Boleh tak admin beritahu saiz mata kail dan perambut yang sesuai untuk memancing udang galah?
JAWAPAN:
Pada kebiasaannya, perambut udang galah ialah menggunakan perambut tangsi atau monofilament line. Perambut fluorocarbon juga boleh digunakan namun ramai yang lebih gemar menggunakan perambut tangsi saja. Kekuatan perambut biasa digunakan dari 6lb hingga 12lb.
Ads
Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12lb boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50gram hingga 500gram.
Panjang perambut yang biasa digunakan sekitar 15cm atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis perambut tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu terasa beban ketika mengunyah umpan.
Ads
Kelebihan perambut tangsi juga ia dapat membuai di dalam air. Ada sesetengah pemancing udang berpengalaman menggunakan perambut yang lebih panjang sehingga 50cm. Namun ia lebih sesuai ketika arus laju dan mudah berpintal jika tidak cekap membuat lontaran.
Sama ada perambut satu mata kail atau dua mata kail boleh digunakan bergantung kepada struktur lubuk.
Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail no 2 hingga no 6 kerana saiz ini paling sesuai.
Ads
Banyak jenis dan saiz mata udang yang boleh di temui di pasaran tempatan. Mata kail berduri pandan adalah lebih baik daripada tanpa duri pandan.
Aku ada member, Min… dia ni punya gebang boleh tahan la jugak. Katanya, dia pernah casting dapat ikan puyu guna gewang. Betul ke puyu makan gewang, Min?
JAWAPAN:
Pemancing ni memang ada pelbagai ragam. Ada yang sembang kencang tapi macam tong kosong. Ada juga yang kaki gebang tapi bukan sembang kosong. Contohnya macam member anda itulah. Bagi sesiapa yang tidak mengetahui tabiat pemakanan ikan puyu pasti menganggap ia hanya sembang bikin bimbang.
Untuk mengetahui kebenaran di sebalik kenyataan member anda memperoleh ikan puyu dengan teknik casting menggunakan gewang itu, kita mestilah melakukan sedikit kajian tentang diet ikan puyu.
Ikan puyu ialah haiwan maserba. Maserba membawa erti ikan puyu memakan hampir apa saja makanan. Di habitat asalnya, selain menjadikan tumbuhan akuatik, ikan puyu turut memakan serangga kecil atau moluska. Malah, dalam keadaan terdesak ikan puyu turut bertindak kanibal dengan memakan sesama spesies untuk kelangsungan hidup.
Atau dalam erti kata lainnya, apa saja gewang yang menyerupai diet pemakanan puyu yang melintas di hadapannya, berkemungkinan besar ia akan menyambarnya.
Secara peribadi pula saya tidak pernah casting puyu secara khusus tetapi pernah memperoleh puyu ketika casting haruan. Tidak pasti ia secara kebetulan atau tidak, puyu berkenaan benar-benar menyambar sesudu yang digunakan.
Malah saya pernah juga melihat rakan memperoleh puyu dengan menggunakan gewang mikro dan terbaru, umpan katak yang digunakan oleh seorang rakan untuk casting haruan turut sama berjaya mendaratkan seekor puyu yang agak besar saiznya.
Saya ada satu persoalan. Betul ke ia merupakan sesuatu yang berbahaya jika memancing sewaktu cuaca buruk seperti hujan lebat dan ribut petir. Dan adakah benar ikan kurang aktif memakan umpan sewaktu hujan lebat dan cuaca buruk ini?
JAWAPAN:
Memancing ketika hujan lebat dan cuaca buruk sememangnya mengundang risiko. Risikonya terdiri daripada beberapa aspek, antaranya:
Pertama; Kebanyakan joran yang digunakan hari ini diperbuat dari bahan graphite yang mampu menarik sambaran kilat. Oleh yang demikian, kita perlulah turunkan joran dan simpan di bawah (baringkan di lantai bot atau daratan) sekiranya terdapat petir. Jika tiada petir sekali pun sebaiknya lakukan langkah keselamatan kerana kita tidak dapat menjangka kejadian ribut petir.
Kedua; apabila kita berada di tengah laut, tasik atau di tebing sungai di mana tiada terdapat pokok atau objek yang lebih tinggi daripada kita maka kemungkinan disambar petir adalah amat tinggi.
Ketiga, bahaya dari kepala air, terutamanya apabila kita memancing di muara sungai dan sungai-sungai di pegunungan atau hutan serta peningkatan air secara mendadak disebabkan pengaliran air yang banyak dari hulu. Jadi segera keluar atau naik ke lokasi yang lebih tinggi kerana kepala air akan meranapkan apa sahaja di hadapannya.
Keempat, bahaya perubahan suhu. Ia boleh menyebabkan suhu badan kita turun dengan mendadak yang mendorong berlakunya demam. Lebih-lebih lagi kejadian hujan panas.
Sebenarnya, Ikan amat aktif makan selepas hujan lebat terutama sekali di kawasan muara sungai sebab terdapat banyak serangga dan makanan yang dihanyutkan air semasa hujan lebat.
Bagi kawasan laut pula ikan amat aktif sebelum hujan. Sebabnya saya masih mengkaji tetapi pengalaman menunjukkan ini selalu berlaku semasa saya memancing.
Salam min… boleh tak admin buat penjelasan sikit pasal panjang leader yang sesuai untuk setup casting? Ada yang cakap pendek pun boleh, panjang pun boleh.
JAWAPAN:
Untuk teknik casting sama ada menggunakan kekili menegak atau mendatar, saya amalkan satu kaedah berdasarkan jenis leader yang digunakan. Sekiranya menggunakan leader tangsi atau monofilament, saya akan lebihkan panjang leader sehingga ke dalam spool kekili.
Sebaliknya jika menggunakan leader fluorocarbon, saya akan pastikan leader panjang leader tersebut tidak sampai ke dalam spool. Memadai panjang leader sama panjang dengan joran atau dari tip hingga cincin pertama saja.
Alasannya cukup mudah. Sebagaimana yang kita tahu, leader fluorocarbon agak keras berbanding leader monofilament. Atas faktor tersebut, leader fluorocarbon tidak tergulung dengan kemas di dalam spool. Sebaliknya leader monofilament yang lebih lembut boleh disusun dengan sempurna di dalam spool.
Leader fluorocarbon yang berlebihan di dalam spool akan mengganggu proses kelancaran pengeluaran tali dari spool ketika proses balingan gewang. Secara tidak langsung ia akan menyebabkan berlakunya masalah sarang burung atau birdness.
Pasa asasnya, peranan leader adalah untuk menyerap sentapan mengejut yang boleh menyebabkan mata kail menjadi lurus atau kerosakan pada terminal tackle yang lain.
Oleh yang demikian tidak perlu menggunakan leader yang terlalu panjang. Pada saya memadai sepanjang 1meter saja sudah sesuai sama ada leader monofilament mahupun fluorocarbon.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...