Boleh dikatakan saya masih baru memulakan hobi memancing di kolam air masin. Saya menggunakan udang hidup dicangkuk di bahagian ekor dan menggunakan pelampung.
Apabila pelampung tenggelam, saya terus menggulung tali dengan perlahan. Apabila tangsi tegang sedikit saya terus membuat sentapan. Tetapi malangnya mata kail terlucut.
Boleh tak admin beritahu di mana salah dan silap saya dan terangkan teknik memancing ikan kolam air masin dengan betul?
Ads
JAWAPAN:
Teknik memancing di kolam air masin sebenarnya hampir sama saja dengan memancing ikan liar di muara atau laut. Yang membezakannya hanya setting peralatan yang digunakan.
Melakukan sentapan balas sejurus ikan menyambar umpan adalah satu tindakan yang kurang tepat.
Ads
Kebiasaannya pemancing akan membenarkan umpan dikemam ikan seketika. Apabila tali pancing menegang dan keluar dari spool menandakan umpan mula ditelan dan dilarikan ikan buat seketika, barulah dilakukan sentapan balas.
Mata kail terlucut kebiasaannya berpunca daripada:
– Saiz mata kail yang kurang sesuai. Kes di sini mata kail adalah kecil berbanding mulut siakap. Saiz dicadangkan adalah 3/0 atau 4/0.
Ads
– Mata kail terlalu besar untuk mulut ikan. Kemungkinan kes ini adalah mustahil kerana saiz 2/0 memang muat untuk siakap sekecil 500 gram.
– Mata kail kurang tajam. Mata kail tidak akan kekal tajam buat selama-lamanya. Kesan cucukan kepada umpan dan sebagainya boleh menyebabkan mata kail tumpul. Pastikan mata kail tajam setiap kali memancing.
– Terlalu cepat merembat umpan kerana ikan mungkin hanya menggonggong ketika melarikan umpan. Bagi masa lama sedikit supaya umpan betul-betul berada sepenuhnya dalam mulut ikan.
– Teknik pasang umpan. Jika cangkuk di bahagian ekor kurang menjadi cuba pasang mata dekat bahagian kepala udang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya nak tanya beberapa soalan mengenai teknik jigging. Saya ni baru nak berkecimpung dalam speed jigging. Nak mintak tips sikit teknik nak mengarau dan memilih bentuk jig dan mata kail yang sesuai untuk memburu ikan pelagik. Jig apa yang sesuai untuk air dalam kedalaman 20 hingga 30 meter?
JAWAPAN:
Speed jigging merupakan salah satu penggayaan dalam teknik jigging. Ia lebih merujuk kepada gaya karauan berkepantasan tinggi. Dalam penggayaan ini, jig dimainkan seumpama gerakan ikan-ikan pelagik bagi memperdaya ikan-ikan predator perenang pantas terutamanya tenggiri.
Kunci utama dalam penggayaan speed jigging ini terletak kepada kekili dan juga jig. Kedua-dua jenis kekili iaitu kekili menegak dan mendatar boleh digunakan. Namun kekili mendatar dengan gear ratio berkelajuan tinggi (ratio 6:1 dan ke atas) adalah lebih praktikal. Nisbah gear yang lebih rendah akan menyebabkan pemancing dahulu keletihan mengarau sebelum memperoleh hasil.
Selain karauan laju, aksi joran juga perlu dimainkan sedikit bagi mempengaruhi renangan jig agar tidak terlalu statik dan pegun. Karauan juga tidak seharus dilakukan berterusan tanpa henti. Seeloknya lakukan karauan pantas sekitar 10-20 pusingan sebelum berhenti sekitar 1-3 saat dan menyambung lari karauan.
Bentuk jig untuk teknik speed jigging haruslah jig yang nipis dan melonjong agar ia dapat membelah arus dengan baik. Jig yang melebar dan pendek pula akan menyebabkan banyak rintangan sekaligus membebankan pemancing. Saiz berat jig yang sesuai untuk kaedah ini sekitar 30-80gm.
Faktor kedalaman air tidak menjadi persoalan, sebaliknya faktor arus yang lebih mempengaruhi saiz jig yang perlu digunakan.
Boleh tak kalau kita gantikan gewang replika ikan dengan gewang soft plastic kalau nak mancing di atas kelong atau rumah rakit? Ada yang cakap tak boleh tapi macam pernah nampak ada orang buat.
JAWAPAN:
Tidak dinafikan kegunaan soft plastic (SP) banyak diaplikasikan dari tebing (landbase) terutamanya di kawasan persisiran pantai bertebing berbatu. Namun ia juga boleh diaplikasikan di kawasan perairan yang lebih dalam sama ada di kelong, rumah rakit atau di tengah laut dengan pendekatan dan teknik berbeza.
Bagi kes pancingan di kawasan unjam berkedalaman 30 hingga 50 kaki, penggunaan pemberat (jighead) adalah perlu untuk memastikan SP dapat jatuh ke dasar dan tidak dihanyutkan jauh oleh arus.
Jatuhan semula jadi tanpa jighead mungkin lebih efektif namun ia terlalu perlahan bagi kawasan berarus dan pegun seperti di kelong.
Manakala pemberat yang keterlaluan akan menyebabkan SP jatuh ke lubuk tanpa aksi yang menarik sekaligus menyebabkan ia tidak menerima perhatian daripada ikan.
Oleh yang demikian pemberat yang bersesuai amat penting untuk mempamerkan persembahan jatuhan yang lebih realistik.
Harus diingat, persembahan jatuhan SP ini amat penting kerana waktu jatuhan SP ke dasar inilah peratusan sambaran lebih tinggi.
Faktor bau dan perisa turut membantu SP menarik perhatian ikan. Jadi, disamping perlu menggayakan persembahan SP secara semulajadi, SP turut perlu disadur dengan bau-bauan yang sewajarnya ketika mengaplikasikan SP di kawasan kelong dan sebagainya. Perisa bauan untuk disapu pada SP kini mudah dicari di pasaran dengan kepelbagaian bau.
Saya sudah terbiasa mancing guna tali benang. Memang takde masalah pun sehinggalah bila saya memancing di kolam air tawar. Tak semena-mena saya kena sound oleh seorang pemancing hanya sebab guna tali benang. Ia membuatkan saya jadi terpinga-pinga… salah ke guna tali benang kat kolam admin?
JAWAPAN:
Secara jujur admin akui pernah berhadapan dengan perkara yang sama. Bezanya, saya hanya ditanya kenapa pakai tali braided, bukannya ditegur apatah lagi dimarahi. Lainlah kalau penggunaan tali braided menyalahi peraturan kolam. Sebenarnya, penggunaan tali tangsi ada kelebihan tersendiri berbanding penggunaan tali braided atau benang.
Tidak dinafikan masih ada sesetengah pemancing berstatus otai masih beranggapan tali braided akan menghasilkan dengungan di dalam dan dapat dilihat dengan jelas oleh ikan di dalam air. Atas faktor-faktor itu ikan tidak mendekati umpan.
Jika benar anggapan begitu maka tiadalah pukat atau jaring dihasilkan oleh material selain tangsi sahaja. Sekaligus tidak akan memakan umpannya jika anda memancing berdekatan dengannya.
Hakikat sebenarnya tali sulam dicipta dengan teknologi terkini untuk membelah air sekaligus tidak menghasilkan dengungan atau buih berbanding tali tangsi. Malah soal ini langsung tidak timbul jika memancing di kolam yang hampir tiada arus.
Walaubagaimana pun penggunaan tali tangsi terbukti lebih berkesan berbanding tali braided. Penggunaan tali tangsi membolehkan mata kail tertancap kemas pada mulut ikan. Begitu juga dengan peratusan strike. Sifat tali braided yang tiada memori menyebabkan mata kail mudah terlucut.
Dan yang paling utama apabila bersilang tali dengan pemancing lain, tali tangsi lebih mudah dileraikan berbanding tali braided.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...