
SOALAN:
Adakah semua gewang yang digunakan di air tawar boleh digunakan untuk air masin? Ataupun terdapat gewang yang khas untuk perairan air masin?
JAWAPAN:
Sebenarnya hampir semua gewang boleh digunakan di perairan air masin dan air tawar, kecuali gewang yang dihasilkan dari material logam yang mudah berkarat.
Namun ia bukanlah tidak boleh digunakan, sebaliknya kurang sesuai kerana bahan materialnya sahaja.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, semua gewang dicipta untuk menarik perhatian ikan bagi melihat, mendengar atau merasai pergerakan gewang tersebut.
Dan amat jarang kita temui gewang yang tertera pada kotak bungkusannya sama ada untuk kegunaan air masin atau air tawar sahaja.
Apa yang menjadi tidak boleh sebenarnya adalah diri kita sendiri. Mungkin disebabkan sudah terbiasa menggunakan sesuatu gewang tersebut hanya di perairan air tawar, maka
kita dengan sendirinya membuat garis panduan sendiri sehingga tidak berani untuk mencubanya di perairan lain selain air tawar.
Begitu juga dengan mata kail (mata tiga) yang terdapat pada gewang berwarna silver atau chrome dikatakan sesuai untuk air masin sahaja dan mata kail berwarna coklat atau hitam sesuai untuk air tawar sahaja.
Hakikat sebenarnya mata kail silver atau chrome boleh digunakan di air masin atau air tawar. Manakala mata kail coklat atau hitam kurang sesuai digunakan di air masin hanya kerana ia mudah berkarat, bukannya tidak boleh digunakan.
Tidak ketinggalan perkakasan terminal yang lain seperti split ring, snap atau snap swivel yang digunakan bersama bersama gewang sebaiknya pilihlah yang kalis air masin kerana ia boleh digunakan di kedua-kedua perairan.
Trip Alucast Black Bass Sebatik 2022

Perkongsian Oleh: Caster Boy Nasrudin
Pada July 2022 yang lalu, saya bersama rakan-rakan dari Alucast telah berjaya melangsungkan satu trip memancing setelah sekian lama merancing. Trip memburu Permata Hitam Sabah. Trip ini bolehlah dianggap sangat berjaya kerana memperoleh hasil di luar jangkaan.
Trip ini dianggap amat berjaya dengan tewasnya 18 hingga 22 ekor spesies black bass atau tembaring kalau mengikut nama tempatan di Tawau. Saiz tembaring yang kami berjaya daratkan berskala 1kg sehingga 6 kg.
Lebih manis kesemua ahli komplot berpeluang untuk merasai kekuatan sang tembaring yang terkenal dengan kegagahan bertarung hingga kehabisan tenaga. Alhamdulillah kesemuanya berjaya mendaratkan tembaring.
Walaupun saya merupakan orang terakhir yang berjaya mendaratkan spesies tersebut yang ketika itu berbaki 2 jam sebelum kami menamatkan acara pancingan pada hari terakhir. Kelegaan terselamat dari kumpu sukar untuk dijelaskan. Apatah lagi berjaya mendakap saiz idaman.
Beberapa kejadian LOST CONTROL yang berlaku terhadap ahli trip termasuk diri saya sendiri membuatkan hati ingin kembali membalas dendam. Hahaha… maklum sajalah yang lucut atau tak dapat naik biasanya pasti besar bas.
Terima kasih kepada semua guide kami iaitu SPark Lagenz, Majer Jal’s, Danish Haikal dan beberapa guide lain yang banyak membantu kami merialisasikan impian untuk mendaratkan PERMATA HITAM SABAH.
Ikan-ikan lain seperti kerapu, siakap merah, jenahak, alu-alu dan lain-lain jugak banyak kami daratkan. Jackpot untuk trip ini apabila salah seorang ahli dapat menaikkan kerapu berskala 10 kg. Bapokkk besoooo…!
Tak lupa juga keluarga guide Spark Lagenz atas kemudahan tempat tidur dan makan minum kami sepanjang masa berada di sana. Servis memang mantap bah. Apa yang boleh kami rumuskan… MANCING SEDAP, TIDUR SEDAP dan yang penting MAKAN SEDAPPPP!
Sebatik masih banyak tembaring yang bersaiz monster. Memang berbaloi sangat datang ke sini. Menurut guide, mereka pernah bawak costumer yang menaikkan tembaring belasan kilogram di sana. Malah guide sendiri pernahh menewaskan monster-monster tembaring yang berskala belasan kilo.
Dengan kerajinan, keadaan air dan cuaca, setup dan teknik, skill dan yang paling penting percaya kepada rezeki… Insyallah korang akan berpeluang bertarung dengan spesies permata hitam Sabah ini.
Korang Tanya UMPAN Jawab (S3S5) – Persoalan Tentang Mata Lingkar? *

SOALAN : Sebagaimana yang diketahui umum, terdapat banyak jenis dan bentuk mata kail. Apa yang ingin saya ketahui ialah bolehkah mata lingkar (circle hook) yang biasa digunakan memancing layaran saya gunakan memancing di kolam, sungai, tasik untuk pancingan dasar. Apakah potensinya berbanding mata kail biasa (J hook) yang sedia ada?
JAWAPAN: Pada asasnya mata lingkar atau circle hook direka cipta bagi kegunaan sukan memancing kerana ikan yang ditangkap akan dilepaskan kembali bersesuai dengan konsep tangkap dan lepas. Mata lingkar ini direka bagi mengelakkan kejadian ikan tertelan mata kail sekaligus boleh menyebabkan kecederaan organ dalaman sekaligus menyumbang kepada kematiannya. Sebaliknya jika tertelan sekali pun mata kail tersebut akan mereput dalam tempoh tertentu kerana ia dihasilkan dari material yang mesra alam.
Bentuk mata lingkar jelas berbeza dengan mata kail J atau J hook . Ia adalah sejenis mata kail di mana matanya berbentuk bulat ke belakang dan ia digunakan oleh kebanyakan pemancing sekarang untuk menangkap ikan. Oleh sebab bentuk matanya, ia selalu akan tercangkuk pada bibir di kawasan penjuru mulut ikan.
Sesuatu yang positif dari aspek keberhasila mata kail ini, kajian telah mendapati bahawa penggunaan mata kail dari jenis ini telah menangkap lebih banyak ikan dari mata kail J. Terutamanya ikan yang memiliki bibir tebal.
Mata kail dari jenis ini boleh digunakan untuk semua jenis ikan di laut, lombong atau sungai. walau bagaimana pun adalah amat penting sekali, pemancing jangan menyentap joran apabila ikan memakan umpan, tetapi cukup dengan hanya mengarau dengan perlahan supaya mata kail ini tidak tercabut atau lucut dari mulut ikan. Untuk pengetahuan, mata kail ini sedikit mahal dari mata kail jenis biasa.
Trip Throwback – Lubuk Merah Pelantar Minyak

Tepat jam 9.30 pagi, kami berlepas dari jeti Kampung Raja Besut. Namun selepas setengah hari bot meninggalkan jeti, perjalanan terpaksa dihentikan apabila hembusan angin barat tiba.Ia sekaligus membuatkan bot tidak boleh dikemudi dengan baik lantas mengundang olengan yang kuat.
Ketika ini, jalan terbaik adalah berehat di dalam kabin bagi mengelakkan mengganggu pemancing lain. Keselamatan juga lebih terjamin. Tetapi untuk mengelakkan trip ini membuang masa, Tekong menyarankan kami memancing dahulu di satu lubuk sementara menunggu angin reda dengan kedalaman air laut sedalam 60 meter.
Setelah menunggu selama setengah jam, kekili Command X-9 milik JohoNgail memecah kesunyian apabila umpan hirisan selar telah mengena umpan. Tewas seekor spesies ebek bersaiz 7 kg.
Angin masih bertiup kuat membuat bot kami hilang arah dan alunan yang tinggi membuatkan ramai yang tak tahan. Untuk tidak mahu mengambil risiko yang besar Tekong pun mengarahkan kami untuk bermalam sahaja di lubuk ini. Lagipun trip kami masih berbaki 2 hari di lautan. Kami meneruskan pancingan malam dengan teknik bottom dan juga teknik menghanyut umpan.
Dua teknik yang kami gunakan adalah dengan menggunakan teknik apollo dan pancingan hanyut. Teknik menghanyut umpan menggunakan leader kabel berkekuatan 40 paun ternyata berhasil apabila beberapa ekor aruan tasik berjaya didaratkan.
Umpan kembong dicangkok dengan mata kail bersaiz 4/0 dan dibiarkan hanyut di antara dasar dan permukaan air ternyata menarik perhatian spesies yang terkenal dengan larian padunya kerana bentuk badannya mampu membelah air umpama torpedo. Namun hasil spesies lain kurang memberangsangkan.
Hari kedua
Sebaik sahaja selesai bersarapan, Tekong membawa kami ke lubuk spesies merah. Setelah menghampiri lubuk, Tekong memberi nasihat agar bersiap sedia untuk menghulurkan umpan ke dasar. Perambut setengah depa dan mata kail bersaiz 3/0 dicangkok umpan sotong bersedia dilabuhkan.
Setelah menunggu beberapa minit sahaja, rod Baha telah disentap dengan kuat. Bimbang mangsa melarikan diri Baha membuat sentuhan setting pada kekili elektrik Banax Kaigen dan membiarkan sistem drag kekili elektriknya berfungsi sendiri.
Seekor merah bersaiz 8kg berjaya ditewaskan dalam masa pertarungan yang singkat. Selang beberapa minit kemudian, sekali lagi umpan yang dilabuhkan oleh Baha mengena lagi seekor merah.
Sememangnya spesies ini sedang kelaparan di dasar. Setelah berpesta selama 20 minit di lokasi pertama, Tekong membawa kami ke lokasi yang kedua. Perjalanan memakan masa cuma 10 minit sahaja. Kali ini giliran Ary berentap dengan seekor merah dan kerapu. Tidak disangka-sangka perambut apollo 2 mata buatan sendiri telah mengena dengan serentak.
Umpan yang digunakan hirisan ikan selar yang segar membuatkan spesies ini meragut dengan kasar. 2 lawan 1, itu yang mampu diungkapkan setelah Ary berjaya mendaratkan spesies merah dan kerapu ini.
Sementara itu, angin masih bertiup kuat dan kami tiada pilihan dengan mengambil keputusan untuk berehat di lokasi ini sehingga menunggu angin reda. Tepat pukul 7 malam, kami bertolak menuju ke Pelantar Jernih yang memakan masa selama 3 jam.
Kami memulakan sesi jigging dengan menggunakan jig luminus. Akibat dari pergerakan angin yang tidak menentu, ternyata tidak ramai yang melakukan teknik jigging disebabkan mabuk laut dan kepenatan.
Bad Zad dan Yaacob antara yang kekal setia untuk jigging. Hasilnya belasan ekor cupak berskala 3kg hingga 4kg berjaya dinaikkan.
Jika tidak menempuh alun yang kuat dan mabuk laut sesi pancingan dijangka meriah. Tetapi sifat lautan yang luas bukan perkara mudah untuk diduga.
Hari ketiga
Kesemua ahli trip mengambil kata sepakat untuk keluar dari kawasan Pelantar Jernih, untuk mencari spesies ikan merah. Lantas, Tekong menghala botnya ke satu lubuk kira-kira satu batu dari kawasan pelantar.
Sebaik sahaja sauh dilabuhkan, kami semua menurunkan pancingan masing-masing. Kali ini giliran awak-awak pula yang berjaya mendaratkan seekor lagi merah yang bersaiz 9kg. Namun selepas itu, tiada lagi getuan sang merah yang dicari. Agak pelik juga kerana biasanya ikan merah akan bergerak secara berkumpulan. Mungkin seekor ini tersesat agaknya.
Pada malam terakhir kami menyarankan kepada Tekong untuk turun semula ke Pelantar Jernih untuk bermain jigging dan popping. Dengan tenaga yang ada, 4 pemancing tetap menggunakan jigging dan selebihnya menggunakan teknik popping dan melontar ke arah tiang-tiang pelantar. Memang nak dijadikan rezeki, pada malam terakhir, kami berpesta cupak yang tidak henti menyambar umpan.
Secara keseluruhannya, ikan yang berjaya kami naikkan, merah bersaiz 5kg hingga 9kg – 5 ekor, kerapu bersaiz sekilo ke 5kg- 8 ekor, ebek 7kg dan 8kg – 2 ekor, aruan tasik 6kg – 2 ekor dan puluhan ekor spesies ikan unjam.
Kesimpulannya, trip ini boleh dikatakan berjaya juga, walaupun sasaran utama untuk menaikkan seberapa banyak spesies ikan merah agak kurang. Ini disebabkan alun yang kuat menyebabkan bot tidak boleh bergerak baik untuk berada di atas lubuk.