Saya perhatikan kebanyakan joran-joran lama menggunakan cincin beroda. Jadi, saya ingin apa perbezaan cincin yang mempunyai roda dengan cincin biasa pada joran yang lebih banyak digunakan sekarang?
JAWAPAN
Pertama sekali, kita harus faham apa fungsi cincin atau guide pada joran. Peranan cincin adalah untuk membimbing tali keluar daripada kekili dengan lurus serta mengurangkan daya geseran tali utama.
Ads
Cincin pada rod sama ada jenis beroda atau biasa sebenarnya mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk mengurangkan daya geseran antara tali utama dengan cincin.
Biasanya cincin beroda digunakan bagi tujuan pancingan ikan trofi dan mempunyai daya renangan yang laju. Roda pada cincin akan mengurangkan geseran tali semasa pertarungan seterusnya mengelakkan haba pada tali.
Teknologi bagi cincin statik pada hari ini biasanya dibuat daripada bahan seperti seramik dan silikon karbid. Cincin statik ini memberikan keupayaan anti geseran yang sama dengan cincin beroda. Jadi tidak banyak perbezaan ketara antara kedua-dua cincin tersebut.
Ads
Kebiasaannya cincin jenis beroda yang dibina pada joran bertujuan untuk kegunaan menunda (trolling) atau memancing ikan yang memiliki daya renangan laju (game fish).
Kebanyakan joran jenis pancingan dasar dan menunda diperbuat menggunakan cincin beroda sebelum teknologi pembuatan cincin joran berkembang.
Ads
Cincin beroda dibuat supaya dapat menghindarkan geseran ketika tangsi keluar melaluinya dan seterusnya janaan haba terhadap dua objek yang bertemu pada kelajuan tinggi.
Roda yang berputar boleh mengurangkan geseran berbanding cincin statik. Apabila cincin yang diperbuat daripada bahan tahan hakisan seperti silikon karbid (SiC) memasuki pasaran, bahan ini terbukti lebih efisen dan baik berbanding roda.
Cincin jenis SiC diperbuat daripada seramik paling terbaik daya hakisan dan mampu mengurangkan janaan haba apabila tangsi melalui diatasnya (nyah haba) dengan kelajuan tinggi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya ada terdengar bahawa ikan baung boleh diperdaya dengan menggunakan gewang? Betul ke bohong, min? Jika benar, apakah jenis gewang dan bagaimanakah cara terbaik ianya dipersembahkan.
JAWAPAN:
Betul! Betul! Betul! Ini sememangnya kenyataan dan bukannya gurauan. Berdasarkan pengalaman, saya berani menyatakan bahawa ikan baung sememangnya boleh diperdaya dengan menggunakan gewang atau umpan tiruan.
Walaupun cuma sekali dan bukan disengajakan, saya pernah mendaratkan ikan baung dengan menggunakan gewang. Gewang selaman dalam yang digunakan untuk memancing haruan tetapi ikan baung pula yang mengena.
Walau bagaimana pun boleh dirumuskan di sini, jika ingin memburu baung menggunakan gewang, dicadangkan agar menggunakan gewang yang boleh menyelam hingga ke dasar.
Lebih baik jika gewang dapat menyodok dasar sungai kerana ikan baung adalah spesies yang hidup dan mencari makan di dasar sungai.
Cara persembahan amat penting dan sering kali sambaran berlaku apabila gewang dipersembahkan betul-betul di hadapannya. Apa yang penting kita mestilah tahu mengenal rumah atau lubuk yang didiami oleh ikan ini.
Selain dari teknik casting, teknik yang turut mujarab khususnya memperdaya baung ialah dengan menggunakan teknik trolling atau menunda dengan menggunakan gewang selaman dalam atau gewang rattlin jenis bergetar.
Dalam pada itu anda perlu bersedia untuk kehilangan gewang kerana lazimnya ikan baung menggemari dasar sungai atau tasik yang berstruktur.
Risiko gewang tersangkut reba atau jaring lama yang berlonggok di dasar sungai sangat tinggi. Dan pastikan anda bawa alat penyelamat gewang!
Beberapa hari lepas admin ada up pasal sesirat… aku tak faham sangat, min. Aku baru lagi mancing… tu pun suka-suka je tak pernah main laut lagi? Jadi, apa masalah dengan sesirat ni? Kat tempat aku ia dipanggil belin.
JAWAPAN:
Ikan sesirat yang juga dipanggil belin di sesetengah tempat merupakan antara tangkapan yang tidak dikehendaki oleh sesiapa pun. Ia dianggap sebagai ikan pengacau umpan sebagaimana ikan buntal.
Jika dibandingkan dengan buntal, saya memilih biarlah buntal yang tersangkut pada mata kail dan bukannya sesirat. Itu pun kalau buntal hanya memakan umpan, tapi kalau buntal menggigit dan memutuskan tali utama, kedudukannya samalah macam sesirat jugak. Sama-sama mendatangkan kerugian.
Ikan sesirat ini mempunyai sejenis lendir berbau serta toksik yang menjadi alat pertahanan diri untuk ikan tersebut.
Apabila ia tersangkut pada mata kail ia akan bertindak bagi melepaskan diri dengan cara membelit dan bergumpal pada dan lendir akan dikeluarkan membuat perambut berbelit serta hanyir.
Walau pun tiada bukti saintifik menyatakan perambut dan mata kail yang terkena lendir sesirat akan menyebabkan ikan akan datang dekat kepada perambut tersebut, adalah disarankan ganti sahaja perambut dan mata kail yang baru. Ia ibarat petua memancing yang diperturun oleh pemancing-pemancing terdahulu.
Jika difikir secara logiknya pula, ada sumber mengatakan lazimnya lubuk yang dihuni oleh sesirat ini tidak akan dihuni oleh ikan-ikan bergred tinggi.
Kalau ada pun cuma belukang atau duri. Dikatakan juga kehadiran sesirat itu boleh menyebabkan ikan-ikan lain lari sesuatu lubuk, begitulah jugalah dengan kesan lendirnya pada perambut yang berkemungkinan besar akan menyebabkan ikan-ikan lain tidak akan mendekatinya.
Kalau nak casting ikan air tawar macam sebarau, perambut jenis mana lebih sesuai untuk dijadikan leader. Perambut yang lembut atau keras?
JAWAPAN:
Saya mengandaikan leader lembut yang dimaksudkan adalah monofilament shock leader dan leader keras ialah fluorocarbon. Pada asasnya kedua-dua leader ini sesuai dan boleh digunakan. Tujuan leader digunakan adalah sebagai penyerap hentakan berikutan penggunaan tali sulam yang tiada memori.
Namun secara peribadi saya lebih selesa menggunakan monofilament shock leader untuk casting di air tawar. Untuk casting air masin pula saya memilih fluorocarbon.
Saya lebih selesa menggunakan monofilament leader atas beberapa sebab. Pertama, sifat elastik monofilament berbanding fluorocarbon yang agak kejung sedikit sebanyak ia tidak mengganggu aksi gewang terutamanya gewang-gewang kecil.
Kedua, sifat monofilament yang lebih elastik dan lembut juga membolehkan ia digunakan lebih panjang sehingga boleh dimuatkan ke dalam gelendung kekili. Ia tidak seperti leader fluorocarbon yang akan menjejaskan kelancaran balingan apabila disambung terlalu panjang sehingga ke dalam gelendung. Semakin panjang leader bermakna semakin jauh jarak halimunan gewang dengan tali utama.
Ketiga, monofilament leader lebih ringan berbanding fluorocarbon sekaligus menyebabkan ia lebih lambat tenggelam. Perbezaan ini boleh dikenal pasti jika menggunakan gewang permukaan. Fluorocarbon yang berat dan mudah tenggelam akan menyebabkan gewang permukaan akan mendongak ke bawah sekaligus menjejaskan sedikit aksi renangannya.
Dan keempat, kebanyakan perairan air tawar tidak memiliki stuktur atau objek tajam sebagaimana di perairan air masin. Oleh yang demikian ia tidak memerlukan leader yang keras dan tahan lasak menangkis geseran.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...