
SOALAN:
Saya ingin tahu tali utama kasar ke halus yang memainkan peranan untuk dapatkan ikan? Apakah warna tali memainkan peranan? Contohnya kalau memancing di sungai elok pakai tali warna hijau dan warna biru kalau mancing di laut?
JAWAPAN:
Di dalam memancing setiap alatan memainkan peranan tersendiri. Bagi soalan pertama saudara, tali utama pada gelendong kekili saudara adalah untuk membolehkan saudara menarik ikan dengan senang dan kuat.
Ini disebabkan ia adalah penyambung antara perambut, kekili serta gelendong kekili oleh demikian ia haruslah kasar dan kuat, walau bagaimana pun tali pada perambut juga penting sekali untuk menawan ikan. Ia harus kuat serta halus dengan ciri seperti ia tahan calar, kurang nampak atau bersinar semasa dalam air.
Bagi soalan kedua iaitu warna pada tali, warna akan hilang di bawah air selaras dengan spektrum cahaya. Warna merah akan hilang, kemudian oren, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu. Sebagai hijau di tengah-tengah spektrum yang anda boleh mengharapkan garisan kehilangan warna di mana-mana antara 5 dan 10 meter di bawah air (ujian scuba).
Walau bagaimana pun sekiranya anda menggunakan tali sulam untuk casting maka saya syorkan anda menggunakan tali tangsi atau tali dari jenis fluorocarbon sebagai tali perambut sekurang-kurangnya 1 meter.
Soal Jawab Mancing – Mohon Jadual Waktu Memancing

SOALAN:
Saya ada pertanyaan dan permintaan. Pertama sekali boleh tak jelaskan perihal air besar dan air mati yang tak sesuai untuk memancing ni. Tapi lagi best kalau admin dapat buatkan satu jadual atau tarikh-tarikh yang terbaik untuk memancing di laut.
JAWAPAN:
Kejadian air mati dan air besar adalah dipengaruhi sepenuhnya dengan peredaran bulan. Oleh itu kalendar Islam ataupun Cina amat baik untuk dijadikan rujukan. Setiap pemancing wajib mengetahui fenomena air ini jika kerap memancing di laut. Sila rujuk dan hafal jadual yang disediakan ini:
Hari bulan (hijrah) Fasa air
28-3 Adalah air besar fasa pertama
4-9 Adalah air mati fasa pertama
10 Air mulai bergerak fasa pertama
11-12 Air mulai besar fasa kedua
13-16 Adalah air besar fasa kedua
17-22 Adalah air mati fasa kedua
23 Air mulai bergerak fasa kedua
24-27 Air mulai besar fasa pertama
Tambahan
Jika anda ingin keluar memancing ke laut dalam pilihlah hari bulan 4-9 &10 bagi fasa pertama, hari bulan 17-22&23 bagi fasa kedua.
Hari bulan yang lain arus laut amat kuat dan laju jadi lebih sesuai memancing di pantai. Perlu diingatkan yang hari yang terbaik adalah kedua-dua hari bulan air penghulu iaitu hari bulan 10&23, kedua-dua hari ini amat sesuai untuk memancing laut dalam ataupun pantai.
Terkini! Rezeki Sangkar Ikan Sungai Udang Pecah

(Kredit : DDnology Izuandi)
Kalau dah rezeki memang tak ke mana! Begitulah kisah durian runtuh bagi kebanyakan pemancing di kawasan Sungai Udang, Pulau Pinang apabila berlakunya kejadian sangkar ikan pecah di kawasan tersebut.
Menurut follower fan page Majalah Umpan yang mengirim berita ini dari tempat kejadian, beliau mendapat perkhabaran kejadian sangkar pecah melalui pemilik sangkar itu sendiri pada jam 2.00 petang, sebentar tadi.
Tanpa menunggu lama beliau segera menghebahkan perkara tersebut kepada rakan-rakan lain dan persiapkan kelengkapan memancing dan segera menuju ke kawasan sangkar tersebut.
Menurut beliau lagi, sebuah sangkar (sangkar 90) yang banyak memuatkan ikan jenahak itu dipercayai pecah akibat dipukul alunan ombak.
Nasib mereka agak bertuah kerana lazimnya ikan-ikan yang bebas dari sangkar ini tidak akan merayau jauh dalam tempoh terdekat.
Sehingga berita ini dimuat naik ke halaman web Umpan, Izuandi dan rakan-rakan sedang bergasak sakan dengan spesies ikan jenahak dan juga merah.
Dalam pada masa yang sama Izuandi turut sempat merakam aksi pancingan di sangkar Sungai Udang, Pulau Pinang ini.
Trip Retro – Memburu Penyamun Merah Muara

Pancingan ikan siakap merah (Mangrove jack atau digelar MJ), bukanlah aktiviti pancingan biasa dan sama dengan pancingan ikan-ikan lain. Ia membabitkan sebuah kredibiliti tinggi seorang yang digelar pemancing tegar untuk mendaratkannya. Ini kerana, spot siakap merah liar terutama di kawasan muara dan kuala sungai adalah kubu terbaik untuk ikan ini meloloskan diri.
Bagi kami sendiri, siakap merah yang kami gelarkan si ‘penyamun merah’ ini, bukanlah spesies yang mudah untuk ditewaskan, kehebatannya persis seorang atlet pecut 100 meter berlari yakni sifat semula jadinya yang licik dan pantas.
Malah, bagaimana cara pemangsa licik muara ini menarik mahupun mencuri gewang semasa casting di celahan reba juga dikagumi oleh kami. Ia bersembunyi di celahan reba sambil mengintai dan menunggu mangsa yang lalu berhampiran tempat persembunyian.
Sebab itulah juga, bila sahaja strike dan kaki pancing terlewat beberapa saat menahan asakannya, pasti akan berputih mata. Sama ada mata gewang tersangkut di celahan reba ataupun mata kail terkangkang.
Bagi kaki casting, mengaplikasikan tali dan mata kail yang bersesuaian perlulah diambil kira dalam usaha mencari ikan ini. Jika tidak, siakap merah ini mudah melepaskan diri daripada kawalan pemancing dan kemudiannya memboloskan dirinya begitu sahaja setelah bersusah payah mencuba mengaraunya naik ke permukaan.
Lubuk Rahsia
Menyedari masih ramai lagi pemancing yang tidak mengamalkan pancingan tangkap dan lepas, kami bersepakat merahsiakan lubuk yang kami lawati kali ini. Memadailah sekiranya berkongsi gambar bersama pembaca melihat ‘kepuasan’ yang kami sama-sama rasai.
Sudah Rezeki Kami
Dalam usaha mencari spesies ini, kami turut memperoleh strike dari ikan lain seperti bulan atau tarpon dan juga alu-alau. Elvi Ching sempat melayan alu-alu ini yang turut meronda di kawasan pencarian kami mendapatkan siakap merah.
Berderau juga Elvi Ching apabila lontaran gewang yang disangka siakap merah, direntap rakus oleh alu-alu yang turut mendiami di kawasan spot ini. Walaupun akhirnya agak mudah untuk mengekangnya daripada melepaskan diri, tapi semangatnya untuk mencuba melepaskan diri menambah keseronokan bertarung dengan spesies ‘gigi tajam’ ini.
Pada masa yang sama, kami turut melayan ikan bulan yang kebetulan boiling di permukaan air. Lompatan demi lompatan bulan yang cuba melepaskan diri apabila mula menghampiri bot kami amat mengasyikkan.
Jangkaan kami pertembungan dengannya agak mudah, ternyata meleset kerana banyak ekor juga yang `miss`, apabila lompatan akrobatiknya berjaya melepaskan mulutnya dari mata gewang.
Suasana di atas bot menjadi riuh rendah seketika apabila berlaku strike serentak. Detik Menarik! Kami kemudiannya meneruskan pemburuan siakap merah dan apabila bot memasuki satu anak sungai, Elvi Ching melontarkan gewangnya di satu spot tidak jauh dari tebing.
Tiba-tiba sahaja satu sergapan kuat diterima oleh Elvi dan sepantas kilat, dia melakukan hook-up dan strike! Elvi terus sahaja menahan asakan sambil menahan asakan dan akhirnya selepas beberapa minit kemudian, si ‘penyamun merah’ ini akhirnya berjaya didaratkan.
Tuah buat Elvi yang berjaya memperoleh siakap merah bersaiz dewasa dan matang. Sudah tentulah, saat ketika strike, ia momen yang amat didambakan oleh kaki-kaki casting.
Sergahan rakus ia menyambar gewang dan terus melarikan gewang merupakan suatu detik yang tidak akan dilupakan oleh mana sahaja kaki casting tegar.
Lewat petang, beberapa lagi strike diterima sebelum kami menamatkan pencarian spesies tersebut. 2 ekor yang diperolehi Lim Kim Peng adalah bersaiz kecil dari tapak tangan dan kami telah lepaskan semula.
Walaupun secara keseluruhannya tidak lumayan hasilnya, kami pasti tidak akan serik untuk bertandang ke sini lagi. Jadi, kepada pemancing di luar sana yang belum ada lagi lesen ikan ini, silalah berbuat demikian, kerana si penyamun merah ada karannya yang tersendiri.