Gunakan tangguk atau sauk, bukannya lip grip apatah lagi cangkuk (gaff). Jaring pada tangguk pula perlulah dari bahan yang halus dan tidak mencederakan sisik ikan. Sebaiknya pilihkan jaring tanggung plastik berbanding benang.
Banyak aspek yang diabaikan seperti membasahkan tangan terlebih dahulu sebelum anda memegang ikan atau hasil tangkapan. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan lendir yang menyelaputi badan ikan terhakis. Lendir pada badan ikan ini adalah agen pertahanannya dari penyakit!
Ads
Sebaiknya tanggalkan mata kail ketika ikan masih di dalam air bukannya selepas didaratkan atau diangkat ke bot. Disiplin ini bukan tidak diamalkan langsung tetapi kebanyakannya dibuat jika ikan dikehendaki untuk bergambar saja atau bukan spesies sasaran.
Ads
Setelah menanggalkan mata kail, pegang ekornya di dalam air, dan olakkan ikan sehingga ia mula meronta, kemudian lepaskanlah ia. Bantuan ini penting dipraktikkan bagi membolehkan ikan dilepaskan dalam keadaan sempurna kerana berkemungkinan ia berhadapan dengan risiko kematian atau menjadi mangsa kepada pemangsa lain.
Ads
Jika anda ingin mengambil gambar bersama ikan, buatlah secepat mungkin. Setiap saat ikan itu di luar air, maka semakin kurang peluangnya untuk hidup. Jangan gantung ikan dari insang atau bibirnya saja. Ini merosakkan organ dalamannya. Gunakan kedua-dua tangan anda, biarkan ikan itu dalam posisi mendatar.
Jangan sekali-kali melepaskan kembali ikan pendatang ke dalam air terutamanya dari jenis pemangsa (kecuali anda memancing di kolam berbayar atau perairan yang tertutup). Sekiranya anda pernah melakukannya maka anggaplah ia sebagai kesilapan yang tidak akan diulangi lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Setibanya di Mersing, kami singgah sebentar di sebuah kedai menjual peralatan memancing. Beberapa peralatan yang dirasakan masih tidak mencukupi, segera kami topup. Tidak terkecuali umpan udang hidup dibeli sebanyak RM100 (170 ekor) sebagai taruhan selain bekalan makanan.
Selepas selesai memunggah barang ke dalam bot dan menyimpan kereta, bermulalah perjalanan trip ini yang akan dikemudikan oleh Tekong Rosli dan awak-awaknya Pak Mat Siren. Kami tiba di lokasi pertama sekitar jam 12.35 tengah hari dan masing-masing tidak sabar untuk melabuhkan pancingan joran mereka.
Tidak sampai 5 minit, kekili Banax GT4000 milik Haji Azmi melentur kuat sambil kami berdebar menanti apakah ikan lesen pertama yang dinaikkan. Tidak lama kemudian, seekor bawal cermin dalam skala 2 kg timbul di permukaan, sambil Hj Azmi tersenyum lebar.
Sedang Haji Azmi sibuk bergambar dengan ikan miliknya, Pak Mat Siren pula berteriak di bahagian depan bot sebelah kanan tekong. Pak Mat Siren berantakan melayan spesies yang menyambut ambornya ke kiri ke kanan dan akhirnya maka muncul seekor jemuduk berskala 3 kg.
Mahfiz yang duduk di belakang bot pula yang terkena karan. Mahfiz dengan cool melayan aksi spesies yang menyambut umpan udang hidup miliknya dan akhirnya beliau berjaya mendaratkan ebek berskala 4 kg.
Hotspot kedua.
Selepas makan, kami menyambung kembali tugasan. Laut kuat bergelora dan beberapa orang rakan termasuk saya ‘tumbang’ (muntah). Apa lagi kami semua masuk ke kabin mencari port untuk berehat dan tidur. Sebaik terjaga, bot tekong sudah pun sampai ke hot spot baru dan hari pun sudah beransur senja.
Rupa-rupanya geng di luar sedang rancak mencandat sotong. Tekong Ros agak sibuk membantu menyediakan umpan sotong segar dan selayang potong untuk jadikan umpan. Sebaik sahaja hari beransur gelap, Mahfiz yang sejak tidak putus asa jigging di belakang bot, kelihatan bergasak dengan ikan pemangsa.
Tidak lama kemudian kami dikejutkan dengan bunyi nyaring tali dari drag spool milik Mahmud yang keluar begitu laju. Selepas 30 minit bergasak, akhirnya spesies mega, iaitu pari seberat 27 kg berjaya dinaikkan.
Dalam dingin subuh, kami terus melayan. Haji Azmi yang menyepi sejak sekian lama, turut mendapat rezeki, kali ini ebek pula yang mendominasi tangkapan. Selang beberapa minit kemudian, giliran saya pula menerima tentangan dan berjaya menaikkan ebek seberat 3.5 kg.
Hotspot ketiga
Haji Azmi senyap-senyap telah mencangkukkan umpan anak ikan tamban hidup secara drift untuk tenggiri. Tetapi lain pula yang menyambar, spesies yang gemar membuat akrobatik di udara, sang belitung pula yang menyambar umpan. Selang beberapa minit melayan, Haji Azmi berjaya mendaratkan ikan belitung dalam skala 8 kg.
Seperti perancangan asal, pada jam 11 pagi, kami pulang ke darat sementara iaitu berehat di chalet Kampung Mukut di Pulau Tioman untuk tujuan merehatkan badan seketika sambil makan, solat, mandi dan melelapkan mata sekejap.
Selepas solat Asar,kami semua kembali ke bot untuk beraksi di hot spot keempat. Setibanya di lokasi, kami terus sahaja melabuhkan joran melayan teknik bottom dan jigging. Tidak mengecewakan, apabila umpan dan teknik kami disambut rancak oleh spesies cupak sekitar 1-2 kg, jemuduk 1-2 kg dan tambak 1 kg.
Sedang seronok melayan asakan, tiba-tiba awan kelihatan gelap dan serentak dengan itu, angin menderu kuat menghampiri lubuk kami ini. Apa lagi kami semua terus sahaja lincah menggulung tali joran dan untuk berpindah ke lokasi yang selamat.
Bot kemudiannya dihalakan ke hotsport berikutnya. Di lokasi ini, ragutan kurang diterima. Sekian lama menanti barulah kedengaran kekili berbunyi nyaring. Kali ini tuah memihak kepada Rofizi yang telah lama menanti pagutan big gamenya dari hari pertama.
Dalam suasana remang senja, giliran Zul Gemang pula diuji. Joran PE 2-3 dengan gandingan kekili Shimano Sienna 4000 melentur agak teruk. Sehinggakan dia terpaksa dipegang semasa menahan asakan pemangsa. Selepas 20 minit bertarung, akhirnya seekor lagi pari seberat 22 kg berjaya dinaikkan dengan berumpankan potongan ikan selayang.
Menjelang tengah malam, sekali lagi trip kami diuji. Tiupan angin kencang tiba-tiba sahaja datang berserta hujan yang lebat. Pukulan ombak begitu kuat melambung bot kami. Waktu ini masing-masing telah mencapai jaket keselamatan dan berpaut di tempat duduk masing-masing.
Penutup trip
Sebelum menamatkan trip pada hari ketiga, tekong menyarankan kami sekali lagi melayan appolo dan pancingan bottom di sebuah unjam. Memang tidak terlayan dibuatnya, kali ini anak-anak kerapu dan anak merah bawah 1 kg mendominasi tangkapan.
Jam 9.30 pagi, trip ditamatkan dan semasa perjalanan pulang, kami semua membahagikan hasil tangkapan. Hasil trip memang berbaloi. Purata masing-masing embawa pulang satu setengah tong Coleman setiap orang yang penuh dengan pelbagai saiz dan jenis ikan.
Katak hidup atau katak tiruan? Yang mana lebih efektif untuk memburu haruan? Pasti itu antara persoalan yang terbuku di minda seorang pemancing terutamanya bagi yang baru menjejakkan kaki di dalam hobi ini. Mungkin ada yang beranggapan katak hidup lebih menjadi pilihan, namun ada juga yang lebih menggemari umpan tiruan untuk memburu spesies ini.
Event memancing haruan sambil bersantai ini memang telah lama dirangka. Trip sebegini boleh dikatakan sebagai salah satu aktiviti wajib bagi Kelab Memancing Tasik Puchong Prima dan Puchong Prima Fishing Boat Charter.
Bezanya, kali ini, aktiviti berkonsepkan pertandingan untuk mencari juara yang dapat menjinakkan haruan terbesar. Biarpun berkonsepkan pertandingan, namun tiada yuran penyertaan akan dikenakan kepada ahli.
Jeffry selaku organizer trip kali ini juga memperkenalkan sedikit twist untuk aktiviti kali ini. Twist yang dimaksudkan ialah melalui trip ini mereka akan mengetengahkan teknik casting cara tradisional dan moden. Justeru itu, trip kali ini telah diberi nama “Tradisional vs Moden: Katak vs Lure”.
SPOT BERPOTENSI
Apabila tiba hari yang dinantikan, semua ahli yang menyertai trip ini berkobar-kobar untuk ke lokasi yang di maksudkan iaitu di kawasan Dengkil, Selangor. Untuk ke lokasi ini, perjalanannya agak mencabar juga kerana ia bolehlah dikatakan agak terceruk sedikit.
Apa pun, demi misi trip kali ini, semuanya kami tolak ke tepi. Trip kali ini telah disertai oleh 18 orang ahli. Pada asalnya 25 orang dijangka menyertai komplot ini, namun atas sebab-sebab tertentu hanya bilangan ini sahaja yang dapat mengikuti trip yang dianjurkan untuk kali yang ke-4 ini.
Sampai sahaja ke lokasi, kami mendapati banyak spot yang amat berpotensi untuk menduga spesies berkepala ular ini. Mana tidaknya melihat keadaan air berwarna gelap sahaja telah membuatkan semua ahli trip berkobar-kobar.
Tanpa membuang masa semua ahli mempertaruhkan umpan masing-masing. Daripada katak hidup, ke katak tiruan dan pelbagai jenis gewang lain telah dihulurkan untuk menjinakkan spesies ini. Sebaik sahaja umpan dilabuhkan tidak menang tangan kami dibuatnya. Ada yang strike, namun banyak juga yang rabut akibat kelicikan spesies ini.
KING OF HARUAN
Apa yang dapat disimpulkan melalui trip ini ialah, spesies haruan ini tidaklah begitu memilih umpan. Apa sahaja yang lalu di hadapannya pasti akan disambar tidak kiralah katak hidup mahupun gewang.
Melalui hasil yang diperolehi oleh peserta trip ini, kami amat berpuas hati dan objektif utama penganjuran memang dapat dicapai melalui trip singkat ini.
Aktiviti kemuncak trip ini merupakan majlis penyampaian hadiah bagi juara haruan terbanyak dan terbesar yang dipancing menggunakan katak hidup dan gewang. Bagi kategori katak hidup, Ia telah dimenangi oleh saudara Zulkifli, manakala bagi kategori gewang pula, gelaran juara disandang oleh saudara Muhamad Riduan. Zamivan pula menggondol kategori tangkapan terbanyak bagi trip kali ini.
MEMANCING SAMBIL BERAMAL
Di akhir acara, pihak organizer juga turut membuat kutipan derma untuk disalurkan kepada rumah anak-anak yatim yang terpilih. Melalui kutipan ini, Ia telah berjaya mengumpulkan RM200 untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan. Aktiviti sebegini dianggap sebagai suatu yang positif dan amat wajar dicontohi oleh kelab memancing yang lain.
Akhir kata, untuk trip akan datang, diharapkan agar aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi. Di samping dapat melepaskan gian terhadap dunia memancing, sekurang-kurangnya aktiviti sebegini juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan pada masa yang sama turut membuat amal jariah untuk membantu pihak yang kurang bernasib baik.
Musim Jenggo Sungai Endau Sudah Bermula
(Oleh Wak Zairul)
Sebagai seorang pejenggo (pemancing udang galah) tegar, saya ingin berkongsi sedikit info tentang jenggo bagi tahun 2020.
Dengan penuh ikhlas dan berlapang dada saya ingin memaklumkan bahawa MUSIM UDANG GALAH TAHUN 2020 DI SG ENDAU SUDAH BERMULA.
Kini tibalah masanya bagi pecinta jenggo untuk merasai tarikan sepit biru di Sunga Endau dan Sungai Sembrong di Kahang, Johor.
Baru-baru saya telah mencuba nasib untuk menilai sama ada sudah musim ataupun belum. Hasilnya… sebanyak 5.845 kg udang galah berjaya dinaikkan untuk seharian memancing.
Jika saya ingin gasak sendirian tentu saja saya diamkan diri tetapi saya lebih gemar berkongsi berita baik ini dengan rakan-rakan pejenggo lain.
Umpan terbaik di sungai ini utk menjerat udang galah adalah ruat halus, cacing tanah, anak udang, anak ikan gapi dan lain-lain lagi. Namun ruat halus dan anak udang merupakan umpan yang wajib dibawa.
Teknik memancing sama saja dengan mana-mana lokasi memancing udang galah yang pernah anda kunjungi.
Setiap hari sudah ramai pemancing yang turun memancing ke sungai-sungai ini. Bulan Januari dan Februari ni adalah masa terbaik memancing udang galah di sungai ini.
Sesiapa yang ingin mencuba bolehlah hadir ke sini untuk merasai tarikan sepit biru. Saya dah cuba, anda bila lagi? Banyak pangkalan yang anda boleh pilih apabila berkunjung ke sini.
Antaranya ialah LOJI AIR NITAR, JETI 40 EKAR, JETI TANAH ABANG, JETI KOLIN, JETI MAN BOT KAHANG, atau JETI JARUT KAHANG.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...