Sekadar bertanya pendapat…..selain udang hidup, umpan apa yang sesuai untuk kelong air masin? Harap jangan la ada yang jawab merapu……sekurang-kurangnya sama-sama dapat kongsi ilmu.
JAWAPAN:
Admin mengutip soalan ini di halaman Facebook Majalah Umpan segmen visitor post yang tidak menerima sebarang respon dari pengikut Majalah Umpan.
Ads
Admin sendiri agak kurang memantau posting di segmen ini berbanding di inbox messenger. Rupanya sudah agak lama soalan ini dikemukakan.
Pada awalnya admin ingin beri maklum balas secara langsung di segmen tersebut, tetapi berubah fikiran untuk berkongsi di ruangan ini agar ia dapat disebarkan dengan lebih meluas.
Ads
Admin beranggapan soalan ini tidak mendapat respon dari pengikut lain bukanlah ia sukar untuk dijawab, sebaliknya kerana ia sedikit mengelirukan.
Admin tidak pasti dengan kelong air masin yang dimaksudkan sama ada kelong atau kolam air masin.
Ini kerana lazimnya orang hanya menyebut kelong sahaja kerana kelong adalah binaan di perairan air masin. Walaubagaimana pun admin jawab bagi kedua-duanya sekali.
Ads
Sekiranya kelong, maka banyak umpan lain yang boleh digunakan selain udang hidup. Pada kebiasaannya, anak-anak ikan yang boleh didapati di sekitar kelong seperti tamban atau bilis amat berkesan.
Begitu juga dengan perumpun, hirisan ikan, udang dan sotong.
Sebaliknya jika di kolam air masin maka umpan yang sesuai digunakan selain udang hidup adalah umpan yang tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh pihak kolam.
Umpan lain yang lazim dibenarkan ialah ikan belanak dan juga hirisan ikan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya masih baru lagi memulakan hobi memancing. Mancing pun kat kolam air masin je. Masalah yang saya alami ialah nak strike siakap. Saya menggunakan udang hidup yang dicangkuk pada bahagian ekor dan menggunakan pelampung.
Apabila pelampung tenggelam, saya terus menggulung tali dengan perlahan. Apabila tangsi tegang sedikit saya terus membuat sentapan. Tetapi malangnya tak tersangkut ikan atau mata kail terlucut. Boleh tak admin beritahu di mana salah dan silap saya dan terangkan teknik memancing ikan kolam air masin dengan betul?
JAWAPAN:
Teknik memancing di kolam air masin sebenarnya hampir sama saja dengan memancing ikan liar di muara atau laut. Yang membezakannya hanya setting peralatan yang digunakan. Melakukan sentapan balas sejurus ikan menyambar umpan adalah satu tindakan yang kurang tepat.
Kebiasaannya pemancing akan membenarkan umpan dikemam oleh ikan seketika. Harus diketahui tabiat ikan siakap tidak terus menelan mangsa atau umpan. Apabila menyambar umpan dengan cara menyedut. Biasanya ia akan melarikan umpan sebelum menelannya. Namun ada juga yang bertindak mendiamkan diri.
Oleh yang demikian, apabila tali pancing menegang dan keluar dari spool menandakan umpan mula disedut dan dilarikan ikan buat seketika, barulah lakukan sentapan balas. Cara ini lebih kurang seperti memancing haruan di mana anda perlu memberi sedikit masa untuk ikan betul-betul menelan umpan sepenuhnya.
Boleh tak teknik memancing menggunakan soft plastic digunakan di kawasan unjam?
JAWAPAN:
Tidak dinafikan kegunaan soft plastic (SP) banyak diaplikasikan dari tebing (landbase) terutamanya di kawasan persisiran pantai bertebing berbatu.
Namun ia juga boleh diaplikasikan di kawasan perairan yang lebih dalam dengan pendekatan dan teknik berbeza.
Bagi kes pancingan di kawasan unjam berkedalaman 30 hingga 50 kaki, penggunaan pemberat (jighead) adalah perlu untuk memastikan SP dapat jatuh ke dasar dan tidak dihanyutkan jauh oleh arus.
Jatuhan semula jadi tanpa jighead mungkin lebih efektif namun ia terlalu perlahan bagi kawasan unjam.
Manakala pemberat yang keterlaluan akan menyebabkan SP jatuh ke lubuk tanpa aksi yang menarik sekaligus menyebabkan ia tidak menerima perhatian daripada ikan.
Oleh yang demikian pemberat yang bersesuai amat penting untuk mempamerkan persembahan jatuhan yang lebih realistik.
Harus diingat, persembahan jatuhan SP ini amat penting kerana waktu jatuhan SP ke dasar inilah peratusan sambaran lebih tinggi.
Faktor bau dan perisa turut membantu SP menarik perhatian ikan.
Jadi, disamping perlu menggayakan persembahan SP secara semulajadi, SP turut perlu diperisakan dengan bau-bauan yang sewajarnya ketika mengaplikasikan SP di kawasan unjam.
Perisa bauan untuk disapu pada SP kini mudah dicari di pasaran dengan kepelbagaian bau.
Saya masih baru lagi dalam pancingan laut terutamanya pancingan dasar laut dalam yang menggunakan perambut panjang. Masalah yang saya selalu hadapi ialah apabila mengarau pancing untuk memeriksa umpan, saya dapati perambut yang digunakan berbelit sesama sendiri dengan tanduk dan tali utama. Kenapa ia berlaku macam tu admin?
JAWAPAN:
Apa yang berlaku kepada saudara ini melibatkan beberapa perkara tetapi perkara utama ialah soal panjang pendek tanduk dan perambut yang digunakan dan keduanya ialah kelajuan melepaskan umpan ke dasar atau kelajuan tali utama yang keluar dari kekili.
Berkaitan dengan jenis tanduk, jika lubuk dalam dan keadaan air itu laju, mungkin tanduk pendek sudah memadai, kerana tak ramai sukakan tanduk yang panjang sedepa.
Tapi jika arus mati dan lubuk pula dalam, maka tanduk yang panjang digalakkan seafdalnya separuh depa.
Ini bertujuan mengelakkan air mati merangsang terjadinya kes-kes umpan panjat pokok terutamanya jika kita melepaskan tali utama dengan kadar yang begitu cepat.
Begitu juga dengan halnya tali perambut panjang pendek. Namun yang lebih penting adalah cara melepaskan umpan.
Sebaiknya kita perhatikan dahulu keadaan perambut di dalam air. Apabila melihat keadaan perambut membuat mengikut arus barulah kita lepaskan tali utama dengan tempo yang sepadan.
Untuk mengurangkan risiko perambut berbelit dengan tali utama atau panjat pokok ini disarankan juga anda menggunakan perambut kejutan atau shock leader yang disambungkan pada tali utama (tali sulam) kira-kira 3-5 meter.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...