
SOALAN:
Apa yang menyebabkan kaki casting sering membuat trip casting memburu sebarau sewaktu musim tengkujuh di Tasik Kenyir? Apa yang special sangat?
JAWAPAN:
Bagi beberapa spesies ikan sungai pergunungan seperti sebarau, waktu musim tengkujuh ialah waktu spesies ini mengawan dan akan naik ke kawasan hulu sungai untuk melepaskan telurnya.
Apabila selesai fasa ini, ikan ini akan lebih aktif mungkin kerana kelaparan dan perlu mencari makanan bagi menggantikan tenaga yang banyak dihabiskan untuk membawa telurnya.
Sewaktu musim tengkujuh, kebanyakan kawasan rendah akan mulai tenggelam dan serangga yang melata di permukaan tanah, berhabitat di kawasan rumput akan panik dan banyak yang jatuh dan dihanyutkan ke dalam air.
Ketika inilah sebarau akan berpesta makanan. Banyak aktiviti kawanan sebarau meligan mangsa yang dinamakan frenzy atau boiling akan kelihatan.
Aktiviti boiling inilah yang dicari oleh para pemancing untuk mengesan sekaligus memancing sebarau.
Ketika boiling inilah apa saja gewang yang jatuh di dalam kawasan boiling akan dibaham oleh sebarau. Sedangkan, pada waktu lain selain tengkujuh, aktiviti ini amat sukar ditemui.
Jadi inilah faktor mengapa musim tengkujuh, ramai kaki casting akan berkunjung ke tasik-tasik di negara kita.
Selain dari Tasik Kenyir, Tasik Temenggor turut sama menjadi tumpuan para caster apabila hujan turun dengan amat lebat untuk tempoh beberapa haris sehingga menaikkan para air di tasik.
Soal Jawab Mancing – Teknik Paling Mudah Nak Mancing Ikan Limbat?

SOALAN:
Saya segan nak tanya tapi terpaksa juga tanya. Boleh tak admin jelaskan bagaimana caranya untuk memancing ikan limbat (spesies yang seakan-akan sama dengan ikan keli tapi saiznya agak panjang dari ikan keli). Apakah umpan yang sesuai untuk spesies ini dan lokasi yang macam mana terdapatnya spesies ini.
JAWAPAN:
Keli limbat atau ikan limbat merupakan salah satu spesies ikan daripada genus Clarias. Nama spesiesnya pula ialah C. nieuhofi dan biasanya mempunyai ukuran badan yang lebih panjang berbanding keli biasa dan warna badannya ialah kuning.
Spesies ini semakin sukar didapati namun biasanya lokasi pancingan sesuai bagi spesies ini termasuk kawasan sawah, kawasan air yang sedikit mempunyai struktur kayu atau belukar dan juga kawasan yang tidak terlalu dalam.
Umpan yang sesuai bagi memancing limbat termasuk cacing, serangga, cengkerik dan juga hati ayam. Untuk lebih mudah, anda boleh menggunakan teknik dan umpan yang sama dengan pancingan keli kerana sifat pemakanan bagi spesies ini masih sama dengan spesies daripada genus Clarias yang lain.
Untuk keterangan yang lebih lanjut berkenaan info spesies ikan limbat ini anda bolehlah layari laman web www.umpan.com.my dan buat cari IKAN LIMBAT dalam segmen IKAN AIR TAWAR. Anda juga boleh ketahui taktik & teknik pancingan ikan ini dalam segmen Tip & Info.
Sebarau Berau Bukan Sebarang Gurau (Video)

Informasi Berau
Berau merupakan salah satu daripada kabupaten (daerah) di provinsi Kalimantan Timur, Indonesia.
Dengan keluasan 34,127 kilometer persegi , ia hampir menyamai keluasan negeri Pahang (35,960 kilometer persegi).
Untuk menjejakkan ke Berau dari Malaysia haruslah menaiki dua penerbangan (sekarang ini 3 penerbangan).
Dari KLIA ke Sultan Aji Muhamad Sulaiman International Airport (Sepinggan Airport, Balik Papan, Kalimantan Timur) dan seterusnya ke Kalimarau Hero Domestic Airport, Berau yang memakan masa 50 minit perjalanan.
Jika melalui jalan darat dengan jarak 580 kilometer, ia akan menelan masa sekurang-kurangnya 13 jam.
Dari Tanjung Redeb (ibu kota Berau) ke Kecamatan Kelay pula haruslah meredah jalan darat pergunungan sejauh 100km dengan tempoh perjalanan sekitar 3 jam.
Buka Jalan
Melalui Azuan Man @ Pak One yang sering ke Berau atas urusan kerja, satu trip dibuka dalam grup Whatsapp Alucast.
Tidak sampai setengah jam kuota 7 orang pemancing segera terisi. Saya agak bernasib baik apabila 2 orang pemancing terpaksa menarik diri dan tempat tersebut segera ditempah sebelum impian yang sekian lama terpendam terus berendam lagi.
Setelah melalui jalan udara, jalan tar, jalan tanah merah dan melelapkan mata buat seketika, keesokan paginya kami berlapan (Pak One, Haji Salleh, Haji Din, Nik, Bujeng,
Anhar dan Blue) barulah memulakan perjalanan sebenar menerusi jalan air ke rangkaian sungai di pergunungan Berau.
Hari pertama
Empat buah bot pancung enjin ekor biawak digunakan dalam ekspedisi rangkaian sungai pergunungan Berau ini.
3 buah digunakan untuk membawa pemancing dan sebuah lagi berperanan sebagai kargo. Perjalanan mudik ke hulu sungai merentas jeram-jeram kecil berbatu yang cetek airnya ke tapak perkhemahan yang memakan masa hampir 2 jam pula.
Tiba di tapak perkhemahan di tebing sungai yang landai dan berbatu, waktu sudah menjelang tengah hari.
Setelah berehat seketika mengisi perut dengan ala kadar barulah sesi yang teramat sangat dinantikan menjelma.
Dua buah sampan menongkah ke hulu dan sebuah lagi menghilir dengan kaedah casting sambil berhanyut.
Destinasi mudik ke hulu adalah lubuk berjeram yang merupakan spot kegemaran Pak One.
(Video : Jeram yang banyak dihuni sebarau saiz badong)
Sejurus tiba, masing-masing tidak menunggu lama untuk melepaskan keterujaan yang sekian lama terpendam.
Sebarau Berau ternyata bukan gurau apabila salah seorang boatman menjadi individu pertama berjaya mendaratkan dan memperkenalkan sebarau Berau dengan skala saiz 4 kilogram.
Sememangnya saiz sebarau Berau bukan gurau. Setelah hampir 20 tahun saya melibatkan diri dalam dunia hanyir, inilah buat pertama kali saya melihat dengan mata kepala sendiri sebarau yang selayaknya digelar badong!
Sebarau yang dilepaskan kembali ke lubuknya itu menjadi inspirasi kepada kami untuk memburu lesen sebarau Berau.
Setelah agak lama tanpa lesen, kami tongkah ke hulu lagi sehingga ke penghujung jeram cetek yang gagal diharungi sampan dan berhanyut turun sambil casting.
Sebelum lewat petang dan menamatkan sesi memancing hari pertama, saya berjaya juga memperolehi lesen sebarau Berau anggaran 3 kilogram.
Sekitar 4 jam sesi memancing pada sesi hari pertama, hampir 50 peratus ahli gagal untuk memperoleh lesen sebarau Berau.
Namun ia bolehlah dianggap sebagai sesi pemanas badan kerana masih ada 3 hari lagi untuk casting sampai lebam.
Sementara itu Pak One awal-awal lagi sudah memperbaharui lesen tersendiri. Bukan lesen sebarau sebaliknya lesen sapan! Sapan adalah nama tempatan bagi kelah merah.
(Video : Aksi Pak One di jeram kegemarannya)
Hari Kedua
Hujan di bahagian hulu menyebabkan paras air sungai sedikit meningkat dan keruh. Berbekalkan makan tengah hari kami terus ke lubuk jeram.
Dua buah sampan berhenti di lubuk jeram dan sebuah lagi terus menongkah ke hulu.
Memadai hanya setengah hari, bukan saja kesemua ahli berjaya memperoleh lesen sebarau Berau malah lesen sapan juga.
Hanya di satu lubuk sahaja, berbelas ekor sebarau berjaya didaratkan dan saiz-saiznya seperti sukar untuk dipercayai. Semuanya purata saiz 3 hingga 5 kilogram.
Jumlah tangkapan sebarau dan sapan terus meningkat apabila sesi memancing dengan sampan diteruskan sehingga lewat petang.
Sekali gus menjadi hari terbaik kepada semua ahli trip.
Hari Ketiga
Hari ketiga kami mengambil keputusan menghilir keluar sambil memancing untuk ke sungai utama dalam rangkaian sungai pergunungan berau.
Sungai yang lebih luas dan panjang. Meskipun banyak masa dihabiskan dalam perjalanan dan sempat memancing beberapa jam sahaja.
Dari segi kuantiti tangkapan agak merosot sedikit, namun rekod tangkapan sebarau dan sapan terbesar dengan skala saiz melebihi 6kg berjaya didaratkan.
Hari Terakhir
Sementara pada hari keempat yang merupakan hari terakhir, sesi pancingan agak santai sambil berhanyut keluar dan kembali ke pangkalan di perkampungan para boatman.
Sejurus tiba di pangkalan pada lewat senja, kami segera bergerak pulang ke hotel penginapan di Tanjung Redeb melalui jalan bukit pergunungan yang sempit dan mendebarkan.
Berehat dan bermalam seketika sebelum bangkit di awal pagi agar tidak terlepas penerbangan ke Balik Papan dan seterusnya terbang ke tanah air.
4 hari memancing terasakan begitu pantas berlalu.
Tiada kenangan pahit yang dibawa pulang melainkan manis-manis belaka. Semanis isi sapan yang menjadi santapan kami sepanjang bergurau di Berau, sebarau Berau bukan gurau!
Apa kata pemancing:
Azuan Man aka Pak One
“Setelah beberapa kali melakukan trip survey dan terbukti sebarau berau bukan gurau adalah realiti, saya rasakan umpama satu dosa yang tidak terampun sekiranya saya sendiri saja yang menikmatinya tanpa membuka peluang kepada rakan-rakan pemancing lain.”
Nik Mahalil
“Trip freshwater terbaik setakat ini yang pernah saya sertai. Alhamdulillah… Merasalah jugak casting kelah menggunakan gewang.”
Shuk Rahim
“Kerjasama serta ukwah di antara para peserta menjadikan trip ini bukan setakat berjaya malah menjadi satu pengalaman dan kenangan manis yang tak dilupakan. Guide tempatan juga wajar dipuji dengan servis yang diberikan.”
Haji Salleh
“Trip yang sangat tidak mendukacitakan. Memang cukup teruja dan puas hati dengan tarikan ikan yang mega-mega. Sebarau 4.5 kg… Kelah 5.5 kg. Memang pengalaman yang tidak dapat dilupakan.”
Bujeng
“Pada setiap lontaran terasa macam ada bapak-bapak ikan yang akan membaham! Memang tak jumpa yang saiz S seolah-olah ikan-ikan di sini beranak… Bukannya bertelur!”
Anhar
“Satu pengalaman yang terlalu abstrak untuk diceritakan. Bagaimana mahu diungkapkan apabila anda menikmati realiti dalam fantasi anda.”
(GALERI)
Tekanan Dibuli Senangin Teluk Kemang!!

Hujan yang turun pada awal pagi hari tersebut menyebabkan beberapa buah bot memancing menangguhkan seketika aktiviti memancing di perairan Teluk Kemang. Hujan sebenarnya bukanlah menjadi penghalang sebaliknya angin yang bertiup agak kencang bersama hujan itulah yang menyebabkan para tekong tidak berani untuk mengambil risiko membawa pemancing ke laut. Setelah cuaca mengizinkan barulah para tekong bersedia membawa kami mencuba nasib.
Saya bersama tiga orang rakan memancing hari itu turut sama turun memancing dengan menggunakan khidmat tekong tersohor Teluk Kemang, Shariman atau lebih dikenali dengan nama Apex Kecil. Berikutan cuaca yang masih berangin, kami sepakat sekata untuk tidak pergi memancing jauh ke tengah laut. Justeru cadangan tekong untuk jigging spesies senangin di dalam kawasan teluk segera dipersetujui oleh kesemua ahli trip.
Hampir setengah jam berjigging, nasib ternyata menyebelahi saya apabila jig slow pitch 80 gm disambar pemangsa sekitar beberapa kaki dari dasar. Setelah melayan pecutan dan lariannya seketika, akhirnya seekor senangin berskala saiz sederhana berjaya didaratkan.
Kejayaan itu sedikit sebanyak merangsang semangat kami untuk kekal lebih lama di teluk tersebut. Tidak lama kemudian giliran tekong pula mempamerkan kehandalannya. Namun nasib lebih menyebelahi senangin apabila berjaya meloloskan diri dari mata kail sejurus tiba di permukaan air untuk didaratkan.
Setelah beberapa kali berhanyut di spot yang sama, saya berjaya menerima strike namun pemangsa yang dipercayai adalah senangin ghaib ketika dalam pertarungan. Nasib yang sama turut dialami oleh tekong. Malah ia berlaku lebih dari sekali. Ketika seperti hampir menjadi mangsa buli senangin, muncul Shahrul menjadi penyelamat keadaan apabila berjaya mendaratkannya setelah turut sama dibuli sebelumnya.
Episod dibuli senangin semakin berterusan apabila Shahrul berjaya mendaratkan seekor lagi senangin. Selepas itu hampir kesemua ahli trip hanya sempat merasai jig disambar pemangsa sebelum rabut begitu sahaja.
Dan kemuncak kami menjadi mangsa buli senangin apabila seekor senangin bersaiz kasar yang menyambar jig saya melakukan aksi akrobatik di hadapan mata kami semua dan berjaya memutuskan tali utama.

Selepas kejadian itu tiada sambaran yang kami terima sekali gus mengakhiri pemburuan kami. Walaupun kami berjaya mendaratkan tiga ekor senangin namun pembulian hampir sepuluh kali yang kami terima benar-benar menguji kesabaran kami. Sekaligus menjadi trip yang meninggalkan memori manis buat kami berempat.