah,” sambung Afiq.
“Aku perasan ada orang memancing tadi di sebelah sana, aku pun tergur dia, tapi tak sampai 5 saat orang itu hilang betul-betul depan mata aku,” cerita Mirza dalam nada ketakutan.
Ketika Mirza menceritakan kejadian itu, kedengaran uuuuuiiii…uuuuiii….uiii bunyi tangisan budak itu berselang-seli dan semakin kuat. Kini bukan sahaja aku seorang yang dengar malah yang lain juga turut terdengar bunyi yang sama.
Tanpa berlengah masa, aku terus mengajak kawan-kawanku pulang. Tetapi Afiq dan Iddin enggan pulang. Katanya baru sampai takkan mahu pulang. Akhirnya mereka semua akur dengan keputusan aku yang mahu pulang. Kami semua berkemas dan berjalan keluar dari kawasan itu.
Bila sudah hampir dengan tempat meletak motosikal kami, baru aku sedar bunyi itu datang pokok yang paling hampir dengan tempat aku meletak motosikal. Hendak tak hendak aku harus melalui pokok itu untuk mengambil motor.
Tapi apa nak buat mesti lalu pokok itu dulu takkan nak terus berdiri di situ. Bertemankan cahaya lampu suluh kami melalui pokok itu. Itu pun lampu suluh meragam. Kejap menyala, kejap tidak. Masa lalu pokok tu hanya Allah yang tahu.
Bulu romaku meremang sakan. Masa nak sampai ke motosikal, kami terdengar orang ketawa mengilai panjang. Apa lagi kami semua hidupkan enjin tekan gear dan jalan. Mujurlah enjin senang dihidupkan ketika itu.
Aku menjadi orang yang paling belakang. Tak tengok belakang aku terus menunggang dengan tenang. Ingatkan gangguan itu sudah habis, tapi masa turun puncak bukit itu ada berlaku kejadian aneh. Ketika turun dari bukit itu keadaannya memang gelap.
Tiba-tiba ada sebuah motosikal yang datang dari arah belakang memotong aku dan rakan-rakan. Lagi pelik motosikal itu tidak berlampu dan dinaiki seorang pakcik tua. Sedangkan kawasan itu gelap. Jika tiada lampu mustahil akan nampak dengan keadaan jalan yang berbukit pula, lagi bahaya.
Aku lihat kawan-kawanku juga tidak peduli dengan keadaan itu. Kami terus memandu dengan berhati-hati. Bukit di situ agak curam. Jadi aku menggunakan gear 1 sahaja. Dalam keadaan gelap begitu, kami diuji lagi. Ada sebuah kereta berwarna merah bertembung dengan kami. Kereta itu menuju ke puncak bukit.
Masa berselisih dengan kereta itu, aku menjeling untuk melihat apa yang ada dalam kereta itu. Alangkah terkejutnya aku kereta itu tiada pemandu dan di belakangnya ada seorang penumpang yang berambut panjang dengan paras rupa yang menyeramkan. Aku cuba kawal perasaan aku ketika itu. Mulutku tidak berhenti membaca ayat kursi dan 3 qul. Bulu romaku semakin menegak.
Kelihatan kawa-kawanku memecut motor laju masing-masing. Aku cuba fokus untuk menunggang dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tanpa melihat kiri dan kanan aku terus memecut laju. Oleh kerana sudah jalan landai, agar lancar perjalanan. Fikiranku hanya mahu sampai ke rumah dengan segera tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam hatiku masih lagi tertanya-tanya siapakah penunggang motosikal tadi? Dan tujuan apakah perempuan itu menuju ke bukit. Mujurlah hanya aku sahaja yang menjeling wanita itu, namun wanita itu tidak menjeling aku kalau tidak, mahu 120km/j aku turun dari cerun bukit itu.
Setelah memakan masa hampir 45 minit untuk keluar daripada kawasan itu, akhirnya kami semua sampai di jalan besar. Kami terus mengambil keputusan untuk singgah ke rumah nenek Iddin yang terletak tidak jauh dari situ. Oleh kerana hari sudah larut malam, kami bersetuju untuk tumpang di situ sementara menunggu hari siang.
Kebetulan pula,rumah nenek Iddin bersebelahan dengan jirannya berbangsa Cina. Rumah jirannya itu ada anjing. Semasa kami semua mahu masuk ke rumah nenek Iddin itu, anjing tidak duduk diam dan menyalak dengan kuat sambil memandang ke arah kami semua. Mungkin anjing itu tahu akan kehadiran entiti asing di situ.
Semenjak kejadian itu, kami berlima tidak lagi memancing di lokasi itu. Kami lebih selesa memilih pot yang ada orang ramai dan mudah meminta bantuan andainya berlaku kejadian yang tidak diingini. Kejadian yang berlaku itu kini menjadi satu memori misteri yang hingga kini sukar untuk dirungkaikan!
Ketika itu kami berlima sedang leka memancing di sebatang sungai yang sememangnya terkenal dengan ikan baung dan lampam, namun penuh dengan misteri. Seekor demi seekor ikan baung kuning sebesar lengan dan ibu jari kaki dinaikkan dengan berumpankan udang mati.
Setelah puas memancing di lubuk tersebut, rakan kami yang dikenali sebagai Chor berpindah tempat ke bahagian hulu. Rakan-rakan yang lain hanya membiarkan saja Chor berpindah tempat itu kerana tidaklah jauh dari mereka.
Semakin lama semakin seronok melayan ikan baung sehinggakan kami terlupa tentang Chor yang jauh dari kami. Sehinggalah suasana hampir gelap di mana kami mengambil keputusan untuk balik. Namun sesuatu perkara pelik telah berlaku di mana Chor tidak ditemui walaupun namanya dipanggil berkali-kali.
Akhirnya kami mensyaki Chor telah tersesat kerana suasana bertukar menjadi gelap sedangkan Chor Chor langsung tak membawa apa-apa kecuali joran dan baldi umpan udangnya.
Setelah puas mencari akhirnya kami mengambil keputusan untuk melaungkan azan agar Chor dapat ditemui. Setelah Azan dilaungkan, kelibat Chor masih belum kelihatan sehinggalah rakan saya mengambil keputusan untuk menjemput seorang ustaz agar dapat membantu mencari Chor.
Sebelum membawa Ustaz masuk ke dalam hutan, rakan saya singgah sebentar di rumah Chor kalau-kalau Chor ada di situ dan balik secara senyap-senyap. Namun ternyata melalui keterangan mak Chor, dia dah keluar dari pagi tadi lagi sehingga ketika itu.
Rakan saya merahsiakan kehilangan Chor dari pengetahuan ibunya agar ibu Chor tak risau. Setelah itu rakan saya bersama Ustaz Ramli meneruskan perjalanan ke sungai di mana kali terakhir kami melihat Chor.
Setelah Ustaz Ramli memerhati kawasan tersebut, ustaz memberitahu Chor bukannya hilang cuma disorokkan oleh penunggu sungai dan berada di sekitar kawasan tersebut. Ustaz Ramli melaungkan azan sekali lagi dan ketika itu barulah kami melihat Chor sedang bercakap-cakap seorang diri di balik pokok yang tumbang sambil menjulurkan kaki ke air.
Rakan saya memanggil Chor dengan kuat sehingga Chor terkejut dan memarahi rakan saya kerana terperanjat. Kami memberitahu Chor bahawa dia dah hilang. Namun dibalas dengan dekahan ketawa sambil memberitahu dirinya memang berada di situ bersama Sheila!
Kami terpinga-pingga mendengar nama yang disebut oleh Chor. Ustaz Ramli menuruni tebing dan berdiri di sebelah Chor sambil membaca satu surah sebelum menepuk bahu Chor. Ketika itu barulah Chor terkejut apabila melihat suasana gelap gelita dan hanya diterangi oleh lampu suluh yang Ustaz bawa. Chor disuruh minum air mineral yang dibawa oleh Ustaz.
Keesokan harinya barulah Chor menceritakan apa yang berlaku kepadanya semalam. Di mana sewaktu leka menunggu umpan diragut ikan, seorang gadis cantik berasal dari Kuala Lumpur datang seorang diri untuk memancing di sungai tersebut.
Dan kebetulan dia duduk berhampiran dengan Chor. Dalam berberapa minit saja Chor dan Sheila begitu mesra sambil melayan pancing bersama. Chor akui saat ustaz menepuk bahunya barulah dia nampak wajah sebenar Sheila yang menyerupai lembaran daun besar.
Dan ketika itu barulah Chor tahu waktu telah menunjukkan sepuluh malam. Jika tidak pasti Chor akan berada di tempat yang terang serta redup sambil berbual-bual dengan Sheila, jelmaan gadis KL yang memancing bersamanya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...