Jika pancingan udang galah dan udang harimau kolam dianggap terlalu mainstream, apa kata anda beralih ke pancingan lobster dan ketam bersaiz monster.
Metod pancingan yang popular di Taiwan ini telah diaplikasikan oleh kolam 89 Prawn Paradise Fishing Central dan menjadi kolam pertama seumpamanya di Malaysia.
Kolam yang berpusat di Taman TTDI Jaya Shah Alam, Selangor ini mula beroperasi kira-kira 6 bulan lalu dengan konsep pancingan udang harimau, sebagaimana kolam-kolam pancing di dalam bangunan sedia ada.
Kolah berukuran 30kaki panjang dan 18kaki lebar ini mampu memuatkan maksimum 30 pemancing pada satu-satu masa.
Berikutan sambutan yang kurang memberangsangkan pada bulan-bulan awal operasi, pengurusan kolam merasakan sesuatu perlu dilakukan bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Dari situlah munculnya ilham bagi menempatkan lobster dan ketam nipah bersaiz besar tangkapan bonus.
Dalam masa singkat ia membuahkan hasil dan berikutan daripada itu, pada malam minggu lalu pihak kolam telah menganjurkan cabaran memancing khas dengan judul Crazy Monster Night.
Ads
Dengan peruntukan RM6,000 pihak kolam telah menempatkan 40 ekor green lobster, 10 ekor ketam nipah, 5 ekor Boston lobster dan seekor tangkapan paling bernilai berupa king crab. Semua spesies bersaiz monster.
Menurut pengurusan kolam, 5 ekor Boston lobster berukuran 2kg – 2.2kg dengan harga pasaran RM349 / kg. Sementara king crab seberat 2.8kg pula RM420/kg.
Dengan yuran RM200 bagi sebatang joran, 24 orang peserta yang menyahut cabaran itu berpeluang membawa seberapa banyak tangkapan yang diperoleh.
Ads
Malah, pihak kolam turut bermurah hati melanjutkan tempoh cabaran dari 2 jam ke 3 jam demi memuaskan hati kesemua peserta.
Bagi pemancing yang terlepas peluang menyertai cabaran tersebut, anda boleh menyertai cabaran atau game berikutnya dalam tempoh terdekat.
MONSTER NIGHT KOLAM PANCING UDANG 89 PRAWN PARADISE
Tarikh: 26/10/2019 (Sabtu)
Masa: 8.00 malam – 11.00 malam
Tempat : Kolam Pancing Udang 89 Prawn Paradise
Yuran Game: RM200
Peserta: 28 orang
Total Spesies bernilai: RM6000
Spesies: Giant Boston Lobster 3ekor, Boston Lobster 40ekor, France Crab XXXL 12ekor
Ads
(Peraturan & Syarat)
Kalau tak penuh 25 peserta, game akan dibatalkan dan booking fees akan dibayar balik untuk peserta.
Mata kail single saja yang dibenarkan.
Tangkap pakai tangan tidak dibenarkan.
Semua pemancing wajib sampai di kolam sebelum pukul 7.30pm untuk mengundi tempat duduk masing-masing.
Masa mula 8.00 pm (duduk ikut yang nombor undi pertama)
Pukul 9.30 pm (rehat 10 minit dan menukar tempat duduk dengan peserta yang nombor undi kedua).
Tidak lama dulu, saya bersama beberapa orang rakan caster telah menyertai satu trip ke perkampungan Orang Asli di Taman Negara Endau-Rompin.
Tujuan kami adalah untuk meneroka ke kawasan berkenaan di samping cuba bermalam semalaman di sana.
Selepas bertolak dari Kluang, kami akhirnya tiba di perkampungan orang asli di situ dalam anggaran jam 4 petang.
Setibanya kami di sana, kami terus membuat keputusan untuk turun ke sungai sambil casting, malangnya tiada satu pun spesies yang dapat dinaikkan.
Bila hari sudah semakin gelap. Cikgu Kadir meminta kami semua membuat khemah untuk bermalam di tepi sungai.
Selesai mengalas perut, kami melakukan aktiviti memancing dasar dengan harapan dapat mendaratkan kelah atau ikan lain dengan menggunakan umpan cacing dan juga kelapa sawit.
Tapi, hampa kerana tiada seekor pun yang berjaya kami daratkan walaupun seekor baung.
Mungkin port tak kena agaknya. Perasaan kecewa itu membuatkan kami semua rasa mengantuk dan tidur kerana esok kami mengambil keputusan menaiki bot menuju ke hilir.
MISI SEBENAR BERMULA
Pagi-pagi lagi selesai sarapan, kami telah pun bersiap berkemas untuk meneruskan perjalanan.
Affizi telah berjaya mendaratkan ikan parang sungai pertama menggunakan set fly. Untuk ke hilir, kami mengambil keputusan cara untuk berhanyut.
Tidak sampai beberapa minit berhanyut, saya telah berjaya menaikkan seekor anak sebarau bersaiz 300 gram.
Tidak lama kemudian, seorang demi seorang daripada kami mula menaikkan hasil. Selain dari berhanyut, kami turut berhenti di tebing spot berpotensi dan mula melontarkan gewang dan juga sesudu.
Ada satu kejadian di mana saya dan Izzy terjatuh dari bot kerana Izzy terlalu gembira kerana lontaran sesudu ke sisi kayu balak melintang di tebing sungai disambar rakus kerandang.
Dek kerana terlalu gembira, bot yang dibawanya melanggar tebing sungai. Mujur kerandang tidak terlepas.
Cikgu Kadir pula terlepas seekor sebarau yang agak besar sehinggakan rod miliknya patah.
Selain itu, banyak juga kes rabut berlaku selain sebarau yang galak mengejar tetapi tidak mahu menghentam gewang. Mungkin di sebabkan air sungai yang agak jernih ia culas.
Ketika di satu lubuk yang tenang, Izzy gagal mendaratkan spesies yang tidak dapat dipastikan. Mungkin mama toman.
Tali Ryujin 20lb putus akibat geseran di celah-celah kayu. Gewang milik Izzy terkorban dan kami cuba menyelam untuk mendapatkannya kembali, tetapi gagal.
Saya sendiri hanya berjaya memperoleh sebarau dan juga toman. Jealous juga melihatkan Izzy dan Affizi kerana masing-masing berjaya mendapatkan kerandang dalam trip ini. Takpe… belum rezeki lagi. He….he…
CABARAN
Ketika berhanyut ke hilir, ia bukanlah perkara mudah walaupun nampak macam mudah.
Ada ketikanya tiba di kawasan air cetek, kami terpaksa turun dari bot dan menolak bot untuk melepasi kawasan cetek. 2-3 kali jugalah kami berbuat demikian.
Selain itu, tunggul kayu yang banyak turut menyukarkan perjalanan kami. Sesekali bot turut melanggar tunggul dan juga batu kerana gagal dikawal akibat arus yang deras kerana enjin bot yang kami gunakan hanyalah berkuasa kecil.
Jadi kami terpaksa berhati-hati agar bot tidak ditimpa kemalangan.
Secara keseluruhan, kami berjaya mendaratkan hampir 20 ekor sebarau termasuk toman. Kesemua ikan toman dilepaskan dan hanya beberapa ekor sebarau sahaja dibawa pulang.
Kami naik semula ke jeti pada pukul 6 petang. Ternyata pengalaman berkhemah dan menaiki bot bersama rakan-rakan caster yang lain tidak akan saya lupakan kerana banyak ilmu yang saya pelajari.
Saya pasti akan kembali semula untuk memburu sebarau mega di situ.
Sesiapa yang pernah berkunjung ke Sungai Tembeling, sungai yang merentangi garis sempadan dengan Taman Negara, Pahang, khususnya menaiki bot menyusuri sungai
tersebut dan memancing di tebingnya, pastinya geram melihat kelibat sang ikan bermain di permukaan sungai.
Tahukah anda, kelibat ikan tersebut adalah patin lawang atau disebut juara (Pangasius polyuranodon).
Walaupun ia bukan patin bernilai tinggi seperti saudaranya buah, emas dan muncung, tetapi ia tetap menjadi pilihan penggemar masakan ikan patin dan menu berkenaan boleh didapati di kebanyakan restoran terapung di jeti Taman Negara.
Walaupun tidak boleh dibandingkan rasa dan tekstur isinya berbanding saudaranya, buah, emas dan muncung, patin lawang pula dikatakan jauh lebih sedap berbanding patin sangkar atau kolam.
Memang ada benarnya, kerana patin lawang mendiami persekitaran sungai semulajadi dan sudah terbiasa dengan diet pemakanan di tempat semulajadi.
Kunjungan asal saya ke Taman Negara, cuba untuk memancing kelah dengan persiapan diatur sebaik mungkin.
Tetapi disebabkan kekangan tertentu, hasrat tersebut terpaksa ditangguh. Lain yang dicari lain yang dapat.
Sebarau hasil casting juga, tidaklah banyak dan bersaiz ‘hensem’ untuk bergambar.
Lantas guide merangkap tekong bot, Nizam Gajah dan Asri mengajak mengikut mereka bagaimana mudahnya memancing ikan patin lawang.
Tanpa berlengah, saya dan rakan yang lain, Alif, Nizam dan Wahida menyatakan kata setuju.
Selepas makan tengah hari, Nizam dan Asri mula menyiapkan kelengkapan. Ooo…rupa-rupanya memancing kaedah menghanyut botol.
Selepas siap kami bergerak menuju ke lokasi atas Lubuk Katak, iaitu tidak jauh dari Kampung Pagi. Nizam berkata, tali perlu diikat kemas pada mulut botol.
Kepingan roti dipotong bentuk kiub dan bila sudah selesai botol-botol ini akan dicampakkan ke dalam air. Nampak mudah, tapi kena rajin mengulangi langkah ini.
“Untuk lebih cepat dapatkan patin lawang, botol seharusnya dicampak pada bahagian atas kawasan yang dikenalpasti dan biarkan botol berkenaan melewati kawasan tersebut.
“Biasanya dalam 10 buah botol yang kita lemparkan, 2 atau tiga mesti kena. Proses ini dilakukan berulang kali dan perlu bertukar lubuk sekiranya, ikan sudah tidak mahu makan umpan,” katanya.
Ujar Asri pula, adakalanya umpan cepat habis sebelum sempat ia melalui kawasan yang dikenal pasti, patin lawang banyak bermain di permukaan air.
Ini kerana jika menggunakan umpan roti, ia sememangnya cepat habis digetu ikan seluang atau anak-anak ikan dan mudah tertanggal dari mata kail.
Selain roti, umpan terbaik dan lebih cepat patin lawang terkena mata kail adalah lipas rumah hidup.
Ini kerana berbau tengik dan tidak mudah digetu ikan kecil. Tetapi betapa susahnya untuk mencari lipas hidup, guna roti lagi mudah.
Walaupun mensasarkan ikan patin lawang sebagai ikan target, adakalanya dengan kaedah menghanyut ini, rezeki lain boleh diperoleh.
Kadang-kadang boleh terkena patin liar atau ikan lain seperti lampam sungai bersaiz besar.
Selesai mencampakkan botol berkenaan, mata pula perlu sentiasa peka memerhatikan botol tersebut dan bot perlu berada di kedudukan jauh dari botol yang hanyut.
Tetapi penting untuk tidak menghanyutkan botol di kawasan jeram kerana, sukar dan merbahaya kepada bot untuk mengambilnya semula.
Setelah memeriksa sama ada terkena ikan atau tidak botol akan dikumpulkan semula botol, diletakkan umpan dan bot perlu mudik semula ke hulu dan melakukan proses yang
sama berulang kali sehinggalah beredar ke lokasi yang lain Jelas Nizam lagi, selain lokasi faktor juga perlu diambil kira, seperti menghanyut botol memang tidak sesuai dilakukan pada musim air besar, kerana arus laju dan air terlalu keruh.
Air yang paling sesuai adalah seperti keruh ‘bulu kera’ dan waktu yang sesuai pula adalah pada pagi dan petang. Menariknya, memang teknik menghanyut pelampung ni menjadi!
Asri dan Nizam berhasil menaikkan beberapa ekor patin lawang berbeza saiz dalam tempoh 2 jam sahaja.
Itu belum kira yang terlepas akibat sedikit lewat mengangkat botol berkenaan, menyebabkan ikan terlepas. Bagi pemancing di luar sana, mungkin kaedah ini boleh diaplikasikan ditempat masing-masing.
Zon larangan
Sepanjang menyusuri Sungai Tembeling dari jeti Taman Negara, saya tertarik dengan pengenalan zon di sungai ini.
Pengenalan dan pemisahan zon ini, ditanda dengan boya-boya berwarna memancing dan menjala sahaja dengan syarat temoleh (Probarbus jullieni) yang diperolehi mestilah dilepaskan semula hidup-hidup.
Zon Merah pula bermula dari Jeram Panjang meliputi Lubuk Lenting, Lubuk Terenggan, Lubuk Gambir sehingga Lubuk Katak.
Ia zon larangan semua aktiviti seperti memancing, pukat, rawai dan segala jenis kaedah menangkap ikan.
Zon Hijau pula dari Lubuk Katak ke atas hingga ke Kuala Keniam. Zon ini membenarkan memancing, jala, menjaring dan galakkan pemancing melepaskan semula temoleh yang diperolehi.
Rentangan jaring atau pukat menyebabkan kepupusan ikan ini secara mendadak sejak kebelakangan ini.
Atas kesedaran itulah, sebahagian hulu Sungai Tembeling sepanjang 23 kilometer dirizabkan sebagai zon larangan oleh pihak Jabatan Perikanan Negeri Pahang.
Manakala tugasan pemantauan, seorang masyarakat di sini Azran Abd Sani, telah dilantik sebagai renjer sungai, sekaligus memantau perlaksanaan program Rakan Temoleh di Sungai Tembeling.
Meskipun zon larangan ini diwujudkan khusus menyelamatkan temoleh, secara tidak langsung penguatkuasaan ini telah menyebabkan spesies ‘rare’ lain turut dilindungi,
terutama patin liar (Pangasius), kerai kunyit (Hyrsibarbus sp.), tenggalan (Puntius bulu), tapah (Wallago spp.) dan pelbagai lagi spesies berharga Sungai Tembeling.
Perbezaan ketara patin lawang dengan patin biasa adalah, matanya yang besar dan menonjol. Spesies ini tidak boleh membesar seperti saudaranya. Maksimum beratnya hanyalah bawah 2kg.
Patin lazimnya hidup di lubuk air deras dan kawasan yang terdapat banyak rumpai air atau lumut sebagai sumber makanan.
Selain nama Temoleh, spesies kap terbesar ini turut sebut temelian, ikan ini akan mudik ke kawasan hulu mencari lubuk-lubuk yang dalam untuk menghempas telur.
Pada zaman dahulu, penduduk sekitar Sungai Pahang akan menunggu saat ini dengan memasang jaring untuk menangkapnya.
Trip ulangan kali kedua menduga lautan Sabah benar-benar mencapai misi seterusnya ‘memecah tong’. Jika anda ingat lagi, tahun lepas kami buat pertama kalinya mencuba nasib di Sabah, dan kerana keterujaan dengan hasil laut Sabah inilah yang membuat kami dari Kelab Pemancing Wanita Malaysia (WAC) gigih membuat trip ulangan pada tahun ini.Peserta trip kali ini seramai 12 orang ahli Kelab Pemancing Wanita Malaysia iaitu Normala, Shima, Zahra, Liza, Farah, Laili, Anun, Azimah, Amy, Fred, Shida, Atteh dan diketuai guider kami iaitu Pok Mud.
Trip 3 hari 2 malam di atas bot bukanlah perkara remeh temeh bagi kami, lebih-lebih lagi memandangkan kami semua adalah wanita. Persiapan rapi serta persediaan diri dan mental sangat penting. Tidak lupa juga pengurusan tiket kapal terbang dan perubatan. Dari segi peralatan memancing, kesemua peserta membawa dan menggunakan set reel elektrik untuk bermain ‘bottom’ dan ada juga yang membawa set jingging untuk mencuba nasib di sana.
9hb april 2017, kami berkumpul pada jam 9 pagi di Jeti KK Waterfront bersebelahan pasar besar selepas membeli beberapa bekalan makanan ringan di pasar itu. Lebih kurang jam 10 pagi, bot memancing kami yang pandu kapten Mazlan mula bergerak meninggalkan jeti. Perjalanan menuju ke destinasi atau port memancing kami memakan masa lebih kurang 6 jam. Sepanjang perjalanan, kami menggunakan masa sebaik mungkin dengan membuat persedian memancing, memasang rod dan sebagainya.
Destinasi pertama kami tiba pada jam 4 petang. Sebaik sahaja sauh dilabuhkan, kami tanpa membuang masa memulakan aktiviti permancingan kami. Untuk trip kali ini, peserta pertama yang ‘memecahkan telur’ paling awal adalah cik Anun dengan ‘double strike’ ikan kerapu dan merahnya. Teruja melihat hasil cik Anun, semua peserta yang lain gigih mengendalikan set pancingan masing-masing.
Hasil bersilih ganti, bertuahnya kami kali ini kerana kapten bot kami rajin menukar port apabila peserta sunyi dari hasil yang dinaikkan. Setiap port mempunyai hasil yang berbeza-beza tetapi tetap memberangsangkan. Cuma pada malam yang ke-2 sahaja hasil agak hambar dan lebih menhambarkan apabila umpan kami habis. Untuk meneruskan memancing, kami mencari umpan ikan menggunakan teknik apollo.
Antara ikan yang berjaya kami naikkan ialah ikan merah, ikan kerapu, ikan ibu kerisi, ikan ayam, ikan ‘mata liza’, ikan uji rashid (mata besar), ikan kacang, ikan haruan tasik, siakap merah, ikan tanda karang , ikan tanda tanya dan lain-lain.
Cukup menarik perhatian kami, untuk pertama kalinya kami melihat ikan ‘scorpion’ (dinaikkan oleh Shida) dan ‘electric eel'(dinaikkan oleh Normala). Tetapi tekong membuang semula ikan itu ke laut kerana bimbang kami tersentuh ikan itu yang dikatakan merbahaya dan berbisa. Juga turun dinaikkan ikan ‘Wobbegong Shark’ oleh Shida tetapi dilepaskan semua ke laut untuk memelihara spesis ikan ini agakntidak pupus.
Pagi-pagi hari ke-3 (11hb april 2017), bot sudah bergerak untuk pulang ke darat. Dalam perjalanan pulang, inilah aktiviti yang ditunggu-tunggu kami semua iaitu mengeluarkan semua hasil dalam tong dan bergambar kenangan. Untuk pengetahuan anda semua, tong ikan pertama dan kedua kami sudah penuh,selebih ikan pancingan kami masukkan dalam tong sejuk bot. Pada tahun lepas kami tak dapat merasa bergambar dengan ikan penuh atas meja. Kali ini, hasil pancingan kami seperti ikan dipasar. Menarik dan suatu pengalaman yang tak akan dilupakan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...