
SOALAN
Saya dapati sekarang ini ramai pemancing lebih suka menggunakan tali braided berbanding tali tangsi.
Apa kelebihan tali braided ni berbanding tali tangsi? Pada saya tali tangsi lebih bagus sebab boleh baling jauh tali tangsi lebih bulat dari braided yang kebanyakannya leper (tidak bulat betul). Apa pendapat admin?
JAWAPAN:
Saya bersetuju dengan anda bahawa sekarang ini sememangnya sudah ramai pemancing menggunakan tali braided atau tali sulam.
Namun pendapat anda mengatakan tali braided tidak dapat menandingi jarak lontaran berbanding tali tangsi adalah tidak tepat.
Malah bulat atau lepernya bentuk tali sama sekali tidak mempengaruhi jarak lontaran.
Pada amnya, tali braided mempunyai diameter tali yang lebih kecil dari tangsi yang berkuatan sama dengannya.
Disamping itu ia juga jauh lebih ringan berbanding tali tangsi. Semakin halus dan ringan sesuatu tali itu maka semakin jauhlah lontaran yang boleh dibuat.
Dengan diameter yang lebih ia bukan saja memudahkan untuk melakukan lontaran jauh, malah lebih banyak muatan tali boleh dimasukkan ke dalam gelendung atau spool kekili.
Faktor ini juga menurunkan daya rintangan air atau angin. Sebagai contoh, lontaran tidak mudah dipengaruhi oleh angin dan air maka umpan boleh dibaling dengan jauh serta gewang dapat menyelam lebih.
Itulah antara kelebihan tali braided berbanding tali tangsi. Banyak lagi kelebihan tali braided berbanding tali tangsi sebenar.
Mungkin admin akan huraikan dengan lebih menyeluruh dalam artikel yang akan datang.
Event Trobek – Poundage Challenge

Kesinambungan Battle of Jigger yang mengambil tempat di Pantai Pelindung diteruskan pula dengan edisi kedua. Pada edisi pertama yang digelar Pelindung Challenge sebagai acara pengenalan, edisi kedua Battle of Jigger pula memperlihatkan cabaran penggunaan tali berkekuatan 10lb lantas acara kali ini digelar Poundage Challenge.
Jika edisi pertama lebih kepada pengenalan kepada acara Battle of Jigger dan Pantai Pelindung, edisi kedua pula lebih fokus kepada keupayaan peserta secara teknikal apabila disyaratkan untuk menggunakan tali berkekuatan 10lbs. Juga bertempat di Pantai Pelindung, Kuantan, edisi kali ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan lebih ramai peserta bersaing sesama sendiri.
Dengan penyertaan seramai 44 orang peserta, acara kali ini bermula sekitar jam 7.30 pagi dan berakhir sekitar jam 4.30 petang.
Selain untuk bersaing secara teknikal, edisi ini juga dianjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama pemancing yang rata-rata datang dari sekitar Pahang dan Lembah Klang.
10 buah bot digunakan sepanjang pertandingan dan kesemua dibantu oleh tekong-tekong berpengalaman di Pantai Pelindung. Penganjur juga menyediakan hadiah yang lebih lumayan berbanding edisi lepas setelah mendapat tajaan daripada Pure Fishing Malaysia, Senses, Bossna, Buff dan Hong Lam Aquarium.
Tulang belakang disebalik kejayaan penganjuran kali ini ialah Shah Right, Kay Red dan Nazim dengan kerjasama erat daripada Angler Buff Malaysia. Edisi kali ini juga memperlihatkan peserta menaikkan hasil ikan yang lebih banyak berbanding edisi lepas walaupun cuaca agak mendung sewaktu acara pelepasan waktu pagi.
Mohd Shahidi B. Wahab berjaya memahatkan namanya selaku juara bagi kategori ikan terberat(main prize) edisi kali ini dengan hasil aruan tasik seberat 10.48 kg disusuli oleh Mohd Hafizuddin Talib dan Norsafwan Nordin masing-masing dengan hasil tangkapan gerong belang seberat 4.23kg dan 4.12kg.
Oleh kerana peserta hanya layak membawa pulang satu hadiah seorang, Mohd Hafizul Abd Rahman membawa pulang gelaran hadiah khas kategori ikan terberat dengan spesies aruan tasik seberat 8.2kg. Ikan terpanjang pula dimenangi oleh Aizuddin Shah Osman manakala Mohd Alfashat Md Rawi memenangi kategori ikan terbanyak atas 1kg. Pat Itam atau Mohd Yusof Abdullah pula memenangi hadiah khas kategori tekong terbaik.
Trip Retro – Berpeluh Mengepam Ikan Di Paloh!!

Penulis berempat bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan.
Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung. Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa. Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintasi Pelabuhan Klang menuju ke arah Selatan.
Umpan killer
Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang. Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar.
Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai. Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.
Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka. Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan.
Tuah baju kuning, pada hari itu apabila si pemakainya menjadi orang pertama menerima sambaran. Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja.
Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000. Umpan selar hanyut di permukaan akhir membuahkan hasil apabila disambar seekor talang.
Seronok melayan aksi talang lebih-lebih lagi dengan set aksi ringan. Dari 4 sambaran talang, pagi itu hanya dua sahaja mengena manakala selebihnya rabut di pertengahan jalan. 50% kadar ‘hook-up’ masih boleh diterima. Desingan kekili Stella 4000HG pula mencuit tumpuan yang dipacak di hadapan sampan.
Lenturan berterusan menyebabkan joran sukar untuk dikeluarkan dari kedudukan pada larian awal ikan. Umpan kurita pula tidak mahu mengalah sebagai umpan terbaik apabila empunya joran terpaksa berhempas pulas menangani larian ikan sebelum muncul di permukaan.
Larian sang cobia
Ikan bermasalah, itulah yang digelari kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan. Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80 lb putus.
Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar. Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.
Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika. Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletak kira-kira 6 batu nautika.
Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang. Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi. Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja. Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.
Apabila arus semakin melemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak. Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperolehi.
Makin Banyak Obor-Obor Beracun Muncul Di Pantai Terengganu

“Obor-obor beracun (Portuguese Man O War) dikesan di pesisir Pantai Paka. Pengunjung dinasihatkan berhati-hati kerana difahamkan racunnya masih aktif walaupun sudah mati.”
𝗢𝗯𝗼𝗿-𝗼𝗯𝗼𝗿 𝗣𝗼𝗿𝘁𝘂𝗴𝘂𝗲𝘀𝗲 𝗠𝗮𝗻 𝗼’𝗪𝗮𝗿 𝗠𝗮𝘀𝗶𝗵 𝗕𝗲𝗿𝗮𝗰𝘂𝗻 𝗪𝗮𝗹𝗮𝘂𝗽𝘂𝗻 𝗦𝘂𝗱𝗮𝗵 𝗠𝗮𝘁𝗶
Tampak comel namun sengatannya boleh membawa maut jika tidak dirawat segera. Obor-obor jenis Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ masih beracun walaupun sudah mati. Saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat serta boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.
Dipanggil Portugese Man O’ War kerana sifat tubuh badannya seakan kapal perang yang sedang berlayar di lautan, Spesies ini sentiasa disalah tafsirkan sebagai jellyfish walhal ia sebenarnya siphonophore, haiwan yang terdiri daripada koloni organisma yang bekerjasama. Ia juga dikenali dengan nama ‘bluebottles’ kerana warna mereka yang bewarna ungu-biru.
Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat dan panjang tentekelnya mampu mencapai seperti manusia dewasa dan sengatannya mampu menyebabkan badan anda mengeluarkan bintik-bintik merah, lumpuh dan akhir sekali boleh membawa kepada maut.
Sekiranya anda disengat, anda dinasihatkan bergegas untuk mendapatkan rawatan kerana simptom sengatan oleh haiwan ini dapat dilihat seawal 3 minit. Sehingga kini, masih tiada lagi penawar untuk racun ini dan pakar hanya mampu menyediakan ‘painkiller’ sahaja kepada pesakit untuk melegakan kesakitan.
Kemungkinan kemunculan haiwan berbisa itu ke pesisir pantai Terengganu disebabkan faktor musim monsun timur laut. Setakat ini penemuannya dilaporkan di Pantai Seberang Takir.
Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan laporkan kepada pihak berkaitan jika menemui obor-obor ini.
LAPORAN PEMANTAUAN
Rentetan: Paparan di akaun media sosial Facebook Kuala Terengganu Residen petang 23 Jan 2023 tentang kehadiran obor-obor jenis Portuguese Man o’War pihak Angkatan Pertahan Awam Daerah Kuala Terengganu / Kuala Nerus telah membuat pemantauan di Pantai Seberang Takir dengan Kekuatan 1 Pegawai Pasukan dan 3x Anggota dan telah menjumpai bangkai obor-obor tersebut yang terdampar di pesisiran pantai tersebut.
Hidupan ini juga disifatkan antara obor-obor yang berbisa dan sangat berbahaya yang mana boleh melumpuhkan mangsa dengan sengatannya selain boleh menyebabkan melecur pada kulit dan membawa maut.
Justeru itu, orang ramai turut dinasihati untuk tidak melakukan sebarang altiviti di persisir Pantai Seberang Takir buat masa ini dan mengambil langkah berhati-hati dengan hidupan berbisa ini.