
SOALAN:
Saya nak tanya satu soalan je… apakah hukum memancing sebenarnya?
JAWAPAN:
Memancing hukumnya harus. Ini kerana, haiwan-haiwan itu memang diciptakan Allah SWT untuk keperluan manusia, baik untuk dimakan atau untuk dijadikan haiwan peliharaan yang membantunya dalam kehidupan sehari-hari. Begitu juga dengan memancing ikan.
Maksudnya, seseorang tidak dianggap kejam atau melanggar hukum bila mendapatkan ikan dengan cara memancingnya walaupun ia kelihatan seperti menyakiti ikan, lantaran ikan itu menelan mata kail yang tajam dan menyebabkannya mati.
Sama juga dengan menggunakan jaring sekali pun, sebab cara itu memang cara yang lazim untuk kita mendapatkan ikan sebagai sumber protein atau makanan.
Sebenarnya yang menjadi isu ialah membuang masa. Iaitu akibat terlalu asyik dengan hobi memancing, sehingga terlupa dengan pekerjaan wajib seperti tidak datang kerja, meninggalkan solat dan juga sehingga terabai keperluan hak untuk isteri dan anak.
Misalnya pergi memancing dalam tempoh yang lama dengan kos yang tinggi dan tidak menghiraukan anak yang demam, keperluan barang dapur dan wang belanja isteri.
Jelas memancing bukan sesuatu yang haram, berdosa, tetapi ia boleh jatuh ke tahap itu jika kita mengabaikan keperluan-keperluan yang wajib.
Jalan penyelesaiannya, jika ingin pergi memancing, lihatlah dahulu keperluan yang wajib untuk keluarga. Jangan hanya seronok sendiri.
Apatah lagi jika memancing sekadar untuk bersuka ria. Harus diingat, konsep tangkap dan lepas boleh jatuh hukum haram kerana ia sama seperti menyeksa ikan.
Sebaik-baiknya dapatkan persetujuan daripada isteri dan keluarga, biar mereka gembira. Lepas pergi memancing, luangkan masa untuk keluarga pula seperti membawa mereka bersiar-siar, membeli-belah ataupun yang lebih baik cuba tanamkan perasaan harmoni kekeluargaan dengan membawa keluarga pergi memancing bersama-sama.
Begitu juga halnya jika memancing disertakan dengan unsur-unsur perjudian, seperti pertaruhan wang ringgit, ia jelas haram sama sekali.
Memancing sebenarnya ialah satu hobi yang mampu memberi ketenangan jiwa bahkan mendapat pahala, asalkan niat di dalam hati betul dan seperti yang diungkapkan di atas tadi.
Contohnya memancing untuk mendapatkan ikan sebagai sumber rezeki keluarga, menggembirakan orang lain, dengan jiran misalnya seperti kita berkongsi ikan yang diperoleh dan juga bertasbih menghayati kekuasaan Allah yang mencipta segala-galanya kehidupan ini.
Trip Retro – Jelajah Ulu Bakun

Oleh : Lai Malie
Desakan naluri yang inginkan suntikan suasana aman serta kesegaran udara pergunungan bersulam hamparan air tasik saujana mata memandang, menjadi desakan kuat untuk penulis mengunjungi Tasik Bakun untuk kesekian kalinya.
Tetapi misi kali ini lebih kepada fasa terapi penyembuhan selepas kejadian hitam, terbabit dengan kemalangan lebih setahun lepas yang menyebabkan penulis berehat panjang daripada sebarang aktiviti luar termasuklah memancing.
Trip kali ini disertai oleh beberapa kenalan rapat dalam Mukah Anglers Group yang terdiri daripada penulis sendiri, Effie Bareng, Osman Lu, Dominic Lee serta Awangku Khalid termasuklah saudara Richard Kinn yang tak putus putus memberi perangsang.
Setibanya di Bintulu, kami mengambil kesempatan untuk bersarapan seawal jam 4.30 pagi sambil menunggu Richard Kinn untuk turut serta.
Seterusnya perjalanan diteruskan lagi dengan tambahan sebuah lagi kenderaan 4×4 menuju ke Pekan Sungai Asap untuk menjemput seorang lagi tekong serta kelengkapan yang lain.
Hujan Dan Hujan Lagi
Hujan seperti mengalu-alukan kehadiran kami ke Tasik Bakun. Sepanjang perjalanan kami dari Pekan Kecil Sungai Asap ditemani simbahan air hujan membuatkan pergerakan
kenderaan perlahan dek kerana jalan yang curam bertambah licin dengan genangan air hujan.
Sesampai sahaja kami di jeti utama, kami tidak terus memunggah barang kerana hujan lebat masih lagi mencurah curah.
Hanya setelah beberapa ketika setelah hujan reda, kami tanpa berlengah terus memunggah kesemua barang ke dalam dua buah bot yang telah sedia.
Berbanding dengan lawatan penulis pada trip yang lepas, paras air Tasik Bakun jauh lebih tinggi pada trip kali ini.
Sesi Pemanas Badan
Perjalanan menggunakan 2 buah bot berkuasa kuda masing masing 30hp dan 15hp kami teruskan lagi untuk kira kira 1 jam lebih yang banyak dibantu oleh cuaca yang baik serta keadaan tasik yang tidak beralun.
Sesampai kami di boathouse, Richard Kinn terus menyediakan sarapan sambil kami menyiapkan senjata tempur masing-masing.
Sebaik selesai menjamu selera sebagai tambahan tenaga untuk bertempur dengan serigala pergunungan kelak, kami terus memecut dengan 2 buah bot ke spot yang telah dikenalpasti oleh tekong.
Hari pertama sesi mengilat kami dimulakan agak lewat sedikit kerana cuaca di sebelah pagi yang tidak mengizinkan. Namun setelah cuaca kembali cerah, aktiviti kami kembali lancar.
Penulis bersama Effie Bareng dan Awangku Khalid menaiki bot yang dikendalikan oleh Richard Kinn manakala Osman Lu dan Dominic Lee memecut dengan sebuah lagi boat yang dikendalikan oleh rakan Richard Kinn.
Kami telah mencuba dibeberapa suak serta kuala sungai sungai kecil yang berpotensi. Agak sunyi juga kerana kurang sambutan daripada sang ikan sasaran.
Sehinggalah kami tiba di sebuah lubuk kuala sebuah sungai kecil yang dipenuhi dengan bangkar kayu di dasarnya.
Suasana sunyi tiba-tiba bertukar ceria apabila Richard Kinn mendapat satu sambaran kasar dari sang pemangsa.
Setelah adegan tarik menarik antara kudrat manusia dengan sang ikan, akhirnya seekor sebarau gemuk memunculkan diri.
Kami serentak bagai mendapat tonik baru bagi memburu kawanan sang badong di situ. Namun setelah beberapa ketika, sang badong yang diburu tetap enggan memunculkan diri.
Mungkin sudah bersembunyi di sebalik bangkar kayu setelah rakannya kami dapat sebentar tadi.
Kaloi si pengubat duka
Dalam keterujaan kami ingin mendapatkan si badong dengan balingan sesudu dan gewang replika ikan keluaran Storm Arashi Siries ke spot yang dirasakan berpotensi.
Secara tak sengaja bunyi jatuhan umpan yang kami gunakan telah menarik minat kaloi. Setelah diteliti, terdapat beberapa pasangan kaloi sedang berlegar legar di sekeliling bot.
Namun ianya enggan merampas umpan tiruan yang kami gunakan sehinggalah Richard Kinn mengeluarkan beberapa bentuk mata kail yang telah beliau sediakan khas untuk menjerat kaloi.
Roti yang kami bawa sebagai bekal menjadi umpan utama untuk kaloi. Seperti kebiasaannya, Richard Kinn menunjukkan cara yang betul untuk memujuk kaloi Tasik Bakun.
Selang beberapa ketika, Kaloi pertama berjaya didaratkan dengan kaedah pancingan berumpankan roti. Saiz kaloi di sini pun boleh tahan juga.
Setelah mengambil beberapa gambar, kaloi yang kami perolehi kami lepaskan semula ke habitatnya selaras dengan matlamat kami yang menjadikan amalan ‘Tangkap, Gambar dan Lepas’ dengan selamat bagi memastikan kelangsungan stok ikan dan kelestarian alam.
Kaloi terus menjadi buruan kami petang tersebut kerana begitu banyak ikan ini keluar dari sarangnya mendapatkan umpan yang kami hulurkan.
Adakalanya kaloi yang berjaya diperolehi lolos dengan memutuskan perambut yang disediakan.
Sehinggalah penulis menyarankan penggunaan setup ultra ringan untuk melayan lembut kaloi yang menjamah umpan.
Penggunaan setup ultra ringan ternyata lebih berbaloi dan mampu menyerap setiap larian sang kaloi.
Effie Bareng yang menggunakan setup joran 2-6lb berjaya mendaratkan lesen kaloi pertamanya di Tasik Bakun.
Kepuasan terpancar jelas di wajah apabila kaloi berada dalam pangkuannya.
Selepas berpuas hati melayan karenah kaloi di lubuk tersebut, kami seterusnya mencuba mengilat di beberapa spot yang seterusnya.
Cuma beberapa ekor sang sebarau bersaiz juvenil yang sudi menghiburkan kami. Sesi pemanas badan hari pertama akhirnya kami tamatkan setelah senja menjelma.
Setelah sampai di boat house kami mendapat berita bahawa Osman Lu serta Dominic Lee, telah mendapat beberapa sambaran sang monster sampaikan ada beberapa kes rabut berlaku.
Yang tak tahannya meskipun rabut monster, mereka masih berjaya mendaratkan beberapa ekor semah serta badong bersaiz layan dengan bermodalkan sesudu keluaran Tony Spoon.
Hari Kedua Pancingan
Cuaca baik umpama mengalu-alukan sesi pancingan kami untuk hari kedua trip kami. Setelah bersarapan pagi yang agak berat sebagai bekalan tenaga ekstra semasa pancingan kami kelak.
Bot yang dikemudikan oleh Richard Kinn diikuti sebuah bot lagi terus memecut ke beberapa lubuk yang agak jauh dari boat house kami.
Cubaan untuk menjerat sang badong dan empurau kami terus menemui jalan buntu apabila sesi awal pagi kami Cuma dihiburkan dengan layanan manja si sebarau juvenil.
Cuma setelah kami berpindah ke sebuah lubuk yang merupakan sebatang sungai kecil, barulah sang sebarau dua belang dengan saiz yang memberangsangkan memunculkan diri.
Sesudu terus menjadi taruhan utama kerana keadaan air yang jernih menjadikan sang ikan lebih culas.
Setelah berehat untuk memulihkan tenaga, kami sebulat suara untuk menyambung kembali sesi pancingan.
Kali ini Richard membawa kami ke beberapa buah lubuk sang badong yang sebelum ini banyak didaratkan beliau. Masing-masing begitu bersemangat dan teruja.
Cerita beliau ternyata menjadi kenyataan apabila balingan sesudu Siam Spoon ke sebuah reba kayu tenggelam yang sengaja dikarau rapat sehingga melanggar struktur reba tersebut telah mendapat sambaran yang amat kasar.
Meskipun drag kekili beliau telah dikunci seketat mungkin, namun sang kenangan, ia cepat-cepat kami bebaskan kembali.
Selepas tangkapan sang badong tersebut, kami ada juga mendaratkan beberapa ekor sebarau sebelum menamatkan sesi pancingan pada hari tersebut memandangkan cuaca
begitu cepat bertukar gelap dek kerana awan hitam yang membawa hujan semakin menghampiri kami.
Dalam perjalanan balik, kami terserempak dengan nelayan tempatan yang berjaya mendaratkan beberapa ekor ikan baung mega dengan kaedah rawai berumpankan anak ikan. Ikan baung tersebut mencapai saiz 3-7kg!!!!.
Kesempatan tersebut kami ambil untuk merakam gambar kenang-kenangan almaklum, di tempat kami di Mukah, kawasan pesisir pantai tidak ada ikan baung yang bersaiz sebegini.
Kami sempat membeli seekor ikan baung skala 3.5kg bagi merasa keenakan isinya untuk hidangan malam kelak.
Perjalanan balik ke boat house kami menjadi amat mencabar apabila hujan lebat serta angin kencang menghambat dari segenap sudut.
Mujurlah Richard begitu arif dengan persekitaran Ulu Linau tersebut biarpun pandangan amat terbatas dek hujan lebat sehingga tak nampak langsung persekitaran ditambah lagi dengan cuaca yang sudah gelap.
Hari Terakhir
Pada hari ketiga yang merupakan hari terakhir pancingan kami, sedikit rombakan dibuat.
Penulis akan disertai oleh Dominic Lee dan Osman Lu sambil Richard Kin pula menjadi tekong. Manakala Effie Bareng serta Awangku Khalid menggunakan bot yang satu lagi.
Pencarian badong tetap menjadi agenda utama kami di sekitar Ulu Linau, Bakun ini. Kali ini kami dibawa oleh Richard ke sebuah lubuk yang agak dalam lagi gelap airnya.
Kebiasaannya ada empurau mengendap mangsa di sini menurut Richard. Setelah mencuba hampir satu jam, empurau mahupun badong yang dicari tak juga muncul.
Namun beberapa keputusan positif dapat dilakukan di lubuk tersebut terutamanya sang sebarau berjaya didaratkan menggunakan jig oleh Dominic Lee.
Di bot lain juga, hasil-hasilnya tidak mengecewakan. Beberapa hari kami di sini ternyata memberikan pengalaman manis terutama bila dapat beraksi di lapangan pancing yang masih mempunyai penghuni ini.
Kami amat bertekad untuk kembali lagi ke Ulu Linau, Bakun, bukan setakat untuk menjerat empurau mahupun badong sahaja, malah akan mencuba pancingan ikan baung monster yang banyak didaratkan oleh nelayan tempatan sebelum ini.
Terbayang di minda kami akan saiz yang sebesar paha orang dewasa tersebut menghenjut joran. Perghhhh… pasti akan terpancar kepuasan melayannya.
Soal Jawab Mancing – Mohon Pencerahan Kegunaan Gewang Selaman Cetek Dan Dalam?

SOALAN:
Saya masih baru dalam dunia casting gewang. Jadi saya mohon penjelasan tentang perbezaan antara gewang selaman cetek dan selaman dalam? Terutama dari segi penggunaannya. Bila masa nak guna gewang selam cetek dan selam dalam.
JAWAPAN:
Paling mudah untuk mengetahui spesifikasi sesuatu jenis gewang adalah dengan cara melihat corak bip atau lidahnya. Tahap atau status selaman sesuatu gewang bergantung kepada reka bentuk lidah gewang.
Jika lidah gewang besar dan menirus 30 darjah ke bawah bermakna ia adalah selaman dalam. Semakin besar atau panjang lidah gewang bermakna semakin dalam renangannya.
Bagi selaman cetek, saiz lidah adalah kecil dan menegak ke bawah sehingga 80 darjah. Kadangkala ia berbentuk `L’ kecil. Lazimnya spesifikasi gewang ini tertera pada kotak pembungkus. Deep runner membawa maksud selaman dalam dan shallow runner pula membawa maksud selaman cetek.
Sementara bagi fungsi kegunaan ini pula merujuk kepada kedalaman air. Bagi gewang selaman cetek, ia boleh digunakan digunakan di kedua-dua paras kedalaman air. Ia berfungsi untuk memikat pemangsa yang mencari makan di pertengahan air atau di bawah permukaan air.
Manakala gewang selaman dalam hanya sesuai digunaikan di kawasan air yang dalam. Sekiranya ia digunakan di perairan yang cetek maka ia menyodok dasar atau tersekat. Jika menyasarkan pemangsa yang mencari makan di dasar air maka gewang selaman adalah pilihan yang tepat.
Namun, kebanyakan dasar perairan negara kita dipenuhi dengan struktur atau objek yang akan menjadi halangan kepada selaman gewang. Atau dalam erti kata lain gewang tersebut akan mudah tersangkut.
Layan Surfcasting Ketam Teluk Gong @

Hasrat untuk mencuba dan merasai sendiri keunikan pancingan ketam yang kian popular ini sebenarnya sudah lama terpendam. Jaring-jaring ketam pemberian seorang rakan pengusaha jaring ketam juga sudah berbulan-bulan tersimpan dalam bekas peralatan memancing.
Justeru, apabila peluang itu menjelma, kami bertiga segera bertolak dari Shah Alam ke Teluk Gong, Melaka. Dalam perjalanan ke Teluk Gong itu masing-masing dah pasang macam-macam angan-angan. Paling tak sabar nak rasa kemanisan ketam BBQ.

Setibanya di Teluk Gong, hari sudah lewat senja. Berikutan kesuntukan masa untuk mencari spot berpotensi mendorong kami untuk memilih spot yang boleh diakses dengan kenderaan paling hampir dengan pantai.
Ia bagi memudahkan urusan logistik kerana kami mendirikan khemah, barbeku dan memancing ketam hingga ke pagi. Lagi pun kalau kenderaan jauh dari tapak perkhemahan nanti jiwa macam tak tenteram pulak sepanjang tempoh memancing.
Hampir jam 8.30 malam kami mula melontar jaring ketam dengan berumpankan ikan selayang sejauh yang mampu ke laut. Kira-kira 15 minit kemudian mula mengarau pancing walaupun tiada sebarang petanda pada hujung joran. Tiada sebarang ketam yang tersangkut pada jaring.

Tidak lama kemudian kami tarik pula pancing kedua. Kali ini dapat dirasakan jaring sedikit berat dan ternyata beberapa ekor ketam tersangkut pada jaring. Namun kesemuanya bukan ketam sasaran, sebaliknya ketam kuning atau ketam ragi.
Setelah beberapa kali sekadar mendaratkan ketam ragi dan menghadapi kesulitan untuk meleraikannya daripada jaring serta merasai sendiri kepaduan kuasa sepitnya, hampir saja membuatkan kami hilang rasa teruja. Namun kami segera belajar. Kami beranjak tempat dan melontar umpan lebih jauh.

Tidak lama kemudian barulah dapat melihat getaran pada hujung joran dan apabila ditarik, dua ekor ketam bunga betina tersangkut kemas pada jaring. Seronok melihat ketam bunga melekat pada jaring memang sukar untuk digambarkan. Seolah-olah misi dah tercapai sepenuhnya.
Baru beberapa ekor ketam bunga didaratkan, air laut pula surut sepenuhnya. Memburukkan lagi keadaan, spot pilihan kami rupanya kawasan berbeting. Hendak berpindah spot terasa malas pula untuk berkemas segala peralatan pancing dan perkhemahan.

Sementara menanti air kembali pasang, kami teruskan juga memancing sambil tidur-tidur ayam. Sekitar jam tiga pagi barulah ketam bunga muncul kembali apabila kawasan berbeting dipenuhi air pasang.
Biarpun hasil memancing ketam dalam percubaan pertama kami ini tidaklah seberapa namun banyak perkara yang dapat kami pelajari. Selain dari harus lakukan tinjauan spot ketika air laut surut, peralatan yang lebih sesuai untuk memancing ketam, kami juga baru tahu ketam kuning atau ketam ragi yang anggap sebagai pengacau, walaupun tidak banyak isinya tapi rasanya agak manis.
Agak banyak juga dapat dan kesemuanya dicampak kembali ke laut kecuali seekor sahaja yang kami ambil dan dibakar begitu sahaja. Saat itu barulah rasa menyesal pulak buang ketam-ketam ragi itu tadi.